SUKAR HAMIL SEBAB ENDOMETRIOSIS
“Assalamu alaikum, doktor. Saya ingin bertanya doktor masalah saya. Say sudah berkahwin 3 tahun tetapi belum pernah hamil. Suami saya telah membuat pemeriksaan air mani dan keputusannya normal. Doktor mengesyaki saya mengalami masalah kesuburan. Doktor kata kemungkinan endometriosis dan appointment untuk ultrasound pada minggu depan. Apa sebenarnya endometriosis itu doktor? Mohon pandangan doktor. Terima kasih”
WA ALAIKUMMUSSALAM.
Endometriosis berlaku apabila lapisan dalam rahim (endometrium) berada di luar rahim seperti di ovari, dinding pelvis, saluran fallopian, usus, faraj dan pundi kencing.
Lapisan ini menebal dan berdarah pada setiap kali kitaran haid menyebabkan keradangan pada organ-organ dalam pelvis. Akhirnya ia menghasilkan parut, sehingga menyebabkan ovari membengkak dan saluran fallopian tersekat.
Selalunya wanita yang mengalami endometriosis mengalami tanda-tanda seperti berikut:
1. Sakit perut sebelum kedatangan haid (sengugut)
2. Rasa sakit semasa melakukan hubungan intim bersama suami.
3. Sukar untuk hamil
4. Kitaran haid tidak menentu
5. Rasa sakit bahagian bawah perut (pelvis) yang berpanjangan.
Ada wanita yang emngalami masalah endometriosis ini dengan teruk, ada yang ringan. Jadi doktor membahagikan masalah endometrisosis ini kepada 4 tahap.
Tahap 1 minima
Tahap 2 sederhana (mild)
Tahap 3 sederhana teruk (moderate)
Tahap 4 sangat teruk (severe)
Ada kalanya masalah endometriosis ini tidak memberikan sebarang tanda. Pesakit hanya akan mengalami masalah sukar untuk hamil.
Selalunya doktor akan melaku pemeriksaan sebelum mendiagnosakan seorang wanita sebagai pesakit endometriosis dengan cara pembedahan ‘diagnostic laparoscopy’. Doktor akan menebuk abdomen pesakit dan memasukkan kamera untuk melihat tisu endometriosis dan keadaan organ-organ pelvis.
Ada pelbagai jenis rawatan untuk pesakit yang menghidapi endometriosis.
Antaranya rawatan seperti:
1. Pil penahan sakit dan pil perancang kehamilan yang mengandungi hormon estrogen dan progestrone untuk pesakit tahap 1 dan 2.
2. Ubatan hormon sintetik yang mengandungi hormon Gonadotrophin-Releasing seperti Lucrin dan Zoladex.
3. Pembedahan terutama bagi pesakit yang mempunyai tahap 4 endometriosis.