Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » ‘Baby Walker’ tidak membantu bayi berjalan

‘Baby Walker’ tidak membantu bayi berjalan

 

29 

 

“Assalamu alaikum, saya nak bertanya apa pendapat doktor tentang penggunaan ‘baby walker’ untuk bayi yang berumur kurang setahun. Adakah ia selamat ?”

 

Para ibu yang berkerjaya dan mempunyai anak kecil menghadapi satu cabaran yang besar, terutama yang tiada pembantu rumah. Apabila mereka pulang dari kerja dan kepenatan, anak kecil pula meminta perhatian dan merengek minta didukung.

 

Untuk seketika mendukung anak kecil memberikan keseronokan kepada ibu untuk melepaskan rindu. Akhirnya tangan yang letih akan menyebabkan ibu tadi meletakkan semula anaknya.

 

Namun tangisan anak kebosanan bermain di lantai, membuat para ibu memikirkan bagaimana cara untuk mengalihkan perhatian anak dan dalam masa yang sama agar mereka dapat berehat.

 

Baby Walker adalah peralatan untuk para ibubapa meletakkan anak mereka di dalamnya untuk tujuan ini.

 

Penggunaan  ‘walker’ tidak digalakkan untuk bayi. Di Canada, ‘walker’ telah pun diharamkan penjualannya. Di Amerika Syarikat, American Academy of Paediatrics (AAP) telah berkali-kali menyatakan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan penggunaan ‘walker’ malah menggesa agar penjualannya dihentikan.

 

Ini kerana ‘walker’ tidak membantu bayi untuk berjalan dengan lebih cepat malah ia mengganggu dan melambatkan proses belajar berjalan.

 

Ramai yang menyangka dengan penggunaan ‘walker’, otot kaki akan menjadi lebih kuat dan seterusnya membantu bayi berjalan lebih cepat.

 

Ia tidak benar.  Apabila bayi berada dalam ‘walker’, otot kaki yang dikuatkan adalah otot kaki bawah tetapi ia melemahkan otot belakang pinggul dan peha yang penting dalam proses belajar berjalan.

 

Oleh itu bayi yang menggunakan ‘walker’ walaupun boleh berjalan tetapi disebabkan otot pinggul dan peha yang tidak kuat, masalah koordinasi boleh berlaku dan menyebabkan bayi tersebut lebih cenderung untuk jatuh.

 

Selain itu, ‘walker’ juga telah menyebabkan ramai bayi mengalami kemalangan dalam rumah, terutamanya apabila jatuh dari tingkat atas. ‘Walker’ juga menyebabkan bayi mudah mencapai perkakas dalam rumah yang berbahaya seperti soket elektrik, hidngan air panas dan benda tajam yang diletakkan di atas meja.

 

Saya secara peribadi tidak menggalakkan penggunaan ‘walker’tetapi tidak juga menghalang penggunaannya.

 

Nasihat saya adalah pastikan ‘Walker’ yang digunakan mempunyai mempunyai saiz yang lebih besar agar tidak boleh melepasi pintu dan mempunyai sistem brek yang boleh dikunci agar kanak-kanak itu tidak bergerak tanpa pemerhatian kita.

 

Ini akan mengurangkan kemalangan disebabkan oleh ‘Walker’. Selain itu jangan biarkan bayi berada lama di dalam ‘Walker’ kerana usaha mereka secara semulajadi untuk berdiri dan bertatih akan mempercepatkan  kebolehan mereka untuk berjalan.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: