Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Anak Lahir Tiada Tempurung Kepala – Petanda bagi Neural tube defects (NTD)
Anak Lahir Tiada Tempurung Kepala – Petanda bagi Neural tube defects (NTD)

Anak Lahir Tiada Tempurung Kepala – Petanda bagi Neural tube defects (NTD)

Ya Allah, lahirkan ia daripada kandunganku dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera. Ya Allah, jadikanlah ia sihat sempurna, Ya Allah, elokkanlah perangai (akhlak), fasihkanlah lidahnya dan perelokkanlah suaranya untuk membaca hadis dan al-quran dengan berkat Nabi Muhammad s.a.w“.

Doa di atas adalah doa yang sering dianjurkan untuk dibaca selalu oleh ibu-ibu yang hamil. Tiada kekuatan dan daya usaha yang boleh mengatasi qadar Allah kecuali doa kerana Allah sajalah yang mampu melakukan apa saja untuk kebaikan bayi yang dikandung.

Sebagai ibubapa yang bertanggungjawab kita telah cuba mengusahakan yang terbaik untuk anak-anak. Namun siapa yang dapat menjamin, bayi yang bakal dilahirkan nanti akan menjadi anak yang sempurna dan sihat.

Saya baru kehilangan seorang putera ketika dilahirkan” kata seorang kenalan yang baru saya jumpa. Beliau mula mesra dan  bertanya apabila saya memperkenalkan diri sebagai doktor.

Sungguh mengerikan, bayi saya tidak ada tempurung kepala. Saya terima segala qada Allah. Namun apa agaknya punca kematian anak saya sejak dari dalam perut ibunya lagi?”

Saya terkejut. Tak ada tempurung kepala?

 

Bermula dari peringkat perkembangan janin

Bila beliau menunjukkan gambar anaknya sebelum ditanam untuk dikuburkan, barulah saya menyedari anaknya menghidapi anencephaly. Tengkorak kepalanya tidak terbentuk dengan sempurna. Ia disebabkan oleh masalah ketika pertumbuhan di peringkat janin lagi.

Musibah sebegini boleh berlaku pada mana-mana janin atau bayi dalam kandungan. Walaupun ianya jarang berlaku, namun keadaan sebegini akan menyebabkan kecacatan bila bayi itu semakin membesar dan memasuki alam dewasa.

Kecacatan itu bukan setakat tiada tempurung kepala saja. Malah benjolan di leher atau mana-mana tempat di bahagian tulang belakang merupakan keadaan penyakit yang sama. Ia dinamakan sebagai Neural Tube Defect (NTD).

NTD adalah kecacatan janin yang bermula di awal perkembangan bayi. Pada kehamilan yang normal, ketika usia kehamilan antara 3-4 minggu, terdapat beberapa sel yang spesifik dalam embryo akan bergulung dan bercantum hujungnya bagi membentuk satu saluran tiub yang dinamakan neural tube.

Neural tube inilah akan berkembang dan kemudiannya akan menjadi saraf tunjang dan otak. Jika neural tube ini tidak dibentuk dengan baik, berlakukalah kecacatan neural tube yang boleh dilihat di sepanjang kepala ke hujung saraf tunjang.

Agaknya boleh tak masalah ini dicegah? Ada kemungkinankah anak saya yang seterusnya akan mengalami masalah yang sama? Saya amat bimbanglah doktor..”

Walaupun musibah yang Allah berikan ada hikmahnya, namun selalunya kita harus berusaha agar ianya tidak berulang. Habis berusaha, barulah berserah pada qada Allah.

 

Folic acid mencegah musibah NTD

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan mewajibkan agar semua ibu yang hamil diberikan folic acid. Tidak memadai dengan mengharapkan vitamin itu dari diet yang dimakan.

Kebanyakan ibu yang hamil, di awal kehamilan mereka mengalami masalah muntah dan loya. Ianya suatu fenomena yang membataskan ibu untuk makan dengan diet yang kaya dengan vitamin.

Oleh itu, di mana-mana klinik pemeriksaan ibu mengandung, mereka dibekalkan dengan folic acid, bukan saja bagus untuk menambahkan kepekatan haemoglobin dam darah, ianya juga berguna untuk mengelakkan kejadian NTD.

Wanita yang hamil haruslah diberikan folic acid sebanyak 400 mcg (0.4gm)/hari kerana ianya akan mengurangkan kebarangkalian untuk mendapat masalah neural tube defects (NTD) sebanyak 75%.

Bagi wanita yang pernah melahirkan anak yang mengalami NTD, dos yang harus diberikan ialah 5.0 mg/hari.

Dos sebegini juga untuk mereka mengalami penyakit seperti coeliac disease, ada latar belakang ahli keluarga yang mengalami NTD atau sedang mengamalkan ubat epileptic. Wanita yang mengalami diabetes mellitus (jenis 1 atau 2) dan penyakit darah sickle cell anaemia juga harus mengamalkan dos yang sama.

Masalahnya ramai ibu yang tidak sedar diri mereka hamil ketika itu. Bila mereka mula menjalani pemeriksaan, umur kehamilan sudah mencapai 6 minggu. Sedangkan pembentukan neural tube berlaku pada umur kehamilan 28 hari. Jadi dinasihatkan agar folic acid diamalkan bermula ketika merancang kehamilan.

Petanda dan Punca

Saraf tunjang atau spinal cord dan otak ditenggelamkan oleh cecair cerebrospinal fluid (CSF) yang dibaluti oleh tisu meninges. Otak dilindungi oleh tengkorak (skull), sementara saraf tunjang dilindungi oleh tulang belakang.

Bila seorang mengalami NTD, terdapat ruang dalam tengkorak dan tulang belakang. Ia menyebabkan tisu otak dan saraf tunjang akan mengunjur keluar dan boleh cedera.

Oleh kerana sraf tunjang mengandungi saraf yang mengawal pergerakan badan, kecederaan padanya menyebabkan kelumpuhan (paralysis) aau melemahkan otot tertentu.

Secara mudah, terdapat tiga jenis NTD yang biasa dilihat iaitu spinal bifida, anencephaly dan meningocele.

Punca NTDs tidak diketahui dengan jelas, tetapi saintis percaya ianya disebabkan oleh faktor genetik, persekitaran dan pemakanan.

Seramai 95% bayi yang mengalami NTD tidak mempunyai latar belakang ahli keluarga yang mengalami NTD. Namun kecacatan pada kromosom trisomy 13, 18, 21 dikaitkan punca masalah ini.

Sebab-sebab yang lain ialah faktor umur ibu hamil semakin meningkat, penyakit diabetes yang dihadapi, kekurangan zinc dan folic acid, minum alcohol dan merokok, menghidapi penyakit sawan dan mengamalkan ubat sawan eg Valproic acid adalah antara punca yang   menyumbang kepada masalah ini.

Risiko ini boleh dikurangkan dengan pengambilan folic acid yang mencukupi ketika merancang kehamilan lagi.

Mengesan NTD di peringkat awal.

Kebanyakan NTD dapat dikesan ketika kehamilan lagi.

  1. Maternal Serum Alpha Fetoprotein (MSAFP), adalah ujian darah untuk menyaring (screening) ibu yang hamil pada usia kehamilan 16-18 minggu.
  2. Menggunakan peralatan Ultrasound yang berkuasa tinggi pada umur kehamilan 18 minggu
  3. Amniocentesis, ujian mengambil contoh air tuban (amniotic fluid) selepas usia kehamilan 15 minggu.

Walau bagaimana pun apa yang dibimbangkan ialah keadaan di mana bayi kelihatan normal. Tidak terdapat kecacatan di tulang belakangnya. Namun apabila bayi semakin membesar, kanak-kanak ini mengalami lemah tubuh di bahagian pinggang ke bawah, sama ada lemah sedikit atau terus lumpuh (paralysis).

Pengimejan  x ray akan menunjukkan kanak-kanak itu mempunyai kecacatan di mana ada tulang di bahagian pinggang (terutama di bahagian tulang sacrum) yang tidak bercantum.

“Rabbi habli miladunka zuriatan tayiba inaka sami u’doa. Ya Allah kurniakanlah kami zuriat yang terbaik, sesungguhnya Kau mendengar doa kami.”

Wa allahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (021110)

20 comments

  1. subhanallah..semmgnya..kejadian yg tidak diingini oleh setiap keluarga..semoga Allah mempermudahkan dan menberikan zuriat yg sihat dan sempurna fizikal dan akhlaknya..AMIN

  2. Subhanallah..saya baru mengetahui bahawa anak dlm kandungan saya yg berusia 20 minggu mengalami anencephaly. Doktor memberi tempoh 2 minggu untuk saya membuat keputusan sama ada nak gugurkan atau teruskan sahaja sehingga lahir. Ya Allah..bantulah hambaMu membuat keputusan yg sewajarnya.

    • Salam…..saya sarankan saudari meneruskan kandungan saudari. Percayalah ianya amat berbaloi kerana saya pernah mengalaminya.

    • pada 21 jan 2010,sy telah melahirkan bayi lelaki yg mengalami anencephaly,namun meninggal dunia sejurus dilahirkan.Masalah ini dapat dikesan ketika usia kehamilan saya mencecah 16 mggu krna pada usia 16 mggu itulah Dr menjalankan imbasan yang pertama..sy tidak menggugurkannya..kebanyakkan Dr yg membuat pemeriksaan mengatakan bahawa biasanya bayi yang mengalami masalah ini tak pnjg umur krna apabila tiada skull,otak terdedah dan tidak dilindungi..apapn sy pasrah..

    • salam…anak sulung sy pun baby anen, dia terus meninggal slps dilahirkan, ms sy dpt tau, usia kandungan br 4bulan, doc suggest gugurkan kandungan, tp kami suami isteri sepakat utk terima qada’ n qadar allah….slps bpantangkan arwah, sy terus mengandung semula, alhamdulillah….sihat n slmt…apapun yg terjadi, dia tetap anak kita kan…hidup atau mati, itu ketentuan allah, yg penting biarlah kita ambil pahala bersalinkan dia walaupun xdpt pahala menyusu n membesarkan dia…

  3. noor amira bt yusup

    askum…sya merupakan ibu yang pernah hamil ntd..tetapi hanya ALLAH yang tahu pada usia 21 mggu ia terpaksa digugurkan…hm..asa tak sup nk mengingati peristiwa ini…

    • Pn Amira, sebelum puan terminate kandungan puan tu..adakah puan rujuk sesiapa yg agak pakar dalam bidang agama..Saya buntu sekarang ini..kalau tanya doktor memang pendapat mereka terminate shj kandungan ini, tapi dalam hati saya begitu risau jika di akhirat kelak dia tak mahu mengaku saya ibunya kerana saya menafikan haknya utk hidup walaupun sekejap..saya harap ada org yang boleh bantu saya dlm hal ini.

      • ~~Hukum Gugurkan Janin~~
        Apakah hukumnya dalam islam?

        1. Janin menghidap penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati. Hukum: HARAM sebelum 4 bulan dan selepas.
        2. Janin menghidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup seperti buta, cacat sebelah tangan, atau kedua-duanya, cacat kaki, kurang jari dan sebagainya. Hukum: HARAM jika umur janin melebihi 4 bulan, HARUS kiranya umur bayi di bawah 4 bulan.
        3. Janin menghidap kecacatan yang serius yang membawa kematian, seperti tiada kepala, tiada paru-paru dan sebagainya. Hukum: Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.
        4. Janin mengalami kecacatan anggota yang akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan. Hukum: Terdapat perbezaan pandangan ulama’; 1 – HARUS sebelum 4 bulan, HARAM selepas 4 bulan, 2 – HARUS walaupun selepas 4 bulan, dengan syarat, keyakinan yang tinggi hasil analisa doktor-doktor pakar.
        5. Janin menghidapi penyakit AIDS. Hukum: HARUS sebelum 4 bulan, HARAM selepas 4 bulan.
        6. Janin yang terhasil akibat dirogol. Hukum: HARUS digugurkan hanya sebelum 4 bulan.
        7. Janin yang sihat atau sakit atau cacat, tetapi nyawa ibu terancam kiranya janin dilahirkan. Hukum: HARUS gugur janin sama ada sebelum atau selepas 4 bulan, kerana nyawa ibu diutamakan dalam hal ini.

        Mengapa tidak dibenarkan gugur janin semasa usia janin 120 hari atau bersamaan 4 bulan? Ini adalah kerana atas hak kemanusiaan yang diiktiraf dalam islam dimana semasa itu roh ditiupkan kedalam janin. Pengguguran janin ketika itu adalah HARAM.

        ***Semoga dapat dijadikan sebagai panduan yang berguna***

  4. terima kasih info ini.saya sedang membuat entry mengenai (NTD)susah untk mencarinya dlm bahasa malaysia.

  5. krul25@yahoo.com

    Salam semua,hari ini (13sept11)dah 2 hari baby saya lahir,dan saya hnya mngetahui baby saya menghidap NTD, iaitu terdapat bonjolan di belakang atas dubur.
    Sesiapa yg ada nasihat, pengalaman atau info..
    Doktor nak bedah tp icu sentiasa penuh,apakah pembedahan ini baik atau sebaliknya? baby baru berusia 2hari..
    Atau semenangnya pembedahan ini terlalu ‘urgent’? tapi icu pula sentiasa penuh.

  6. Assalamualaikum buat semua. Zuriat ke-2 kami kini berusia 5bln dalam kandungan. baru di sahkan doktor 2mggu lalu mengalami anencephaly. Terkejut, sedih, takut, bimbang & macam2 perasaan pada kami berdua. Along dah lame berdoa minta adik. Sejak uminye mengandung, Along tukar dianye kepada ‘Ya Allah, Mintak adik sehat2′

    Moga kami & sahabat yg diduka ditabahkan hati oleh Allah dalam menghadapi dugaan ini.

    Pesan seorang sahabat,’ Ianye HADIAH dari Allah Taala’. Moga kita kite, keluarga & masyarakat tidak mempersoakan Hadiah yang diberi Tuhan…

    • adam hafiz

    • 14 Mac 2012:- Tengku Puteri Nur Khadhijah selamat dilahirkan dengan kesihatan yg termaklum.

      15 Mac 2012:- Tengku Puteri Nur Khadhijah selamat beradu buat selama-lamanya…Di berikan 30jam terindah bersamanya. Moga aman bahgia dalam asuhan Nabi Ibrahim A.S.

  7. Salam dr..bolehkah ibu yang pernah melahirkan anak anencephaly akan berpotensi untuk melahirkan anak yang mempunyai masalah yang sama buat kali ke dua

  8. Kami juga mempunyai pengalaman sebegini.kami mengetahui anak kami anencephaly apabila kandungan isteri mencecah 8bulan.doktor di klinik dan hospital mengesahkan anak kami anen.mereka memberitahu bahawa anak kami tidak akan bertahan lama apabila lahir.(mungkin 30minit,1@2hari). Doktor diklinik dan hospital memberi saya pilihan samada mahu melahirkan sekarang ataupun menanti cukup bulan.doktor juga menyatakan jika bersalin sekarang ataupun cukup bulan anak kami tetap akan meninggal dunia.kami berpakat untuk menanti cukup bulan. alhamdulillah(kami bersyukur pada-NYA)kerana anak kami bertahan sehingga hari ke 5.anak kami pergi menghadap ilahi apabila kami berada disisinya.

  9. salam dktr..
    awal bln 3 thn ini sy slamat melahirkn baby yg mengalami anencephaly dan meninggal 2jam selapas dilhrkn.kini sy hamil sekali lagi dan usia kandungan br msk bln pertama.masa berpantang dan sehingga sekarang sy mengamalkn asid folic 5mg dan sekali sekala tertnggal utk mkn asid folic.persoalanya bolehkah sy hamil kali kedua utk jangka masa terdekat ini dan apa kesan nya pada baby dan ibu.semasa berpantang pakar tidak benarkn utk sy mengandung kali kedua dlm jangka masa terdekat ini krn bimbang keguguran dan rahim tidak kuat,tetapi dktr di klinik kshtn membenarkan.buat pengetahuan dktr usia kndungan semasa melhrkn baby anen 26 mggu dah secara induce dan tanpa jahitan

  10. sebak hati, hadiah Allah pada kita, sy juga sedang hamil, terima dgn redha segala ketentuan Allah

  11. Assalamualaikum semua.. Disini saya ingin bercerita sedikit. Isteri saya sedang mengandung anak ke-2 msuk mggu ke-33. Doktor sudah sahkan yg bayi dlm perut isteri mempunyai symptom ‘semilobar holoprosencephaly’ iaitu tiada sebahagian otak utama & di bahagian salur otak bayi yg terbentuk, terdapat cecair pula w/pon kepala bayi sgt kecil. Wajah bayi menurut doctor ada ‘kekurangan’ dimana matanya dikatakan rapat, hidung tiada batang & bibir yg abnormal kesemuanya. Sudah bertemu 3 doctor pakar dari dua hospital yg berbeza & dimaklumkan kemungkinan bayi ini utk survive, sgt2 tipis. Isteri disarankan utk bersalin awal dari tarikh asal bersalin yg sepatutnya pd penghujung bulan Jun nt. Tujuan utama kelahiran awal disarankan kerana isteri pernah melahirkan anak sulung kami melalui cesarean & dikhuatiri air ketuban yg terlalu byk disebabkan bayi tidak pandai ‘makan/minum’ boleh membahayakan isteri & menyebabkan rahim pecah & berlaku pendarahan dalaman. Secara hukum ada dibaca yg ianya jatuh kepada ‘Harus’. Bagaimana rakan2 lain melihat konteks permasalahan saya ini dari sudut kalian semua? Sebarang feedback amat2 saya hargai

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: