BAHAYA SALAH GUNA PARACETAMOL

BAHAYA SALAH GUNA PARACETAMOL

 

 

Sedarkah masyarakat bahawa di pasaran terdapat pelbagai jenis jenama ubat yang mengandungi bahan aktif Paracetamol atau juga dikenali sebagai Acetaminophen? Antara jenama tersebut adalah Panadol, Uphamol, dan lain-lain lagi.

Semua jenama ubat ini mempunyai kandungan bahan aktif yang sama iaitu Paracetamol. Ia wujud sama ada dalam bentuk tunggal atau kombinasi dengan bahan aktif yang lain bagi merawat demam dan melegakan kesakitan serta penyakit-penyakit ringan seperti sakit kepala dan senggugut.

‘UBAT BIASA’ DAN ‘UBAT MUDAH DAPAT’

Paracetamol dikategorikan sebagai Ubat Am atau Ubat OTC (Over The Counter). Oleh itu, ubat Paracetamol ini boleh diperolehi sama ada di premis komuniti farmasi, klinik, hospital, atau di kedai-kedai biasa.

Walaupun Paracetamol adalah ubat am, ia tidak bermaksud boleh diambil tanpa kawalan. Pengambilan Paracetamol tanpa kawalan boleh mendatangkan kemudaratan dan menyebabkan keracunan yang boleh mengancam nyawa.

BAHAN AKTIF YANG SAMA, JENAMA DAN KEKUATAN YANG BERLAINAN

Apabila anda memegang sepapan tablet dan sebotol sirap Paracetamol, anda harus mengetahui kekuatan kandungan ubat tersebut kerana jenama yang berlainan mengandungi kandungan ubat Paracetamol yang berlainan.

Terdapat Paracetamol dengan dos 500mg atau 650 mg bagi setiap tablet dan kepekatan 120mg/5mL atau 250mg/5mL bagi setiap botol di pasaran. Pengguna harus meneliti kandungan Paracetamol terlebih dahulu sebelum menggunakannya bagi mengelakkan daripada menggunakan dos Paracetamol secara berlebihan.

Dos optimum Paracetamol untuk orang dewasa ialah 500-1000 mg 4 kali sehari. Maksimum dos untuk sehari adalah 4000mg.

Bagi kanak-kanak pula, dos optimum Paracetamol adalah mengikut berat badan. Oleh itu adalah penting untuk mengetahui berat kanak-kanak terlebih dahulu sebelum diberikan ubat. Pengguna perlu mendapatkan nasihat dos Paracetamol daripada ahli farmasi atau doktor sebelum diberikan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengiraan dos dan sukatan yang diberi.

MITOS

Sejak kebelakangan ini sering diuar-uarkan pelbagai mitos tentang penggunaan Paracetamol di media sosial. Kononnya, ubat ini boleh bertahan selama 5 tahun dalam tubuh. Mitos ini menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat yang sanggup tidak mengambilnya walaupun suhu badan mencecah 40°C atau menahan sakit kepala sehingga tidak boleh melakukan sebarang aktiviti dan sebagainya. Info yang tidak betul seperti ini boleh memudaratkan orang lain.

Setiap ubat mempunyai jangka hayatnya dalam tubuh manusia. Paracetamol akan dimetabolismakan oleh hati dan dikumuhkan keluar daripada tubuh menerusi air kencing dalam tempoh 4 hingga 6 jam. Tindakannya adalah bersifat jangka masa pendek. Justeru, ia tidak mampu bertahan selama 5 tahun dalam tubuh.

DOS BERLEBIHAN

Dos berlebihan dalam badan boleh berlaku apabila ubat Paracetamol diambil lebih daripada dos yang ditetapkan. Ia boleh juga berlaku apabila seseorang individu mengambil lebih daripada satu jenis ubat yang mengandungi Paracetamol.

Sekiranya deman atau sakit yang dialami belum lega meskipun sudah mengambil Paracetamol mengikut dos dan kekerapan yang ditetapkan, adalah menjadi satu amalan yang kurang bijak untuk menambahkan dos Paracetamol. Langkah terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat dan nasihat doktor jika demam atau sakit berterusan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Pengambilan Paracetamol secara berlebihan boleh mengakibatkan risiko kegagalan hati (hepatotoxicity). Selain itu, risiko ini boleh diburukkan lagi sekiranya individu tersebut telah sedia mempunyai masalah hati atau mengambil minuman beralkohol. Keadaan seperti ini menyebabkan hati terpaksa bekerja keras dan kemungkinan boleh berlaku pengumpulan bahan metabolisma Paracetamol sehingga ke tahap toksik atau beracun.

Apa juga ubat yang diambil mengikut kuantiti yang betul berupaya memberi kesan manfaat ubat yang dikehendaki. Namun jika diambil secara berlebihan, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh kita. Justeru itu, melalui amalan pengambilan ubat yang betul, Paracetamol merupakan ubat yang selamat untuk digunakan.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!