sembelit tanda kanser usus?

SEMBELIT: ADAKAH IA TANDA KANSER USUS BESAR?

RADIO BERNAMA- 16 NOV 2017

 

  1. Ramai yang mengalami masalah sukar untuk buang air besar pada waktu pagi. Ada pula yang tidak rasa langsung untuk buang air besar beberapa hari. Adakah ini sembelit?

Sembelit adalah masalah yang biasa kita alami. Ia juga antara punca kita berjumpa doctor untuk mendapatkan rawatan atau ke farmasi untuk mendapatkan ubat bagi melegakan masalah ini.

Kadang kala kita tidak peduli pun kalau beberapa hari kita tidak buang air besar. Namun selalunya kita mula merasakan ia menjadi satu masalah apabila kita menjadi tidak selesa. Perut kita menjadi kembung, atau kita terpaksa meneran untuk mengeluarkan najis kita. Kita rasa tak selera untuk makan kerana abdomen kita tidak selesa. Kadang kala rasa mahu muntah apabila terbau masakan terutama yang bergoreng. Pada masa ini barulah kita mencari rawatan.

Sebenarnya sembelit bukanlah bergantung pada tempuh masa. Sembelit berpunca dari pergerakan usus besar yang agak perlahan dari biasa. Ada orang yang buang air besar tiga kali sehari, ada yang buang air besar sekali dalam tiga hari. Jadi tidak ada tempuh masa yang mendefinasikan seorang itu sembelit atau tidak.

Sembelit adalah kesukaran untuk buang air besar, yang tidak seperti biasa. Luar dari kebiasaan. Orang yang normal, apabila terasa tidak selesa (atau ada rasa mahu buang air besar), akan terus ke tandas, duduk dan buang. Mudah. Keluar dengan kuantiti yang banyak. Tiada masalah.

Bagi orang yang sembelit, dia terpaksa menunggu lama. Itu yang menyebabkan orang lain yang ingin menggunakan tandas rasa marah. “Kenapalah lama sangat dalam bilik air ni. Sembelit ke?”

Orang yang sembelit terpaksa meneran. Najis menjadi keras dan keluar secara sedikit-sedikit. Kadang kala rasa macam tiada yang keluar. Inilah yang dikatakan sembelit.

Walau bagaimana pun pada kebanyakan orang, jika tidak buang air besar melebihi tiga hari, ia suatu yang menyebabkan kita rasa tidak selesa. Kerana semakin lama najis berada dalam usus besar atau rectum dan kolon, ia akan menyerap air najis semula ke dalam tubuh. Jadi ia harus dibuangkan apabila ia sedia untuk dibuangkan.

Jadi najis yang normal adalah najis yang semi-solid, berwarna agak kegelapan sedikit dan mudah untuk dikeluarkan tanpa perlu meneran. Dan tiada darah. Itu yang penting.

  1. Apakah punca-punca sembelit?

Banyak punca sembelit. Ada kalanya apa yang kita buat sebelum ini tidak pun menyebabkan sembelit, tapi kali ini ia menyebabkan sembelit. Jadi sembelitnya kadang kala bukan disebabkan oleh satu factor saja, tetapi banyak factor.

Ada kalanya orang lain buat, mereka ok saja. Tapi kita buat boleh menyebabkan sembelit pula. Jadi bergantung pada individu.

Antara punya ialah mereka yang ambil ubat gastrik yang mengandungi kalsium atau aluminium. Ubat ini selalu disebut sebagai antacid, sama ada dalam bentuk cecair atau dalam bentuk pil.

Begitu juga mereka yang mengambil suplemen yang mengandungi kalsium untuk menguatkan tulang, terutama bagi mereka yang sudah berusia bagi mengelakkan osteophorosis atau kereputan tulang.

Mereka yang mengambil suplemen penambah zat besi bagi meningkatkan pengeluaran sel darah merah. Ia juga boleh menyebabkan sembelit.

Ubat-ubat penahan sakit seperti tramadol dan ubat untuk kemurungan boleh menyebabkan sembelit juga.

Jadi mereka mengalami sembelit bermakna mungkin suplemen atau ubat yang diberikan oleh doctor di hospital atau dibeli farmasi mungkin tidak sesuai untuk mereka. Kena jumpa semula doctor atau ahli farmasi bagi mencari alternative lain.

Selain itu perubahan diet, terutama diet yang tidak cukup sayur. Mereka yang tidak cukup minum air. Tidak banyak melakukan pergerakan fizikal, terutama mereka yang sakit terlantar di katil. Ini menyebabkan sembelit.

Susu juga boleh menyebabkan sembelit bagi sesetengah orang. Penggunaan ubat julap atau ubat laxative yang merangsang buang air besar bertujuan untuk detoks.

Wanita yang hamil juga mengalami masalah sembelit terutama di akhir kehamilan. Ini kerana saiz rahem semakin membesar. Mereka yang mengalami tekanan emosi juga mungkin mengalami masalah ini.

Masalah kesihatan yang lebih serius seperti ialah masalah penyakit yang melibatkan saraf antaranya Parkinson’s disease atau penyakit multiple sclerosis. Masalah hormone thyroid yang rendah atau hypothyroidism juga boleh menyebabkan sembelit yang berulang.

Masalah yang lebih serius ialah kanser usus besar iaitu kanser rectum dan kanser kolon.

  1. Adakah sembelit ini berbahaya? Perlukah rawatan bagi mereka yang mengalami masalah sembelit yang berulang?

Secara amnya sembelit bukanlah sesuatu yang berbahaya. Masalah ini datang dan pergi. Kadang kala tak perlu ubat pun. Ubat selalunya saya akan berikan jika pesakit saya sudah mencuba beberapa tips (yang bakal saya kongsikan) tetapi masih lagi tidak berjaya mengeluarkan najis dengan mudah.

Antara nasihat saya ialah yang paling utama ialah makan banyak sayur-sayuran, ulam dan buah-buahan. Makanan begini memberikan banyak fiber atau serat. Ini menyebabkan usus besar kita cepat penuh dan merangsangkan pergerakan usus besar. Jadi najis dapat dikeluarkan pada waktunya. Ia mungkin ambil masa tetapi ia berkesan.

Ada yang mengadu “saya dah makan banyak sayur dan pisang tapi masih tak ok”

 

Tapi kadang kala saya tanya juga banyak makan sayur tu banyak yang macam mana? Kalau sejemput sayur itu belum dikatakan mencukupi. Makan sebji pisang tak cukup untuk membantu sembelit yang sudah berlangsung tiga hari.

Jadi kena banyak makan sayur,ulam dan buah-buahan. Fokus pada makanan yang mempunyai banyak serat. Ia akan membantu, insya Allah.

Dan banyak kajian menunjukkan mereka yang tidak makan sayur, menyebabkan najis berada lama dalam usus besar (kolon dan rectum) boleh meningkatkan risiko penyakit kanser usus (kanser kolon). Terutama mereka yang makan banyak karbohidrat ringkas (refined carbo) dan banyak daging merah.

Kedua, minum air secukupnya. Paling kurang 2 liter sehari. Kecuali bagi pesakit yang doctor kata tidak boleh minum air banyak seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialysis. Bila minum air yang secukupnya, najis menjadi lebih lembut, mudah untuk dikeluarkan.

Apabila kita kurang minum air, tubuh kita akan menyerap air dari najis yang berada di usus besar iaitu di rectum dan kolon. Jadi najis semakin keras dan sukar dikeluarkan. Jadi minum banyak air kosong. Belajar untuk mencintai air kosong.

Kurangkan minum kopi dan air yang manis. Sebab kopi mengandungi kaffein. Ia menyebabkan kita mudah mengalami dehidrasi. Begitu juga dengan air manis. Jika mahu minum kopi, pastikan juga kita minum air kosong secukupnya. Hentikan minum minuman manis. Cuba biasakan bila pesan minuman ketika makan tengahari, minta air kosng atau air limau kosong. Kenapa mahu minum air manis selepas makan nasi? Nasi akan ditukarkan menjadi gula, air manis pun membekalkan gula. Gula berganda. Penyakit pun berganda.

Sebahagian dari kita mengalami masalah sembelit apabila minum susu. Bagi mereka, hentikan dulu pengambilan susu segar atau susu tepung. Minum air kosong dan banyakkan sayur dalam makanan.

Banyakkan pergerakan fizikal. Banyakkan berjalan. Kurangkan masa duduk lama. Jika sudah duduk lebih dua jam, bangun dan bergerak. Bergerak ke pantry untuk minum air, buat riadah regangan dank e bilik air untuk basuh muka. Pergerakan fizikal akan merangsangkan pergerakan usus.

Sebab itu pesakit di hospital, doctor galakkan berjalan sekitar wad, kecuali mereka yang memang tidak dibenarkan bergerak. Dengan bergerak akan mempercepatkan peraliran darah, jadi darah tidak membeku dan tidak mengalami sembelit.

Saya sendiri mencadangkan pengambilan minyak zaitun setiap pagi bagi memudahkan buang air besar. Minyak zaitun mempunyai banyak manfaat dan antaranya akan memudahkan najis keluar bagi mereka yang mengalami kesukaran buang air besar. Kalau di klinik dan farmasi selalunya kita berikan liquid paraffin iaitu minyak sintetik bagi memudahkan najis dikeluarkan.

Namun begitu sembelit mungkin menandakan masalah yang lebih serius. Pertama jika najis yang dikeluarkan ada darah. Sama ada sukar dikeluarkan atau mudah dikeluarkan, apabila ada darah, ini adalah masalah serius.

Sebenarnya najis kita tidak seharusnya ada darah. Kebanyakan darah pada najis disebabkan oleh ada luka pada lubang dubur, atau mungkin ada buasir. Namun apa yang kita bimbang ialah jika darah pada najis ini disebabkan oleh kanser usus ( iaitu kanser kolon dan kanser rectum). Ia tanda pertama yang kadang-kadang kita tak ambil perhatian.

Sebab itu jika seorang pesakit yang berusia 50an mengalami sembelit dan ada darah pada najis, selalunya kita akan buat pemeriksaan lanjut. Ini kerana mereka berisiko untuk mendapat kanser pada bahagian usus. Terutama jika masalah ini berulang. Jangan ambil mudah tanda-tanda ada darah pada najis. Jangan sekadar ambil ubat, kena buat pemeriksaan segera.

Tanda-tanda sembelit yang bahaya yang lain jika ia melebihi dua minggu, sehingga perut menjadi kembung, dan tiada ada buang angin (kentut).

Selalunya walaupun seseorang pesakit mengalami sembelit, mereka masih boleh kentut. Jika tiada kentut bermakna saluran usus mengalami sumbatan yang lebih serius. Kita bimbang ada ketumbuhan dalam usus. Dan ketumbuhan ini mungkin dari jenis kanser. Jadi jika tidak boleh kentut bermakna usus kita mungkin tersumbat. Sebab itu kadang kala kentut ini rahmat atau blessing. Itu tanda kita masih sihat. Cuma kalau nak kentut tu, pandanglah orang sekeliling. Pilihlah tempat yang sesuai. Jangan depan orang ramai. Kalau kentut dia wangi tak apa. Selalunya kentut orang yang sembelit ini memang terlalu busuk, boleh menyebabkan loya dan muntah. Mungkin pengsan kalau kita berada dalam lif bersama 10 orang lain.

Jadi mereka yang mengalami mengalami sembelit yang berulang atau najis berdarah, selalunya doctor akan menjalankan pemeriksaan yang lanjut. Antaranya ialah pemeriksaan darah, pemeriksaan xray sama ada plain x ray (xray biasa) atau barium xray bagi melihat tanda-tanda sumbatan pada usus. Jika difikirkan perlu, mungkin doctor akan melakukan pemeriksaan colonoscopy iaitu memasukkan kamera melalui lubang dubur.

Semoga bermanfaat.

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!