Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Farmasi » Rawatan Ketuat (Foot Warts) Pada Kaki

Rawatan Ketuat (Foot Warts) Pada Kaki

Ketuat pada kaki adalah masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan kita. Saya tidak pernah menderita akibat ketuat, namun saya telah berpuluh kali melihat masalah ketuat di kaki.

”Doktor, saya bukan pengotor. Setiap hari saya membersihkan kaki saya” kata seorang lecturer UTM.

Saya tidak dapat memberikan komen sama ada seseorang itu pengotor atau tidak kecuali jika terlalu nyata, kakinya berbau apabila membuka kasut kerana mahu menunjukkan masalah ketuatnya pada saya.

Namun saya percaya dengan membasuh kaki 5 kali sehari ketika mengerjakan solat, membantu kita menjaga kebersihan kaki. Basuhlah celah-celah jari kaki dengan teliti kerana itu adalah kesempurnaan wudhu dan faedah duniawinya amat banyak.

Macam mana saya boleh kena ketuat doktor. Saya peliklah

Soalan ini juga saya tidak dapat menjawabnya. Saya tidak sentiasa bersama pesakit. Apabila pesakit menemui doktor, kaki beliau telah pun ada ketuat. Bagaimana saya mahu menjawab soalan itu?

Namun saya boleh beritahu bahawa ketuat (wart) pada kaki adalah ‘ketumbuhan’ yang berada di tapak pada tapak kaki. Ia juga dinamakan Verrucaes dan selalunya berukuran 1 cm diameter. Kadang kala terdapat satu ketuat yang besar dan dikelilingi oleh beberapa ketuat kecil. Keadaan ini dinamakan sebagai ‘Mosaic Wart’.

Ia disebabkan oleh virus human papilloma virus (HPV) dan boleh berjangkit kepada orang lain, sama ada secara sentuhan, ketika mandi dalam kolam renang atau ketika mandi di bilik air apabila lantai telah tercemar dengan HPV.

Permukaan ketuat kaki ini diselaputi oleh bintik-bintik hitam. Ia sebenarnya salur darah yang memberikan nutrient kepada ketuat ini.

“Adakah ia akan menyebabkan kanser?”

Ketuat pada kaki tidak merbahya. Semua ketuat akan hilang dengan sendirinya walaupun tidak diberikan ubat. Namun ia memakan masa berminggu-minggu malah berbulan-bulan.

Kebanyakan ketuat tidak memberikan masalah besar kecuali pesakit akan sakit dan terasa seperti memijak batu kecil ketika berdiri dan berjalan.

Doktor, bolehkah ketuat dirawat menggunakan cuka atau bahan-bahan lain?” soalan yang saya terima di inbox fb.

Jika tidak mahu mendapatkan ubat dari klinik, rawatan yang boleh diberikan telah saya huraikan pada  

http://drzubaidi.com/blog/?p=1277 

Namun bagi mereka yang mahu mendapatkan ubat dari farmasi bolehlah mencuba cecair duofilm. Duofilm mengandungi bahan aktif salicylate acid yang bertindak sebagai keratolytic, bahan yang akan melunturkan permukaan luar kulit.

Bagi mereka yang hamil atau menghidapi penyakit kronik, saya nasihatkan agar bertanyakan pada ahli farmasi dahulu.

“Ah doktor, saya dah cuba 2 minggu ubat duofilm itu. Tak berkesan pun..!”  

Saya tidak menafikan bahawa cecair duofilm agak lambat kesannya. Namun penggunaanya haruslah berterusan selama 6 hingga 12 minggu. Selain itu mestilah komited dengan cara penggunaannya yang agak melecehkan.

Caranya :

  1. Bersihkan kaki dan rendamkanya dengan air suam selama 5-10 minit. Kemudian keringkannya dengan menggunakan tuala yang bersih.
  2. Gosokkan ketuat menggunakan batu pumice yang kasar atau alat manicure emery board (boleh dibeli dari farmasi), bertujuan untuk mengikis lapisan ketuat.
  3. Sapukan cecair Duofilm menggunakan berus yang disediakan. Sapukan pada ketuat saja dan elakkan terkena pada kulit yang normal.
  4. Biarkan duofilm kering dan tampalkan plaster ke atasnya.
  5. Ulangi sebanyak sekali atau dua kali setiap hari sehingga ketuat hilang.
  6. Duafilm hanya boleh digunakan di bahagian kaki, bukan di bahagian muka atau kemaluan.
  7. Ingat, ketuat adalah jangkitan virus yang boleh merebak. Gunakan tuala yang khas untuk membersihkan kaki dan jangan berjalan di atas lantai tanpa alas kaki atau selipar. HPV akan melekat dilantai dan akan merebak kepada orang lain.

Duofilm juga tidak boleh digunakan untuk membuang tahi lalat (moles) atau tanda lahir. Jangan gunakan ia pada kulit yang mengalami sunburn, terlalu kering, merekah, atau luka.

Cara menyapukan cecair duofilm agak leceh dan memakan masa yang panjang. Jika tidak mampu bersabar berbincanglah dengan doktor untuk rawatan yang lain.

Di pusat Kesihatan, doktor biasanya akan memberikan rawatan menggunakan cecair cantharidin, yang lebih kuat dan berkesan dari duofilm. Ianya tidak boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa kawalan daripada doktor.

Cantharidin adalah sejenis ubat sapu yang dihasilkan oleh racun lebah. Ia akan menghasilkan lepuhan (blister) pada bahagian yang disapukan itu. Doktor akan menyapukan Cantharidin pada ketuat.

Selepas menyapukan cantharidin pada ketuat itu, kaki itu harus dibalut dan diberikan ubat penahan sakit. Balutan itu dibuka selepas 24 jam. Lepuhan yang mengandungi ketuat akan mudah ditanggal dari lapisan kulit yang sihat dan meninggalkan luka yang harus dijaga.

Cara lain ialah teknik cryotherapy yang menggunakan liquid nitrogen untuk membekukan ketuat itu. Ketuat yang ’beku’ itu akan ditanggalkan selepas satu minggu.

Selain daripada itu, doktor boleh membuang ketuat dengan membakarnya mengguatkan cautery, memotong dengan menggunakan pisau bedah atau membuangnya menggunakan laser.

Wallahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (200111)

8 comments

  1. Saya juga pernah mengalami ketuat di jari kaki. Agak lama nak hilang setelah guna duofilm pon x jalan. Mungkin sbb x disiplin. Cuma nk share sket pengalaman menghilangkannya. Mungkin boleh juga dicuba oleh orang lain yg ada masalah yg sama.
    Saya cuma gunakan gel gamat jenama luxor (bkn nk promote ye), cuma secara kebetulan tmpt ketuat tu berdarah semasa saya kikis kasi nipis sbb x selesa bila time pijak lantai. Saya carik minyak gamat x jumpa lalu jumpa gel gamat ni. Saya sapukan kt tmpt ketuat tu lalu buat x endah lepas tu. Selalunye, lepas kikis kita akan rasa balik ketuat tu tumbuh lagi lepas beberapa hari, tpi saya heran sbb rasa selesa plak. Bila rasa dgn jari, tmpt ketuat tersebut jadik halus, mengelupas & semakin elok. Puas saya pikir ubat apa yg saya letak sampai bole jadik elok. Agak lama baru saya teringatkan gel gamat tu.
    Mungkin nak jadik asbab agaknya. Bole cuba kalo habis ikhtiar dah. InsyaAllah…

  2. Salam,
    Apakah kesan Cryotherapy pada keloid? ada kesan sampingan atau ia adalah cara terbaik untuk menghilangkan keloid? farmasi ada jual liquid nitrogen?

    Thanks Doc…

  3. bolehkah ketuat menyebabkan kebengkakan seperti bisul ?

  4. ape bezenya kesakitan ketuat atau duri.saye ade tjadi saye kompuis ketuat atau duri, sebab saye bkerja banyak tdedah dengan duri,kadang2 di indahkan aja..saye kompuis ketuat atau duri ni,doktor tlg jelaskan?

  5. salam Dr.,

    kalau daging lebih di muka atau badan pun ketuat ke? boleh ke guna ubat yang sama -duofilm sebagai rawatan? tq.

  6. ape beza ketuat dan foot corn?

  7. Assalam doktor.

    Saya ingin bertanya bolehkah larutan formalin digunakan untuk mematikan ketuat? Di internet ada yang mengatakan larutan formalin digunakan untuk mematikan ketuat. Jika boleh, adakah larutan formalin ini membahayakan kesihatan dan dimana saya boleh mendapatkan larutan formalin ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top