Uri Bawah (Low Lying Placenta) atau Placenta Previa?

 

salam doctor, saya ingin bertanyakan masalah. Baru-baru ini saya menjalani pemeriksaan antenatal di pusat kesihatan awam. Doktor yang memeriksa saya telah melakukan pemeriksaan ultrasound dan memberitahu bahawa uri (placenta) saya berada di bahagian bawah rahem. Ini merunsingkan saya.

 

Usia kehamilan saya sudah memasuki 24 minggu. Bolehkah uri saya bertukar posisi yang lebih selamat.

Terima kasih.

Wanita runsing, KL

 

Sesetengah wanita yang hamil amat risau apabila diberitahu bahawa mereka mempunyai kedudukan ‘uri bawah’. Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh doktor dengan ‘uri bawah’ ialah kedudukan uri yang berada di pertengahan bawah (lower half) rahem. Kedudukan uri di bahagian  bawah atau dikenali sebagai ‘low lying placenta’ adalah merupakan kedudukan placenta yang tidak berada di posisi pada kebiasaannya iaitu kebanyakan di bahagian atas tengah rahim.

“Doktor, saya mengalami pendarahan sedikit untuk beberapa hari sepanjang kehamilan ini. Minta pandangan doktor..”

Adakalanya wanita hamil menyedari terdapat sedikit lendiran bercampur dengan sedikit darah keluar dari faraj. Ini kerana tisu uri yang berada di kedudukan pada pembukaaan serviks telah mengalami koyakan sedikit dan menyebabkan pendarahan sedikit. Ini tidak merbahaya.

Fenomena ini biasanya didiagnosa menggunakan ultrasound apabila usia kehamilan mencapai empat atau lima bulan. Ini tidak bermakna wanita hamil itu akan menghadapi kehamilan yang sukar.

Apabila saiz bayi dalam rahem dan saiz uri semakin membesar mengikut usia kehamilan yang semakin matang, biasanya kedudukan uri akan ‘bergerak’ menjauhi pembukaan serviks.

Oleh itu terdapat kemungkinan besar untuk seseorang ibu yang mengalami ‘low lying placenta’ di awal kehamilan, dapat bersalin secara normal melalui faraj. Setiap kali menjalani pemeriksaan antenatal, doktor akan memantau posisi uri dengan melakukan pemeriksaan ultrasound.

Walau bagaimana pun seramai 0.5-1% dari mereka, mempunyai kedudukan uri yang tidak berubah. Ini bermakna uri masih berada di kedudukan bawah walaupun usia kehamilan semakin meningkat.

Keadaan ini dinamakan Placenta Previa. Ia biasanya berlaku apabila usia kehamilan memasuki 24 minggu. Dalam hal ini, biasanya pendarahan lebih banyak dan ia lebih serius.

Placenta Previa boleh mengancam nyawa ibu dan bayi dalam rahem. Kelahiran pula harus dilakukan melalui pembedahan Caesarean bagi mengelakkan pendarahan yang banyak.

Jika placenta previa tidak didiagnosa dengan lebih awal, proses kelahiran normal di rumah atau bidan yang tidak terlatih melalui faraj akan menyebabkan pendarahan yang banyak. Biasanya ibu dan anak boleh meninggal dunia ketika proses ini.

Oleh itu jika usia kehamilan hanya 24 minggu atau kurang, doktor hanya mengatakan wanita itu mempunyai ‘uri bawah’ dan ada kemungkinan uri akan bergerak ke bahagian atas rahem apabila usia kehamilan semakin meningkat.

Jika usia kehamilan melebih dari 24 minggu, doktor akan mendiagnosa sebagai Placenta Previa dan risiko kehamilan berdasarkan berapa serius kedudukan uri menutupi saluran pembukaan cervix.

Uri bawah ini biasanya disebabkan oleh tisu rahem endometrium yang mempunyai parut (scar) disebabkan mungkin sebelum ini, rahem mengalami jangkitan kuman, pernah melakukan D&C atau pembedahan pada rahem.

Jika pendarahan berlaku sebelum tempoh ini, pesakit mungkin diminta untuk berehat di hospital dan diberi rawatan konservatif. Berbaring dan berehat di tempat tidur adalah rawatan yang terbaik.

Jadi bagi menjawab soalan di atas, pesakit haruslah kembali berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan ultrasound pada usia kehamilan mencapai 24 minggu. Jika disahkan mengalami Placenta Previa, pesakit haruslah beringat iaitu sebarang pendarahan dari faraj dalam tempoh kehamilan adalah tanda-tanda bahaya bagi kehamilan itu. Pesakit harus segera pergi ke hospital bagi pemeriksaan, tanpa bertangguh. Insya Allah saya akan bincangkan tentang Placenta Previa pada masa yang lain.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (141111)

9 comments

  1. Doc… kalau uri mmg di atas… boleh ke turun ke bwh di hujung kehamilan?

  2. doc,sy ingin bertanya dimana usia kandungan sy berusia 25minggu dan sy asyik mengalami pendarahan kadang2 byk dan kadang2 ckit. apabila doc scan mendapati sy mengalami plasenta previa type-1. mengapah sy asyik mengalami pendaarahan setiap hari padahal sy baru plasenta previa type-1 dan bolehkah sy bersalin normal?

  3. doc,kandungan saya baru berusia 12minggu dan mempunyai pendarahan selepas bersama dengan suami..ia hanyalah untuk 1hari..selepas bertemu dengan doktor di salah sebuah klinik swasta,doktor tersebut mengatakan uri saya di bawah dan beliau mengatakan kandungan saya akan mengalami kecacatan apabila bersalin nanti..sekarang ni saya masih dalam cuti untuk 2minggu dari bekerja tanpa boleh ape2 kerja sekalipun..adakah terlalu tinggi risiko ke arah itu doktor?

  4. salam,

    kandungan pertama saya mengalami placenta previa type iv dan selamat melahirkan baby secara c section, selepas 7 tahun saya mengandung dan kandungan kini berusia 4 bulan dan doc sahkan saya low lying placenta. Daripada pengalaman lepas adakah saya akan mengalami placenta previa bagi kandungan kedua ini?

  5. Doc, kandungan skrg dah 31 weeks dan sy diberitahu uri agak rendah…tetapi sepanjang kehamilan setakat ni sy tak alami apa2 pendarahan…saya ingin tanya keadaan sebegini boleh ke uri akan kembali seperti biasa atau adakah sebarang rawatan intensif yg perlu saya jalani??? Adakah saya berisiko utk kaedah lahir secara c-section???

  6. Slm. doc.saya mengandung 7 minggu.tetapi apabila scan dilakukan, tiada kanttung bayi dapat dikesan. doctor hanya dapat mengesan imej seperti fibroid..adakah saya mengalami uri di bawah? apakah rawatan yang patut saya terima? sejarah kehamilan saya adalah baik dan saya melahirkan anak sulung secara normal setahun yang lalu.

  7. siti fatihah nor

    salam,,saya ingin bertanya,,saya telah menjalani ultrasound pd usia kndungan 20mggu,,doktor tlh mndapati bayi saya melintang dan kedudukan uri di bawah,,masih bolehkah bayi dan uri dalam kandungan saya berubah kpd posisi yg betul??

  8. Salam doctor…

    Saya sedang mengandung 26 minggu dan doktor klinik telah mengesahkan saya mengalami placenta previa stage 3. Beliau telah meminta saya untuk merujuk kepada Jab. O&G di mana hospital yang akan saya melahirkan. Untuk makluman doctor, ini merupakan kehamilan kali ke3 dan kedua-dua proses kelahiran adalah normal.

    Mohon jasa baik doctor untuk memberi pendapat dan pandangan mengenai masalah ini. Saya masih belum membuat sebarang rujukan kepada mana-mana O&G.

  9. Assalamualaikum doktor,

    saya sdg mengandung 31 minggu dan dok.mengesahkan saya mengalami pp type 1-2, adakah peluang uri untuk naik masih ada dan saya dapat bersalin secara normal

Leave a Reply to atieCancel reply

error: Content is protected !!