Sakit Kepala Akibat Hentikan Ubat Sawan

Seorang pesakit datang berjumpa saya kerana masalah sakit kepalanya yang kuat. Pemeriksaan tekanan darah adalah normal lalu saya mencadangkan pemeriksaan ujian darah memandangkan umurnya dalam 40an.

Seminggu selepas itu pesakit datang semula berjumpa saya untuk mengetahui keputusan darah yang diambil itu. Malangnya sakit kepala beliau hanya lega setelah menelan ubat penahan sakit untuk beberapa jam dan kemudian sakit kepalanya menyerang semula.

Saya kebingungan dan menatap kosong kertas yang mengandungi keputusan darahnya. Saya tidak tahu di mana punca sakit kepala beliau kerana keputusan darah beliau adalah normal dan pesakit ini mempunyai badan tegap seperti athelet.

Saya cuba mengorek lagi cerita sakit kepalanya. Kemarahan beliau akibat terlalu kecewa dengan sakit kepala itu kadangkala menguji kesabaran saya juga. Namun saya cuba menfokuskan diri dan mencari sebab-sebab sakit kepalanya.

Akhirnya saya bertanya kalau-kalau dia ada mengamalkan ubat-ubat herba. Dia menyatakan YA, namun itu tidak membuatkan saya teruja, tetapi apabila dia menyambung ”Saya makan ubat herba sebab saya ada penyakit epilepsy. Saya dah jemu makan ubat dari hospital dan sudah lama meninggalkannya” membuatkan saya mengerti mengapa sakit kepalanya dalam tahap teruk.

Doktor berapa lama saya nak makan ubat ini? Tak ada ubat yang membolehkan saya terus sembuh? Saya dah jemu makan ubat dan saya mahu sembuh!” Nada marahnya betul-betul menjentik akidah saya. Dia marah untuk apa?

Dia boleh bertanyakan soalan itu namun jika pertanyaannya itu membawa kepada mempersoalkan takdir, itu yang membuatkan saya ’berasap’.

Tiada siapa yang mahu sakit dan penyakit ini adalah ujian dariNYA. Saya sendiri sebagai doktor yang membantu pesakit, ALLAH uji dengan penyakit juga. Maka kita redha dan berusahalah mencari penawarnya.

”(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (al Baqarah 156)

Saya rasa dia amat beruntung mendapat rahmat ALLAH kali ini kerana walaupun seminggu sakit kepala, namun belum lagi ditakdirkan mendapat sawan. Ramai yang meninggalkan ubat-ubat dari hospital untuk penyakit epilepsi, akhirnya ditakdirkan mengalami sawan dan lebih memburukkan lagi ianya menyebabkan komplikasi lain.

Saya masih teringat ketika bekerja di Jabatan Pembedahan di Hospital Sultanah Aminah kira-kira 10 tahun yang lalu, terdapat banyak kes di mana wanita yang sedang memasak terkena minyak panas di seluruh tubuhnya.

Ada yang mengalami 45% kecederaan terbakar dan yang meninggal dunia akibatnya. Mereka mengalami sawan ketika memasak, di mana ketika mereka menggelupur itu minyak di kuali tersimbah ke badan mereka.

Segalanya berpunca wanita-wanita itu meninggalkan ubat untuk epilepsi dan menyangka dia telah sembuh (atau mungkin jemu memakan ubat epilepsi)

Saya percaya kebanyakan kes kemalangan jalanraya juga disebabkan oleh pemandu itu mengalami sawan secara tiba-tiba.

Perkataan epilepsi digunakan secara umum untuk penyakit yang menyebabkan sawan.Sawan pula adalah simptom yang menceritakan keadaan pesakit yang menggelepar.

Ia umpama demam yang menunjukkan simptom dan bukannya penyakit. Dalam kes ini epilepsi adalah penyakit dan sawan (seizure) adalah tanda bagi penyakitnya.

Sawan bermula dari dalam otak yang disebabkan oleh punca-punca tertentu. Ia berlaku apabila electrical impulses dalam otak berfungsi secara abnormal melebihi aktivitinya yang biasa.

Ia bermula dari suatu kawasan kecil di otak dan merebak ke bahagian lain menyebabkan ianya tidak terkawal dan mengakibatkan otot-otot akan menjadi kecut dan rehat (twitching) secara serta merta.

Selalunya pesakit dapat merasakan tahap permulaan untuk mendapat sawan. Dia mungkin merasa sakit kepala, tidak berapa selesa dengan dirinya, ada kalanya pandangan terjejas (adakalanya nampak ’bintang-bintang’) dan mungkin juga mendengar sesuatu yang pelik.

Jadi nasihat saya bagi mereka yang menghidap epilepsi, jika mengalami sesuatu seperti yang saya sebutkan, ia menunjukkan pesakit dalam bahaya dan mungkin akan mengalami sawan bila-bila masa.

Segeralah berjumpa doktor yang bertanggungjawab memberikan ubat-ubatan itu. Saya percaya sama ada ubat itu tidak lagi berkesan akibat sesuatu yang lebih parah berlaku di dalam otak atau dos ubat itu perlu dinilai semula dan mungkin perlu dinaikkan dosnya.

Ramai juga yang bertanya punca-punca yang menyebabkan penyakit epilepsi ini. Saya bersimpati bagi pesakit-pesakit ini. Pada saya ianya sesuatu yang tidak dapat kita jangkakan akan berlaku pada kita.

Epilepsi secara mudahnya saya terang begini. Ianya bermula akibat kerosakan pada otak secara kekal yang menyebab seseorang itu mudah mendapat sawan.

Kerosakan otak ini boleh disebabkan bayi tidak cukup oksigen semasa proses kelahiran, atau  kecederaan kepala dan otak semasa kemalangan, atau ketumbuhan dalam otak, atau penyakit sistemik yang boleh merosakkan otak seperti  tuberous sclerosis, atau jangkitan kuman  yag melibatkan otak atau selaputnya iaitu meningitis atau encephalitis, atau penyakit stroke atau akibat masalah genetik (keturunan).

Namun begitu sebanyak 70% dari kes epilepsi pada kanak-kanak dan dewasa tidak diketahui puncanya.  Apa yang penting bagi pesakit ialah tabah menghadapi ujian penyakit ini dan berusaha untuk mencari penawarnya. Ia adalah takdir yang menguji keimanan kita dan beruntunglah bagi mereka yang bersabar di akhirat nanti.

Kerosakan pada otak tidak menyebabkan pesakit epilepsi sentiasa mengalami sawan. Apabila aktiviti eletrik telah menjadi normal, pesakit akan berkeadaan seperti biasa. Namun pesakit boleh mengalami sawan-sawan bila-bila masa disebabkan beberapa faktor.

Faktor yang akan menyebabkan orang yang mempunyai epilepsi ini mengalami sawan dinamakan trigger factor.

Trigger Factor

Antara yang faktor yang menjadi pesakit epilepsi ini mengalami sawan ialah tidak makan ubat untuk penyakit epilepsinya tanpa nasihat doktor. Ramai yang meninggalkan ubat itu kerana mungkin menyangka bahawa dia telah sembuh dari penyakit epilepsi, jemu memakan ubat epilepsi itu atau mungkin dia mencari alternatif lain (ubat-ubat herba) bagi mengawal penyakitnya.

Oleh itu saya mencadangkan bagi pesakit epilepsi yang berjumpa doktor untuk rawatan lain seperti sakit perut, sakit kepala atau batuk selsema; agar memberitahu doktor bahawa dia adalah pesakit epilepsi. Ini memudahkan doktor memberikan  rawatan kerana sesetengah ubat yang diberikan mengganggu keberkesanan ubat epilepsi.

Menjawab soalan pesakit saya tadi, setakat ini perubatan moden belum menjumpai ubat-ubatan yang ajaib di mana ubat itu boleh memperbaiki kerosakan yang telah berlaku pada otak. Namun apa yang lebih saya yakini, Allah akan menguji kita dalam pelbagai bentuk ujian. Terimalah dengan redha dan brusahalah agar sawan itu tidak mengganggu aktiviti kehidupan seharian.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (270910)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog 

12 comments

  1. munaila binti kiprawih

    Assalamualaikum Dr.Zubaidi, selamat petang.
    saya ada seorang anak tiri yang mengalami ‘sakit sawan’.
    entah la sakit dia tu sawan atau masalah urat atau sebaliknya.
    anak saya (Adi) adalah seorang yang normal, tapi pada bulan 5 dia mula jatuh dalam separah sedar dengan mata yang terbuka selama 4saat kemudian sedar balik,dia tak pengsan tapi badanya terhenti seketika beberapa saat kemudian sedar semula..selepas 5 minit perkara yang sama berlaku.kemudian saya membawa anak saya pergi ke Hospital untuk berjumpa doktor dan mengenal pasti masalah,tapi doktor memberitahu bahawa anak saya mengalami sawan dan dan hanya memberi ubat sawan. tetapi selepas beberapa hari makan ubat tersebut,anak saya mengalami pergerakan tangan kaki mulut serta lidah juga mengalaminya.
    setiap 15-20saatr anak saya akan gerakan tangan dan kakinya,tangannya, tapi yang peliknya hanya bahagian kanan sahaja.seperti uratnya menarik tangan kanan, kaki kanan, mulut dan lidahnya ke kiri. kata orang masalah urat. setiap 15-20saat dia akan menarik semula.
    tapi sekarang ni anak saya menjadi semakin teruk,apabila dia berdiri dan berjalan 2langkah sakitnya datang dan dia akan jatuh, dan menyebabkan lututnya menjadi lebam,begitu juga tangannya. bila dia duduk di kerusi,bila sakitnya datang,tangannya akan ke kiri dan terkena bahagian tepi kerusi dan membuat tangannya turut lebam.apabila makan,sudu yang dipagang akan terbuang kekiri dan susah untuk dia makan. tapi sekarang saya yang akan menjaganya. sebagai ibu saya sedih melihat keadaannya. bolehkah doktor membantu saya mengenalpasti masalah anak saya, kerana doktor hospital pun tidak mengetahui masalah anak saya, malah memberi tafsir yang anak saya ada masalah mental,.saya sungguh sedih kerana anak saya adalah seorang yang normal. bantu lah saya dktr..saya pun bukanlah sorang yang senang, saya hanya berniaga kecil2lan sahaja,saya jadi buntu memikirkan anak saya.
    harap dr.zubaidi dapat membantu saya. (010-8228515/525)
    terima kasih.

  2. salam..dr..saya mempunyai adik yang menghidap sawan tarik sejak dia berusia 2tahun.dan sekarang usia dai 19 tahun.sakit sawannya belum hilang walaupun makan ubat hospital.apa yang membimbangkan saya,dulu sewaktu usia nya kecil,sawannya masih boleh dikawal..dia boleh merasakan yang dia nak kena..tapi setelah 2 kali masuk wad icu,lepas doktor mengambil air tulang belakangnya,dia kini tidak mampu mengawal dirinya,dan setiap kali dia sawan..dia akan jatuh tanpa kawal dirinya menyebabkan kepalanya menyembur darah berkali2.dan adik saya ini seorang yang beremosi..dia sukar menahan marah dan barannya yang kadang2 boleh membahayakan nyawanya seperti nak terjun bangunan..saya sekeluarga sudah puas mencari ubat yang baik u dia.bila melihat dia,saya sedih..sebab dia xmampu untuk berfikir yang baik dan yang buruk..dia juga selalu cakap nak kerja ..nak cari duit macam orang lain..dr..kalau ada cara yang boleh menyembuhkan sakitnya..dr bantulah saya dan contac di no ini 0193827652

  3. mkom dr,sy ada 1 soalan,boleh kah mkn ubt swan sambil tu dlm masa yg sama minum air ubt tradisional mcm air akar or kulit kayu yg drebus utk tujuan perubatan?

  4. assalamualaikum dr.. nma saye saeda,berusia 21tahun…. saya mengalami penyakit sawan babi bermula ketika saya berusia 20 tahun… saya sudah 5 kali mendapat serangan sawan selama 5 minit hingga 10 minit… saya tidak bersetuju untuk mengambil ubat sawan… saya cume ingin tahu ape punca saya mendapat penyakit ini…. keturunan keluarga saya tiada yang menghidap sawan… setiap kali saya di serang sawan,saya berada dalam keadaan tidur. setiap kali diserang sawan saya akan terkencing,tergigit lidah sehingga berdarah,muntah dan saya mengambil masa yang lama untuk sedar…. pada pendapat dr apakah punca penyakit saya ini dan adakah peluang untuk penyakit saya ini sembuh tanpa mengambil ubat sawan.. bantulah saya… terima kasih.

  5. sheikh abu bakar

    salam doktor sy mungkin salah seorang pesakit doktor dulu.sy dapati sakit sy ni semakin beransur pulih.cume tak leh penah n stress.tp sekarang mgkib sy dapat penyakit baru..iaitu genarilized anxiety disorder.ape leh sy buat.adakah disebab penyakit sy ni..

  6. Salam Dr,

    Boleh tak Dr terangkan serba sedikit perkara yang perlu dilakukan sekiranya ada orang berhampiran dengan kita mengalami sawan..Mengikut pembacaan saya, kita tidak boleh memasukkan sesuatu ke dalam mulut pesakit ketika beliau mengalami sawan..tapi, ada juga yang berbuat begitu..contohnya memasukkan sudu kedalam mulut pesakit..Adakah perkara tu (memasukkan sudu) akan memberi kesan kepada pesakit tersebut? Terima kasih Dr..

  7. salam dr, sy ada mempunyai seorg ank yg mempunyai penyakit sawan beliau berusia 14thn, penyakitnya selalu menyerang x kira waktu dan tempat, kdg2 beliau diserang sawan sampai 2 hr x sedar. ank sy ada mengambil ubat tp mendapt kesan sampingan yg membuat badannya menjadi obesiti…dr bole x membantu bagaimana nk menyedarkan pesakit ini?

  8. assalam semua;
    mas :memasukkan sudu atau sebarang objek keras yang lain akan beri efek pada pesakit epilepsy.ini kerana kekuatan pesakit utk mengigit pada waktu itu amat kuat(kerana kekejangan otot.)se eloknya masukan kain tapi jangan terlalu dalam kerana boleh menyebabkan pesakit tercekik.cukup sekadar untuk di gigi sahaja.tenangkan pesakit,sekiranya pesakit kejang,urut dgn lembut bahagian yang kejang sehingga kejangnya reda.kemudian iringkan pesakit supaya dia pesakit mendapat lebih oksigen.paling penting jangan bagi keadaan crowded.dalam masa yg sama panggil ambulans.. (betul tak Dr?hehehe,panduan ni saya dapat dari MA yg rawat saya masa belajar dulu…)
    saeda: awak pon sama macam saya.tiada keturunan yg diketahui menghidap sawan.nasihat saya jangan mengelak dari mengambil ubat anti epilepsy.ikut dose yang Dr bagi.tindakan awak untuk mengelakkan atau tidak mengambil langsung ubat anti sawan akan membahayakan awak.saya dah menghidap penyakit hampir 10 tahun,alhamdulillah dari dose 2bj sebanyak 3x sehari kini saya cuma ambil 1bj 2x sehari.apa punca awak boleh dapat sakit ni?awak baca balik yer huraian Dr.kat atas tu.
    zan: soalan awak tu pada saya, awak kene berbincang dengan dr yg rawat awak.sebab di lagi tahu dose yanng awak ambil.saya sendri pon berubat secara alternatif dan dalam masa yg sama saya tetap ambil dose yg Dr sarankan.
    itu jer yag saya dapat batu..yg lain2 diluar bidang kepakaran saya..hehehehe
    nasihat saya, jangan putus asa sebab kita ada sawan. dan jangan malu.yg penting jgn salahkan takdir.ALLAH uji kita sebab DIA tahu kita mampu tanggung dugaan dia.ikut arahan Dr anda.jgn melakukan aktiviti berbahaya seperti memandu, berenang,bekerja degn mesin,bekerja shift(salah satu faktor anda kerap diserang).amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat,bersenam(walaupun hanya turun naik tangga.jangan malas!),jangan malu untuk bertanya dgn Dr anda sekiranya ada sebarang soalan.bincang dgn Dr dan yg teramat penting jangan jadi Dr sendiri.ingat terkurang atau terlebih dose boleh beri kesan pada anda.wallahualam..Dr. betul yer kalau saranan saya salah…

  9. MOHD IQBAL BIN S.M. ARIFF

    SAYA MENGALAMI SAWAN- DALAM KEADAAN SAYA TIDUR DI WAKTU MALAM DAN BERLAKU SETIAP SEBULAN SEKALI…

    INGIN SAYA MENDAPAT RWTN BERSAMA DR..

  10. Hj Abdul Rais bin Abd Rafar

    Assalamualaikum Dr Zubaidi,
    Saya telah terbaca tulisan Dr ini bertarikh 2/10/2010 dan tertarik pula untuk menulis kepada Dr mengenai masalah saya sendiri yang mengidapi partial complex epilepsy @ petit mal @ absence sepertimana terma-terma yang diberitahu kpd saya. Masalahnya penyakit yang saya hadapi tetap serupa dan masih belum mendapat penawarnya lagi buat masa ini sejak ianya bermula pada tahun 2001.
    Pada tahun 1991 saya mula menghidapi grand mal pada ketika umur saya 29 tahun. Setelah melalui pemeriksaan/ujian2 di UH tiada didapati apa2 masalah atau kecederaan dgn otak saya dan conclusion sebab saya menghidapi epilepsy tidak diketahui. Saya diberi prescription ubat tegretol dan saya pula jenis yang 99.9% tak miss makan ubat. Dari tahun 1991 hingga 2001, saya mungkin mengalami 4-5 episod grand mal and selepas itu disahkan sudah safe dari keadaan grand mal. Sejak 2001 hingga sekarang alhamdulillah saya tidak pernah lagi mengalami sebarang episod grand mal.
    Masalahnya, pada tahun 2001 ketika saya berumur 39 thn, penyakit itu telah berubah kepada keadaan yang lebih complex iaitu partial complex epilepsy di mana saya boleh mendapat episod atau fit yang berlaku dalam masa 10-20 saat dan effect dia kadang2 sehingga 1-2 minit. Fit ini boleh berulang 3-4 kali sehari atau 3-4 seminggu atau tiada langsung hampir 2-3 minggu. Ubat saya ditambah dari tegretol + frisium + clobazam. Saya tak miss makan ubat pagi dan petang tetapi fit atau episod tetap datang bila ada TRIGGER FACTOR.
    Saya punya TRIGGER FACTOR lebih kepada stress. Stress to people that you don’t have control over like bad bosses. Stress to spiritual matters. Selalu kena fit ketika eg nak solat, selalunya dalam bilik air ketika mandi sebelum nak solat, atau time solat itself. Stress over situations you don’t have control. Itu sebabnya saya tak pernah kena fit bila pergi bercuti dari kerja. Saya juga tak kena fit berkenaan kerja kerana saya suka kerja cuma masalah dgn boss di tempat kerja.
    Bila saya kena partial complex epilepsy pada tahun 2001, saya juga mula menghidapi hypertension pada tahun yang sama sehingga sekarang. Cuma blood pressure is under control dgn memakan ubat.
    Saya sebenarnya telah redha dgn musibah ini tetapi saya juga bimbang ianya boleh mengakibatkan ‘accident’ jika berlaku ketika saya sedang memandu.

    Saya berharap boleh mendapat nasihat dari Dr mengenai masalah saya ini yang saya sudah alami begitu lama ini. Kalau Dr boleh memberi rawatan, saya sanggup mencuba.

    Wasallam

    Hj Abd Rais

  11. pauzi b.ghazali

    salam dr saya baru saja menjalani pembedahan pada bahagaian kepala,kerana menurut dr pakar usm k.kerian sy fit di sebabkan ada tumor pada sebelah kanan otak sy,so bila sy fit ia akan tarik pada sebelah kiri,alhamdulillah sebelum operate sy kerap fit terutama dlm jangka masa 7 ke 8 hari sy akan fit.selepas operate pd 30may 2012 yg lalu sampai skg baru 3 kali saya fit itu pun masa dlm 1 minit ke 3 minit.apapun sy redha ujian allah kepada sy apabila di hoapital menyedarkan sy bahawa orang lain lagi teruk dari sy.

    • salam dr saya baru saja menjalani pembedahan pada bahagaian kepala,kerana menurut dr pakar usm k.kerian sy fit di sebabkan ada tumor pada sebelah kanan otak sy,so bila sy fit ia akan tarik pada sebelah kiri,alhamdulillah sebelum operate sy kerap fit terutama dlm jangka masa 7 ke 8 hari sy akan fit.selepas operate pd 30may 2012 yg lalu sampai skg baru 3 kali saya fit itu pun masa dlm 1 minit ke 3 minit.apapun sy redha ujian allah kepada sy apabila di hoapital menyedarkan sy bahawa orang lain lagi teruk dari sy.

      Dr Zubaidi: Walaikum mus salam. Saya ucapkan tahniah kerana puan mempunyai semangat yang tinggi di samping iman yang tebal. Semoga ALLAH permudahkan usaha puan untuk sembuh.

Leave a Reply

error: Content is protected !!