Mempercepatkan Proses Kelahiran Melalui Induksi

Pengalaman saya bekerja di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan di sebuah hospital awam di selatan tanah air, banyak membantu saya menjawab kekeliruan yang ditanyakan oleh rakan-rakan FB.

Saya akui saya bukan pakar perbidanan, maka setiap yang saya tuliskan hanyalah sebagai satu panduan kepada pesakit dan bukanlah penyelesaian mutlak bagi setiap soalan yang diajukan.

Walaubagaimanapun jawapan atau panduan yang saya berikan, bukanlah jawapan yang kosong kerana saya menyemak semula buku teks dan bertanyakan kepada sahabat-sahabat saya yang telah bergelar Doktor Pakar Perbidan dan Sakit Puan.

Antara kekeliruan yang diajukan kepada saya ialah mengenai proses induksi semasa memulakan proses kelahiran.

Sebelum ini juga ada pesakit yang menemui saya dan bertanyakan hal ini.

“Doktor, hari ini sepatutnya saya melahirkan bayi. Tetapi saya masih tidak merasa apa-apa. Saya telah ke pusat bersalin di hospital. Doktor telah memeriksa dan dia mengatakan ‘jalan untuk bersalin’ belum terbuka. Mereka meminta saya balik rumah dulu dan menunggu.”

Saya mengangguk-angguk kepala dan melihat buku merah yang dibawa. Mengikut buku antenatal itu, tarikh yang dijangkakan melahirkan anak (expected date of delivery) adalah dua hari lepas.

Oleh kerana pusat kesihatan tempat saya bekerja mempunyai kemudahan pemeriksaan ultrasound, maka saya memeriksa kehamilan wanita itu. Apa yang saya bimbangkan ialah umur kehamilan yang ditulis dalam buku merah berlainan dengan umur kehamilan sebenar bayi dalam rahem.

Keadaan ini boleh terjadi apabila wanita hamil itu mengalami kitaran haid yang tidak teratur sebelum dia hamil atau mungkin beliau tidak pasti tarikh sebenar hari pertama kedatangan haids pada bulan terakahir (last menstrual period).

Selepas memeriksa wanita itu, saya menghembuskan nafas panjang. Tarikh yang diberi sama dengan tarikh yang dijangkakan mengikut pemeriksaan ultrasound.

“Beginilah, puan. Saya bersetuju dengan keterangan doktor di hospital. Jika masih tidak merasa sakit bermakna, proses kelahiran yang sepatutnya berlaku, masih belum lagi berlaku”

“Habis apa yang saya harus buat…?”

“Tunggulah sehingga puan berasa sakit perut atau tanda-tanda proses kelahiran bermula seperti selaput air tuban pecah atau…”

“Tunggu?…”

“Ya, tidak ada apa yang boleh kita buat. Anak puan masih belum mahu keluar nampaknya”, saya cuba berjenaka.

“Tak bolehkah kita paksa dia keluar?”

“Saya rasa itu bukan idea yang bagus. Anak puan belum sedia untuk dilahirkan, jadi berikan sedikit masa. Jika selepas seminggu masih tidak ada tanda-tanda mahu melahirkan, barulah kita paksa. Bahaya juga jika anak puan duduk lama-lama dalam rahem..”

“Maksud doktor, paksa dengan cara pembedahan ke? Saya takutlah doctor..”

“Nanti di hospital kita boleh paksa rahem puan mengecut seperti proses kelahiran biasa melalui faraj. Jangan risau. Pembedahan hanya dilakukan jika anak puan masih tidak keluar…”

Perbualan saya berakhir di situ. Dua minggu selepas itu saya menerima SMS ringkas..

“Doc, anak saya selamat diahirkan secara induksi..terima kasih”.

Saya senyum lega dan mengucap kesyukuran..

Beberapa hari lepas saya menerima e mail yang lebih kurang sama kekeliruannya.

Assalamualaikum doctor,

saya inginkan pendapat doctor mengenai kelahiran yang dilakuan secara induksi. Pada kelahiran anak pertama saya, doktor melakukan induksi dengan cara memecahkan selaput ketuban. Saya ingin bertanya, perlukan selaput itu dipecahkan dan mengapa tidak menunggu selaput itu pecah sendiri.

Selepas selaput tuban dipecahkan saya merasa kontraksi yang kuat dan tidak mampu saya menahan kesakitan.

Doktor telah memberikan saya epidural bagi mengurangkan kesakitan saya, tetapi saya terpaksa menunggu hampir 30jam. Akhirnya bayi saya telah “berak ” dalam kandungan dan doctor menggunakan teknik vakum untuk kelahiran namun gagal.

Akhirnya saya dihantar untuk pembedahn caesarean dan bayi saya terpaksa dimasukkan dalam ke dalam ICU kerana masalah pernafasan.

Soalan saya

1) perlukah saya bergegas untuk membuat induksi di hospital sekiranya kandungan telah lewat seminggu dari tarikh EDD?

2) perlukah saya tunggu sahaja air ketuban pecah secara semula jadi di rumah baru ke hospital?

3) berapa lama sebenarnya untuk menunggu bukaan serviks sehingga 10cm jika diberi induksi?

Saya menunggu jawaban dari doctor dan saya dahulukan dengan ucapan berbanyak terima kasih. Semoga doctor dapat membantu saya memahami kekeliruan ini untuk kelahiran anak kedua saya nanti…

Puan Limah.

Saya simpati dengan pengalaman yang menimpa Puan Limah. Ia merupakan pengalaman melahirkan anak yang panjang dan ‘berbengkang-bengkok’. Walaubagaimanapun, Puan Limah tentu merasa bersyukur kerana selamat melahirkan anak pertama beliau.

Bagi menjawab soalan beliau, saya terpaksa menghuraikan maksud dan proses induksi dijalankan. Ia dikenali sebagai ‘induction of the labor’.

Proses induksi dilakukan pada wanita hamil yang telah sampai masa untuk melahirkan bayinya, namun tiada tanda-tanda yang beliau akan melahirkan.

Jadi jika proses kelahiran tidak bermula dengan sendirinya, selalunya doktor akan memberikan ubat atau menggunakan beberapa teknik untuk merangsang rahem  mengecut (contraction) agar proses kelahiran dapat dimulakan.

Selain itu jika doktor mendapati proses kelahiran yang dialami oleh seorang wanita agak perlahan dari sepatutnya, teknik induksi juga digunakan.

“Tetapi mengapa harus menunggu dan tidak melakukan serta merta apabila telah sampai tarikh sepatutnya bayi dilahirkan?”

Soalan ini pernah saya tanyakan kepada konsultan O&G semasa bekerja di hospital. Selalunya terdapat kemungkinan umur bayi yang dinyatakan pada buku merah antenatal itu tidak tepat.

‘Julat untuk ketidaktepatan’ dalam mengira umur kehamilannya selalunya mempunyai maksima 2 minggu. Oleh itu apabila wanita hamil tidak merasa sakit perut untuk melahirkan bayi selepas dua minggu dari tarikh jangkaan kelahiran (expected delivery date-EDD), barulah doktor akan memulakan teknik induksi ini.

Adakalanya doktor tidak menunggu selama dua minggu. Jadi ada doktor yang melakukan induksi ini hanya selepas seminggu tarikh EDD itu. Tujuan menunggu ini adalah untuk memberikan peluang untuk rahem memulakan proses kehamilan dengan sendiri.

“Bolehkah kalau kita lewatkan sebulan, supaya tarikh kelahiran anak saya serupa dengan tarikh perkahwinan saya..?”

Saya terdiam. Memang tidak pernah saya sangka bahawa tarikh amat penting bagi sesetengah orang.

Saya jadi agak hairan bagaimana mahu ‘menahan’ proses kelahiran yang telah bermula. Bagi kelahiran yang belum bermula pula, menangguhkan kelahiran bermakna menambahkan risiko kepada bayi yang berada dalam rahem.

Selalunya apabila uri berada lama dalam rahem, uri akan mengalami beberapa perubahan fizikal dan menjadi agak keras (calcification). Perubahan pada uri ini akan menyebabkan fungsi uri membekalkan makanan dan oksigen pada bayi akan terjejas.

Dengan itu bayi yang berada dalam rahem terlalu lama akan berada dalam bahaya. Maka, apabila umur kehamilan melebihi antara satu hingga dua minggu dari tarikh EDD, maka doktor akan melakukan proses induksi.

“Jadi memecahkan selaput tuban adalah sebahagian dari proses induksi lah, doktor?”

Ya, sangat tepat sekali. Proses induksi ini boleh dilakukan dengan beberapa cara. Cara-cara itu bergantung kepada kepada keadaan pangkal rahem (cervix) yang menjadi laluan untuk bayi dilahirkan.

“Doktor, kenapa doctor menyelukkan jari dalam faraj? Tidak ada cara lainkah menentukan bukaan cervix telah bermula?”

Malang sekali, tiada cara lain bagi mengetahuinya.  Biasanya doktor akan memasukkan dua jari bagi menentukan sama ada proses kelahiran telah bermula atau belum. Kaedah ini dinamakan pemeriksaan pervagina.

Tanda-tanda kelahiran bermula apabila pangkal rahem (cervix) telah menjadi lembut, menipis (efface) dan telah mengembang untuk membuka laluan bagi kelahiran bayi.

Jika tidak ada tanda-tanda itu, doktor akan menggunakan ubat Prostaglandins. Ubat itu akan dimasukkan ke dalam pangkal rahem (cervix). Ubat ini akan membantu pangkal rahem (cervix) menjadi lembut, menipis dan membuka laluan untuk proses kelahiran.

Selain itu doktor boleh menggunakan teknik amniotomy di mana doktor akan memasukkan pengait plastik ke dalam vagina untuk mengait selaput ketuban dan memecahkannya.

Apabila air tuban telah dikeluarkan dari rahem, ia akan mempercepatkan lagi proses kelahiran. Proses ini tidak menyakitkan.

Jika doktor mendapati proses kelahiran agak perlahan walaupun rahem telah memulakannya, doktor boleh memberikan ubat Oxytocin (Pitocin) melalui drip.

Apabila air tuban telah keluar, atau ubat oxytocin melalui IV telah dimulakan, maka doktor akan memastikan bayi dapat dilahirkan dalam masa 12-24 jam. Ini adalah untuk mengelakkan risiko jangkitan kuman pada bayi jika dibiarkan lebih lama. Selalunya doktor akan memberitahu ‘bayi telah berak’ bagi menandakan keadaan distress atau bahaya. Oleh itu proses kelahiran secara vagina, sama ada secara normal, forcep atau vakum harus dihentikan serta merta dan pembedahan caesarean harus dilakukan segera.

“Bahaya tak proses ini?”

Ini soalan cepu emas. Sukar untuk saya menjawab soalan ini.

Dalam keadaan biasa, selalunya proses induksi ini selamat. Walau bagaimana pun, saya tidak dapat menyangkal terdapat risiko pada setiap prosedur yang dijalankan, namun ia bergantung kepada kehamilan seseorang. Ini bermakna setiap wanita yang hamil mempunyai risiko yang berbeza-beza. Perkara ini harus berbincang dengan doctor yang merawat.

Jika rahem mengecut (contraction) terlalu kuat, ia boleh menyebabkan risiko pemisahan uri dari dinding rehem (placental abruption). Cuba bayangkan uri telah berpisah dari rahem dan memutuskan bekalan oksigen dan makanan sedangkan bayi masih berada dalam rahem. Tentu membahayakan nyawa bayi yang berada dalam rahem.

Begitu juga jika wanita itu pernah menjalankan pembedahan ceaserean bagi kelahiran sebelumnya atau pernah menjalankan pembedahan membuang fibroid dari dinding rahem. Dinding rahem akan menjadi lemah dan sebarang pengecutan rahem atau kontraksi yang terlalu kuat, boleh menyebabkan otot rahem terkoyak. Ini akan membahayakan nyawa bayi dalam rahem dan ibu yang hamil. Jika doktor mengesyaki berlakunya koyakan pada rahem, maka pembedahan cesarean harus dijalan secepat mungkin.

Oleh itu doktor akan berhati-hati apabila memberikan ubat untuk induksi terutamanya kepada wanita yang sebelum ini menjalani proses kelahiran secara pembedahan cesarean dan kini cuba melahirkan bayi dengan cara normal melalui faraj.

Doktor akan memantau proses pengecutan rahem ini (proses kelahiran) supaya tidak terlalu kuat dan membahayakan bayi dengan menggunakan teknik memantau degupan jantung bayi dalam rahem secara berterusan (cardiotocography CTG).

Doktor juga akan memeriksa pangkal rahem bagi memeriksa jalan adakah semakin membesar atau tidak. Proses ini memakan masa, bergantung kepada setiap individu. Jika proses ini tidak berkesan atau melebihi 24 jam, doktor terpaksa melakukan pembedahan caserean.

Memandangkan kepada risiko proses induksi ini, doctor amat berhati-hati sebelum memulakannya.

Adakalanya doktor tidak menunggu untuk kelahiran secara normal atau melakukan proses induksi. Mereka terus membawa wanita hamil itu ke bilik pembedahan.

Antaranya untuk kes:

  1. bayi dalam rahem harus dikeluarkan serta-merta atas pelbagai sebab
  2. kedudukan uri dalam rahem terlalu rendah dan merbahaya (placenta previa)
  3. posisi bayi dalam keadaan songsang atau melintang
  4. wanita hamil yang pernah menjalani 2 pembedahan caserean section
  5. wanita hamil yang pernah mengalami pembedahan rahem eg myomectomy membuang fibroids.
  6. wanita yang hamil kembar

Oleh itu bagi sebarang prosedur yang mungkin atau bakal dijalankan, saya amat menggalakkan agar pesakit berbincang dengan doktor yang merawat bagi mengelakkan kekeliruan dan mendapat gambaran yang lebih jelas.

Saya berpendapat zaman sekarang bukanlah zaman di mana pesakit meletakkan segala tanggungjawab kepada doktor untuk memutuskan sesuatu rawatan. Doktor dan pesakit harus sama-sama mencapai kesefahaman agar kekeliruan dapat dielakkan dan sikap ‘salah-menyalahkan’ tidak berlaku.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (221211)

IKLAN

Bagi wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu, dan bagi wanita yang baru melahirkan anak, saya mencadangkan suplemen , selain dari vitamin C dan E. Boleh dapatkan produk Kacip Fatimah keluaran UTM di http://needsvenue.com.my

Bagi individu yang mengalami kekeringan kulit, terutamanya eczema saya mencadangkan cream Labicea Revitalizing Moisturizer. Info lanjut di https://www.facebook.com/Labicea-Revitalizing-Moisturizer-486696818067490/

Untuk pembelian menggunakan kad kredit sila klik di bawah:

Warisan tradisi silam kini dalam tangan anda

3 comments

  1. Pengalaman saya. Saya ada 4 anak yg mana semuanya lahir melalui induksi. Ini adalah kerana pada minggu ke 36, sudah ada bukaan tetapi belum merasai sakit/kontraksi. Ada yg bukaan dah 6cm tapi masih belum ada kontraksi. Selepas masuk air & dipecahkan ketuban, barulah terasa sakit. Selepas 1 jam atau kurang, saya selamat melahirkan anak saya.

  2. pengalaman sy bersalin ank pertama, air ketuban telah pecah dgn sendiri ttp tiada rasa sakit n jln pun tak buka. Slps buat pemantauan keadaan bayi, Dr mencadangkan supaya operate kerana dibimbangi bayi akan lemas.

  3. pengalaman saya bersalin ank pertama mmg lama..air ketibun dh bocor tp xskit, tgu sehari pn xsakit lg,doktor ambik keputusn msuk ubt, pecahkn ketuban..tp xbuka juga,kmdian kna drip ubt dr 11pg, llmlm bru besalin, tu pn gn bntuan forcep bb sya dh xde tenaga nk teran, dkt 12jm dlm labouroom ….amat memeritkan sakit msuk ubt gn drip tu….

Leave a Reply to eydaCancel reply

error: Content is protected !!