Tribulus Terrestris: Ubat Kuat Lelaki?

Selepas menunaikan solat Subuh, saya membuka komputer dan menyelak facebook. Manalah tahu kalau ada pertanyaan yang boleh dijawab dengan segera.

Oleh kerana tidak ramai lelaki yang bertanya tentang masalah kesuburan, maka saya terus tertarik apabila membaca permasalahan ini.

“Salam doktor..dari pemeriksaan air mani, saya mendapati saya tidak mempunyai sperma. Doktor yang memeriksa mencadangkan agar saya mengambil rawatan herba tribestan. Apa pendapat doktor berkenaan tribestan? Adakah keadaan azoospermia ini dapat dibantu?”

Saya tidak pasti sama ada dia berjumpa dengan doktor pakar atau tidak, kerana selalunya doktor yang berpengalaman akan mendiagnosa masalah atau penyakit terlebih dahulu sebelum mencadangkan rawatan. Amat pelik apabila seorang doktor mencadangkan ekstrak herba untuk merawat ketidaksuburan.

Saya ada menulis tentang azoospermia dalam penulisan sebelum ini. Boleh dirujuk di https://drzubaidi.com/blog/?p=1283.

Azospermia adalah masalah kesuburan lelaki yang didiagnosa melalui pemeriksaan air mani, dan ia menunjukkan tiada sperma langsung di dalam air mani.

Terdapat dua punca azoospermia, sama ada terdapat sumbatan pada saluran air mani yang menghalang sperma keluar bersama dalam air mani atau disebabkan oleh masalah keseimbangan hormon.

Jadi rawatan yang sepatutnya ialah dengan mengetahui punca azoospermia itu dahulu sebelum memulakan rawatan. Bagi pesakit yang mengalami sumbatan pada saluran air mani, pembedahan kecil harus dilakukan untuk mengeluarkan air mani yang terkumpul, sementara pesakit yang mempunyai masalah ketidakseimbangan hormon, rawatan hormon harus diberikan.

Persoalan yang seterusnya adalah ekstrak herba Tribestan itu dapat membantu ketidakseimbangan hormone?

Ekstrak tribesten ini sebenarnya berasal dari pokok tribulus terrestris. Ia adalah pokok berbunga. Dalam ilmu botani, pokok ini termasuk dalam kumpulan Zygophyllaceae yang sesuai hidup di selatan Eropah, selatan Asia, di merata Afika dan Australia.

Ia juga kadang kala dikenali sebagai pokok kepala kambing kerana bentuk kudup bunga pokok ini berbentuk seperti tanduk.

Ekstrak herba ini telah lama digunakan dan dikatakan dapat meningkatkan keinginan syahwat seksual. Walaubagimanapun kajian yang diterbitkan oleh The American journal of Clinical Nutrition, dalam penulisan bertajuk “Selected herbals and human exercise performance”, oleh Bucci LR mempertikaikan dakwaan ini.

Ekstrak herba ini tidak dapat meningkatkan hormon lelaki dalam tubuh, dan dibuktikan dalam beberapa kajian. Antara kajian yang diterbitkan ialah:

1.     Brown GA, Vukovich MD, Reifenrath TA, Uhl NL, Parsons KA, Sharp RL, King DS (2000). “Effects of anabolic precursors on serum testosterone concentrations and adaptations to resistance training in young men”International Journal of Sport Nutrition and Exercise Metabolism 10 (3): 340–59.

2.    Neychev VK, & Mitev VI. (2005). “The aphrodisiac herb Tribulus terrestris does not influence the androgen production in young men”. Journal of Ethnopharmacology 101 (1-3): 319–23.

Begitu juga satu kajian yang mengatakan ekstrak herba ini tidak membantu memberikan tenaga yang lebih pada atlet yang mengamalkannya sebagai supplemen.

Kajian ini dapat dibaca dalam penulisan  “The Effect of Five Weeks of Tribulus terrestris Supplementation on Muscle Strength and Body Composition During Preseason Training in Elite Rugby League Players”The Journal of Strength & Conditioning Research (2007). 21 (2): 348–53, oleh Rogerson S, Riches CJ, Jennings C, Weatherby RP, Meir RA, Marshall-Gradisnik SM.

Hanya kajian terhadap tikus makmal, menunjukkan ekstrak herba ini mampu meningkatkan sifat kejantanan, tetapi tidak pada manusia.

(rujuk: Gauthaman K, Adaikan PG, Prasad RN. (2002). “Aphrodisiac properties of Tribulus Terrestris extract (Protodioscin) in normal and castrated rats”. Life Sciences 71 (12): 1385–96)

Dalam hal ini saya berpendapat ekstrak herba ini bukanlah rawatan yang berkesan untuk merawat masalah ketidaksuburan lelaki akibat masalah ketidakseimbangan hormon. Hormon-hormon lelaki tidak dapat ditingkatkan dengan pengambilan ekstrak herba ini.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Ethnopharmacology (Oct 2005)101 (1-3): 319–23, bertajuk“The aphrodisiac herb Tribulus terrestris does not influence the androgen production in young men”  oleh  Neychev VK, Mitev VI telah membuktikan hal ini.

Begitu juga kajian yang dilakukan ke atas ke atas atlet muda.

(rujuk : Brown GA, Vukovich MD, Reifenrath TA, et al. (Sep 2000). “Effects of anabolic precursors on serum testosterone concentrations and adaptations to resistance training in young men”. International Journal of Sport Nutrition and Exercise Metabolism 10 (3): 340–59).

Mungkin perubahan positif terhadap rangsangan seksual pada haiwan yang dilakukan ujikaji dalam makmal disebabkan oleh satu bahan aktif yang ada pada herba ini, iaitu protodioscin (PTN). Satu kajian telah membuktikan protodiosin mampu meningkatkan rangsangan seksual pada tikus dalam makmal, namun tidak pada manusia.

(rujuk : Gauthaman K, Ganesan AP, Prasad RN (2003). “Sexual effects of puncturevine (Tribulus terrestris) extract (protodioscin): an evaluation using a rat model”.Journal of Alternative and Complementary Medicine 9 (2): 257–65.)

Ekstrak herba ini gagal membuktikan peningkatan hormon lelaki dalam ujian yang dijalan ke atas manusia. Jadi ia tidak sesuai digunakan sebagai rawatan untuk meningkatkan kandungan hormon testosterone pada lelaki.

Kesan sampingan ekstrak herba ini jarang berlaku dan selalunya tidak merbahaya. Namun ada kes yang melaporkan ia menyebabkan sakit perut dan boleh menyebabkan gynaecomastia, iaitu bengkak pada dada lelaki yang menyerupai payudara.

(rujuk: Jameel JK, Kneeshaw PJ, Rao VS, Drew PJ (Oct 2004). “Gynaecomastia and the plant product “Tribulis terrestris””. Breast 13 (5): 428–430.)

Jadi pada pendapat saya, ekstrak herba ini boleh digunakan untuk meningkatkan rangsangan seksual namun ia tidak sesuai digunakan sebagai rawatan meningkatkan hormon lelaki dalam darah. Oleh itu dibimbangi masalah ketidaksuburan di kalangan lelaki tidak dapat dirawat.

Wallahu a’lam.

 

Susuanan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (140811)

Check Also

INGIN HAMIL SEMULA SETELAH SEPULUH TAHUN

INGIN HAMIL SEMULA SETELAH SEPULUH TAHUN Assalammualaikum doktor. Saya ingin bertanya mengenai ubat subur Clomid …

One comment

  1. Salam DR,

    Sebelum ini saya pernah terbaca di pamplet Tribestan ttg satu kajian klinikal terhadap keberkesanannya yang dilakukan di HUKM.

    Berikut adalah maklumat ttg kajian tersebut:

    Balanathan K te al, A Clinical Study On The Effect of Tribulus Terrestris on the Semen Profile in Males with Low Sperm Count and Low Motility, Malaysian Journal of Obstetrics and Gynaecology 2001; Vol. 7 No.3 : 69-78

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: