Advertorial
Selamatkah MSG untuk Bayi dan Wanita Hamil?

Selamatkah MSG untuk Bayi dan Wanita Hamil?

Tahun lepas saya dan isteri singgah di sebuah gerai di bandar Kota Baru. Oleh kerana waktu tengah hari sudah tiba, saya memesan sup tulang bersama dengan nasi putih.

“Emm..sedapnya sup tulang ni. Boleh minta resepi untuk kita cuba di JB..”

Saya menghirup baki sup di mangkuk. Ketika membayar, saya memanggil isteri saya dan memintanya mengenalpasti bahan-bahan masakan di dalam mangkuk-mangkuk yang tersedia sebelum ia ditambahkan dengan sup panas.

“Padanlah sedap, dia sudah sediakan sesudu MSG bagi setiap mangkuk..”

Cerita MSG tidak berhenti di situ saja.

Baru-baru ini saya ditemui seorang wanita hamil di pusat kesihatan.

“Saya amat bimbang dengan makanan yang dijual di kantin tempat saya bertugas. Semuanya berminyak. Agaknya penuh dengan MSG. Saya takut nak makan.”

Beliau yang bekerja di pejabat kerajaan negeri di Johor Bahru, mengadu kepada saya tentang masalah yang dihadapinya. Dia mula berhati-hati dengan pemakanannya setelah tekanan darahnya mula meningkat.

“Jadi puan makan di mana?” saya cuba menduga.

Kadang-kadang saya dan kawan-kawan makan di restoran makanan segera lah doctor. Makanannya nampak bersih. Puas hati sebab sedap

“Puan pasti makanan di situ tak ada MSG yang boleh memberi kesan pada bayi dalam kandungan puan?” saya terus menduga.

Kali ini dia tidak menjawab provokasi saya.

Ramai di antara kita yang mungkin tidak menyedari, makanan segera selalunya ditambah MSG untuk meningkatkan rasa makanan yang dihidangkan. Bukan saja restoran segera, gerai-gerai yang menjual mee rebus, laksa dan mee hoon sup juga meletakkan MSG untuk menyedapkan makanan mereka, sekaligus melariskan jualan mereka.

Jadi apa pilihan kita ada?

Masyarakat awam telah menganggap MSG sebagai bahan ‘racun’ dalam makanan dan membunuh secara perlahan-lahan. Seorang rakan saya yang semakin botak kepalanya, dikatakan menjadi mangsa MSG kerana beliau gemar makan mee segera selama bertahun-tahun. Begitu juga seorang rakan yang meninggal dunia di awal 40an. MSG juga dipersalahkan.

Jadi kalau orang dewasa normal mengalami kesan negatif akibat daripada MSG, bagaimana pula kesannya terhadap wanita hamil dan bayi yang dikandungnya?

Selama ini tidak ada perbincangan ilmiah dari sarjana-sarjana pemakanan dan perubatan di Malaysia. Tiada orang yang berkelayakan yang sudi membincangkan isu MSG ini. MSG hanya dibincangkan oleh segelintir mereka yang prihatin kepada hak pengguna dan ditulis oleh mereka yang bukan professional dalam bidang pemakanan mahu pun bidang perubatan. Pihak-pihak yang berwajib juga bersikap mendiamkan diri.

 

MSG adalah racun?

MSG atau Monosodium glutamate  telah lama digunakan dalam industry masakan. Ia digunakan sebagai penambah keenakan masakan (food enhancer). Ini kerana  MSG sendiri tidak mempunyai rasa masam, manis atau masin. Namun jika dicampurkan dalam masakan, ia akan menambahkan kesedapan masakan itu. Di Malaysia, MSG dipasarkan menggunakan jenama AJINOMOTO.

Unsur penting dalam MSG ialah glutamic acid, di mana glutamic asid juga adalah salah satu amino asid yang diperlukan oleh tubuh. Otak dan saraf menggunakan glutamic asid sebagai neurotransmitter, iaitu bahan biokimia yang digunakan semasa pengaliran impulse.

MSG boleh diperbuat secara semulajadi daripada makanan seperti tomato, gandum, cendawan dan jagung. Jika seseorang menggunakan MSG yang dihasilkan secara semulajadi, ia tidak memudharatkan sistem penghadaman, kerana MSG yang sebegitu adalah mesra pencernaan.

Namun jika menggunakan MSG yang dibuat melalui proses penapaian di mana bacteria digunakan atau proses hydrolysis yang menggunakan kimia, ia akan menghasilkan MSG yang mungkin merbahaya pada manusia jika diambil secara berlebihan.

(rujukan : Leung, Albert Y.; Foster, Steven (August 2003). “Monosodium Glutamate”. Encyclopedia of Common Natural Ingredients: Used in Food, Drugs, and Cosmetics(2nd ed.). New York: Wiley. pp. 373–375)

Oleh itu ramai pakar pemakanan yang diiktiraf menganggap MSG selamat digunakan jika menggunakannya dengan jumlah yang terkawal.

“Doktor, saya memang suka makan yong tau fu dan masakan ala Thai di restoran itu. Memang sedap. Tapi saya tidak tahan sakit kepala selepas memakannya. Kulit saya pula menjadi kemerah-merahan. Saya tidak pasti sama ada ianya disebabkan oleh MSG atau makanan laut”

Saya tidak menafikan bahawa MSG boleh menyebabkan masalah alahan pada sesetengah orang. Bukan setakat sakit kepala, malah MSG boleh menyebabkan tanda-tanda alahan yang lain seperti sakit dada, rasa bahang di bahagian atas dada dan muka, kebas atau terbakar , malah bengkak di bahagian mulut, dan berpeluh keterlaluan.

Walaubagaimanapun, sekali lagi saintis tidak dapat membuktikan bahawa MSG adalah bahan yang menjadi punca alahan dan fenomena itu. Tidak ada kajian yang terperinci kesan MSG yang menyebabkan kejadian alahan. Oleh itu ia masih lagi digunakan dalam setiap masakan di Asia Timur.

Cuma saya mendapati ada satu kajian yang dibuat pada tahun 1974 oleh Dr. Liane Reif-Lehrer, saintis di Harvard Medical School melalui soal jawab mengenai tindakbalas terhadap MSG.

Beliau mendapati 30 peratus dari 1,529 responden mengadu rasa pening, loya, sakit perut, gangguan pandangan mata, lemah, sukar bernafas, rasa ‘tegang dan ketat’ di muka. Mungkin orang barat lebih mudah mendapat alahan berbanding orang Asia.

(rujukan : Kerr, GR, Wu-Lee, M, El-Lozy, M, McGandy, R, and Stare, F. Food-symptomatology questionnaires: risks of demand-bias questions and population-biased surveys. In: Glutamic Acid: Advances in Biochemistry and Physiology Filer, LJ, et al., eds. New York: Raven Press, 1979.)

Saya berpendapat bahawa MSG haruslah digunakan secara terkawal dan berhati-hati. Mereka yang mempunyai tanda-tanda alahan seperti yang disebutkan tadi haruslah memberitahu kepada pelayan restoran bahawa mereka alah terhadap MSG sebelum memesan makanan. Atau cara yang paling selamat adalah mengelakkan dari mengunjungi restoran seperti itu.

 

Jadi bolehkah MSG dianggap sebagai racun yang membunuh pada jangka masa yang panjang?

Ini adalah soalan yang agak sukar dijawab. Untuk ini saya melihat laman web Food and Drug Administration (FDA). FDA yang merupakan sebuah badan berkuasa menjaga keselamatan makanan dan ubat-ubatan di Amerika, hanya memberikan garis panduan yang longgar.

MSG dianggap sebagai “secara amnya dianggap selamat” oleh FDA. Walaubagaimanapun FDA mewajibkan semua makanan yang menggunakan MSG dinyatakan pada labelnya. Ia bertujuan bagi mengelakkan reaksi alahan yang teruk terhadap MSG. (rujuk: FDA Backgrounder- FDA and Monosodium Glutamate)

Di Malaysia sendiri tidak ada catatan yang direkodkan mengenai kejadian alahan teruk akibat memakan makanan yang mengandungi MSG. Oleh itu terlalu sukar untuk menentukan kuantiti yang selamat menggunakan MSG dalam makanan.

Namun begitu, panduan FDA menyatakan bahawa alahan akibat MSG boleh berlaku dalam masa sejam setelah menikmati makanan yang mengandungi sekurang-kurangnya 3 gram atau lebih MSG. Selalunya makanan yang dilabelkan sebagai “mengandungi MSG” mempunyai kandungan MSG kurang dari 0.5 gram.

Alahan ini boleh berlaku jika seseorang memakan sup secara berlebihan di restoran yang sememangnya menggunakan MSG dalam penyediaan makanan.

(Rujukan : Federal Register, Dec. 4, 1992 (FR 57467) and Federal Register, Jan. 6, 1993 (FR 2950); FDA Consumer, December 1993, “Food Allergies: When Eating is Risky.”)

 

“Chinese restaurant syndrome”

Seorang tukang masak terkenal di Amerika Syarikat, Robert Ho Man Kwok memerhatikan terdapat beberapa orang Barat yang alah terhadap masakan ala Cina, lalu menamakan keadaan ini sebagai “Chinese restaurant syndrome”. Menurut Kwok, kejadian alahan ini tidak semestinya disebabkan oleh MSG, tetapi boleh juga disebabkan oleh pelbagai bahan yang digunakan ketika memasak.

Antaranya arak alcohol dari wine, garam yang digunakan, dan mungkin juga MSG. Namun MSG telah menjadi fokus bagi kejadian alahan ini dan ia terus menjadi “kambing hitam” bagi setiap masalah kesihatan yang dialami oleh pengguna MSG. Kejadian alahan ini kemudian dinamakan semula sebagai “MSG Symptom Complex”.

(rujuk : Freeman, M (2006). “Reconsidering the effects of monosodium glutamate: A literature review”. Journal of the American Academy of Nurse Practicioners 18: 482–486.)

Simptom bagi “MSG Symptom Complex” adalah sakit kepala, sakit dada, rasa bahang di bahagian atas dada dan muka, kebas atau terbakar , malah bengkak di bahagian mulut, dan berpeluh keterlaluan. Adakalanya boleh menyebabkan sukar bernafas akibat saluran pernafasan yang mengecut (bronchospasm) dan juga pengsan.

(rujuk : Reif-Lehrer, L. Prevalence of Chinese restaurant syndrome. Federation Proceedings 35:1617-1623,1977.)

Oleh itu FDA mewajibkan semua makanan harus dinyatakan jika menggunakan MSG (dilabelkan) dan menasihatkan penggunaan MSG tidak seharusnya melebihi 3 gm dalam setiap hidangan.

FDA menasihatkan agar MSD digunakan secara berhati-hati oleh orang ramai. Walaupun ia tidak membahayakan secara umum, namun golongan yang perlu diberikan perhatian yang lebih ialah bayi, kanak-kanak, wanita hamil, warga emas, pesakit asthma, pesakit yang mempunyai penyakit saraf atau immunologi, pesakit jantung dan pesakit yang mengalami masalah usus. Mereka dikhuatiri akan mudah mendapat masalah alahan akibat penggunaan MSG.

Wanita hamil pula harus berhati-hati dalam pemakanannya kerana bayi dalam rahem ibu amat mudah menerima kesan negatif pengambilan MSG yang berlebihan.

 

Bagaimana MSG menyebabkan alahan ?

Bukankah FDA dah kata, MSG ni selamat. Buat apa kita nak risau..”

Seorang rakan menghirup kuah mee segera yang berbaki dengan penuh keyakinan. Tidak setitik pun yang berbaki. Berapa banyak agaknya MSG yang dicampurkan pada serbuk perasa mee segera itu.

Suka hati lah Mat. Sendiri punya badan..”. Saya mengalah dan menarik diri dari perdebatan.

Memanglah FDA tidak melabelkan MSG sebagai bahan penambah rasa yang berbahaya. Namun dari segi logik, semua bahan ‘bukan semulajadi’ jika diambil secara berterusan atau berlebihan akan menyebabkan mudharat.

Walaupun tiada kajian yang sahih mengenai keburukan MSG, namun terdapat banyak kajian-kajian dari ‘saintis bebas’ mengenai kesan MSG terhadap haiwan yang diberikan MSG secara berlebihan atau pada jangka masa yang panjang.

Namun kajian-kajian seperti ini tidak diterima oleh FDA. FDA mahukan satu kajian yang tepat mengenai kesan MSG terhadap manusia sebelum memberikan amaran berbahaya kepada masyarakat.

Mereka mahukan satu kajian lengkap di mana MSG diberikan kepada sekumpulan manusia yang dikawal permakanan dan dikaji kesannya. Ini bermakna dalam kajian itu, sekumpulan manusia harus diberikan makanan yang mengandungi MSG pada setiap hidangan mereka. Kesan negatif dari MSG kemudiannya dikaji.

Sudah tentulah kajian sebegini adalah kajian yang tidak beretika. Mana-mana badan perubatan tentu akan mengecam sebarang kajian saintifik yang melibat manusia secara terus sebelum diketahui bahan yang hendak diuji itu selamat atau tidak. Jadi kajian ini tidak pernah dilakukan.

Namun yang menjadi persoalannya ialah jika kajian yang melibatkan manusia tidak dibenarkan, bagaimana kita mahu mengetahui MSG selamat diambil? Apakah ada kemungkinan MSG mempunyai kesan terhadap tubuh manusia terutama saraf, jika diambil secara berlebihan atau sacara berpanjangan?

Apa yang menjadi kebimbangan ialah kesan MSG terhadap bayi yang berada dalam kandungan.

Terdapat banyak kajian yang dilakukan oleh ahli saintis pathologist ke atas haiwan dan mereka mengkaji kesan MSG di peringkat sel. Kajian mereka yang diterbitkan dalam journal Toxic Pathology, mengatakan bahawa terdapat  glutamate receptors yang terdapat pada system saraf tunjang (central nervous system) dan di bahagian-bahagian lain pada tubuh seperti di bahagian mulut, paru-paru, usus dan otot.

(rujukan : Gill, S.S., Mueller, R.W., McGuire, P.F., Pulido, O.M. Potential target sites in peripheral tissues for excitatory neuro transmission and excitotoxicity. Toxicologic Pathology 28(2):277-284, 2000)

Jika seseorang menggunakan MSG yang berlebihan, proses ‘detoxifikasi’ MSG menjadi tidak sempurna dan menyebabkan lebihan MSG yang berada di dalam darah akan merangsang reseptor di dalam mana-mana organ dan menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Oleh itu mangsa akan mengalami kebas badan dan mulut, sukar bernafas, sakit perut atau rasa lemah tubuh.

Ini menjelaskan teori “MSG-Complex Syndrome”.

 

Kesan MSG berlebihan pada saraf

Dalam membincangkan sistem saraf, terdapat satu istilah yang sering digunakan iaitu neurotransmitter. Neurotransmitter adalah biokimia dalam badan yang terdapat pada setiap hujung saraf, bertujuan untuk mengawal impulse atau message dari satu saraf kepada satu saraf yang lain.

Terdapat dua jenis neurotransmitter- “excitatory” (menggalakkan) atau “inhibitory” (menghalang). Excitatory neurotransmitter seperti glutamate akan menggalakkan pengaliran sementara Inhibitory neurotransmitter seperti GABA akan menghalang mengaliran impulse.

Keseimbangan di antara glutamate dan GABA dikawal oleh sejenis enzim Glutamate decarboxylase . Enzim ini dapat menukarkan glutamate yang berlebihan menjadi GABA. Ini bertujuan agar badan dapat mengawal keseimbangan saraf, dengan ini seseorang tidak akan menjadi terlalu teruja, bertenaga dan agresif (apabila terlalu banyak glutamate)  atau menjadi terlalu lemah, mengantuk dan tidak bermaya (apbila terlalu banyak  GABA).

(rujukan : Robert Sapolsky (2005). “Biology and Human Behavior: The Neurological Origins of Individuality, 2nd edition”. The Teaching Company)

Jadi bayangkan jika seseorang mengambil MSG (yang mengandungi glutamate) secara berlebihan dan berpanjangan, maka kebanyakannya akan ditukarkan ke GABA  dan seterusnya menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan dan keletihan.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal Neurochemical Research, membuktikan MSG (dos sebanyak 500mg/kg) yang diberikan pada tikus-tikus di dalam makmal adalah merbahaya kepada  sistem saraf mereka. MSG telah mengubah kandungan neurotransmitter dalam otak tikus-tikus jantan itu.

(Rujukan: “Effect of age and monosodium-L-glutamate (MSG) treatment on neurotransmitter content in brain regions from male Fischer-344 rats.”  Wallace DRDawson R JrNeurochem Res. 1990 Sep;15(9):889-98.)

Sementara Dr Liane Reif-Lehrer, dari Harvard Medical School dalam suatu kajian secara pasif, iaitu apabila bayi yang mempunyai penyakit sawan, tidak diberikan sedikit pun sebarang perasa MSG dalam makanan mereka, didapati bayi-bayi ini pulih sepenuhnya dari sawan ketika berada di hospital.

(Biodata Dr Liane Reif-Lehrer boleh dilayari di: http://www.grantforms.com/bookstore/authors_consultants/liane_page.html)

Ahli saintis juga mendapat bukti bahawa glutamate yang berlebihan akan menyebabkan sel-sel otak akan mati secara perlahan-lahan. Ini kerana sel-sel otak yang dirangsang secara berlebihan akan mati, dan menyebabkan berlaku pembentukan parut yang hanya dapat dikesan melalui mikroskop. Sel-sel otak boleh membengkak dan mati setelah beberapa jam.

Seorang doktor Dr. John Olney, di Universiti Washington memberitahu  banyak bukti menunjukkan glutamate boleh merosakkan sel-sel otak pada haiwan di dalam makmal terutama pada kelenjar hypothalamus dan menyebabkan kegemukan, perubahan sikap, ketidakseimbangan hormon, sawan dan ketidaksuburan.

(rujukan: “Excitotoxin Food Additives: Functional Teratological Aspects,” Dr. John Onley, Progressive Brain Research, Vol. 18, 1988, pg. 283)

Banyak lagi kajian yang menyokong kenyataan ini. Saya ada menyenaraikannya dalam lampiran I.

 

Pengambilan MSG semasa hamil

Sekali lagi FDA tidak mengambil kajian-kajian itu sebagai bukti kukuh mengenai kerosakan yang disebabkan oleh MSG pada manusia. MSG hanya dikelasifikasi sebagai GRAS (Generally Recognized as Safe for consumption) iaitu ianya selamat.

Begitu juga kesan MSG terhadap janin atau bayi dalam rahem. FDA mengatakan bahawa tiada bukti kukuh yang mengatakan bahawa MSG sangat berbahaya pada janin dalam rahem. Malah FDA memberitahu bahawa untuk mendapat kesan sampingan yang buruk pada janin, seseorang wanita hamil perlu menelan jumlah dos MSG yang banyak.

Saya berpendapat, kita perlu juga memberikan perhatian kepada kajian yang dilakukan oleh ‘saintis bebas’ yang mengatakan bahawa MSG boleh memberikan kesan buruk pada janin dalam rahem.

Malah MSG boleh memberikan kesan secara langsung kepada sistem saraf dan otak wanita orang yang mengambilnya, dan bayi yang sedang dihamilkan. Ini kerana MSG merentasi sempadan pada uri dan sampai kepada bayi yang berada dalam rahem.

(Rujukan : 1. Frieder, B, and Grimm, VE. Prenatal monosodium glutamate (MSG) treatment given through the mother’s diet causes behavioral deficits in rat offspring.Intern J Neurosci. 23:117-126,1984 dan 2. Gao, J, Wu, J, Zhao, XN, Zhang, WN, Zhang, YY, Zhang, ZX. [Transplacental neurotoxic effects of monosodium glutamate on structures and functions of specific brain areas of filial ice.] Sheng Li Hsueh Pao Acta Physiologica Sinica. 46:44-51,1994.)

Jadi sebagai pengguna, apa yang penting ialah sikap berhati-hati kita terhadap pemakanan yang disediakan, sama ada di restoran atau masakan yang kita masak sendiri di rumah.

Bagi wanita hamil, walaupun FDA tidak mengharamkan penggunaan MSG dalam makanan, ini tidak bermakna MSG selamat digunakan dalam masakan. Berhati-hatilah kerana setiap orang mempunyai tindakbalas yang berbeza terhadap MSG.

Walaupun bukti-bukti kerosakan otak hanya dibuktikan pada haiwan dalam makmal, tidak bermakna otak manusia tidak mengalami kerosakan jika MSG digunakan dalam kuantiti atau kekerapan terlalu banyak atau digunakan dalam waktu yang panjang.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (04062011)

 

 

 

LAMPIRAN I : Kajian saintifik menyokong kenyataan MSG merosakkan tisu-tisu otak dalam haiwan di makmal.

1. Olney, J.W. Ho, O.L., and Rhee, V. Cytotoxic effects of acidic and sulphur containing amino acids on the infant mouse central nervous system. Exp Brain Res 14: 61-76, 1971.

2. Olney, J.W., and Sharpe, L.G. Brain lesions in an infant rhesus monkey treated with monosodium glutamate. Science 166: 386-388, 1969.

3. Perez, V.J. and Olney, J.W. Accumulation of glutamic acid in the arcuate nucleus of the hypothalamus of the infant mouse following subcutaneous administration of monosodium glutamate. J Neurochem 19: 1777-1782, 1972.

4. Arees, E.A., and Mayer, J. Monosodium glutamate-induced brain lesions in mice. Presented at the 47th Annual Meeting of American Association ofNeuropathologists, Puerto Rico, June 25-27, 1971. J Neuropath Exp Neurol 31: 181, 1972.

5. Everly, J.L. Light microscopy examination of monosodium glutamate induced lesions in the brain of fetal and neonatal rats. Anat Rec 169: 312, 1971.

6. Olney, J.W. Glutamate-induced neuronal necrosis in the infant mouse hypothalamus. J Neuropathol Exp Neurol 30: 75-90, 1971.

7. Lamperti, A., and Blaha, G. The effects of neonatally-administered monosodium glutamate on the reproductive system of adult hamsters. Biol Reprod 14: 362-369, 1976.

8. Takasaki, Y. Studies on brain lesion by administration of monosodium L-glutamate to mice. I. Brain lesions in infant mice caused by administration of monosodium L-glutamate. Toxicology 9: 293-305, 1978.

9. Holzwarth-McBride, M.A., Hurst, E.M., and Knigge, K.M. Monosodium glutamate induced lesions of the arcuate nucleus. I. Endocrine deficiency andultrastructure of the median eminence. Anat Rec 186: 185-196, 1976.

10. Holzwarth-McBride, M.A., Sladek, J.R., and Knigge, K.M. Monosodium glutamate induced lesions of the arcuate nucleus. II Fluorescence histochemistryof catecholamines. Anat Rec 186: 197-205, 1976.

11. Paull, W.K., and Lechan, R. The median eminence of mice with a MSG induced arcuate lesion. Anat Rec 180: 436, 1974.

12. Burde, R.M., Schainker, B., and Kayes, J. Acute effect of oral and subcutaneous administration of monosodium glutamate on the arcuate nucleus of the hypothalamus in mice and rats. Nature (Lond) 233: 58-60, 1971.

13. Olney, J.W. Sharpe, L.G., Feigin, R.D. Glutamate-induced brain damage in infant primates. J Neuropathol Exp Neurol 31: 464-488, 1972.

14. Abraham, R., Doughtery, W., Goldberg, L., and Coulston, F. The response of the hypothalamus to high doses of monosodium glutamate in mice and monkeys: cytochemistry and ultrastructural study of lysosomal changes. Exp Mol Pathol 15: 43-60, 1971.

15. Burde, R.M., Schainker, B., and Kayes, J. Monosodium glutamate: necrosis of hypothalamic neurons in infant rats and mice following either oral or subcutaneous administration. J Neuropathol Exp Neurol 31: 181, 1972.

16. Robinzon, B., Snapir, N., and Perek, M. Age dependent sensitivity to monosodium glutamate inducing brain damage in the chicken. Poult Sci 53: 1539-1942, 1974.

2 comments

  1. doc, info yang berguna. walaupun FDA cakap selamat, better kita beringat. =)

  2. t kasih Dr, saya ambil maklumat untuk bahan kerja kursus saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top