APAKAH CIRIT-BIRIT BERBAHAYA?

Cirit-birit atau diarrhoea berlaku apabila najis yang kita keluarkan menjadi cair. Oleh itu definasi cirit-birit adalah apabila kita mengeluarkan najis yang lembut atau berbentuk cecair melebihi tiga kali setiap hari.

Ia berlaku apabila usus kita tidak dapat menyerap cecair yang kita makan atau minum dengan sebaiknya atau usus kita mengeluarkan lebih banyak air ke dalam rongga usus akibat keradangan atau jangkitan kuman. Najis yang dikeluarkan bukan saja kerap, tetapi dalam bentuk cecair tetapi juga mungkin terdapat sedikit darah.  

Dalam kebanyakan kes, cirit-birit ini bersifat sementara dan tidak perlukan rawatan yang spesifik. Pesakit perlu pastikan minum air secukupnya, jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting terutamanya ginjal.

TANDA-TANDA CIRIT BIRIT YANG TERUK

Cirit-birit yang teruk akan menyebakan gejala berikut :

  1. Sakit perut yang kuat
  2. Loya dan muntah
  3. Demam
  4. Kekembungan
  5. Rasa lemah (akibat kekurangan air) adalah tanda bahaya.

Kekurangan air dalam tubuh (dehidrasi) juga menyebabkan :

  1. Rasa haus
  2. Tidak bertenaga
  3. Kurang buang air kecil
  4. Pening kepala
  5. Kulit menjadi kering

Bagi kanak-kanak dan bayi, tenda dehidrasi ini apabila kelihatan :

  1. Kering mulut
  2. Kurang kencing
  3. Mudah menangis tanpa air mata
  4. Mata, abdomen dan ubun-ubun yang tenggelam

Beri perhatian yang lebih jika ia berlaku pada orang tua dan kanak-kanak, terutamanya bayi.

PUNCA-PUNCA CIRIT BIRIT

Banyak punca cirit-birit, antaranya :

  1. Jangkitan kuman
  2. Perubahan pemakanan (terutama bila melawat negara asing)
  3. Masalah food intolerance terutama pada susu, produk tenusu dan sorbitol dan mannitol
  4. Pengambilan alkohol
  5. Masalah usus seperti penyakit keradangan usus (ulcerative colitis or Crohn’s disease), penyakit coeliac disease atau irritable bowel syndrome (IBS).
  6. Masalah penghadaman
  7. Pembedahan usus
  8. Ubat-ubatan terutamanya antibiotic, antacid
  9. Jangkitan virus rotavirus pada kanak-kanak

RAWATAN CIRIT BIRIT

Pesakit harus mendapatkan rawatan segera jika:

  1. Kanak-kanak atau orang tua yang mengalami dehidrasi
  2. Cirit-birit melebihi 5 hari
  3. Terhadap darah dalam najis atau lendiran yang pekat
  4. Ada tanda demam, bintik-bintik pada kulit, rasa sakit perut yang kuat
  5. Ada muntah, rasa lemah badan
  6. Berat badan berkurangan akibat cirit-birit
  7. Sembelit dan cirit-birit bersilih ganti
  8. Cirit-birit ketika melakukan lawatan ke negara asing
  9. Cirit-birit akibat pengambilan ubat-ubatan atau suplemen
  10. Ada masalah penyakit kronik seperti diabetes, kegagalan jantung dan kegagalan ginjal
  11. Ada tanda-tanda dehidrasi

Selalunya orang dewasa tidak memerlukan rawatan untuk diarhoea, kecuali atas sebab-sebab di atas. Apa yang penting adalah kekal dalam keadaan hidrasi yang mencukupi. Jika mengalami cirit-birit teruk, pesakit tidak cukup diberikan air kosong. Mereka memerlukan Oral Rehydration Solution (boleh didapati dari farmasi) yang mengandungi mineral yang hilang ketika proses cirit-birit. Jika tidak dapat minum kerana kerap muntah atau mengalami dehidrasi yang teruk, pesakit memerlukan rawatan intravenous.

Ketika cirit-birit, cuba elakkan pengambilan kafein, alkohol atau makanan yang berminyak, terlalu manis atau susu dan prosuk tenusu.

Ubatan untuk meredakan cirit-birit boleh digunakan. Namun begitu ia tidak sesuai digunakan untuk pesakit yang mengalami dehidrasi yang teruk, atau kanak-kanak (termasuk bayi) dan orang tua tanpa pemantauan dari doktor. Ubat-ubat ini boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk jika cirit-birit disebabkan oleh jangkitan kuman. Antara ubat-ubatan itu adalah loperamide (Imodium) atau Lomotil.

Antibiotik hanya diberikan jika disebabkan oleh jangkitan kuman. Jika mengalami cirit-birit yang kronik, contohnya pesakit IBS, boleh amalkan suplemen probiotik.

Cirit-birit juga mengganggu penyerapan ubat-ubatan sintetik yang diberikan kepada pesakit metabolik yang kronik seperti pesakit diabetes, hipertensi dan pesakit yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Ini adalah panduan am bagi pesakit yang mengalami cirit-birit. Rujuk doktor yang merawat jika mengalami cirit-birit.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!