Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Wanita » SINDROM OVARI POLISISTIK (PCOS)

SINDROM OVARI POLISISTIK (PCOS)

SINDROM OVARI POLISISTIK (PCOS)



PCOS adalah satu sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang mengidapinya. Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu disebabkan ketidak-seimbangan hormon dalam badan dan ini boleh menjejaskan kesuburan pesakit. Penghidap PCOS juga mempunyai level hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi, menghasilkan hirsutism dan rambut kepala nipis di bahagian ubun-ubun (botak) dan jerawat.


PCOS melibatkan 5-10% wanita dalam usia reproduktif mereka.


Kebanyakan wanita PCOS juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) dan boleh mengidapi diabetes, obstructive sleep apnea dan banyak lagi masalah jangka masa panjang. Oleh itu, mereka perlu menjalani saringan diabetes (kencing manis), tekanan darah dan kolesterol. PCOS juga boleh menyebabkan ketidaksuburan (infertility) disebabkan telur (ovum) yang tidak menetas keluar, akan tetapi ada ubat-ubatan kesuburan yang boleh membantu masalah ini.



APAKAH ITU OVARI POLISISTIK?


Ia adalah satu keadaan dimana terdapat banyak sista kecil (follicles) tersusun di dalam ovari seseorang dan hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound. Fenomena ini berlaku pada 20% wanita yang normal. Bukan semua wanita yang mempunyai ovari polisistik mengidap PCOS (hanya melibatkan 6-7%).


PENYEBAB


Punca PCOS masih belum diketahui. Wanita PCOS mempunyai tahap hormon-hormon pituitari luteinizing (LH) dan hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi yang boleh mengganggu fungsi normal ova (telur). Jika imbasan ultrasound dilakukan pada wanita PCOS, beberapa sista kecil (4-9 mm) dapat dilihat di dalam ovari. Sista kecil ini adalah folikel kecil (yang di dalamnya terkandung telur) yang tidak mampu berkembang kepada saiz yang akan mencetuskan ovulasi. Akibatnya, kadar estrogen, progesterone, LH, dan folikel merangsang hormon (FSH) menjadi tidak seimbang. Ini adalah antara penyebab phenomena PCOS.


Insulin adalah hormon yang mengawal tahap glukosa (sejenis gula) dalam darah. Wanita PCOS mungkin tidak bertindak balas terhadap insulin (dikenali sebagai rintangan insulin) dan ini boleh menyebabkan tahap glukosa menjadi tinggi di dalam darah. Untuk mengatasi masalah ini, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin. Tahap insulin yang tinggi inilah boleh menyebabkan pertambahan berat badan.



GEJALA (SIMPTOM)


Gejala PCOS mungkin berbeza-beza. (di antara ringan dengan lebih teruk). Simptom PCOS termasuklah :

1. Kitaran haid: yang tidak teratur atau tidak datang sama sekali

2. Hirsutism: mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih dari biasa

3. Kehilangan rambut di kepala

4. Obes

5. Jerawat atau kulit muka berminyak

6. Kemurungan atau berubah suasana hati (mood)

Diagnosa PCOS biasanya dibuat apabila wanita itu mempunyai mana-mana dua daripada tiga yang berikut:

1. Haid : tidak teratur/ jarang atau tidak ada period.

2. Hormone lelaki (androgen) tinggi: bulu badan dan di muka yang lebih daripada biasa. Ujian darah yang menunjukkan kadar testosteron yang lebih tinggi dari wanita biasa.

3. Imbasan ultrasound yang menunjukkan ovari polisistik



RAWATAN

Ia terpulang kepada simptom atau tanda dan berkisar kepada kehendak pesakit:

1. Pil perancang (OCP) – untuk memperbetulkan kitaran haid. Ia juga boleh menghindarkan kanser rahim atau hyperplasia selaput endometrium (see endometrial hyperplasia). OCP yang mempunyai anti-androgen (cyproterone acetate) boleh juga mengurangkan hirsutism dan jerawat.

2. Progestin – sejenis hormon yang diberi selama 21 hari untuk 1 hingga 3 bulan. Ia boleh mangatur pusingan haid tapi tidak membantu dalam hirsutism atau jerawat. Progestin juga tidak menghindar keupayaan mengandung (ia bukan OCP). Akan tetapi, ia boleh mengurangkan risiko kanser rahim dan hyperplasia selaput endometrium.

3. Hirsutism – bulu yang berlebihan di badan). Ia boleh dirawat dengan bercukur, kaedah electrolysis atau rawatan laser. Sementara itu terdapat ubat-ubat anti-androgen seperti cyproterone acetate atau alderone, yang diambil untuk 4 hingga 6 bulan boleh membantu mengurangkan hirsutism.

4. Penurunan berat badan – kaedah yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain. Dengan hanya mengurangkan 5-10% dari berat badan, sudah cukup untuk pusingan haid kembali normal.

5. Metformin (Glucophage) – ubat untuk meningkatkan efekasi insulin dalam badan. Boleh membantu ovulasi bagi sesetangah pengidap PCOS, lebih-lebih lagi yang ada obes dan mempunyai kencing manis (DM).

6. Ketidaksuburan

a. Pengurangan berat badan – dengan mengurangkan 5-10% dari berat badan, ia boleh meningkatkan tahap kesuburan wanita PCOS.

b. Clomiphene (anti-estrogen) – ubat yang diminum untuk meningkatkan ovulasi (penghasilan telur ovary).

c. Ubat jarum FSH – bagi mereka yang gagal mengeluarkan telur (ovulasi) dengan bantuan Clomiphene.



KOMPLIKASI


Pengidap PCOS terdedah dengan komplikasi jangka masa panjang seperti:

1. Kencing manis (diabetes mellitus- DM) – 10-20% PCOS boleh mendapat DM pada usia lingkungan 40-an nanti, lebih-lebih lagi jika pesakit itu obes atau mempunyai sejarah keluarga DM.

2. Tekanan darah tinggi (hypertension) – disebabkan DM dan obes

3. Penyakit jantung koronari- disebabkan DM dan darah tinggi

4. Kanser – haid yang tidak teratur boleh mengakibatkan selaput endometrium menebal sehingga terhasilnya hyperplasia (see endometrial hyperplasia). Ini boleh mengakibatkan kanser rahim. Oleh itu mereka yang mempunyai masalah haid (haid datang kurang dari 4 kali dalam setahun) disarankan berjumpa doktor. Risiko kanser buah dada, pangkal rahim (serviks) dan ovari adalah sama seperti wanita yang tidak mempunyai PCOS.

5. Kemurungan: kurang jati diri kerana kegemukkan dan perasan tidak yakin.

6. Berdengkur dan mamai diwaktu pagi: oleh kerana Obstructive sleep apnea (see Obstructive sleep apnea)



BAGAIMANA HENDAK MENGURANGKAN KOMPLIKASI?


1. Amalkan tabiat mengambil makanan yang sihat dan seimbang.

2. Amalkan berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis dan puasa-puasa sunat lain.

3. Bersenam – istiqomah dalam melakukan senaman, paling kurang 3 kali seminggu.

4. Kurangkan berat badan, ia boleh menurunkan risiko kencing manis, koronari jantung dan semula kitaran haid dan mengurangkan risiko hyperplasia endometrium.

5. Saringan kesihatan lebih kerap dan berkala. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berumar 40an ke atas, dan berisiko kencing manis dan darah tinggi. Boleh dibuat setahun sekali.

Kesimpulannya, amalkan cara hidup sihat dan kekalkan berat badan yang ideal. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat serta halal. Dengan cara-cara hidup seperti inilah, PCOS dan komplikasinya dapat dibendung dan dikurangkan.


#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: