Advertorial
Home » Doktor Menjawab » Batuk dan selesema ketika hamil

Batuk dan selesema ketika hamil

 

selsema

 

“Assalamualaikum doktor. Saya hamil 16 minggu. Saya mengalami selsema. Kepala saya asyik berdenyut-denyut dan saya mengalami batuk berpanjangan. Saya mohon penerangan doctor . Terima kasih”

 

Wa alaikum mus salam.

 

Apabila seorang wanita sedang hamil, sistem pertahanan badan akan menjadi rendah. Ini bertujuan untuk melindungi bayi dalam rahem, tetapi   puan akan lebih mudah terkena jangkitan kuman yang menyebabkan batuk dan selesema.

 

Ini bermakna, ketika hamil sistem pertahanan badan puan anda menjadi rendah dan demam selesema akan menjadi lebih teruk.

 

Selesema adalah antara tanda puan diserang penyakit sinuditis. Antara tanda lain ialah:

1. sakit tekak

2. batuk

3. hidung tersumbat

4. sakit kepala

5. demam

 

 

Bagi wanita yang hamil, saya tidak menggalakkan penggunaan ubat-ubatan kecuali jika ianya perlu dan boleh mengancam nyawa ibu atau bayi dalam rahim.

 

Mustahil bagi puan melindungi diri daripada serangan virus yang menyebabkan selesema, tetapi puan boleh meningkatkan daya tahan dalam tubuh puan.

 

Antaranya ialah:

 

1. Makan makanan yang sihat dan seimbang. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Ini akan memberikan sumber mineral dan vitamin antioksida seperti vitamin C yang dapat membantu melawan jangkitan.

 

2. Minum banyak air sekurang-kurangnya 1.5 L dalam sehari. Selain air mineral, puan boleh minum jus buah-buahan untuk rehidrasi dan melonggarkan lendiran yang pekat. Cuba kurangkan minuman berkafein atau minuman manis.

 

 

3. Berehatlah apabila rasa perlu untuk meminimakan tahap stres puan. Kadar stress yang tinggi akan menyebabkan daya tahan puan bertambah rendah.

 

4. Bersenamlah dengan senaman ringan kerana ia menggalakan peredaran darah dalam badan dan membantu anda melawan jangkitan.

 

 

5. Jika anda merokok, berhentilah. Jika puan tidak merokok, pastikan rumah puan tiada orang yang merokok dan rumah puan tidak dipenuhi habuk.

 

6. Saya juga menggalakkan puan mengambil multivitamin untuk kehamilan. Bincanglah dengan doktor puan terlebih dahulu.

 

 

Saya selalu memberitahu pesakit saya bahawa rawatan yang terbaik bagi selesema dengan meminum air yang banyak dan berehat apabila anda rasa letih.

 

Puan juga boleh mencuba kaedah rawatan tanpa ubat.

 

Untuk hidung tersumbat, cuba kaedah pernafasan wap. Tambahkan dua atau tiga titik minyak eukaliptus (menthol) seperti vicks dan minyak kapak ke dalam satu mangkuk air panas. Tutup kepala puan dengan sehelai tuala dan tundukkan kepala sehingga tuala itu turut melitupi mangkuk tadi. Kemudian, tarik nafas supaya wap panas masuk ke hidung untuk membantu membuka rongga-rongga hidung.

 

Puan juga boleh membuka air panas di pancuran mandi dan biarkan bilik air itu berwap. Duduk di dalam bilik air selama 10 minit dan bernafas seperti biasa. Sebelum itu pastikan bilik air puan bersih dahulu.

 

Untuk melegakan hidung tersumbat pada waktu malam atau ketika puan berada di luar rumah, titikkan minyak eukaliptus (vicks atau minyak kapak) di atas kertas tisu lembut dan hidu tisu itu seberapa kerap yang boleh.

 

Jika puan mengalami rasa sakit tekak diikuti dengan batuk, minum air panas yang dicampur madu dan lemon.  Gula-gula untuk mengurangkan batuk seperti strepsil juga boleh membantu.

 

Untuk melegakan sakit kepala atau demam, puan boleh ambil paracetamol mengikut dos yang dinasihatkan oleh doctor atau ahli farmasi.

 

Cuba elakkan menggunakan ubat batuk dan selsema untuk dimakan walaupun ia selamat jika digunakan mengikut dos yang ditetapkan.

 

Walau bagaimana pun ubat titik hidung hidung yang mengandungi oxymetazoline atau xylometazoline selamat digunakan jika kaedah alternatif tidak memberikan kelegaan.

 

Jika tanda-tanda demam selesema dan batuk puan tidak berkurangan selepas beberapa hari, atau puan mengalami rasa sukar bernafas, jumpalah doktor. Mungkin puan mengalami jangkitan yang lebih serius dan memerlukan rawatan lanjut.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top