
BERMAIN BADMINTON WAKTU MALAM BOLEH DAPAT SERANGAN JANTUNG?
Ramai yang bertanya mengenai dakwaan yang mengaitkan bermain badminton pada waktu malam dengan serangan jantung, terutamanya apabila kes kematian mengejut selepas bersukan tular di media sosial.
Perlu dijelaskan bahawa badminton bukan punca langsung serangan jantung, sama ada dimainkan pada waktu siang atau malam.
Isu sebenar ialah konteks fisiologi tubuh, tahap kesihatan individu dan cara aktiviti itu dilakukan.
Badminton ialah sukan berintensiti sederhana hingga tinggi yang memerlukan lonjakan pantas, pergerakan mendadak dan degupan jantung yang tinggi.
Bagi individu sihat, ia sangat bermanfaat, namun bagi mereka yang mempunyai masalah jantung tersembunyi, ia boleh menjadi pencetus kepada kejadian serius.
Perkara penting yang sering diabaikan ialah waktu malam secara semula jadi ialah waktu untuk tubuh berehat dan pulih.
Pada waktu malam, paras hormon cortisol sepatutnya rendah, manakala hormon rehat seperti melatonin meningkat.
Sistem saraf parasimpatetik yang bertanggungjawab untuk pemulihan sepatutnya dominan.
Apabila seseorang melakukan aktiviti intensiti tinggi pada waktu ini, tubuh dipaksa beralih secara mendadak kepada mod “fight or flight”.
Ini menyebabkan lonjakan adrenalin dan cortisol, peningkatan kadar denyutan jantung serta tekanan mendadak ke atas sistem kardiovaskular.
Keadaan ini boleh menjadi berisiko, terutama jika dilakukan secara tiba-tiba tanpa persediaan yang mencukupi.
Tambahan pula, kebanyakan aktiviti badminton waktu malam dilakukan selepas seharian bekerja, dalam keadaan keletihan fizikal dan mental, kurang tidur, serta tahap stres yang tinggi.
Ramai juga tidak cukup minum air, mengalami ketidakseimbangan elektrolit, atau bermain ketika perut kosong atau terlalu kenyang.
Semua faktor ini boleh meningkatkan risiko aritmia jantung, kekejangan otot jantung, atau penurunan tekanan darah secara mendadak.
Dalam individu yang mempunyai saluran darah jantung yang sudah sempit akibat kolesterol, diabetes atau darah tinggi, tekanan tambahan ini boleh mencetuskan serangan jantung secara tiba-tiba.
Hakikatnya, ramai individu tidak sedar bahawa mereka mempunyai penyakit jantung yang senyap.
Penyempitan salur darah berlaku perlahan-lahan selama bertahun-tahun tanpa gejala jelas.
Apabila jantung dipaksa bekerja keras secara mendadak, seperti ketika bermain badminton dengan intensiti tinggi pada waktu malam, masalah yang sedia ada ini “terdedah”.
Ini menyebabkan tanggapan bahawa badminton pada waktu malam adalah punca, sedangkan ia hanyalah pencetus kepada penyakit yang sudah wujud.
Faktor risiko seperti merokok, obesiti, kurang aktiviti fizikal harian, kolesterol tinggi dan kawalan gula yang lemah jauh lebih berperanan.
Kesimpulannya, isu utama bukan badminton atau waktu malam semata-mata, tetapi ketidakseimbangan antara aktiviti dan keperluan tubuh untuk berehat.
Waktu malam sepatutnya digunakan untuk pemulihan, menurunkan cortisol dan menenangkan sistem saraf.
Jika mahu bersukan pada waktu malam, pastikan intensitinya sederhana, pemanasan dilakukan dengan betul, hidrasi mencukupi dan rehat selepas aktiviti diutamakan.
Bagi individu berumur 40 tahun ke atas atau mempunyai faktor risiko jantung, pemeriksaan kesihatan sebelum melakukan sukan intensiti tinggi sangat digalakkan.
Badminton kekal baik untuk kesihatan jantung jika dilakukan dengan bijak, berperingkat dan selari dengan ritma semula jadi tubuh.
Dr Zubaidi Hj Ahmad
Doktor. Coach Wellness Afiyat
Dr Zubaidi Hj Ahmad Menulis Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman
