Bila Anak Saya Boleh Mula Berjalan?

Saya mendapati anak saudara saya yang berumur sebelas bulan sudah mula berjalan sendirian tanpa dibantu oleh bapanya. Sementara sepupunya yang berumur satu tahun dua bulan, belum lagi mahu mengatur langkah.

Ramai ibubapa yang bertanyakan saya bila anak mereka boleh berjalan.

”Doktor, apa agaknya masalah anak saya ini. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan yang serius?” tanya ibubapa yang bimbang.

Belajar berjalan adalah salah satu langkah yang penting dalam perkembangan fizikal bayi. Bayi yang membesar tidak lagi berbaring sahaja di dalam buaian. Mereka mula bangun berdiri, bertatih, berjalan  tanpa dipegang, berlari dan melompat dengan penuh keyakinan. Itu adalah perkembangan fizikal yang sihat.

Cuba kita selidik perkembangan fizikal bayi sebelum mereka boleh berjalan sendirian. Beberapa bulan selepas dilahirkan, bayi selalu membengkokkan lututnya. Dalam keadaan terlentang, bayi selalu menggunakan kakinya untuk menendang. Ini adalah suatu tindakan reflex dan akan beransur hilang selepas beberapa bulan.

Selepas berumur lima bulan, bayi selalunya akan suka melompat-lompat apabila dipegang oleh orang dewasa. Tindakan melompat-lompat ini menandakan bayi mula mempunyai kekuatan otot peha dan kakinya. Ibubapa di negara barat menggunakan ‘door bouncer’ untuk melatih anak mereka melompat-lompat bagi menguatkan otot-otot peha.

Pada umur bayi lapan hingga sepuluh bulan, kekuatan pada otot peha semakin bertambah dan membolehkan bayi meniarap, duduk atau merangkak. Sesetengah bayi boleh berdiri sambil memegang perabot rumah apabila berumur sepuluh bulan.

Kebanyakan bayi sudah boleh berdiri tanpa bantuan, membongkok dan mencangkung apabila memasuki umur setahun. Mereka mula melangkah dan boleh berjalan secara bertatih apabila ibubapa membantu mereka berjalan.

Apabila berumur 15 bulan, mereka mula berjalan tanpa bantuan. Bayi yang dilahirkan pramatang, iatu lahir sebelum mencapai usia kehamilan 37 minggu juga mempunyai perkembangan fizikal yang perlahan.

Bayi akan lebih cepat berjalan apabila dibantu oleh ibubapa mereka. Ibubapa boleh menggalakkan anak berjalan dengan dengan berlutut di hadapan anak, sambil memegang tangannya semasa dia berjalan.

Di barat, bayi yang mula berjalan secara bertatih diberikan toddle truck di mana bayi boleh memegang bagi menggalakkan bayi berjalan. Carilah toddle toys yang stabil dan mempunyai permukaan dasar lebih lebar.

Ketika belajar berjalan, biarkan kaki bayi tanpa stoking atau kasut. Ini memudahkan dia mendapat keseimbangan dan koordinasi badan. Kasut hanya sesuai jika anak mula berjalan di luar rumah, atau berjalan di permukaan tanah yang kotor atau sejuk.

Jangan bimbang jika bayi kita mengambil masa yang lebih lama untuk berjalan dengan sempurna apabila burumur 16-18 bulan.

Selagi bayi boleh berdiri dan menunjukkan minat untuk belajar perkara baru, itu menandakan bayi masih lagi dalam proses mendapat kekuatan otot kaki dan peha, serta koordinasi ketika melakukan pergerakan dan keseimbangan badan. Ada kalanya bayi memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapat keyakinan diri.

Secara kebiasaannya bayi yang mengambil masa yang lebih lama untuk merangkak, akan mengambil masa yang lama untuk mula belajar berjalan. Ini kerana bayi memiliki kemahiran yang berbeza. Ada di antara mereka lebih cepat memperolehi kemahiran itu berbanding bayi yang lain.

Yang penting bayi anda harus menunjukkan perubahan dalam perkembangan diri, iaitu dari meniarap, merangkak dan kemudian berjalan.

Bayi yang masih tidak boleh berjalan, apabila memasuki umur 18 bulan, mungkin bayi mengalami beberapa masalah kesihatan. Hal ini harus dibincangkan dengan doktor.

Wallahu a’lam

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (271011)

One comment

  1. Anak sy masih belom boleh berjalan wslaupun sudah mencecah usia 3 tahun

Leave a Reply to nurul ainaCancel reply

error: Content is protected !!