Suplemen Glucosamine dan Chondroitin untuk pesakit arthritis lutut

Seorang rakan FB, seorang wanita berusia 50an mengadu bahawa dia mengalami alahan pada ubat penahan sakit NSAID. Dia sekarang mengalami sakit sendi lutut yang keterlaluan. Setiap pagi dia mengalami masalah untuk membengkokkan sendi lututnya.

Doktor yang memeriksa beliau mengatakan beliau mengalami arthritis lutut, osteoarthritis (OA). Dia bertanyakan kepada saya tentang pilihan yang beliau ada untuk mengurangkan rasa sakit sendi lututnya setiap pagi.

Penyakit osteoarthritis  selalunya berlaku akibat peningkatan umur. Oleh itu ia selalu disebut sebagai penyakit “degenerative”, dan mula dikesan apabila seseorang mengalami sakit (pada sendi atau pada tulang belakang), rasa sukar menggerakkan sendi (“stiff joints”) atau mengalami kecederaan sendi yang berulang.

Apabila usia bertambah, tubuh tidak dapat memperbaiki kerosakan yang berlaku dalam tubuh (terutamanya sendi) dengan berkesan. Ini kerana  Glucosamine Sulphate (GS) yang merupakan bahan semulajadi dalam tubuh yang memperbaiki randang sendi, tidak dikeluarkan oleh tubuh dengan mencukupi.

Kecederaan pada sendi, pergerakan yang berulang akibat melakukan sesuatu pekerjaan, umur melebihi 60 tahun dan obesiti adalah factor yang menjadi punca kerosakan pada sendi.

Glucosamine Suphate dan Chondroitin didapati dalam tubuh pada ‘synovial fluid’ iaitu cecair pelicin yang berada dalam sendi dan tulang rawan ‘cartilage’. Bagi mereka yang mengalami kesakitan sendi yang keterlaluan akibat faktor-faktor tadi, maka saya cadangkan mengambil suplemen Glucosamine dan Chondroitin.

Suplemen Glucosamine dihasilkan dari sumber cengkarang makanan laut, manakala chondroitin pula dihasilkan dari tulang rawan ‘cartilage’ lembu.  Suplemen Glucosamine boleh didapati dengan dua bentuk iaitu Glucosamine Sulphate dan Glucosamine Hydrochloride, tetapi banyak kajian mendapati Glucosamine Sulphate adalah lebih berkesan. Sementara chondroitin pula didapati dalam bentuk ‘chondroitin sulfate’.

Satu kajian mendapati bahawa mengambil suplemen glucosamine sulphate akan meningkatkan bahan ini dalam darah dan cecair pelincir synovial dalam sendi.

(rujuk: Persiani S, Rotini R, Trisolino G, Rovati LC, Locatelli M, Paganini D, Antonioli D, Roda A, 2007, Synovial and plasma glucosamine concentrations in osteoarthritic patients following oral crystalline glucosamine sulphate at therapeutic dose, Osteoarthritis and Cartilage, 15:764-772)

Dalam satu kajian lain mendapati glucosamine 1500mg sehari dapat mengurangkan rasa sakit pada sendi pada pesakit OA yang teruk.

(rujuk: Richy F, Bruyere O, Ethgen O, Cucherat M, Henrotin Y, Reginster J-Y, 2003, Structural and Symptomatic Efficacy of Glucosamine and Chondroitin in Knee Osteoarthritis. A comprehensive meta-analysis, Archives of Internal Medicine, 163:1514-1522)

Selalunya pesakit OA selalunya terpaksa mengambil ubat penahan sakit NSAID dalam jangka masa yang lama untuk mengurangkan kesakitan sendi yang berulang-ulang. Pengambilan ubat penahan sakit NSAID akan memberikan kesan sampingan terutama bagi pesakit gastric dan Pesakit jantung.

Ubat penahan sakit NSAID seperti voltaren dan ibuprofen, biasanya akan memburukkan lagi penyakit gastric yang sedia dialami dan boleh menyebabkan muntah darah. Sementara bagi pesakit jantung pula, ubat penahan sakit NSAID akan mencairkan darah sehingga darah pada luka sukar untuk dihentikan.

Oleh itu pesakit OA harus mengamalkan ini selama 3 bulan berturut-turut bagi menilai keberkesanannya. Jika tidak kesan yang positif, maka pengambilannya haruslah dihentikan.

(Rujuk: Hochberg MC. Nutritional supplements for knee osteoarthritis-Still no resolution. New England Journal of medicine 354:848-850, 2006)

Dos yang biasa diberikan ialah Glucosamine Sulphate (500 mg tiga kali sehari), atau Chondroitin Sulfate (400 mg tiga kali sehari) atau kombinasi glucosamine dan chondroitin sulfate pada dos yang sama. Suplemen ini Nampak kesannya jika diamalkan oleh pesakit OA yang mengalami sakit lutut yang teruk.

(rujuk: Glucosamine, chondroitin sulfate, and the two in combination for painful knee osteoarthritis. N Eng J Med. 2006 Feb 23;354(8):795-808)

Jika terdapat perubahan positif, iaitu pesakit merasa kurang sakit, maka dosnya bolehlah dikurangkan menjadi 1000mg sehari selama sebulan dan seterusnya menjadi 500mg sehari sebagai maintainance, dan akhirnya boleh dihentikan.

Glucosamine dan Chondroitin mempunyai rekod keselamatan yang baik. Dalam satu kajian yang dilakukan untuk mengkaji kesan sampingan suplemen ini pada 3063 pesakit, mendapati ia tiada kesan sampingan yang serius dan dianggap sebagai suplemen yang selamat digunakan.

(rujuk: Anderson JW, Nicolosi RJ, Borzelleca JF, 2004, Glucosamine effects in humans: a review of effects on glucosamine metabolism, side effects, safety considerations and efficacy, Food and Chemical Toxicology, 43:187-201)

Kesan sampingan yang biasa dialami adalah sangat minima. Pesakit mengadu merasa kembung perut dan najis (tahi) yang lembut dan cair. Walau pun begitu ia tidak menyebabkan ceret beret. Pesakit diabetes diminta berhati-hati kerana glucosamine boleh menyebabkan kenaikan paras gula dan sementara pesakit yang mempunyai alahan terhadap makanan laut juga harus berhati—hati kerana suplemen Glucosamine ini dihasilkan dari cengkerang makanan laut dan menyebabkan alahan makanan laut.

Wallahu a’lam.

2 comments

  1. Bolehkah glucosamine diambil bagi yang belum atau tidak mengalami sakit sendi. Adakah boleh digunakan untuk mencegah OA? trima kasih.

  2. Maknanya org yg ada gout tak boleh lah mkn pil glucosemine ini?

Leave a Reply to norzilahCancel reply

error: Content is protected !!