Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Bahan Merkuri dalam Produk Kosmetik

Bahan Merkuri dalam Produk Kosmetik

Ramai wanita di Malaysia masih tidak menyedari tentang kehadiran merkuri dalam produk kosmetik mereka. Malah ramai yang tidak mengetahui kesan merkuri pada kesihatan mereka pada jangka masa yang panjang.

Pada tahun ini sahaja banyak negara telah mengharamkan penggunaan merkuri dalam kosmetik. Merkuri selalunya digunakan dalam kosmetik mencerahkan kulit muka. Ia dijual dalam bentuk krim, losyen atau sabun.

Apa yang membimbangkan ialah kebanyakan produk ini mengandungi antara 2-10% merkuri bagi setiap berat produk itu. Produk kosmetik ini telah dijual di negara Afrika, Asia dan Amerika Latin di mana ia mengandungi kandungan merkuri yang lebih banyak, antara 660-57 000 bahagian dalam sejuta (ppm). (1)

Namun apakah yang menyebabkan ramai wanita di dunia ketiga mengguna produk kosmetik yang merbahaya ini? Mengikut satu kajian seramai 60% pengguna di Asia menggunakan produk ini kerana mereka mahukan kelihatan lebih putih dan muda. Ia juga murah. Malah ada yang menggunakan untuk tempoh masa yang lama, iaitu 20 tahun.

Mereka langsung tidak mengetahui bahawa mereka telah menjadi mangsa bagi lambakan produk kosmetik yang merbahaya.

Pada tahun 2010 saja FDA telah mengeluarkan sebanyak tiga kenyataan amaran untuk menghentikan penjualan 23 produk kosmetik pemutihan kulit yang mengandungi merkuri yang diimport dari China. Ini bermakna pencemaran bahan merkuri sudah mencapai tahap serius.

 

Kesan keracunan merkuri

Keracunan merkuri yang juga dikenali sebagai hydragyria atau mercurialism, ialah suatu penyakit yang disebabkan oleh pendedahan merkuri dan pengumpulannya dalam tubuh pada jangka masa yang lama. Kesan jangka panjang penggunaan produk seperti ini akan menyebabkan kerosakan saraf terutama pada tangan. Pesakit akan berasa gatal dan rasa terbakar pada kulit tangan mereka.

Selain itu, pesakit boleh berasa lemah, mempunyai emosi yang tidak stabil dan mempunyai masalah ingatan yang kurang baik. Ada pesakit mengalami tanda-tanda seperti menggigil, letih, pening, hilang ingatan, dan berasa terlalu penat.(2)

Keracunan merkuri juga akan menyebabkan warna kulit bertukar menjadi pudar (discoloration), dan menggelupas. Ada yang menyebabkan kulit menjadi kelabu. Bagi pengguna yang baru, produk ini akan menyebabkan alahan kulit yang teruk.(3)

Merkuri menghalang penguraian (degradation) biokomia catecholamines dalam tubuh, menyebabkan pengumpulan epinephrine dalam tubuh. Pesakit akan mengalami perpeluhan yang luar biasa (hyperhidrosis). Ada kalanya ia menyebabkan degupan jantung bertambah laju dan tekanan darah menjadi tinggi.

Namun begitu janganlah kita menunggu kehadiran simptom-simptom di atas barulah kita mahu mengelakkan penggunaannya. Ini kerana ramai juga wanita yang mengamalkan produk kosmetik itu tidak mengalami apa-apa tanda, walaupun kandungan merkuri dalam tubuh semakin meningkat. Akhirnya tanpa mereka sedari, telah mengalami kerosakan ginjal.

Sebagai contoh, di Hong Kong kebanyakan (78%) wanita yang menggunakan produk-produk ini tidak mengalami apa-apa masalah, walaupun dua pertiga dari mereka mengalami kenaikan merkuri yang tinggi. Oleh itu ramai yang meneruskan penggunaan produk ini dan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk pada ginjal dan saraf mereka. (4)

Kerosakan ginjal akibat keracunan merkuri telah dilaporkan di China, Hong Kong dan UK. Malangnya ramai di antara mereka yang lambat berjumpa dengan doktor bagi mengesan penyakit ginjal di peringkat awal.(5).(6)

Jadi berhati-hatilah ketika memilih produk kosmetik. Bahan merkuri bukan saja merbahaya jika disentuh malah tiub yang mengandungi kosmetik itu juga boleh mengumpulkan wap yang mengandungi merkuri dan boleh tersejat apabila dibuka penutupnya.

Satu alat yang dinamakan Lumex RA-915 boleh mengesan wap merkuri yang tersejat di udara. Pada keadaan biasa, wap merkuri yang tersejat seharusnya serendah 0.5 nanograms/m3. Namun dalam beberapa kajian yang dilakukan, walaupun tube yang mengisi krim produk kosmetik itu telah ditutup rapat, alat ini mampu mengesan sebanyak 0.002 mg/m3 wap merkuri yang tersejat di udara. Jadi jika terdedah secara berpanjangan, terdapat risiko keracunan merkuri pada pekerja dalam pembuatan di kilang, pembeli, penjual dan orang yang menguruskan penghantaran produk ini.

Wanita hamil harus ingat bahawa kesan toksin merkuri ini bukan saja didapati dengan memegangnya, tetapi juga menghidu wap yang tersejat apabila penutup tiub produk itu dibuka. Apabila berlaku pengumpulan bahan merkuri dalam badan, ia akan menjejaskan perkembangan otak dan sistem saraf janin. Selain itu bahan merkuri juga dipindahkan melalui air susu dari ibu kepada bayi. (7)

Walau bagaimana pun, terdapat banyak produk kosmetik pemutihan kulit yang selamat. Namun ada syarikat kecil yang mengambil jalan mudah dengan tidak menuliskan bahan merkuri dalam labelnya atau melabelnya dengan cara yang mengelirukan, atau menulis dalam bahasa asing yang tidak difahami pengguna. Oleh itu pengguna tidak tahu apa kandungan sebenar produk kosmetik yang digunakan.

Kerajaan haruslah bertindak dengan lebih berkesan untuk melindungi pengguna dari bahan yang berbahaya ini. Di negara-negara Kesatuan Eropah pula, produk kosmetik seperti ini telah lama diharamkan. Namun begitu, dari masa ke semasa terdapat penyebaran secara haram dan ia harus dipantau. Di Amerika Syarikat sendiri, produk kosmetik seperti ini masih dijual di Chicago tanpa disedari pihak berkuasa.

Dalam akhbar Chicago Tribune, badan berkuasa telah menguji 50 produk kosmetik pemutih kulit yang diimport dari China, India, Lebanon, Pakistan dan Taiwan, dan mendapati ia mengandungi paras merkuri antara 6,000 hingga 29,600 ppm.(8),(9)

Kandungan merkuri dalam produk kosmetik seharusnya mempunyai kandungan yang lebih rendah dari 1 per sejuta (0.0001 %) . Itu pun dengan syarat tiada bahan lain yang boleh menggantikan fungsi merkuri dalam produk kosmetik itu. Untuk produk kosmetik yang melibatkan mata, ia seharusnya mengandungi kandungan merkuri yang kurang dari 65 bahagian persejuta mercuri. ( 65 parts per million of mercury).

Ini kerana merkuri adalah bahan yang sangat mudah meresap ke dalam kulit apabila ia disapukan pada permukaan kulit. Oleh itu bagi mereka yang pernah mengamalkan penggunaan produk kosmetik pemutihan kulit muka, disarankan agar memeriksa kandungan merkuri dalam darah mereka.

Kepekatan merkuri dalam darah seharusnya kurang dari 6 μg/L. Namun bagi orang yang gemar memakan ikan kepekatannya boleh mencecah 200 μg/L ini kerana dikatakan terdapat beberapa jenis ikan yang tercemar dengan bahan merkuri.(10).

Jadi sebagai pengguna, kita harus berhati-hati ketika membeli produk kosmetik yang dijual. Ada beberapa tips yang boleh digunakan bagi mengelakkan tertipu.

Pertama kita harus menyemak label pada produk kosmetik. Kedua, pastikan syarikat pengeluar produk adalah syarikat yang mempunyai integriti. Kebanyakan syarikat pengeluar kosmetik yang terkenal dan besar akan menjaga kualiti pengeluaran produk itu.

Kita boleh mengagak produk kosmetik itu mengandungi merkuri dengan menyapukan krim itu pada tapak tangan dan sapukan pada cincin atau barang kemas kita yang diperbuat dari emas. Jika produk itu mengandungi merkuri, krim itu akan menjadi kelabu. Semakin gelap perubahan warna, semakin banyak kandungan merkuri dalam produk itu.

Jika masih was-was bolehlah merujuk pada laman web http://FDA.gov. Badan ini mempunyai panel Pengkaji Bahan-bahan dalam Kosmetik yang ditubuhkan pada tahun1976 oleh Majlis Produk Penjagaan Peribadi (Cosmetic, Toiletry & Fragrance Association), dibantu oleh U.S. Food & Drug Administration (FDA) sendiri dan Kesatuan Pengguna Amerika.

Di Malaysia pemantauan produk kosmetik yang beracun ini belum lagi di tahap yang terbaik. Banyak langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia bukan negara lambakan bahan-bahan bertoksik. Ini semua memerlukan kesungguhan di pihak penguatkuasaan.

 

Wallahu a’lam

 

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (240511)

 

Rujukan :

(1) Sin, KW and Tsang, HF (2003) Large-scale mercury exposure due to a cream cosmetic: community-wide case series. Hong Kong Medical Journal 9:329-334

(2) Harada, M., et al. (2001) Wide use of skin-lightening soap may cause mercury poisoning in Kenya. Science of the Total Environment 269:183-187.

(3)Olumide, Y.M., Odunowo, B.D., and Odiase, A.O. (1991) Regional dermatoses in the African. Part 1. Facial hypermelanosis. International Journal of Dermatology 30(3):186-189.

(4)Sin, KW and Tsang, HF (2003) Large-scale mercury exposure due to a cream cosmetic: community-wide case series. Hong Kong Medical Journal 9:329-334;

(5)Li, S.J., et al. (2010) Mercury-induced membranous nephropathy: clinical and pathological features. Clinical Journal of the American Society of Nephrology 5(3):439-444.

(6)Oliveira, D.B., et al. (1987) Membranous nephropathy caused by mercury-containing skin lightening cream. Postgraduate Medical Journal 63(738):303-304.

(7)Bose-O’Reilly, S., et al. (2008) Mercury in breast milk—a health hazard for infants in gold mining areas? International Journal of Hygiene and Environmental Health 211:615-623.

(8)Gabler, E. and Roe, S. (2010), Some skin whitening creams contain toxic mercury, testing finds. Chicago Tribune, May 18, 2010

(9)”NYC Health Dept. Warns Against Use of “Skin-lightening” Creams Containing Mercury or Similar Products Which Do Not List Ingredients”. January 27, 2005.

(10) Ibrahim D, Froberg B, Wolf A, Rusyniak DE (2006). “Heavy metal poisoning: clinical presentations and pathophysiology”. Clin Lab Med 26 (1): 67–97, viii.

8 comments

  1. Jutaan terima kasih ats info ini DR, sb selama ini sya hanya tau kesan keburukn Hydrokuinin tp tdk tau kesan buruk merkuri adalah lebi brbahaya…so sya akan brht2 bla memilih produk kecantikn…

  2. salam doc…baru2 ini saya ada makan pil tathion tab utk kecantikan…ada sesetengah di panggil tathion tab, tab ex, tab ex upc,tab y dsb.namun kesemuanya tidak diluluskan oleh KKM.disebabkan ragu2 maka saya google kilang produk yg mengeluarkan pil ini.kilang ini dr korea.ternyata tertulis pada description tathion tab adalah gluthation reductase 50mg kegunaannya adalah untuk ‘add-on for acute and chronic hepatities.Alkoholics and drug addictions.’ Bila saya maklumkan kepada seller,mereka marah2 dan menyatakan bahawa mereka sudah menggunakannya 3-4 thn yg lalau xde kesan sampingan…mintak pendapat doc.TQ

    • yeke? sy juga adalah pemakai tab ex..dr sabun sehingga minumannya , RA…tp dh stop coz xdak perubahan pon.skang sy nk try produk dr indonesia A-DHA….sdg mncari kelulusan dari pihak mereka

  3. doctor,sy nk tanya..sy pkai cream muka Hazeline Snow..
    adakah kandungan dlm cream tu mengandungi mercury? apakah nama saintifik mercury dlm proses pembuatan kosmetik?

  4. Assalamualaikum wbt doktor..sy nk tnye mcm mane pulak kalau produk tu ada kandungan <0.1?..adakah ianya mash berbhya pkai doktor…lg satu sy nk tnye doktor pe pandangn doktor pasal produk aura maya?,.please doktor i need ur answer..terima kash doktor..

  5. Assalam Doktor

    saya ingin mengetahui adakah produk kecantikan Tabita yang berasal daripada Indonesia mengandungi merkuri atau tidak?
    Produk ini mendapat sambutan hangat buat masa ini oleh pengguna2 di Malaysia.

    Terima Kasih

  6. Salam doc, saya nak tanya produk Boya Mask q10 dari korea ni bahaya tak?
    ni antara kandungan yang ada di dalam produk tu
    (arbutin, q10 collagen, extra l-glutathione, mineral, aqua, vit.c)
    Yang merisaukan saya, kalau kalau ade bahan yang berbahaya yang tidak disenarai di situ..
    Doktor ada tips tak, cara untuk mengesan bahan-bahan berbahaya dalam produk ni selain mengesan merkuri?
    Harap doktor dapat membantu saya, terima kasih :)

  7. Salam. Doc, sy pun ingin tahu penggunaan produce tabita merbahaya atau tidak.

    Dr Zubaidi: Saya hanya dapat memberikan pandangan jika puan memberitahu saya bahan aktif yang digunakan dalam produk ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top