Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Sejauh Mana Ketepatan Ultrasound Mengesan Jantina?

Sejauh Mana Ketepatan Ultrasound Mengesan Jantina?

Doktor, kenapa doktor cakap bayi saya perempuan. Minggu lepas buat scan di klinik lain, doktor kata lelaki!”

Fuh… berpeluh saya mahu jawab soalan itu. Apakan tidak, saya tidak tahu judgement yang dilakukan oleh doktor lain. Mungkin pada masa itu dia melihat ada petunjuk-petunjuk yang membawa kesimpulan bahawa bayi itu lelaki.

Saya buat scanning sekali lagi. Berulang-ulang kali. Masih lagi mencari petunjuk yang dilihat oleh doktor ’di klinik lain’ itu. Setelah 15 minit berusaha untuk memuaskan hati ibu muda itu, akhirnya saya menyerah mengangkat bendera putih.

Saya tidak jumpa imej bayang zakar yang seharusnya ditemui di layar mesin ultrasound yang membawa petunjuk bayi itu lelaki. Akhirnya saya menetapkan pendirian. Saya mengambil buku antenatal clinic yang berwarna merah dan menulis : mungkin perempuan.

Rakan FB saya, Amin Ledang bertanya “ada kebarangkalian tak, apa yang dijangka dalam ultrasound tak sama semasa bersalin?”

Bukan Amin Ledang saja. Itulah soalan yang kerap saya terima dari ibubapa yang ter’over-excited’ bila diberitahu jantina bayi mereka, tetapi apabila dilahirkan, berlainan jantina pula. Lain yang diberitahu, lain pula yang diterima.

Doktor yang menyambut kelahiran diajukan pelbagai soalan akibat ”kesalahan” yang dilakukan oleh doktor yang lain. Akhirnya doktor yang menyambut bayi membalas, ”doktor yang buat scan tu kurang bijak”. Jawapan terbaik untuk melepaskan diri.

Dalam kes ini, ibubapa bukannya tidak dapat menerima ketentuan takdir, tetapi ibubapa mempersoalkan kesahihan atau kebolehan teknologi ultrasound.

Seorang professor pakar perbidanan pernah berseloroh ketika memberikan ceramah, “Ultrasound at the hand of an incapability person is AUTA-SOUND”. Tepat sekali kata-kata beliau, ultrasound sepatutnya bertujuan untuk mencerahkan persoalan dan tandatanya, tetapi telah menjadi alat pembohongan dan mengeruhkan kekeliruan.

 

Ketepatan ultrasound

Teknologi ultrasound telah membantu para doktor melakukan pemeriksaan ke atas ibu yang hamil untuk mengetahui kesihatan bayi. Ia boleh dilakukan seawal usia kehamilan enam minggu untuk mengesahkan kehamilan. Namun bagi usia kehamilan yang terlalu awal, terlalu sukar untuk menentukan jantina bayi.

Ia biasa dilakukan pada usia kehamilan antara 18-22 minggu. Pada usia begini, pembentukan alat kelamin, (zakar bagi lelaki dan bibir labia dan clitoris bagi perempuan) telah matang dan mudah dilihat imejnya melalui bayangan ultrasound.

Selain meninjau jantina, ultrasound juga boleh menentukan umur bayi, mengagak tarikh kelahiran, dan mengesan sebarang kecacatan fizikal yang dialami oleh bayi.

Jadi apakah faktor yang menentukan ketepatan jangkaan yang diukur oleh ultrasound? Atau berapa tepat jantina anak yang diberitahu oleh doktor yang membuat scanning itu?

Saya kadang kala berasa kasihan apabila seorang ibu yang agak ‘kecewa’ setelah mendapati jantina anak yang diberitahu doktor tidak sama dengan jantina anak yang dilahirkan. Isu ini saya telah kupas dalam artikel sebelum ini. (Rujuk http://drzubaidi.com/blog/?p=988)

Dahulu peralatan ultrasound amat sukar didapati. Hanya orang benar-benar bertauliah dan berkebolehan saja yang berpeluang menggunakannnya. Mereka yang ‘pakar’ dalam melakukan scanning biasanya telah menjalani latihan dan telah melakukan pemeriksaan ke atas beribu-ribu pesakit.

Kini, doktor yang baru sahaja tamat menjalankan latihan housemanship mengaku berkebolehan melakukan scanning. Di kalangan klinik-klinik swasta, banyak yang telah dilengkapi oleh peralatan ultrasound itu. Namun saya amat sangsi jika doktor-doktor ini amat berkebolehan melakukan scanning.

Malah ada doktor yang tidak memegang MBBS dan MD, iaitu doctor alternative dari homeopathy juga melakukan ujian ultrasound. Agaknya ini semua semangat Malaysia Boleh!, walaupun tidak berpengetahuan tetapi boleh melakukannya.

Sebenarnya banyak faktor yang mempengaruhi ketepatan pemeriksaan ultrasound yang dibuat. Ini kerana penentuan jantina bayi adalah berdasarkan bayangan imej alat kelamin (zakar untuk lelaki atau clitoris/labia untuk perempuan)

Antaranya ialah umur kehamilan. Tidak ada gunanya berjumpa doktor untuk melihat jantina bayi jika wanita itu baru saja kelewatan haids baru seminggu.

Masa yang sesuai antara 18-22 minggu ketika pembentukan alat kelamin bayi itu semakin matang. Selepas 22 minggu, selalunya berlaku pertindihan anggota bayi yang menyukarkan melihat alat kelamin bayi.

Bayi semakin membesar dalam ruang rahem yang terhad, jadi anggota tubuh seperti tangan dan kaki terpaksa berlipat dan menyukarkan usaha melihat zakar dan clitoris.

Selain itu peralatan ultrasound yang digunakan juga memainkan peranan yang penting. Ada doktor yang masih menggunakan peralatan ultrasound yang lama.

Terdapat banyak perbezaan antara imej dari ultrasound 2D dan 3D. Imej 3D adalah imej yang terang dan seakan-akan kita melihat fizikal bayi yang real. Sementara imej 2D hanyalah imej bayangan dari bayi itu. Ia seperti imej bayangan pokok yang berada di tanah apabila matahari menyuluh pokok itu dari belakang. Doktor tidak melihat imej yang real.

Tanpa latihan dan pengalaman, sudah tentu doktor akan tersilap mentafsirkan imej bayangan yang dilihat. Malah bayangan imej yang disangkakan zakar itu mungkin adalah bayangan imej jari bayi itu.

Kedudukan bayi juga memainkan peranan penting. Jika bayi berada dalam kedudukan normal, iaitu kepala di bawah, punggung dan kemaluannya akan berada di dada si ibu. Ini memudahkan melihat alat kelamin.

Berbanding dengan kedudukan songsang di mana punggung dan alat kelamin bayi berada di dalam tulang punggung (pelvic bone) ibu. Amat sukar untuk melihat alat kelamin.

 

Mencari petunjuk-petunjuk itu

Sebenarnya bayangan imej bagaimana yang cuba dilihat oleh doktor?

Jadi sebelum terlalu percaya kepada doktor yang melakukan ujian ultrasound, elok juga saya berikan beberapa fakta yang elok diperbincangkan dengan doktor.

Untuk menentukan jantina bayi lelaki, doktor akan cuba melihat petunjuk iaitu bayangan zakar. Ia berada di bahagian hadapan punggung bayi. Zakar itu kecil dan berada di antara lipatan kedua-dua peha bayi itu. Inilah cabarannya.

Jika peralatan ultrasound yang digunakan sudah tidak berfungsi dengan baik, doktor pula kurang pengalaman, bayi bergerak-gerak, atau umur bayi masih awal,  maka ini semua akan menggagalkan usaha mencari bayangan zakar.

Doktor juga cuba melihat petunjuk “turtle sign” bagi mengesahkan jantina bayi itu lelaki. Ia sebenarnya adalah bayangan hujung batang zakar terlunjur keluar dari kerandut zakarnya.

Bagi pengesahan bayi yang mempunyai jantina perempuan, doktor akan mencari bayangan clitoris dan labia. Clitoris adalah kelentit yang berada di bahagian atas di antara dua labia (bibir) kemaluan.

Bayangan ini dinamakan sebagai “Hamburger Sign” kerana clitoris yang berada di antara bibir labial kelihatan seperti hamburger iaitu bibir labia kelihatan seperti rotinya dan clitoris kelihatan seperti daging hamburger.

Cara yang lebih baik menentukan jantina ialah menggunakan peralatan ultrasound 3D yang imejnya lebih jelas. Kesilapan mentafsir imej bayang alat kelamin bayi dapat diatasi kerana melihat imej 3D seolah-olah melihat sendiri zakar dan clitoris/labia bayi itu. Imejnya amat jelas.

Walau bagaimana pun tidak semua klinik dan hospital mempunyai peralatan yang canggih ini. Kos pemeriksaannya juga amat mahal. Namun jika ibubapa berkemampuan, tentu sahaja imej yang menarik ini mahu disimpan di album gambar anak.

Wa allahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (050910)

3 comments

  1. assalamuaalaikum wbt..

    pd sy,jantina itu bukanlah 1 hal yg perlu di isukn oleh ibu2 hamil sekiranya terdapat percanggahan dlm penentuan jantina.
    yg paling penting adalah kesihatan anak itu.bg sy & suami, jantina anak itu sama sahaja kerana mereka adlah amanah dr ALLAH SAW..cukuplah anak yg dilahirkan itu cukup sifat & sihat tubuh badan..

    TQ,,

  2. hye… nak tanye… adakah kemungkinan ultrasound x dpt mengesan kehadiran baby dlm rahim..? apakah sebab2 nya.? berapa peratus ketepatan ultrasound yang d lakukan pada setiap wanita.

  3. salam dr sy ada kemusykilan pada usia kehamilan 38 minggu msih bolehkah kita mengetahui jantina bayi dgn tepat?

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: