Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Rawatan Untuk Kulit Kaki Kering dan Pecah
Rawatan Untuk Kulit Kaki Kering dan Pecah

Rawatan Untuk Kulit Kaki Kering dan Pecah

Kembali lagi dengan isu kecantikan. Bagi lelaki, kulit kaki yang kering dan pecah tidak menjadi hal penting. Mereka tidak akan datang mendapatkan rawatan sehinggalah kaki mereka  yang merekah dan pecah itu dijangkiti kuman dan menyebabkan kesakitan.

Bagi wanita pula, kulit kaki yang kering dan pecah memberikan kesan kosmetik yang tidak menyenangkan. Mereka berasa malu berjalan dengan kaki yang sedemikian apatah lagi jika duduk bersempuh bersama-sama dengan rakan. Pasti ada rakan yang akan menegur.

Doktor, kulit yang kering dan merekah bahaya ker?”

Tiada bahaya bagi kaki yang kering kecuali ia menyebabkan masalah kosmetik. Ia lebih melambangkan seorang wanita itu tidak menjaga kebersihan dan kecantikannya. Pada hal, kaki juga kadang kala merangsang gelora hati suami bila memandang isterinya.  

Bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah yang kronik seperti psoriasis, diabetis mellitus, hypothyroidism atau eczema, kekeringan pada kulit kaki selalunya disebabkan oleh kekurangan air yang sepatutnya berada pada lapisan kaki.

”Betulkah kita perlu minum air yang banyak untuk mengelakkan kaki yang kering?”

Kulit kaki yang normal mempunyai satu lapisan yang mengandungi air cukup. Lapisan ini penting untuk menjadikan kulit kaki lembut dan cantik. Oleh itu jika lapisan ini mengandungi air yang kurang, kaki akan menjadi kering dan kadang kala menjadi gatal.

Jadi pastikan air yang kita minum itu mencukupi. Di samping itu kaki yang terdedah ketika berjalan atau bekerja juga menyebabkan kaki menjadi kering.

Selain dari kulit kaki yang kering, tumit kaki juga boleh menjadi kering dan pecah. Malah tapak kaki juga boleh manjadi keras pada bahagian-bahagian tertentu jika tidak dijaga dengan baik. Kekerasan seperti ini dinamakan callus, akibat lapisan kulit tapak kaki menjadi mati. Jika dibiarkan ianya akan menyebabkan kesakitan apabila berjalan. 

Kulit kaki saya ini memang sukar dirawat, doktor. Sudah pelbagai ubat dan rawatan saya usahakan. Namun ianya tidak berkesan

Saya akui sesetengah penyakit sukar dirawat. Sebagai contoh, panau dan kurap mengambil masa antara 2-6 minggu untuk betul-betul sembuh. Jika rawatan tidak diberikan secukupnya, jangkitan yang disebabkan oleh fungus ini akan berulang. Oleh itu bersabarlah ketika merawat penyakit.

Ada pula sesetengah pesakit yang mmpunyai kaki yang lebih kering dari orang lain. Ia disebabkan oleh faktor baka. Jika kita perhatikan kaki adik beradik kita juga kering, bermakna pengaruh baka menyebabkan kulit kita mempunyai lapisan yang mengandungi sedikit air dan mudah kering. Namun ia bukanlah alasan untuk membiarkannya. Jika kulit kaki tidak dijaga, ia boleh menyebabkan masalah jangkitan kuman dan fungal pula.

Bagitu juga jika seseorang bertambah umurnya, kulit kaki akan akan kehilangan keupayaan mengekalkan lapisan kulit yang mengandngi air ini.

”Ada setengah petua yang saya baca di internet tidak menggalakkan kita merendam kaki dengan air panas. Betul kah begitu?”

Saya berpendapat tabiat merendamkan kaki dengan air panas akan menjadikan kulit kaki bertambah kering. Ini kerana air panas akan merosakkan lapisan kulit yang mengandungi air dan air mudah tersejat dari permukaan kulit.

Merendam kaki menggunakan air panas hanya sesuai jika seseorang mengalami jangkitan fungal di kaki. Selain merendam air menggunakan basin, pesakit yang mengalami jangkitan fungal boleh merendamkan kaki mereka dalam kolam air panas semula jadi (yang mengandungi sulfur).

Selain merendam kaki dalam air panas, tabiat mandi menggunakan air panas juga sedikit sebanyak akan menyebabkan kekeringan kaki bertambah teruk terutama jika mandi dalam jangka waktu yang lama.

”Adakah kaki bersisik dianggap sebagai kaki yang kering?”

Kekeringan pada kulit kaki bermakna kulit kaki kita menjadi kasar dan kelihatan kering. Selain itu dari kekeringan pada kaki dapat dilihat sebagai kaki yang seakan-akan bersisik (scaling), kemerah-merahan  dan merekah.

Rekahan pada kaki menunjukkan tahap dehidrasi kulit yang amat teruk. Liang-liang rekahan ini akan membolehkan kuman memasuki ke dalam kulit dan menyebabkan jangkitan kuman.

Doktor, saya menghidap eczema, adakah kekeringan pada kaki sebenarnya disebabkan oleh eczema?”

Apa yang saya bincangkan di sini ialah kekeringan kaki yang bukan disebabkan oleh penyakit kronik seperti eczema, hypothyroidism, diabetes mellitus atau yang lainnya.

Bagi kaki yang begini, haruslah berjumpa dengan doktor pakar dan mendapatkan ubat yang tertentu. Mengamalkan tips-tips yang diberikan hanya membantu mengurangkan kegatalan, namun bukannya mengubati penyakit itu. Jadi jangan samakan kegatalan kaki yang disebabkan oleh eczema dengan kegatalan yang disebabkan oleh dehidrasi.

Bolehkah saya membasuh kaki saya yang gatal dengan dettol?”

Cara terbaik merawat kulit kering ialah dengan membasahkan kaki ketika mandi dengan menggunakan air yang biasa. Gunakan sabun yang sedikit ketika mencuci kaki. Sabun dettol sesuai digunakan jika terdapat nanah akibat jangkitan kuman dan ia memedihkan. Pada pendapat saya, menggunakan sabun dettol pada kulit yang kering akan menambahkan kekeringan pada kulit.

Setelah kaki dikeringkan dengan tuala setelah mandi, sapukan krim pelembap (moisturizer). Lakukannya setiap hari. Lama kelamaan kulit akan menjadi lebih lembut. Ia sesuai bagi kaki yang tidak terlalu kering. Malah wanita yang mempunyai kaki yang normal juga boleh mengamalkannya.

Cara mengurangkan kelembapan air di kulit kaki:

  • Elakkan memakai kasut tanpa stokin atau menggunakan kasut yang yang tidak bertutup. Udara yang panas dan kering akan menyebabkan kulit bertambah kering.
  • Bila mandi gunakan air yang suam atau sejuk. Jangan menggunakan air panas terutama  ketika membasuh kaki. Air panas menyebabkan air di kulit kaki tersejat.
  • Jangan mandi dan membersihkan kaki berlebih-lebihan kerana akan menanggalkan kelembapan asli pada kulit kaki.
  • Elak gunakan sabun yang terlalu kuat seperti dettol dan seumpamanya.
  • Amalkan merendamkan kaki dalam air yang sejuk atau suam selama 20 minit sebelum tidur kemudian sapukan moisturizer. Selain dari itu boleh juga gunakan losyen kaki yang mengandungi emollient atau aloe vera setiap malam. Malah petroleum jelly juga boleh digunakan untuk menghaluskan kulit kaki.
  • Jika mengalami eczema, psoriasis, atau penyakit kulit yang serius, berjumpalah doktor.

”Doktor masalah saya ialah kaki saya mengalami ketuat, dan amat sakit jika saya berjalan”

 

Ketuat atau wart di tapak kaki sememangnya menyakitkan terutama apabila memijak pada lantai. Ianya disebabkan oleh virus human papilloma (HPV). Ketuat ini jika dirawat secara salah dan pecah, virus HPV boleh memasuki ke dalam kulit dengan lebih dalam lagi.

Rawatan terbaik ialah berjumpa dengan doktor. Namun untuk melegakan kaki yang sakit akibat ketuat, boleh cuba rawatan ini seminggu sekali.

  1. Hancurkan enam pil aspirin (yang boleh dibeli dari farmasi) dan campurkan dengan sedikit air dan air limau untuk jadikannya cecair yang likat.
  2. Sapukannya pada kawasan yang ada ketuat.
  3. Masukkan kaki dalam beg plastik dan balut menggunakan tuala yang direndam dengan air suam.
  4. Duduk dan angkat kaki selama 10-15 minit.
  5. Buka tuala dan beg plastik. Sental ketuat yang keras menggunakan kain yang agak kasar. Pada masa itu bahagian itu telah menjadi lembut dan mudah tanggal.
  6. Kemudian cuci kaki dengan menggunakan air yang suam atau sejuk.

Petua yang saya berikan adalah untuk masalah kekeringan kulit kaki yang minimum. Jika petua-petua ini tidak berkesan, berjumpa dan mintalah nasihat mana-mana doktor atau pakar kulit dermatologist.

Allahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (180111)

21 comments

  1. Doktor…tumit sebelah kiri kaki saya sentiasa sakit ketika bangun pagi memijak lantai utk berjalan. Dan kulit tapak kaki saya jua mempunyai calar2 seperti ditorek dan keras. Apakah caranya utk saya merawat penyakit tapak kaki saya ini dan apakah nasihat doktor

  2. Doktor saya ingin bertanya pada doktor menganai penyakit kulit tapak dan tumit kaki ibu saya yang sentiasa terasa gatal-gatal,kering dan pecah-pecah.sebelum ini ibu saya memang pernah berjumpa dengan doktor pakar kulit,tetapi ubat yang diberikan tidak berkesan.oleh itu disini saya sangat-sangat berharap doktor dapat memberi pandangan yang lain terhadap penyakit kulit kaki ibu saya. terima kasih kerana sudi mendengar dan memberi pandangan.

  3. sy nk tnye jika ketuat yg hampir pulih bagaimana bentuk nyer?? adkah di tempat ketuat tersebut berlubng dn sedikit berdrh ??? adkah ia mengeluarkan sejenis air jernih tapi yg pasti bukn nanah…

  4. apa yang berlaku sekiranya ketuat pecah..??

  5. Norfariza Mohd Isa

    salam doctor….sy menpunyai masalah kulit kering…jika sy bkerja ddlm bilik aircond,lagi gatal..ia akan kering dn bersisik putih..apa yg patut sy lakukan???

  6. A’kum Dr, saya mengalami masalah kulit yang menyerang tiba-tiba di ketua celah ketiak, leher dan celah peha sejak sebulan lalu. keadaan seperti kurap, gatal dan berair setelah digaru. Keadaan jangkitan bertambah apabila digaru. Saya tiada sejarah allergic sebelum ini. Saya telah mencuba bermacam oral itraconazole, ketoconazole, single dose fluconazole. bagi rawatan local saya telah mencuba clotrimazole, Miconazole, Turbinafine, termasuk losyen Benzyl benzoate utk scabies! namun ianya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah bertambah, saya telah ke klinik dan menurut doktor ianya bukan psoriasis. Boleh Dr bantu saya. Saya sangat mengharapkan bantuan serta nasihat dari Dr. terima kasih.

  7. As-Salam dr., saya mengalami masalah di bhgn tumit. Tumit saya kerap sakit ketika berjalan, berdiri & duduk. Saya mengalami masalah ini hampir 5 bulan… Boleh tak dr membantu saya….

  8. Salam Dr. sya telah lama mengalami gatal2 pada kedua2 kaki & tapak kaki..kering dan pechah2…dah bnyk cream d cuba dari kelinik yg berbeza…tapi masih belum sembuh juga..dan yg latest ialah Fobancort oinment..tq dr

  9. salam doktor, kulit saya sangat kering.bermula dengan ibu jari melarat hingga keseluruhan jari.sekarang ni dah merebak hingga ke tapak kaki dan tumit kaki.kaki saya tak boleh terkena kipas dan aicond.saya sering membasahkan kaki untuk melembapkan.saya sudah kerap kali ke klinik dan mencuba pelbagai jenis ubat seperti krim jenama scholl,vaseline,betamethasone,aqueous cream,whitefield’s ointment..namun semuanya tidak berkesan dan masalah kering terus merebak. saya perhatikan kekeringan di kaki saya bukan seperti masalah kering kaki biasa..bantu saya doktor..

  10. Salam Dr. kulit di tapak jari kaki saya terbelah seperti dikelar2 disebabkan kesilapan menggunakan alat pengikis. ada masanya bila terlalu lama di tempat berair kulit tersebut akan terasa pedih. ada tak rawatan @ krim yg boleh membuatkan kulit tersebut pulih.

  11. hai doktor. kaki suami saya selalu mengalami ketuat. saya pun tidak faham rawatan atau ubat apa sesuai?doktor pls bagi tahu.

  12. Assalam Dr. Saya mempunyai masalah yang teruk dibahagian tapak kaki dimana kulit tapak kaki saya kering dan pecah-pecah sehingga menyebabkan rasa pedih dan gatal apabila terlalu kering. Saya pernah mendapatkan rawatan diklinik dan doktor tersebut mengatakan kulit saya alah pada bahan pencuci. Pelbagai ubat dan krim telah saya gunakan namun tidak berkesan.Akibatnya keadaan tapak kaki saya bertambah teruk. Kini saya menggunakan krim Tolnaderm.

  13. Doktor,ayah saya menghidap sakit kencing manis.Setiap kali terdapat luka dibadan,pasti luka tersebut lambat sembuh malah ada yg merebak dan menjadi buruk..Baru2 ini ayah memberitahu bahawa tumit kakinya luka dan ayah hanya memakan pil yg diambil dari Klinik tetapi luka tidak sembuh memandangkan ayah byk melakukan aktiviti harian seperti berjalan..Soalan sy,apakah krim antiseptik yg sesuai untuk pesakit diabetic untuk membantu luka cepat sembuh dan terlindung drpd terus buruk?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top