Sedu dan Kaitan dengan Sakit Jantung

Saya menerima pertanyaan berkenaan sedu (hiccup) dan kaitannya dengan sakit jantung. Ini adalah soalan yang menarik.

salam doc. mgkin boleh dikupas mengenai perkaitan antara sedu (hiccup) dgn sakit jantung. suami sy pernah dimasukkan ke wad kerana sedu yg berterusan bbrp hari and doc kata ada masalah dgn jantung. itu kes 4 tahun lps… dan skrg ia berulang kembali. setakat ni doc kata mgkin angin. dah 2 hari ubat diambil, suami masih sedu… doc ada berpesan, kalau sedu tak berkurang, perlu buat further check-up. harap dpt doc perjelaskan… terima kasih ;-)”

Sepanjang ingatan saya bekerja di Jabatan Kardiothorasik (Pembedahan Jantung dan Paru-paru), terdapat beberapa pesakit yang mengadu sedu terutama setelah pembedahan jantung (bypass surgery). Fenomena ini menjadi kebingungan bagi doktor-doktor muda yang baru saja bekerja di jabatan itu.

”Doktor, saya mengalami sedu. Ubat yang doktor beri ni tak ada side effect menyebabkan saya jadi sedu ke?

Bagi junior doctor yang arrogant dan ego, segera berkata.

Tak ada apa-apa pakcik. Biasalah tu”

Atau segera buat-buat tidak mendengar keluhan pesakit itu dan bercerita tentang perkara lain. Atau salahkan angin. Itu semuanya untuk menyelamatkan keegoan ‘aku doktor, semua tahu’.

Saya sendiri mulanya tidak dapat menjawab soalan itu.

“Pakcik, saya kurang pastilah. Nanti saya bertanyakan tentang perkara ini pada consultant saya”.

Merah padam menelan keegoaan sendiri. Namun saya mengaku kerana sememang saya tidak tahu. Ia lebih baik dari mengaku mengetahui segalanya, akhirnya menyebabkan pesakit menderita atau meninggal dunia.

Mengaku kejahilan sendiri menyebabkan saya belajar banyak perkara, baik yang tersurat mahupun yang tersirat.

Saya pernah bertanya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah ketika memberikan ceramah motivasi bidang kedoktoran.

”Siapa tahu apa sebab kita sedu?”

”Angin dalam badan, doktor” jawab seorang pelajar setelah saya memaksa beliau memberikan jawapan.

Ramai antara kita yang mengalami sedu. Ramai yang tidak mengetahui bagaimana ianya berlaku. Orag Melayu kita sentiasa mengandai-andaikan fenomena ini dengan pelbagai teori yang dianggap ‘boleh dipakai’.

Sedu berlaku otot diaphgram mengecut secara tidak terkawal diikuti dengan penutupan peti suara (vocal cord) lalu menyebabkan bunyi “hic” dikeluarkan. Ia terhasil apabila saraf vagus dan phrenic dirangsang.

“Nenek saya cakap, kalau sedu tarik cuping telinga. Nanti sedu berhenti”

Tidak pernah pula saya belajar cara yang diberitahu oleh pelajar itu. Sedu selalu berlangsung tidak lama, hanya beberapa minit. Kalau dibiarkan saja, kadang kala ianya hilang sendiri.

Banyak cara yang diajar untuk mengurangkan sedu. Antaranya bernafas dalam bag kertas, menelan satu sudu gula pasir. Namun saya sendiri mendapati teknik Valsalva amat membantu. Caranya ialah dengan memicit hidung dan menutup mulut, dan henbuskan udara dari paru-paru sekuat hati. Tekanan yang terbentuk dalam thorac akan membantu mengurangkan sedu.

Sedu juga disebabkan oleh tabiat makan yang terlalu banyak pada suatu masa. Ada kalanya minum terlalu banyak air bergas (carbonated beverages) atau minum arak. Emosi yang terlalu gembira atau stress juga menyebabkan sedu.

“Ada tak  ubat untuk menghilangkan sedu yang boleh dibeli dari farmasi?”

Sedu tidak memerlukan rawatan jika berlangsung kurang 48 jam. Namun jika merasa tidak selesa berjumpalah doctor. Ada beberapa jenis ubat yang boleh menghilangkan sedu.

Jika sedu melebihi 48 jam, kemungkinan berlaku radang (irritation) pada saraf vagus atau phrenic yang mengawal pergerakan diaphgram. Radang pada saraf ini selalu berlaku semasa proses pembedahan.

Ia bermula apabila doktor memberikan gas bius general anesthesia, melakukan intubation, iaitu memasukkan tiub ke dalam kerongkong agar mudah bernafas, menegakkan leher (neck extension) dan ketika memegang dan menjahit organ.

Selain pembedahan, radang pada saraf-saraf  ini boleh berlaku jika terdapat jangkitan kuman di tekak, tumor atau ketumbuhan pada leher atau disebabkan oleh gastroesophageal reflux.

Doktor betul ke sedu ini akan menyebabkan sakit jantung?”

Sedu tidak menyebabkan sakit jantung. Sebaliknya penyakit serangan sakit jantung boleh menyebabkan sedu. Walaupun ianya amat jarang berlaku, ia disebabkan oleh pengecutan diaphragm apabila saraf vagus  dirangsang ketika serang sakit jantung (myocardial infarction).

Selepas pembedahan jantung, fenomena sedu yang berpanjangan berlaku kerana terjadinya radang (inflammation) pada diaphragm selepas pembedahan. Apabila radang ini sembuh, sedu akan hilang.

Ada ubat yang diberikan kepada pesakit jantung boleh menyebabkan sedu, antaranya digoxin. Jika sedu berlarutan, pesakit haruslah berbincang dengan doctor sama ada perlu menukarkan ubat yang lain.

 

Wa allahu a’lam

 

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (020111)

3 comments

  1. assalamualaikum dr..
    saya ada satu persoalan. akak saya pernah buat pembedahan jantung untuk kali ke2 bln 4 lps. skrg dia punya perangai berubah tak macam dulu. wkt mula2 keluar dari ijn, dia jadi mcm budak2, nak aiskrim la mcm2.. & dia jadi tak berapa ingat, memang totally different. soalan saya, adakah dia jadi begitu sbb kesan dari pembedahan?

  2. assalamualaikum…
    Doc, sy skrg mengalami mslh sedu berpanjangan..sudah 5 hari…sblm mengalami sedu,sy ada mengalami muntah yg agak teruk dan kemudiannya gastrik yg teruk…sy amat menjaga cara pemakanan…sy blh dikategorikn sbg org yg mkn agak lmbt krn mengunyah agak lama. slps gastrik hilang…sedu ni bermula..sehinggalah skrg. makin hari ulu hati sy terasa semakin pedih…dan setiap kali sedu skrg,sy rasa kesukaran utk bernafas disbbkn sedu tu ada masanya jd 2 atau 3 kali berturut2.sy telah berjmpa dgn doc di GHKL dan diberikan:

    1) cephalexin 250mg
    2) cimetidine 400mg
    3) metoclopramide HCl 10mg

    apa pendapat doc?

  3. saya tiada masalah jantung tp saya ada mengalami gastrik. apa yg membingungankan saya, setiap kali saya mengalami gastrik saya juga turut mengalami sedu. paling lama saya mengalami sedu selama 8 hari. ini adalah kali ketiga saya mengalami sedu yg agak lama. saya ada merujuk pada HSA tapi setelah diberikan ubat, sedu saya masih ada lagi. saya telah mencuba segala petua dan cara cara menghilangkan sedu tetapi tidak berkesan. harap doc. dapat membantu saya dalam masalah saya.

Leave a Reply

error: Content is protected !!