Tiada kolagen dalam rumpai laut tetapi banyak khasiat lain

rumpai laut

Rumpai laut tidak mempunyai kolagen tetapi mampu membantu mengekalkan mahupun mengaktifkan proses pembentukan dan penghasilan kolagen dalam kulit manusia…… Artikel pendek oleh Dr.Mariani Abdul Hamid IBD UTM untuk dibaca oleh kawan-kawan.

Kolagen adalah sejenis protein. Terdapat lebih 25 jenis kolagen yang terhasil secara semulajadi di dalam tubuh manusia. Ia

membentuk 30% dari jumlah protein dalam tubuh manusia. Tidak dinafikan ia sangat penting untuk tubuh badan manusia. Ia berfungsi seperti gam pelekat yang melekatkan seluruh bahagian tubuh kita. Seringkali kolagen dikaitkan dengan kesihatan kulit. Ianya membantu melambatkan proses penuaan sebaliknya tidak membuatkan kulit yang berkedut kembali tegang. Kenyataan ini sepatutnya diambil perhatian.

 

Bagaimanapun, apabila usia semakin meningkat, degradasi kolagen akan berlaku dan akhirnya menimbulkan kedutan. Oleh sebab itu, ramai pakar kesihatan kulit menasihatkan supaya mengambil langkah-langkah yang perlu bagi merangsang pengeluaran kolagen. Ia dapat memperlahankan proses kedutan pada bahagian tubuh manusia. Salah satu caranya ialah mengambil makanan yang tinggi khasiat terutamanya protein bagi membantu menghasilkan kolagen di dalam tubuh. Itu tidak bermakna makanan itu ‘mengandungi’ kolagen.

 

Rumpai laut digunakan untuk menghasilkan tiga hydrocolloids iaitu agar, alginat dan carrageenan. Hydrocolloids ialah bahan yang larut dalam air untuk memberikan kelikatan, membentuk gel, untuk menstabilkan produk seperti ais krim (ia menghalang pembentukan kristal supaya ais boleh kekalkan tekstur licin).

 

Produk kosmetik seperti krim dan losyen kadang-kadang melabelkan kandungan “ekstrak marin”, “ekstrak alga”, “ekstrak rumpai laut” malah ada yang lebih berani melabelkannya sebagai “marine collagen”. Ini mungkin menunjukkan ia mengandungi salah satu hydrocolloids yang diekstrak dari rumpai laut. Alginat dan carrageenan boleh meningkatkan sifat-sifat pengekalan lembapan pada kulit.

 

Umumnya, rumpai laut yg dikultur di Sabah, terdiri daripada dua jenis iaitu kappaphycus alvarezii (eucheuma cottonii) dan juga eucheuma denticulatum (eucheuma spinosum) dan yg paling banyak digunakan dalam industri makanan, perubatan, produk kecantikan adalah kappaphycus alvarezii. Fungsi utama rumpai laut adalah sebagai binder, emulsifier, dan stabilizer disebabkan oleh kandungan karagenannya yang tinggi.

 

Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muta Harah Zakaria, ketika diminta mengulas mengenai fenomena pengambilan rumpai laut, menegaskan makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino, beta-karotein dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kandungan kolagen di dalam kulit. Katanya, bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam pembuatan kosmetik dan banyak digunakan dalam bidang perubatan.

 

Menurutnya, rumpai laut seperti Laminaria, Fucus, Sargassum dan Turbinaria sudah digunakan sejak berkurun untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, cirit-birit dan masalah usus kecil. Beberapa spesies rumpai laut juga dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma.

 

Pelbagai khasiat

 

Kolagen sebenarnya adalah struktur protein yang berfungsi sebagai pelekat dalam badan. Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen untuk memberikan struktur kepada badan, melindungi, menyokong tisu lembut dan menyambungkannya dengan tulang badan.

 

Kandungan mineral, asid amino, beta-karotein dan protein yang tinggi dalam rumpai laut mampu membantu mengekalkan mahupun mengaktifkan proses pembentukan dan penghasilan kolagen dalam kulit. Rumpai laut hijau Caulerpa racemosa mengandungi protein yang tinggi iaitu 11.16 peratus berbanding kubis bunga 1.8 peratus. Rumpai laut jenis merah (Kappaphycus sp) mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber bahan mentah untuk pengekstrakan karagenan iaitu kandungan bahan yang ada dalam rumpai laut yang dianggap sebagai kolagen oleh orang ramai. Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel.

 

Kajian lain

 

Berdasarkan pencarian hasil kajian terhadap kebaikan rumpai laut jelas menunjukkan bahan berkenaan mampu bertindak secara positif dalam membantu mencantikkan kulit, antaranya:

 

* Laman berita CBS New York, melaporkan kajian baru mereka menjelaskan rumpai laut mungkin benar-benar berfungsi membantu masalah kesihatan dan memperbaiki kulit. Beberapa pandangan umum diambil daripada pakar yang menyarankan pengambilan rumpai laut organik dan bukan yang sudah dituai kerana dikhuatiri tidak selamat untuk dimakan.

 

* Kaunselor Kesihatan Holistik New York, Andre Beaman, berkata rumpai laut mengandungi vitamin dan mineral. Menurutnya, lebih ramai orang Amerika mula makan tumbuhan ini dan menemui khasiatnya. Rumpai laut jenis Nori antara rumpai laut paling popular dengan warna hijau dan hitam yang membalut sekeliling sushi.

 

* Pemilik syarikat produk kecantikan rumpai laut New York, Lydia Sarfati, menerangkan kepada CBS rumpai laut mampu menyahtoksik dan mencantikkan kulit tanpa sebarang mudarat pada kulit.

 

* Pakar Dermatologi New York, Dr Jebra Jaliman, berkata rumpai laut yang melatari laut mempunyai vitamin yang sangat baik dan antioksidan yang mampu memerangi penyakit ekszema dan rosacea. Rumpai laut mempunyai banyak vitamin B, E dan C, selain mampu mengatasi masalah keradangan kulit.

 

* Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Beth Israel, berkata barisan penyelidik berharap tumbuhan itu menjadi bahan berkesan menangani penyakit jantung dan arthritis. Menurutnya, kajian demi kajian dilakukan untuk melihat sama ada rumpai laut benar-benar memberi kesan yang boleh dibuktikan secara saintifik.

 

By :

Dr Mariani Abdul Hamid (mariani@ibd.utm.my)

Unit Bisnis Strategik Kosmesiutikal

Institut Pembangunan Bioproduk

UTM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *