Bolehkah Susu Ibu Menyebabkan Kekuningan Pada Bayi?

Isu Jaundice dan penyusuan

Ketika saya mempromosikan penyusuan ibu kepada bakal ibu-ibu yang masih lagi sarat hamil, saya telah dikejutkan oleh satu soalan yang mendebarkan.

“Doktor, saya membaca di internet bahawa susu ibu boleh menyebabkan bayi kita mengalami kekuningan jaundice. Boleh doktor terangkan?”

Saya tergamam dan tidak bersedia memberikan jawapan.

Saya pernah mendengar perkhabaran angin seperti itu, namun saya tidak mengikuti perdebatannya dengan teliti.

Semua orang tahu kebaikan susu ibu. Seingat saya semasa menuntut di universiti, penyusuan ibu adalah topik yang besar. Ia disebut secara terperinci kebaikannya dalam matapelajaran Paediatric dan Community Medicine. Malah pernah beberapa tahun keluar sebagai soalan pendek dalam peperiksaan tahun akhir.

Seharusnya setiap doktor yang lulus dalam pengajian perubatan menggalakkan para ibu mengamalkan penyusuan ibu. Untuk itu mereka harus mempunyai ilmu tentang penyusuan ibu ini dengan memberikan minat yang mendalam terutama terhadap isu-isu yang mungkin merisaukan ibubapa.

“Susu ibu boleh menyebabkan kekuningan jaundice?” saya berfikir sekali lagi. Mana logiknya susu ibu yang merupakan susu terbaik bagi manusia diberikan percuma oleh Allah, Tuhan pencipta alam memberikan kemudharatan pula.

Ini satu fakta baru yang selama ini saya tidak perdulikan. Saya ada menulis tentang jaundice di kalangan bayi yang baru dilahirkan di entri saya bertajuk “Jaundice: normal atau bahaya?” di https://drzubaidi.com/blog/?p=1453.

Fenomena kekuningan jaundice di kalangan bayi yang baru dilahirkan adalah normal. Ia dinamakan physiological jaundice, bermakna fenomena yang normal dan semulajadi. Tidak perlu dirisaukan.

Ia bermula selepas 2-3 hari bayi dilahirkan. Puncanya agak rumit diceritakan, namun secara ringkasnya ia berpunca apabila kepekatan bilirubin berkumpul dengan banyak melebihi 85umol/L atau 5mg/dl. Bilirubin ini terhasil akibat sel-sel darah merah bayi yang mulai pecah dan terhurai secara normal ketika dilahirkan.

Pada kebiasaannya bilirubin diuruskan oleh organ hati dan akhirnya dikeluarkan dari tubuh melalui najis berak atau air kencing.

Tetapi jumlah bilirubin yang terlalu banyak tidak mampu diuruskan oleh organ hati bayi yang masih belum matang. Kepekatan bilirubin yang terlalu tinggi dalam darah menyebabkan kulit dan mata berwarna kuning.

Kekuningan jaundice akan berkurang secara perlahan-lahan antara 1-2 minggu selepas bayi dilahirkan. Bagi bayi yang dilahirkan secara pramatang pula akan mengambil masa lebih kurang 3 minggu.

Satu lagi fenomena kekuningan jaundice dinamakan breastmilk jaundice berlaku pada bayi sihat yang menyusu susu ibu. Kekuningan ini berlaku selepas bayi berumur seminggu dan menyusu ibu sepenuhnya. Ia berlaku hanya untuk sementara berlangsung antara 3-12 minggu. Selepas itu tahap kekuningan dan bilirubin akan perlahan-lahan berkurangan.

Ia juga adalah fenomena normal yang sangat jarang berlaku (0.5 hingga 4 peratus kelahiran). Diagnosa selalu dilakukan oleh doktor setelah memastikan tiada ‘kecacatan dalaman’ pada bayi.

Selagi kepekatan bilirubin dalam darah masih rendah, bayi mampu menyusu dengan baik, mampu membuang air besar dengan normal dan mempunyai warna air kencing yang jernih dan tahap kandungan bilirubin dipantau, maka tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan penyusan ibu harus diteruskan.

Penyusuan ibu hanya harus dihentikan jika kepekatan bilirubin didapati melebihi 16mg/dl melebihi 24 jam. (Rujuk “Breastfeeding: A Guide for the Medical Professional”, Lawrence, R. ,Mosby, New York, 1994, 152-4)

Sebab sebenar berlakunya kekuningan jaundice ini tidak diketahui. (Riordan & Auerbach 1999) (Lawrence 1994).

Namun terdapat pelbagai teori yang seolah-olah menyalahkan susu ibu. Pendapat yang mengatakan dalam susu ibu terdapat bahan yang menghalang pencernaan bilirubin. Namun teori ini belum dibuktikan.

Antara pendapat dan teori-teori itu ialah :

  • Teori pertama, susu ibu mengandungi epidermal growth factor (EGF) yang menghalang penghuraian bilirubin kepada bahan yang lebih mudah dikeluarkan dari tubuh. Dengan itu, bilirubin tidak dapat dibuang dari tubuh  dan menyebabkan kepekatan bilirubin tinggi dalam darah.

(Rujuk: Kumral, A; Ozkan H, Duman N, et al. (2009). “Breast milk jaundice  correlates with high levels of epidermal growth factor“. Pediatr Res 66: 218–221.)

  • Teori kedua, susu ibu yang mengandungi saki-baki pencernaan hormon progestrone yang dinamakan 3-alpha-20-beta pregnanediol yang menghalang tindakbalas enzim uridine diphosphoglucuronide (UDPGA) glucuronyl transferase yang berfungsi dalam pencernaan bilirubin dan membuang bilirubin. Sekali lagi bilirubin tidak dapat dikeluarkan dari badan.

(Rujuk: Arias, IM; Gartner LM, Seifter S, Furman M (1964). “Prolonged neonatal unconjugated hyperbilirubinemia associated with breast feeding and a steroid, pregnane-3(alpha), 20(beta)-diol in maternal milk that inhibits glucuronide formation in vitro.“. J Clin Invest 43: 2037–47)

Namun teori ini disangkal dalam kajian yang dilakukan oleh saintis lain.

(Rujuk Murphy, J F; Hughes I, Verrier Jones ER, Gaskell S, Pike AW. (1981). “Pregnanediols and breast-milk jaundice.”. Arch Dis Child 56: 474–76)

  • Teori ketiga, terdapat enzim dalam susu ibu lipoprotein lipase yang menyebabkan kurang tindakbalas glucuronyl transferase yang akhirnya mengganggu pencernaan dan pembuangan bilirubin.

(Rujuk: Poland, R L; Schultz GE, Gayatri G (1980). “High milk lipase activity associated with breastmilk jaundice.“. Pediatr Res 14: 1328–31.)

Secara peribadi saya tidak setuju dengan teori-teori yang menolak kebaikan susu ibu apatah lagi jika ada yang mengatakan bahawa susu ibu adalah susu yang bahaya dan boleh menyebabkan kekuningan. Ini kerana teori-teori itu masih lemah dan memerlukan lebih banyak pembuktiannya.

Malah bayi-bayi ini tidak mengalami apa jua masalah kesihatan. Breastmilk jaundice juga boleh berlaku secara berulang pada adik beradik yang lain.

Beberapa saintis lain yang menganggap kenaikan sedikit kepekatan bilirubin ini adalah fenomena normal berkemungkinan bertujuan melindungi bayi dan ia adalah sesuatu yang belum difahami. Oleh itu penyusuan ibu tidak perlu diganggu. (Riordan & Auerbach 1999) (Lawrence 1994) (Newman & Pitman 2000)

Terdapat juga fenomena kekuningan jaundice disebabkan apabila bayi tidak dapat susu yang secukupnya. Ini dinamakan breast-feeding jaundice. Selalunya disebabkan bayi-bayi yang baru dilahirkan ini lambat diberikan susu dan diberikan susu beberapa hari selepas itu, menyebabkan bayi menjadi lebih kekok dan akhirnya tidak pandai menghisap susu dengan baik dari payudara ibunya.

Menghisap susu secukupnya akan menggalakkan pergerakan usus dan menggalakkan bilirubin dikeluarkan dari tubuh melalui najis. Kekuningan ini akan berkurangan apabila bayi mulai menyusu dengan baik.

Oleh itu, jawapan saya adalah “susu ibu tidak merbahaya kepada bayi dan tidak menyebabkan kekuningan jaundice yang serius pada mereka. Penyusuan ibu harus diteruskan, kecuali dengan arahan doktor”

Bagi ibu yang mempunyai kekuningan pada bayi mereka, bawalah anak berjumpa doktor dan lakukan pemeriksaan kandungan bilirubin dalam darah.

Jika tahap kepekatan bilirubin kurang dari 20 miligram, beberapa langkah yang boleh dilakukan, antaranya:

  1. Menambahkan kekerapan menyusukan bayi sehingga 8-12 kali sehari. Apabila penyusuan kerap dilakukan, ini akan menggalakan pergerakan usus dan secara tidak langsung akan pengeluaran bilirubin melalui najis.
  2. Belajar dari jururawat yang mahir tentang penyusuan efektif kerana apabila bayi tidak menghisap puting dengan cara yang betul, ini akan menyebabkan jumlah susu yang diterima akan berkurangan.
  3. Rawatan fototerapi boleh diberikan.
  4. Jika doktor mencadangkan agar penyusuan ibu dihentikan buat sementara (24-48 jam) bagi mengurangkan kepekatan bilirubin, para ibu boleh memerah payudara dengan menggunakan breast pump bagi menyimpan susu dan boleh diberikan pada bayi kemudian.
  5. Ramai yang memberikan air glucose kepada bayi (petua orang kampung) bagi mengurangkan kekuningan. Sebenarnya petua ini amat berbahaya kerana apabila memberikan air glucose boleh menyebabkan kembung perut dan menyebabkan bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (050112)

Bacaan lain:

  1. Breastfeeding: A Guide for the Medical Professional”, Lawrence, R., Mosby, New York, 1994, 152-4.
  2. The Breastfeeding Answer Book”, Mohrbacher, N. & J. Stock, La      Leche League International, Schaumburg, Illinois 226-7, 1997.
  3. “Dr. Jack Newman’s Guide to Breastfeeding”, Newman, J. and T.    Pitman, HarperCollins, 130-35, 2000.
  4. Breastfeeding and Human Lactation”, Riordan, J. & K. Auerbach, Jones and Bartlett, Boston, 382-89, 1999.

10 comments

  1. membaca entry ini nampak mudah dan tak perlu dirisaukan jika bacaannya 12mg ke bawah.. tapi malangnya jika didatangi jururawat dr klinik kesihatan ketika selepas bersalin, melihat shj bayi sedikit kekuningan di mata mereka mengekspresikan kerisauan yg melampau.. mengarah ibu yg sedang berehat dan berpantang dtg segera ke klinik utk check darah wlwpun sudah diperiksa 1hari sebelum itu, begitu juga hari berikutnya, minggu berikutnya..alangkah baiknya jururawat terlatih menggunakan pendekatan psikologi spy ibu lebih tenang dan tidak tertekan dan dpt menyusukan anak dgn baik..nak ke klinik bukan mudah, tggu teksi kena tggu giliran lagi.. suasana tak tenteram terpaksa dlalui yg mana masa yg sptutnya si ibu dan anak duduk berehat dirumah tersia-sia.. setelah diperiksa darah bayi pulang dgn kepenatan.. bukan mendapat rawatan pun hanya meletihkan..sedangakan RAWATAN TERBAIK itu ialah munyusukan anak dalam keadaan tenang tanpa gangguan..bila dah penat, waktu penyususan terganggu dan kadang2 air susu berkurang pula akibat tekanan ini. betapa tidak holistiknya sistem perubatan di negara ini…berhadapan dgn jururawat adalah satu tekanan besar.. (adakah doktor2 sedar tentang ini)bila berjumpa doktor, dgn tenang doktor menjawab: oh tak perlu risau.. susukan kerap shj..

    • Saya setuju dengan pendapat Hani.
      Bayangkan dalam keadaan kepenatan selepas bersalin, ibu-ibu perlu membawa anak ke klinik/hospital dan prosesnya mengambil masa hampir setengah hari. Terpaksa pula berjalan jauh dari tempat letak kereta, makmal dan bilik doktor. Hampir kebanyakan ibu-ibu yang terbuka jahitan sewaktu bersalin adalah kerana masalah ini.
      Doktor akan sarankan supaya susukan bayi lebih kerap dan sekiranya bayi kerap kencing dan berak ibu-ibu tak perlu risau.
      Rasanya lebih baik kita sebagai ibu berehat dan susukan bayi di rumah selagi kekuningan pada bayi tidak ketara.

  2. Assalammu’alaikum w.b.t,

    Saya sanga-sangat bersetuju dengan pendapat hani & zima.jururawat yang mengendalikan masalah ibu & bayi di negara ini masih lagi di tahap yang lemah.Ini kerana terdapat perbezaan pendapat yang ketara di antara mereka.Semasa saya bersalin anak kedua anak saya menghidap kuning.Saya diarahkan membawa anak hampir selama sebulan berulang alik dari rumah ke klinik hampir sebulan.Bayangkan saya yang baru sahaja melahirkan anak beberapa hari ,terpaksa turun naik tangga hanya kerana jururawat mahu mengambil darah bagi memeriksa tahap jaundice.Saya menetap di rumah flat di tingkat 4!.Kalau macam nie tak ada gunaya saya berpantang kerana dalam pantang pun saya dah banyak berjalan yang mana boleh memudaratkan diri saya di kemudian hari.Tapi bila memikirkan anak,saya gagahkan juga.Lagi satu yang menjadi kekecewaan saya apabila pendapat di antara kakitangan perubatan kerajaan yang berbeza yang mana bila saya periksa jaundice anak di KK bacaannya 13mg di katakan tinggi dan disuruh rujuk ke hospital.Tetapi apabila pergi ke hospital bacaan 13mg di katakan masih rendah lagi.Doktor pula boleh pula menyatakan KK sepatutnyan tak perlu rujuk ke hospital kerana bacaannya tak tinggi.Saya sebagai orang awam yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan perubatan mestilah sanagat keliru dan bimbang dengan kepakaran yang ada pada kakitangan perubatan yang berbeza pendapat.

  3. Tambahan……

    Tetapi x semua kakitangan perubatan begitu.Saya menjadi sangat kagum dengan pegawai-pegawai perubatan yang lama telah berkhidmat.Ini kerana cara dan pendekatan yang mereka gunakan lebih menyakinkan dan lebih mendekati pesakit berbeza sangat dengan pegawai perubatan yang baru.

  4. saya mempunyai 2 anak dan kedua-duanya jaundice semasa bayi. memang saya pernah terbaca tentang breast-feeding jaundice. anak sulung saya jaundice lebih 3 minggu, tetapi masuk minggu ke-4, jaundicenya hilang. manakala anak kedua saya hampir 9 minggu jaundice. tetapi kedua-duanya menyusu susu ibu sepenuhnya. alhamdulillah, berkat kesabaran dan percaya bahawa susu yang dijadikan oleh allah xkan memudaratkan anak malah berkhasiat, anak2 saya sihat hingga ke hari ini… cuma, sekiranya ada anak seterusnya, mungkinkah jaundice ini akan berlaku juga kepada mereka? dan adakah ini dinamakan breast-feeding jaundice?

  5. Dr.

    kedua nak saya mengalami jaundice blood grouping…sekarang masing-masing sudah berumur 3 dan 5 tahun…cuma saya nak tanya, jaundice tu hilang atau bila besar mereka masih ada jaundice tersebut?

  6. assalamualaikum.

    saja nak share.. masa anak saya kena jaundice, bacaan dia agak tinggi. sampai saya sedih dan susah hati bila tengok kulit dan mata putih kuning sangat. dapat petua dari sorang nyonya suruh bagi air sengkuang cina. tak susah pun, just parut 2 biji sengkuang cina untuk dptkan pati dia. jgn campur air masak ataupun gula. hanya air sengkuang tu saja. saya bagi sekali pagi, sekali mlm. cukup 3 hari anak saya ok. cubalah. insyaallah.. Allah Maha memudahkan.

  7. jika jaundice buley bkurang dgn sendiri…adkh x perlu utk mjalani rwtn fototherapy???apa side effect utk rwtn ini???ad petua yg mgatakan minum buah anggur yg diperah…adkh betul??adkh kesannya sama dgn kesan dari minum air glucose??

  8. assalam.. klu ank kena kuning cuba bg minum air kelapa muda satu sudu teh jer tp kerap.. ank sy trn minum air kelapa muda. sedih gak laa ble kena cucuk kt tumit ambk darah.. 1g tgk kumpulan darah ibu gak.. slalu klu O mmg kena check smpai trn betul2.. bg susu ibu kerap2 n pasang lampu siang malam.. :)

Leave a Reply to NJACancel reply

error: Content is protected !!