Tiada sekatan penjualan mesin urut

Kementerian Kesihatan Malaysia tidak bercadang menyekat penjualan mesin urut kerana alat seumpama itu setakat ini didapati tidak memudaratkan kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kementeriannya sudah melakukan penilaian terhadap mesin itu dan mendapati ia tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada penggunanya.

“Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang mengharamkan penjualan mesin urut di negara ini kerana tiada bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong (dakwaan) ia membawa kesan sampingan seperti penyakit saraf dan tulang belakang akibat penggunaan mesin urut tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu adakah Kementerian Kesihatan sudah membuat kajian terhadap penggunaan mesin urut berikutan ada yang mendakwa getaran mesin berkenaan boleh mengakibatkan penyakit saraf dan tulang belakang.

Dr Hilmi berkata, pendaftaran mesin urut yang dijual di negara ini adalah tertakluk di bawah Akta Peranti Perubatan Malaysia 2012 bagi peralatan perubatan yang didakwa boleh mengubati penyakit.

“Kalau dakwa boleh ubati (penyakit), dia (pengeluar mesin urut) kena daftar dan sebelum daftar kena buat kajian spesifik bagi menentukan ia benar-benar memberi kesan perubatan kepada pengguna,” jelasnya. – BERNAMA  2013/10/09

Leave a Reply

error: Content is protected !!