Risau Air Mani Bercampur Darah

Saya selalu menasihatkan rakan FB supaya menulis email atau menghantar pertanyaan ke inbox Facebook saya jika soalan itu berkaitan dengan masalah yang terlalu peribadi.

Namun ada yang datang ke pusat kesihatan tempat saya bekerja untuk bersemuka. Saya alu-alukan pertemuan itu. Namun saya hanya seorang petugas yang menerima gaji setiap bulan dari majikan.

Berjumpa saya di pusat kesihatan, bermakna ada kos pendaftaran dan konsultasi yang dikenakan oleh majikan saya, Kumpulan Perubatan Sdn Bhd. Jadi bersangka baiklah dengan saya. Saya tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk berkongsi ilmu.

Baru-baru ini seorang rakan FB berjumpa saya. Dia bukanlah rakan FB pertama yang berjumpa saya ketika bertugas.

“Doktor, saya ada masalah peribadi. Setiap kali saya melakukan hubungan seksual dengan isteri, air mani saya keluar bersama-sama darah. Kadangkala ia berwarna gelap seperti coklat. Saya berumur 35 tahun, kami tidak tinggal serumah buat masa ini kerana urusan kerja. Apakah masalah yang mungkin berkaitan dengan keadaan ini?”

Perkara utama dalam pertanyaan ini ialah kepastian.

“Pastikah itu darah dari air mani dan bukan dari faraj isteri?”

“Entahlah doktor, tapi yang pasti,  ketika isteri saya membersihkan diri, air mani saya akan keluar semula dan berwarna gelap. Saya bimbang jika air mani saya mengandungi darah”

Saya berfikir dalam. Jarang kandungan dalam faraj diteliti setelah selesai hubungan jima’ kecuali dalam keadaan tertentu seperti ketika membersihkan faraj dengan tisu atau kain dan ternampak perubahan kepada cecair yang keluar dari faraj.

Cuma ada satu cara untuk memastikannya iaitu dengan membuat ujian air mani. Sampel air mani yang dikumpulkan harus dihantar ke makmal untuk diteliti sama ada mengandung darah atau tidak.

Saya memberikannya container.

“Nak buat apa ini doktor?”

“Container ini gunanya untuk mengumpulkan sampel air mani supaya dapat dihantar ke makmal. Buatlah macam mana pun, asalkan esok pagi bawakan sampel air mani itu”

Dia tercengang. Saya tersenyum.

“Kalau tak pandai, mintalah bantuan isteri..”

Ramai pesakit keliru sama ada darah yang bercampur dengan lendiran yang keluar sesudah berjima’ itu, berpunca dari isteri atau dari dirinya sendiri. Jika isteri datang haid atau mengalami luka di sekitar faraj dan pangkal rahem, lendiran bercampur darah itu berpunca isteri.

Jadi jalan terbaik ialah membuat pemeriksaan air mani untuk suami atau pemeriksaan paps smear untuk isteri.

Beberapa hari kemudian, saya menelefonnya kerana keputusan pemeriksaan air mani telah diketahui.

“Memang confirm, hematosperma..”

“Apa maknanya?”

“Maknanya memang terdapat darah dalam air mani. Tapi masalah belum selesai…”

“Bahayakah doktor? Kanser prostate kah?” Tidak sabar-sabar teman ini bertanyakan soalan itu.

Saya berfikir panjang kerana mahu menyusun ayat.

Minggu lepas pasangan Lebanase datang berjumpa saya. Isterinya yang berumur 30an mengalami pendarahan selepas melakukan hubungan jima’ dengan suaminya. Darah yang merah.

Saya segera merujukkannya kepada pakar sakit puan kerana saya tidak melakukan pemeriksaan paps smear.

Soalan yang sama dari si suami.

“Is it dangerous? Any possibility of cancer?”

Saya cuba menerangkan dari A hingga Z. Semuanya macam masuk ke telinga tuli. Apabila saya menyebut perkataan ‘cancer’, si isteri terus menjerit kesedihan. Meraung stail orang arab. Puas saya memujuknya akhirnya dia berhenti meraung.

Selepas itu, saya sangat berhati-hati dengan perkataan saya. Saya rela dikatakan ‘doktor serba tak tahu’ daripada memberitahu sesuatu yang belum pasti dan menyebabkan pesakit berputus harap dari rahmat Allah.

Saya memahami setiap perasaan yang dihadapi pesakit kerana saya juga pernah sakit dan menjadi pesakit. Sebagai pesakit kita mengharapkan  motivasi dari doktor dan mengharapkan kesakitan yang diterima hanyalah suatu amaran awal saja. Bukan hukuman dariNYA.

Saya sentiasa ingat akan ayat ini.

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan” [Luqman 31: 17]

Itulah perkataan-perkataan Allah yang memberikan motivasi. Bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu.

Kekuatan kita sebagai orang Islam akan terserlah apabila kita kembali kepada fitrah kita. Kembali mengharapkan ihsan Allah ketika menghadapi sakit.

Jika terdapat kesempatan, saya selalu mengingatkan pesakit saya supaya jangan lupa untuk jaga solat, dan bersabar dengan segala kesukaran yang menimpa. InsyaAllah, Allah akan berikan yang terbaik untuk kita. Di kala itu, tiada ubat yang boleh merawat kita kecuali atas izin Allah. Jadi banyaklah berdoa dan membuat kebajikan.

“Kita tidak pasti lagi diagnosis tentang penyakit ini. Tapi boleh saya bertanya beberapa perkara?”

Dia dalam kebimbangan.

Sebenarnya saya tidak bimbang sangat darah dalam air mani kerana rakan saya masih muda. Punca darah dalam air mani terlalu banyak. Bagi lelaki yang berumur 40 tahun ke bawah ia tidak menandakan penyakit yang serius. Ia boleh terjadi bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Ramai lelaki yang mengalami masalah ini. Ia boleh berlaku sekali seumur hidup, atau beberapa kali dalam hidup mereka. Ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa. Ada yang sebentar ada juga yang berlarutan selama beberapa bulan.

Kuantiti darah dalam air mani berbeza, bergantung kepada punca dan sebabnya. Darah itu boleh setitik sahaja bersama air mani, atau air mani yang bercampur dengan darah yang banyak atau seolah-olah memancutkan darah ketika mengadakan hubungan jima’ dengan isteri kerana terlalu banyak darah.

“Pernah tuan terjatuh dan terhentak di bahagian zakar?”

Dia menggelengkan kepala.

Selalunya hametosperma disebabkan oleh trauma hentakan pada kerandut zakar. Ini menyebabkan saluran darah pada kerandut zakar akan pecah lalu berlakulah pendarahan dalaman. Akhirnya darah akan keluar melalui air kencing atau air mani.

Begitu juga jika pesakit pernah menjalani pemeriksaan biopsy untuk prostate atau menjalani pembedahan vasectomy di bahagian kerandut zakar. Pendarahan dari luka pembedahan akan menyebabkan pendarahan dalam air mani.

“Tapi doktor, sebulan lepas saya ada jangkitan kuman pada pundi kencing saya. Selepas doktor yang merawat saya memberikan antibiotic, alhamdulillah saya sembuh. Baru-baru ini saja saya perasan ada darah dalam air mani saya.”

Jika jangkitan kuman pada pundi kencing tidak dirawat dengan baik, jangkitan itu boleh melarat pada kelenjar prostate (prostatis) dan saluran air mani (epididymitis).

Pada peringkat permulaan jangkitan kuman pada bahagian ini beserta dengan tanda-tanda lain seperti demam, sakit pada kerandut zakar, rasa sukar kencing dan terdapat darah pada air kencing.

Namun jika kuman yang lebih merbahaya menjangkiti bahagian ini, ia boleh menyebabkan keadaan bertambah teruk. Selalunya berlaku apabila pesakit pernah mengadakan hubungan seksual dengan pelacur atau secara bebas dengan beberapa teman wanitanya. Antara kuman berbahaya ini ialah chlamydia, genital herpis, dan gonorrhea.

“Doktor, saya tidak pernah buat semua itu, saya setia pada isteri saya”

Saya terdiam. Saya bukan menuduh.

Bila teringat rakan saya tinggal berjauhan dengan isterinya, saya syaki pendarahan dalam air mani itu mungkin disebabkan oleh hubungan seks dengan isterinya.

Terlalu kerap melakukan hubungan seks apabila sesekali berjumpa, atau melakukannya dengan kasar boleh menjadi punca pendarahan seperti itu.

“Jadi apa kata kalau kita ulangi semula ujian air mani pada bulan depan. Lagi pun darah dalam air mani tuan, tidak banyak. Memandangkan umur tuan masih muda, saya percaya pendarahan dalam air mani ini berpunca dari sebab-sebab yang tidak merbahaya. Mungkin darah itu akan hilang dengan sendirinya”

Jika pemeriksaan air mani masih menunjukkan haematosperma, berkemungkinan pendarahan dalam air mani itu disebabkan oleh ketumbuhan yang tidak merbahaya seperti cysts dan polyps pada pundi kencing, atau di saluran kencing urethra. Selalunya pendarahan ini tidak berhenti dan berulang-ulang. Selain dalam air mani, pendarahan juga boleh berlaku dalam air kencing.

Pemeriksaan cystocope boleh dilakukan, iaitu memasukkan kamera ke dalam saluran urthera bagi melihat keadaan  sebenar.

“Bagaimana doktor pasti bahawa penyakit saya ini bukan kanser?”

Inilah soalan cepumas yang sukar saya jawab. Kebanyakan jurnal memberitahu bahawa kebarangkalian kanser terjadi pada pesakit yang berumur 40 tahun ke atas amat tinggi sementara jarang berlaku pada pesakit beumur kurang 40 tahun.

Selain faktor umur, jarang sekali kanser di bahagian kemaluan seperti kanser pundi kencing (bladder cancer), kanser prostate atau kanser testis, menunjukkan tanda awal seperti darah dalam air mani. Selalunya kanser-kanser ini menunjukkan tanda bengkak, sakit dahulu sebelum pendarahan dalam air mani. Pendarahan seperti ini mungkin berlaku setelah beberapa bulan disahkan sebagai kanser.

Oleh itu lelaki yang mengalami haemtosperma, haruslah berjumpa doctor untuk pemeriksaan lanjut jika:

  1. berumur 40 tahun ke atas
  2. mempunyai gejala lain seperti bengkakan besar dan sakit pada kemaluan,  sakit ketika kencing, sakit ketika memancutkan air mani (ejaculation), sukar kencing, atau ada darah dalam air kencing (haematuria)
  3. mengalami pendarahan dalam air mani yang berulang-ulang.
  4. mempunyai masalah-masalah lain seperti pernah mempunyai kanser, mengalami masalah pembekuan darah, pernah mengalami trauma hentakan pada kemaluan, mengalami penyakit kecacatan pada kemaluan, atau pernah melanggan pelacur.

Nasihat saya, jangan berputus asa pada rahmat Allah. Pemeriksaan dan nasihat yang betul akan membantu pesakit mengesan awal penyakit yang lebih merbahaya.

Wallahu a’lam.

Rujukan dan bacaan:

  1. Stefanovic KP, et al. “Evaluation and treatment of hematospermia”. American Family Physician. 2009;80:1421.
  2. Torigian DA, et al. “Hematospermia: Imaging findings. Abdominal Imaging”. 2007;32:29.
  3. Leocadio DE, et al. “Hematospermia: Etiological and management considerations”. International Urology and Nephrology. 2009;41:77.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (060112)

2 comments

  1. assalamualaikum..
    2 tahun lepas bakal suami saya pernah jatuh, kepala dia terhentak semasa latihan membawa kuda. sejak menjak ini dia kerap sangat sakit kepala yang teruk. kepada siapa saya patut merujuk?dan ubat apa yang patut dia makan kerana ubat paracetemol @ mefenamic acid tidak dapat membantu langsung.

  2. salam dr,
    smsa sy n suami mlakukn hubungan ,sy x dpt rs pancutan air mani suami klr malah slpas slsai hubungan air mani tersebut klr kmbli.. apakah punca sbnrnya?

Leave a Reply to NUR SYAMIMICancel reply

error: Content is protected !!