Muntah Selepas Makan Makanan Bergoreng

Klinik FB saya ditanya oleh seorang remaja yang menghadapi masalah kerap muntah sebaik saja selepas makan.

Selamat pagi doktor,,saya berumur 19thn dan saya ingin pandangan doktor tentang masalah saya. Selama beberapa tahun ini saya selalu muntah selepas makan. Setiap kali makan saya akan muntah terutama jika saya makan makanan berminyak. Apakah masalah ini bahaya? Saya berharap doktor dapat menolong saya, saya sangat risau doktor dengan keadaan saya ini.

Sessungguhnya Maha Puji bagi Allah yang memberikan setiap manusia kelainan dalam hidup. Kita sebagai hambanya haruslah mengadaptasi mengikut kelainan yang diberikan. Banyak hikmah yang tersirat.

Ramai yang ingin mengurangkan berat badan dan menghadapi masalah kerana nafsu makan yang tidak boleh dikawal. Mereka yang menghadapi masalah ‘muntah selepas makan’ ini dikirakan beruntung kerana tidak mempunyai masalah berat badan.

Cuma perlu mengubah sedikit cara pemakanan kita agar kita tidak mudah muntah sebaik saja selepas makan. Ianya adalah masalah yang tidak merbahaya.

Ianya disebabkan oleh kelainan fisiologinya. Sistem penghadaman mereka tidak rosak, namun mengambil masa yang lebih lama. Pada orang yang biasa, perut akan mengecut ketika penghancuran makanan dan penghadaman berlaku, akhirnya akan menolakkan makanan ke usus kecil agar penyerapan nutrients berlaku.

Jika saya normal, mengapa ianya berlaku?

Emm, bagaimana ya, saya mahu menyusun ayat agar mudah difahami oleh pesakit…

Keadaan ini sebenarnya normal, cuma terdapat kelainan dari segi fisiologi iaitu masa yang diambil untuk penghadaman agak lama.

Namun adakalanya ianya menjadi sesuatu yang tidak normal jika masa penghadamannya terlalu lama. Ini mudah difahami apabila selepas tiga jam, makanan yang dimuntahkan belum lagi hancur atau terhadam (undigested food).

Inilah tanda yang membezakan masalah ‘muntah selepas makan’ itu sesuatu yang normal (kelainan dari segi fisiologi) atau disebabkan oleh keadaan yang dinamakan sebagai gastroparesis.

“Maknanya, saya normal dan bukan disebabkan oleh penyakit gastroparesi?”

Gastroparesis sebenarnya bukan suatu penyakit tetapi keadaan. Sepertimana ‘demam’ bukanlah suatu penyakit. Ia adalah keadaan (fenomena/simptom) yang disebabkan oleh suatu penyakit lain e.g jangkitan kuman.

Secara amnya gastroparesis bermakna ‘perut yang lumpuh’. Apabila berlaku gastroparesis, perut tidak boleh lagi mengecut secara normal, maka makanan tidak dapat dihancurkan atau ditolak ke dalam usus kecil. Jadi penghadaman yang normal tidak berlaku.

Banyak punca yang menyebabkan gastroparesis. Kencing manis (Diabetes Mellitus) adalah punca utama gastroparesis di kalangan orang tua. Masalah lain ialah jangkitan kuman, masalah hormone endocrine, penyakit connective tissue seperti scleroderma, autoimmune atau neuromuscular.

Selain daripada penyakit, gastroparesis juga disebabkan oleh rawatan-rawatan yang melibatkan bahagian abdomen atau dada. Antaranya rawatan radiasi, kemoterapi atau pembedahan yang melibatkan dada dan abdomen.

Ini disebabkan kerosakan saraf vagus yang berfungsi mengawal usus dan perut. Masalah ini boleh berlaku serta merta selepas pembedahan, radiasi atau kemoterapi atau beberapa tahun selepas itu.

”Saya tidak ada masalah penyakit-penyakit itu. Cuma ada mengamalkan ubatan herba..”

Adakalanya ubatan samada herba atau moden yang diambil juga boleh menyebabkan masalah ini. Oleh itu haruslah memberitahu nama ubat yang diambil kepada doktor. Jika tidak pasti dengan nama ubat itu, bawalah contoh ubat yang diambil.

Namun jangan terkeliru dengan suatu keadaan yang dihadapi orang mempunyai masalah seperti anorexia nervosa atau bulimia yang juga menghadapi masalah ’muntah selepas makan’.

”Bagaimana nak bezakan antara masalah yang biasa dengan masalah bulimia atau anorexia nervosa, doktor?”

Sukar untuk membezakan keduanya. Doktor yang berpengalaman dapat membantu membezakan keduanya. Membezakan keduanya adalah penting kerana bulimia/anorexia nervosa memerlukan rawatan, jika tidak ia akan membahayakan kesihatan pesakit.

Selalunya mereka yang mempunyai masalah ‘muntah selepas makan’ mempunyai masalah kembung perut, loya, rasa cepat kenyang atau sakit ulu hati sebelum ‘muntah selepas makan’. Sementara pesakit bulimia/anorexia nervosa pula akan muntah tanpa merasakan ‘rasa cepat kenyang’.

”Bolehkah saya mendapatkan apa-apa ubat dari klinik?”

Saya berpendapat tidak perlu mengambil apa-apa ubat atau rawatan di klinik kerana ianya bukannya penyakit yang merbahaya. Namun saya boleh berikan beberapa tip yang mungkin membantu untuk mengatasi masalah ini.

  • Makan dengan kadar jumlah yang sederhana
  • Minum ‘air kosong’ sebelum makan.
  • Pastikan makanan itu hancur sebelum ditelan 
  • Pilihlah jenis makanan yang mudah hadam
  • Jangan makan makan-makanan yang berminyak, pedas.
  • Jangan campurkan makanan panas dan sejuk.
  • Kurangkan minuman yang bergas.
  • Rehat selepas makan. Elakkan dari melakukan aktiviti lasak selepas makan.
  • Elakkan gosok gigi selepas makan.
  • Elakkan berbaring selapas makan

Bagi mereka yang mengalami masalah ini secara kronik, pemeriksaan lengkap haruslah dijalankan bagi mengesan  penyakit yang lebih serius seperti masalah hormone endocrine, penyakit connective tissue seperti scleroderma, autoimmune atau neuromuscular.

Allahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (260111)

3 comments

  1. hi..sy ada mslh yg sama, sy slalu muntah slepas mkn. Adakah sbb sy mkn scara blebihan? Atau cara pemakanan yg salah. Kdg2 sy bru mkn stelah sy rsa dh btul2 lapar.

  2. sy pon ada masalah muntah selepas makan…tapi sy ada sakit gastrik asid reflux..(GERD)..muntah selepas makan..kerap gak belaku..rasa loya sblum nak muntah..da muntah rasa lega sikit..perut rasa mcm kmbung.. email facebook :[email protected]

  3. saya mengalami masalah muntah selepas makan. baru sekejap saya selesai makan,saya muntah kembali. kadang sudah habis makanan yang saya makan habis,muntah angin lagi. apa kah masalah yang saya hadapi?

Leave a Reply

error: Content is protected !!