BANTU PALESTINE DENGAN JIHAD EKONOMI
BANGI, 16 Julai 2014.
Jihad terhadap Palestin yang terutama (awla) bagi waktu sekarang adalah dengan jihad ekonomi, kata Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) Prof Madya Dr Aznan Hasan.
“Jihad itu luas dalam pelbagai bentuk dan suasana. Dalam konteks kita di Malaysia, kita boleh melaksanakan jihad ekonomi untuk mereka.
“Kita boleh menggerakkan segala usaha dan kerahan dalam kalangan kita untuk memberi sumbangan antaranya bantuan kewangan, makanan, perubatan serta kempen memboikot segala produk berkaitan Israel.
“Ini kerana jihad fizikal mungkin kurang bersesuaian untuk waktu ini,” ulas beliau berkenaan persoalan jihad yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin.
Serangan zalim dan ganas tentera kerajaan Israel ke atas bumi Gaza ini masih lagi berterusan tanpa ada noktah penghujungnya sejak tahun 2006.
Segala kezaliman dan kekejaman dilakukan Israel adalah untuk memaksa rakyat Palestin tunduk dan mengiktiraf kerajaan haram tersebut.
Sehubungan itu, Majlis Ulama ISMA (MUIS) hari ini menyeru pihak kepimpinan umat Islam di seluruh dunia agar segera menunjukkan sikap berani untuk mengutuk tindakan Israel yang menyerang dan mengepung bumi Gaza.
“Mereka perlu menggerakkan OIC dan segala agensi lain untuk menggesa PBB mengutuk serangan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Israel,” kata Dr. Aznan. -sumber
Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyeru umat Islam di Malaysia khususnya dan diseluruh dunia amnya untuk:-
Umat Islam di Malaysia hedaklah terus mendoakan bagi saudara kita di Gaza dan Palestin sehingga mereka beroleh kemenangan, penuhi malam-malam 10 akhir Ramadan ini dengan qunut nazilah supaya Allah SWT memberi kekuatan pada umat Islam dan menhancurkan segala perancangan musuh.
Umat Islam di Malaysia perlu tingkatkan keprihatinan dengan menjadikan isu ini sebagai isu utama kita bersama, penuhi perbincangan mengenai isu ini di setiap ruang-ruang yang ada, di setiap ucapan, ceramah dan perbualan yang berlaku, moga dengan itu umat Islam di Malaysia akan cakna perihal yang berlaku kepada saudara-saudara kita di seluruh dinia.
Umat Islam di Malaysia perlu menggerakkan segala usaha dan kerahan dalam memberi sumbangan dalam apa jua bentuk samada kewangan, media massa, perubatan dan seumpamanya kepada rakyat Palestin.
Umat Islam di Malaysia hendaklah sedar bahawa strategi musuh-musuh untuk menghancurkan Islam tidaklah terhad setakat di Gaza atau Palestin bahkan ianya meliputi seluruh dunia termasuk di tanah air kita Malaysia. Pertembungan hak dan batil adalah janji Allah SWT.
Umat Islam di Malaysia hendaklah menjadikan Hamas dan pejuang Palestin sebagai qudwah dari segi kegigihan dan kesungguhan mereka dalam memelihara negara mereka daripada anasir-anasir luar yang cuba mengancam serta menghancurkan negara mereka.
Umat Islam di Malaysia hendaklah menjadi agen penyatuan umat untuk membina semula kekuatan dan menolak segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan pertelingakahan. Hanya dengan kesatuan dan perpaduanlah, keizzahan serta keagungan Islam itu akan kembali yang akan membawa kepada pembebasan Palestin.
Kepada kepimpinan umat Islam di seluruh dunia kami menyeru supaya:-
1. Segera menunjukkan sikap berani dengan mengutuk tindakan Israel menyerang dan mengepung bumi Gaza.
2. Segera memberikan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada saudara kita di sana khususnya perubatan dan makanan.
3. Menggerakkan OIC dan segala agensi lain untuk menggesa PBB mengutuk serangan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Israel.
Berkenaan isu untuk jihad secara fizikal ke Palestin, Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian:
Sesungguhnya jihad itu luas dalam pelbagai bentuk dan suasana. Dalam konteks kita di Malaysia, antara Jihad terhadap Palestin yang terutama (awla) bagi waktu sekarang dan keadaan sekarang adalah dengan jihad ekonomi seperti dengan kewangan, bantuan untuk saudara kita disana serta kempen untuk memboikot segala produk berkaitan Israel. Adapun jihad fizikal mungkin adalah kurang bersesuaian untuk waktu ini.
Juga dalam konteks kita di Malaysia, antara jihad yang terutama ialah mempertahankan negara kita daripada segala ancaman ideologi dan kefahaman menyeleweng yang terus mengancam kemulian Islam di dalam negara kita, juga mempertahankan kedudukan Islam daripada diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
Ini adalah antara jihad kita yang terutama, yang sepatutnya kita berganding bahu mempertahan serta memperjuangkannya.
Semoga Allah merahmati roh para syuhada’ yang telah gugur dan memberikan kelepasan serta kemenangan kepada para pejuang di bumi Gaza dan Palestin seluruhnya.