Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Apa yang Perlu Ada dalam ‘Air Mineral’?
Apa yang Perlu Ada dalam ‘Air Mineral’?

Apa yang Perlu Ada dalam ‘Air Mineral’?

Ramai yang keliru dengan pelbagai jenama air mineral yang ada di pasaran. Saya sendiri pada mulanya tidak tahu yang mana yang harus saya pilih. Cuma saya ada beberapa jenama yang menjadi kegemaran saya berdasarkan deria rasa di hujung lidah saya.

Air mineral yang ‘sedap’ diminum, itulah jenama pilihan saya kerana pada mulanya saya menganggap semua air mineral mempunyai kandungan mineral yang sama.

Tetapi itu bukannya cara yang baik untuk memilih air mineral. Apatah lagi jika air yang berisipadu 500ml dibayar dengan nilai 1 ringgit. Bayangkan kalau ada pengilang yang hanya mengambil air paip dan membotolkannya sebagai air mineral. Tentu wang yang dikeluarkan tidak berbaloi.

Perbincangan ini menjurus kepada kandungan mineral yang sepatutnya ada dalam air mineral.

 

Apa sebenarnya air mineral?

Di Malaysia semua pengilang yang mempunyai lesen membotolkan air mineral tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Akta ini mewajibkan semua pemilik lesen menyatakan punca air dan  keputusan analisis air dari makmal yang diluluskan. Ini termasuklah analisisa mikrobiologi setiap tiga bulan, analisis kimia setiap enam bulan dan analisis radioaktif yang dilakukan setahun sekali.

Selain itu, pengilang diwajibkan menggunakan penutup botol berwarna kecuali putih. Ini adalah untuk membezakan antara air mineral semulajadi atau air minuman biasa.

Air mineral di Malaysia didapati dengan dua cara. Pertama air yang berasal dari bawah tanah yang dikorek dan dipam naik, dan akan melalui proses penyulingan. Kemudian air itu dibotolkan.

Air ini mengandungi beberapa mineral semula jadi dari dalam tanah. Proses penyulingan ini menggunakan beberapa langkah penapisan bertujuan membuang kuman dan bahan-bahan asing. Ianya boleh dikenali dengan warna tudung botol yang berwarna.

Oleh itu pengilang mesti menyatakan punca air secara jelas dan cara pemprosesannya.

Sebagai contoh saya mengambil satu jenama air mineral ”MELODIES”. Pengilang menyatakan pada labelnya ‘AIR MINERAL SEMULAJADI’ dengan isipadu minima 500ml.

Pengilang menyatakan alamat kilang dan pengedarnya. Di samping itu, sumber air dinyatakan dengan jelas “Lot 919 Mukim Batang Kali, Daerah Hulu Selangor, 44300 Selangor”

Proses yang digunakan juga dinyatakan ”Air Mineral Semulajadi ini diperolehi dari mata air sedalam 320 kaki dan diproses melalui teknologi penapisan dan pensterilan ultraviolet yang moden.”

Kandungan mineral juga tertera di label. Ini adalah contoh perlabelan yang baik.

Cara kedua ialah dengan menggunakan air paip yang disuling. Dalam proses itu beberapa elemen mineral ditambah pada air paip. Namun setelah menjalani proses pembersihan untuk menghilangkan bakteria dan bahan kimia dalam air, kadar mineral dalam air juga dikurangkan. Ia boleh dikenal dengan warna tudung botol yang berwarna putih.

Terdapat pelbagai jenama air mineral di pasaran. Air mineral seharusnya mengandungi bahan-bahan mineral  dengan kadar 250 ppm, sama ada yang ditambah atau diperolehi secara semulajadi.

Air mineral seharusnya mengandungi:

1. Magnesium

Ia diperlukan untuk mengawal pengecutan otot, pengaliran impulse saraf, dan mengaktifkan enzyme yang menghasilkan tenaga. Struktur tulang memerlukan magnesium. Magnesium juga perlu dalam mengembangkan saluran darah bagi mengelakkan serangan sakit jantung.

Mereka yang tidak mempunyai cukup elemen ini akan mudah merasa nervous, hilang tumpuan, pening, sakit kepala dan migraine. Air mineral selalunya mengandungi bawah 20 mg/l magnesium di dalamnya.

2. Kalsium

Orang dewasa memerlukan kira-kira 800mg kalsium setiap hari. Kalsium diperlukan untuk menguatkan struktur tulang, gigi dan selaput sel.

Kalsium juga mengawal pengecutan otot dan pengaliran impulse dalam saraf. Pereputan tulang (osteoporosis) dan patah tulang juga disebabkan oleh kekurangan kalsium. Selalunya kandungan kalsium dalam mineral water ialah kurang 100 mg/l.

3. Potassium

Dua hingga empat gram biasanya diperlukan dalam sehari. Seperti mana kalsium dan sodium, potassium juga diperlukan untuk pengecutan otot, dan penghantaran impulse saraf. Jika potasium kurang dalam badan, ia menyebabkan tubuh akan menjadi lemah dan mudah penat. Biaanya kandungan potassium kurang dari 5 mg/l dalam air mineral.

4. Sodium

Jumlah yang biasa diperlukan ialah 3 gm sehari. Fungsinya juga serupa dengan kalsium, potasium iaitu penting untuk pengecutan otot dan pengaliran impulse. Dalam air mineral mengandungi antara 10-1,200mg/L sodium.

5. Sulfate

Sulfate membantu perkumuhan dan penyahtoksinan (detoxification) dalam hati dan membantu merangsangkan pengeluaran hempedu. Ia penting bagi pergerakan usus (peristalsis). Kebanyakan air mineral yang dibotolkan mengandungi kurang dari 100 mg/l sulfates.

6. Bikarbonat

Ia penting untuk menstabilkan pH cecair dalam badan. Ia juga boleh didapati dalam perut. Apabila kita terlalu penat, asid laktik akan terhasil dan dineutralkan oleh bikarbonat. Kandungan bikarbonat antara 50-200 mg/L dalam air mineral yang dibotolkan.

7. Elemen mineral yang lain

Selain dari mineral-mineral tadi, tubuh kita memerlukan beberapa elemen mineral yang lain, antaranya iron (zat besi), iodine, copper, fluoride dan zinc. Ia diperlukan hanya beberapa milligram. Namun kadang kala elemen ini tidak ada dalam air mineral.

Oleh itu harus dipastikan sama ada air itu benar-benar mengandungi mineral asas. Antaranya kalium, magnesium, sodium,  potassium, chloride dan sulphate.

Air mineral juga digunakan sebagai air mandian ketika zaman Roman. Pancuran air di Abano Terme berdekatan Venice adalah pancuran air yang hangat digunakan sejak dulu untuk mandian dan minuman.

Air paip yang disalurkan dalam paip dalam sesetengah negara mempunyai kandungan mineral yang baik. Sebagai contoh Zurich adalah bandar yang mempunyai air paip yang baik.

Di Amerika Syarikat, US FDA mengkelaskan air mineral sebagai air yang mempunyai sekurang-kurangnya 250 bahagian mineral di mana satu juta bahan pejal dilarutkan (ppm). Mereka mewajibkan semua mineral ini harus diambil dari air dalam tanah, dan bukannya ditambahkan ke dalam air paip.

Oleh itu jangan terperanjat jika terdapat air mineral yang agak mahal. Ia haruslah berbaloi dengan sumber air dan cara pemprosesannya. Sebelum membeli air mineral, lihatlah dulu labelnya.

Wallahu a’lam

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (010411)

5 comments

  1. Salam doc…..saya tertarik dengan topik ini…jika tidak keberatan….saya ingin bertanya kepada doc mengenai…air yg boley mengubati pelbagai penyakit….(bukan air zam-zam)…cthnye air ECPI yg tersebar luas skrg nih boley mengubati penyakit….walhal kite tahu bahawa penutup dia berwarna putih…bermakna dia bukan air mineral kan…tp air sulingan….boley kan air yg formula H2O nih di campur dgn zarah2 len menjadi kan dia air berubat…pada mata saya ianye sekadar air jernih biasa….aper pendapat doc?

  2. assalam doc..saya tertarik dengan pernyataan tentang air dan kandungan mineral yang diperlukan oleh badan kita..cuma saya berasa muskil bagaimanakah untuk menentukan ketetapatan kandungan mineral dalam air yang dibotolkan dan adakah terdapat suatu alat yang begitu canggih untuk membezakan mineral-mineral dalam air.. Saya juga ingin tahu pendapat doc adakah mineral dalam air itu betul2 diperlukan atau kita boleh mendapatkan sumber mineral itu dari tempat yang lain seperti susu yang kaya dengan kalsium.. harap doc dapat menjawab permasalahan saya ini..terima kasih

  3. nor faezah md yusoff

    apakah tujuan air mineral dikenakan harga yang tinggi?

  4. salam doktor…
    menarik topik air mineral ni..utk pengetahuan doc, buat masa ni mmg air mineral lah minuman harian saya..saya tak tau apa masalah sebenar saya, tp bila sy minum air minuman(reverse osmosis) atau air yg dimasak tnpa ditapis atau air yg tak dimasak, otomatik tekak saya akan gatal dan batuk..smpai satu keadaan boleh demam..apa masalah saya? adakah ni masalah psikologi?

  5. salam doc,sya nk tnya skit la,adakah tbuh badan kta dpt mnerima mineral di dlm air?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top