Advertorial

Bolehkah bayi minum air mineral?


Baru-baru ini seorang rakan doktor memberitahu ada satu kes seorang bayi berumur 4 bulan mengalami sawan seterusnya koma apabila ibu yang menjaga bayi itu mmberikan terlalu banyak air kepada bayi dalam bancuhan susu formula.

 

Apa yang berlaku ialah ibu bayi itu adalah seorang ibu tunggal yang kesempitan hidup, lalu cuba mencairkan susu formula yang diberikan dengan lebih banyak air dari kadar sukatan yang sepatutnya.

 

Setelah diberikan beberapa hari, bayi itu menunjukkan perubahan yang yang tidak baik seperti tidak aktif, menangis dengan suara yang perlahan dan selalu tidur. Tidak lama selepas itu bayi itu mengalami sawan dan mengeluarkan buih pada mulutnya. Apabila dibawa ke hospital, bayi itu telah tidak sedarkan diri dan koma.

 

Anak adalah amanah

 

Oleh itu saya sering menasihatkan para ibu bapa agar lebih berhati-hati terhadap bayi yang mereka pelihara. Jangan mengambil sikap sambil lewa kerana anak-anak adalah amanah dari ALLAH SWT.

 

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman dalam perkara ini menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggung-jawab mereka, malah mungkin tidak menunaikan hak anak-anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

 

Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50 yang bermaksud:

 

Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa  yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul  siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

 

Saya menganggap ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu terhadap penjagaan dan pendidikan anak, sebagai suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan olehNYA.

 

Memberikan air mineral?

 

Ketika cuaca panas, ramai ibu yang mengeluh dan mengalami dehidrasi yang jelas seperti mudah haus dan kurang membuang air kecil. Mereka digalakkan untuk minum mineral dengan kuantiti yang lebih banyak terutama bagi ibu yang menyusukan anak mereka. Tetapi adakah bayi juga perlu diberikan air mineral juga?

 

 

Secara amnya bayi yang berumur kurang 6 bulan tidak boleh diberikan air mineral atau air kosong. Bayi tidak memerlukan air dan mineral kerana mereka memperolehi sejumlah kuantiti air yang cukup melalui air susu yang diminum, sama ada dari susu ibu atau susu formula.

 

Memberikan air pada mereka akan mengganggu kebolehan tubuh untuk menyerap nutrient dari susu ibu atau susu formula dengan cara yang lebih berkesan. Memberikan air juga menyebabkan perut bayi akan menjadi penuh dan kembung. Mereka mungkin tidak selesa dan mudah menangis. Bayi juga akan hilang rasa lapar untuk meminum susu.

 

Walau bagaimana pun ibu bapa boleh memberikan sedikit air dengan menggunakan sudu jika difikirkan perlu dan ini sudah pasti tidak menjejaskan kesihatan bayi.

 

Dalam dalam kes yang terpencil, jarang berlaku tetapi serius, apabila bayi diberikan terlalu banyak air, bayi akan mengalami mengalami sawan dan koma akibat “keracunan air” (water intoxication). Ini berlaku apabila air yang diberikan kepada bayi dengan kuantiti yang banyak telah menyebabkan kecairan pada kepekatan mineral sodium dalam tubuh, menyebabkan ketidakseimbangan mineral dan akhirnya tisu tubuh akan mengembang. Pengambangan tisu otak secara tiba-tiba akan menyebabkan bayi mengalami koma.

 

 

Dalam kes yang disebutkan di atas, apabila ibubapa menambahkan air dalam bancuhan susu dalam kuantiti yang banyak dari sepatutnya, ia juga boleh menyebabkan “keracunan air”. Selain itu susu yang cair dan diminum menyebabkan bayi akan menerima nutrisi yang amat berkurangan dari sepatutnya. Oleh itu para ibu yang menyusukan anaknya dengan susu formula haruslah membaca arahan bancuhan susu dan elakkan dari menambah air yang lebih dari kadar yang sepatutnya.

 

Walau bagaimana pun jika bayi mengalami ceret-beret, doktor mungkin menasihati ibu untuk memberikan bancuhan garam ke dalam air untuk diberikan kepada bayi untuk mengelakkan dehidrasi. Ini dibenarkan.

 

 

Apabila bayi telah mencapai umur enam bulan, tidak menjadi mudarat memberikan sedikit air menggunakan sudu kepada bayi. Berikan sekadar yang perlu. Memberikan air secara berlebihan akan menyebabkan bayi akan mengalami kembung perut dan tidak berselera untuk makan.

 

Setelah berusia setahun, kanak-kanak telah makan makanan yang pejal dan minum susu pada kadar yang sepatutnya, bolehlah memberikan air mineral kepada kanak-kanak itu sepuas hati.

 

Wallahu a’lam

 

 


2 comments

  1. Assalamualaikum wbt,

    Terima kasih di atas info yang sangat berguna.
    Saya ada satu kemusykilan. Jika dilihat khasiat air zam-zam adalah sangat banyak. Bolehkah diberi minum air zam-zam kepada bayi yang umurnya kurang dari 6 bulan? Adakah ia memberi kesan yang sama?

  2. Jazakallahu khairan jazak doktor… sgt2 berguna bg para ibu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top