Kesakitan Abdomen Semasa Hamil

“Segala puji bagi Allah yang memberikan kesakitan dan yang menyembuhkan. Sesungguhnya setiap kita akan diuji untuk melihat siapa di antara kita yang lebih baik amalannya”

 Saya mulakan artikel kali ini dengan satu pertanyaan dari seorang ibu yang kerungsingan.

 “Tuan Doktor, sekarang saya mengandung 30 minggu anak kedua. Anak pertama sudah 4 tahun dan lahir secara pembedahan caeseran. Kenapa saya merasa sakit di pangkal perut bawah seolah terasa bayi yang di kandung berada di bawah tu? Saya merasakan sakit perut itu seharian dan saya merasa tidak selesa. Saya sudah berjumpa doktor dan telah menjalani ujian scan untuk bayi saya. Doktor memberitahu kedudukan bayi saya adalah normal, bergerak aktif dan pergerakannya melebih 10x sehari. Saya ingin bertanya doktor masalah saya iaitu sakit perut yang tidak henti-henti dan apa perlu saya buat?”

 

Adakah wanita yang hamil merasa sakit di bahagian abdomen bawah dikira normal?

Ramai wanita yang hamil mengadu sakit perut. Bayangkan dengan penambahan berat bayi beberapa kilogram di dalam abdomen, sudah tentu ianya akan memberikan suatu keadaan yang tidak selesa dan tidak menyenangkan.

Selalunya ‘ketidakselesaan’ ini tidak merbahaya, namun adakalanya ianya adalah tanda awal kepada masalah yang besar. Ianya boleh jadi berkaitan dengan kehamilan, namun ada juga kesakitan yang tiada kaitan langsung dengan kehamilan. Ini bermakna wanita yang tidak hamil juga mengalaminya.

Namun begitu jika ‘ketidakselesaan’ ini atau kesakitan pada abdomen ini berpanjangan, jangan dibiarkan. Bukan saja ia mungkin boleh menyebabkan bahaya kepada ibu yang hamil,  malah kepada bayi yang berada dalam kandungan.

Saya cuba membincangkan secara ringkas beberapa masalah yang berkaitan dengan ‘ketidakselesaan’ atau kesakitan di bahagian abdomen terutama di akhir kehamilan. Namun diharapkan puan-puan tidak cuba mendiagnosa diri sendiri. Berjumpalah dengan doktor yang biasa puan buat rawatan semasa kehamilan. Doktor yang biasa merawat puan mungkin lebih memahami puan dari segi masalah kesihatan puan dan juga lebih perhatian kepada emosi puan. Ramai yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh doktor yang baru dikenali hanya kerana mungkin doktor itu kurang menghargai emosi mereka. Jadi untuk tidak merasa kecewa dengan diagnosa yang diberikan, berjumpalah dengan doktor yang biasa puan jumpa.

 

Agaknya kesakitan yang bagaimana dikatakan merbahaya dan yang mana pula dikatakan tidak merbahaya?

Saya cuba menyusun beberapa tanda kesakitan perut berserta dengan keluhan lain yang mungkin merbahaya. Antaranya ialah kesakitan abdomen berserta dengan sakit yang memulas-mulas yang berulang-ulang dan berlarutan beberapa lama, pendarahan dari faraj sama ada sedikit (darah bercampur lendir atau spotting) atau darah yang banyak, sakit perut berserta demam dan menggigil, keluar lendiran banyak yang keluar dari faraj, atau kesakitan abdomen ketika kencing serta rasa loya dan muntah.

 

 Adakah ianya tanda serius?

Antara sebab ketidakselesaan di bahagian abdomen yang merbahaya ialah kelahiran pra matang. Keadaan begini berlaku tanpa sebab, apabila rahim mula mengecut (contraction) dan pangkal rahim (cervix)  mula mengembang dan membesar sebelum umur kelahiran 37 minggu. Jika tidak dikawal, ini menyebabkan bayi di dalam rahim akan keluar sebelum tiba masanya.

Maka jika puan merasakan ‘ketidakselesaan’ atau kesakitan pada umur kehamilan sebelum 37 minggu , eloklah segera berjumpa doktor.

Pengalaman saya bekerja di wad bersalin, ika kesakitan abdomen itu berterusan terutama di bahagian bawah (ari-ari atau suprapubic), maka wanita hamil itu dinasihatkannya untuk rehat di wad untuk pemerhatian. Jika keadaan terkawal, kehamilan bayi dapat diperpanjangkan. Jika tidak kelahiran pramatang tidak dapat dielakkan.

Tanda-tanda awal bagi kelahiran sebegini ialah sakit di bahagian abdomen bawah. Ianya boleh saja sakit yang menggganggu atau hanya  terasa penuh dan tidak selesa. Kadang-kala ianya melarat menjadi sakit seperti senggugut dan berpanjangan. Ada yang menceritakan seolah-olah memulas-mulas 4-5 kali setiap jam. Ada juga yang merasakan kesakitan itu melarat hingga ke pinggang.

Tanda lain bagi kelahiran pramatang ialah keluarnya lendiran dari faraj (vaginal discharge)  sama ada ianya berbentuk lender pekat, cecair yang cair atau bercampur dengan darah.

Asalkan lendir itu keluar dari faraj pada wanita yang hamil, ianya merupakan tanda yang tidak baik. Apatah lagi darah yang keluar merupakan darah yang merah (fresh blood), ianya lebih membimbangkan.

 

Satu lagi kes yang serius ialah keadaan yang dinamakan sebagai ”Placental abruption”. Ianya amat serius kerana uri (placenta) mula berpisah dari dinding rahim sebelum proses kelahiran bermula.

Placental abruption ini berlaku secara tidak semena-mena menyebabkan pendarahan yang banyak ketika hamil. Cuba bayangkan seorang wanita yang hamil, sedang berjalan tiba-tiba terjatuh dan pendarahan yang banyak keluar melalui farajnya. Ininya mungkin tanda placenta abruption.

Namun begitu jika uri yang berpisah dari dinding rahem secara perlahan-lahan, pendarahannya mungkin hanya sedikit atau mungkin hanya lendir bercampur dengan darah saja yang keluar dari faraj.

Pendarahan itu boleh berkumpul dalam airtuban, dan mula disedari apabila selaput airtuban itu pecah ketika melahirkan bayi.

Masalah dengan Placenta Abruption ini bukan saja kehilangan darah pada wanita yang mengandung itu, tetapi nyawa anak yang dikandung. Keadaan anak yang dikandung dapat diteliti dan diperiksa dengan menggunakan ultrasound untuk melihat pergerakan bayi dan degupan jantungnya.

 

Jangkitan kuman pada pundi kencing juga sering berlaku pada wanita yang hamil. Perlu disedari bahawa jangkitan kuman ini amat mudah berlaku pada wanita yang hamil akibat kesan dari hormon dan saluran kencing (urethra) mereka yang pendek. Hormone estrogen menyebabkan juga lubang kencing mereka relax, tidak ditutup rapat  dan mudah dimasuki kuman.

Wanita yang bermasalah begini kadang kalanya merasakan pedih ketika kencing. Mereka mengadu seperti rasa terbakar di bahagian abdomen bawah, atau mungkin hanya tidak selesa di bahagian itu.

Doktor akan melakukan ujian air kencing dan selalunya menamakan sebagai ‘kencing kotor’. Pesakit juga mungkin tidak dapat hendak mengawal kencing dan rasa tidak puas selepas kencing. Warna iair kencing mungkin kuning pekat, keruh, berbau busuk dan kadang kalanya bercampur darah.

Jika tidak dirawat dengan betul, ianya mungkin melarat sehingga menyebabkan jangkitan kuman di ginjal.

 

Faktor-faktor Lain

Banyak juga punca sakit perut yang tidak berkaitan dengan kehamilan. Ianya mungkin berpunca dari jangkitan kuman dari makanan akibat food poisoning, atau sakit di sebelah kanan bawah iaitu appendicitis, batu karang di ginjal, jangkitan virus hepatitis, kesakitan di bahagian kanan atas akibat jangkitan pundit hempedu, jangkitan kuman pancreatitis, dan juga masalah usus yang tersumbat (bowel obstruction).

Mungkin juga kesakitan itu tidak merbahaya, namun harus berjumpa dengan doctor untuk memastikan bahawa ianya bukannya satu keadaan merbahaya dan kecemasan.

Masalah perut berangin dan kembung perut akibat terkumpulnya gas berlaku kerana hormone semasa mengandung melambat proses penghadaman. Rahim yang membesar juga menyebabkan tekanan pada usus dan perut, memburukkkan lagi keadaan.

Sembelit juga memberikan rasa tidak selesa di bahagian abdomen bawah. Ianya dapat diatasi apabil najis yang telah lama berkumpul keluar melalui lubang najis. Jika memakan banyak serat tidak membantu, bolehlah membeli ubat di farmasi atau klinik.

Di dalam bahagian pelvis, ada stuktur yang dinamakan sebagai “ Round ligament”. Ligamen ini yang ‘memegang’ rahem agar berada pada kedudukan yang stabil. Salah satu punca yang menyebabkan rahem ‘turun’ apabila ligament ini tidak lagi kuat.

Apabila kandungan kehamilan bertambah, berat yang harus ditanggung oleh stuktur untuk mengekalkan posisi rahem telah menyebabkannya menjadi keras, tebal dan regang (stretch). 

Akibatnya wanita yang hamil akan merasa tidak selesa atau kemungkinan rasa sakit seperti ditikam/dicucuk-cucuk untuk sementara waktu atau ‘sakit yang sukar diceritakan’ di kedua-dua belah abdomen bawah. Kesakitan ini mula dirasakan apabila pesakit bangun dari posisi duduk atau mencangkung, batuk yang kuat atau mengangkat barang dari lantai.

Atau ianya dapat dirasakan setelah lasak bekerja dan mengemas rumah. Kesakitan begini dinamakan Round Ligament Pain. Sukar untuk mendiagnosanya dan tiada ubat yang spesifik untuk kesakitan sebegini. Banyakkan rehat dan berhenti dari melakukan kerja-kerja yang berat. Dapatkan pendapat doktor jika kesakitan atau ketidakselesaan itu berlarutan walaupun setelah berehat.

Ada juga yang mengadu kesakitan di bahagian abdomen bawah di umur kehamilan menjejaki 30 minggu. Ia dirasakan seperti rahem mengeras dan dinamakan  Braxton-Hicks contractions. Sebelum umur kehamilan 37 minggu ianya tidak merbahaya, namun biasanya ianya tidak berapa sakit dan tidak kerap.

Kesakitan ini bukannya suatu petanda kelahiran tetapi mungkin akibat pergerakan bayi di dalam rahem yang merangsangkan pengecutan rahem. Harus diingat keadaan sebegini tidak seharusnya disertai dengan keluarnya darah atau cecair dari faraj.

 

Kesimpulan

Bagi wanita yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada bahagian abdomen bawah, dan telah menjalani ujian dan pemeriksaan doktor, saya nasihatkan agar banyak bersabar.

Seperti mana yang saya selalu tuliskan, dengan bersabar, minda kita akan mudah menerima ujian Allah ini dan tubuh kita akan lebih mudah menerima kesakitan ini.

Jangan banyak berfikir tentang kesakitan dan ketidakselesaan itu, amalkan membaca al Quran dan zikir yang sahih. Petua-petua ini telah menjadi amalan berkurun-kurun oleh solefussoleh, isteri dan anak-anak mereka. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk bersabar dan berjuang untuk terus menjalani kehidupan. Ameen.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (100710)

http://www.facebook.com/drzubaidi

  10 comments for “Kesakitan Abdomen Semasa Hamil

  1. Mariana
    03/08/2010 at 5:05 pm

    Assalamualaikum,

    Saya ada kemusykilan berkenaan dgn pengambilan kerang dlm diet wanita hamil bagi tujuan penambahan darah. Ada sesetengah mengatakan ianya elok untuk menambah darah. Sesetengah pihak lain pula, sebaliknya. Jadi, apa pendapat doktor pula.

    Sekian.

    Terima kasih

    • drzubaidi
      03/08/2010 at 11:09 pm

      wa alaikum mus salam marina,
      Saya berpendapat bahawa nasihat itu diberikan oleh jururawat di Klinik Desa untuk Pemeriksaan Ibu Hamil. Ianya tidak saya, tetapi memadailah memakan pil vitamin yang diberikan oleh doktor untuk Haemoglobin.
      Pengalaman saya, ada wanita yg alergik dan sakit perut bila memakan kerang terlalu banyak buat pertama kali.

  2. lyn
    13/11/2010 at 4:25 pm

    salam, doc zubaidi,
    Kini sy hamil 7 bln 1/2, anak ke-2 selepas thn 2006 secara caeser)…pd awal khamilan 3 bln pertama, sy mngalami bgkak di atas vagina (tundun-mons veneris)di sebelah kiri shj..kesakitan itu hilang apabila sy baring@tidur…msuk bln ke 4 dan 5, bgkak itu telah merebak ke bghn ke2,2 belah bibir vagina(outer labia)di mana bgkak tsebut seperti berbiji2 di sepanjang kedua2 belah bibir vagina …dan kini memasuki bln ke 7, kesakitan itu tidak hilang walau pun sy baring@tidur…di saat bgn dr tidur adalh sgt mnyakitkan…utk pngetahuan doc, sy tdk mngalami masalah sakit ketika mbuang air kecil…adakah ini dikenali slh satu varicous veins?dan bolehkah sy mlahirkan secara normal?kerana mgikut pdapat doc yg sy buat pemeriksaan, dikhuatiri pendarahan semasa potongan episotomi..terima kasih doc zubaidi

  3. diyana
    29/11/2010 at 12:46 pm

    Assalamualaikum wbt..

    dr,
    1 bulan lepas, sy ada menjalani rawatan bulanan biasa untuk ibu hamil. air kencing saya didapati sgt kotor.sy ingin tahu:

    1. apakah punca kencing kotor?
    2. cara mengatasinya..

    hal ini mungkin menjadi punca kenapa sy berasa sakit di bhgn ari2 dan ketika buang air.

  4. hanis
    26/04/2011 at 1:40 pm

    Assalamualaikum Doc…

    boleh x doctor terangkan masalah air ketuban bocor, kurang @ berlebihan? sy mengandung anak ke 2 sekarang dh masuk 31 minggu… masalahnya sy bimbang tentang air ketuban… 1st pregnant sy bersalin awal.. induce sebab air ketubandh kurang.. air ketuban sy mula bocor masuk 9 bulan.. sy bimbang untuk mengandung kali ke 2 nih ader kemungkinan x air ketuban boleh bocor mcm mengandung kali pertama?

    Terima kasih

  5. aisya sya
    10/05/2011 at 2:54 pm

    salam…doc sy sedang hamil 15 minggu.untuk pengetahuan doc,sblm nie sy pnh mengalami keguguran ketika kandungan sy 19 minggu.kdang2 sy mengalami keadaan nyilu di bhg faraj sy..adakah sy akan mengalami sebarang mslh ketika mengandung n risikonya.

    sekian,terima kasih.

  6. yani
    30/06/2011 at 1:32 am

    assalamualaikum.

    Dr. untuk pengetahuan Dr. saya kini mengandung 3bulan. apa yang merungsingkan saya adalah apabila saya dapati rahim jatuh. saya ingin berurut untuk mengangkat peranakan. tetapi risau ia akan menjejaskan bayi dlm kandungan. saya mohon jasa baik Dr. untuk memberi pendapat apa yang perlu saya lakukan sekarang. Sekian, terima kasih.

  7. yatie
    10/08/2011 at 9:59 am

    Assalamualaikum.

    Dr. saya ingin bertanya,saya sering mengalami sakit di bawah abdomen kira2 15 hari selepas hari pertama haid. sakit yang teramat sgt, kadang menyukarkan saya untuk bangun dan membuat kerja, selain itu keluar lendir jernih yang banyak bergantung kepada tahap kesakitan yang saya alami. pada penghujung hari, akan keluar sedikit darah..untuk pengetahuan Dr. sy masih belum berkahwin. sekian, terima kasih

  8. iela
    17/04/2012 at 10:24 am

    salam doktor,

    saya kini mengandung 32minggu..saya kerap sakit di bahagian bwh perut kadang sampai kebelakang. Dan ada kalanya sakit di bahagian faraj juga. Apa yg dr maksudkan keluarnya lendiran dari faraj. Adakah ia sama seperti keputihan atau lendir jernih. kerana saya kerap juga mengalaminya sekiranya perut saya terlalu sakit. Sakit akan lebih kerap bila saya bangun dr tidur atau dari duduk.

    Untuk pengetahuan dr saya telah melahirkan anak pertama pada 2006 pada usia kandungan 32 mingggu. adakah hal ini akan berulang, kerana saya tidak merasa sakit2 sewaktu melahirkan anak pertama.

    Minta penjelasan dari doktor.

    Terima kash

  9. 14/08/2012 at 11:48 am

    salam dr, saya iza umur 28 tahun,saya baru sahaja berkahwin dan saya belum lagi melakukan hubungan intim dgn suami, tetapi suami saya pernah cuba melakukan tetapi saya tolak kerana keadaan badan yang agak letih, akan tetapi selepa 3 hari dari kes itu rahim saya terasa keras dan kaki menjadi kejang, adakah saya mengandung ? saya masih mempunyai dara dan belum pernah melakukan hubungan kelamin, bantu saya doktor,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *