Perlukah Lebam Gigitan Jin Diberikan Rawatan?

 

Semasa mengajar kursus First Aids dan CPR kepada para pekerja di sebuah kilang baru-baru ini, saya bertanyakan kepada peserta, “Perlukah lebam yang disebabkan kecederaan dihantar ke hospital?”

Sebelum sempat pertanyaan saya dijawab, seorang daripada peserta bertanya, “Doktor, perlukah lebam yang disebabkan gigitan jin diberikan bantuan Pertolongan Kecemasan?”

 

Lebam akibat gigitan jin

Saya terdiam dan memandang tepat ke muka peserta yang bertanya. Saya cuba membaca fikirannya. Dia bertanya kerana ‘ikhlas atas kebodohannya’ atau ‘mahu buat lawak jenaka’?

Saya pernah juga terbaca tentang gigitan jin ini di majalah, namun saya menolaknya kerana tiada asas hadis atau penerangan ulama’ yang muktabar yang pernah saya temui.

Saya hanya ada mendengar mengenai isu ini dari ustaz-ustaz yang berceramah melalui VCD. Dalam membicarakan tentang gigitan jin, syarahannya disambut oleh gelak ketawa para hadirin yang mendengar. Jadi saya berpendapat bahawa syarahannya agak longgar. Mungkin isu gigitan jin ini adalah pendapatnya saja. Pendapat yang mengelirukan hadirin.

Jika ada pembaca yang mempunyai hujah yang kuat, harap dapat menyampaikannya pada saya.

Sepanjang pengetahuan saya, lebam yang terjadi secara tiba-tiba boleh disebabkan pelbagai penyakit yang berkaitan darah dan saluran darah. Tentu amat menghairankan, bagaimana lebam itu terjadi secara tiba-tiba.

Namun saya masih ingat ketika bekerja di hospital, seorang kanak-kanak mengalami lebam-lebam teruk. Pada mulanya ia disangkakan didera oleh ibubapanya, tetapi akhirnya didiagnosakan sebagai pesakit Leukemia.

Sayangnya kanak-kanak itu meninggal dunia setelah enam bulan menderita. Walaupun ajal dan maut itu Allah yang menentukan, namun ingatlah mencari ubat dan berusaha untuk sihat itu adalah sebahagian dari tawakal. Usaha ini pula haruslah mengikut jalan yang Allah telah tetapkan.

Baru-baru ini saya mendapat tahu rakan saya meninggal dunia setelah dia tidak menjalani follow up di HUSM bagi sakit kanser tulangnya. Ini semua gara-gara beliau bertawakal dengan cara yang salah. Beliau cuba mengubati penyakit kanser tulang dengan menggunakan teknik ‘pembedahan batin”. Dia hanya mendengar-dengar tentang kehebatan dukun Jawa moden yang menggunakan pelbagai kalimah. Akhirnya tidak sampai enam bulan, kanser tulangnya telah merebak ke paru-paru dan dia tewas dalam tawakalnya.

Pusat Perubatan Jawa itu juga telah ditutup oleh pihak Kementerian Kesihatan kerana mendapat laporan bahawa dukun Jawa moden ini mengenakan bayaran pengeras harga seekor lembu, namun penyakit yang dirawat hanya sembuh buat sementara saja. Malah ada yang menjadi lebih teruk dan parah.

Selain mendapat rawatan yang salah, ramai juga pesakit tidak mendapatkan apa-apa rawatan langsung. Penyakit itu dibiarkan tanpa dikaji dan dikenalpasti. Tiada pemeriksaan yang dilakukan oleh pesakit. Bila sudah melarat, dengan mudahnya pesakit ini berjumpa bomoh.

Seorang kawan saya sering sakit kepala dan demam. Setelah tiga hari tidak sembuh daripada penyakitnya, walaupun telah mendapat rawatan di klinik, akhirnya dia berjumpa dengan seorang bomoh. Bomoh itu mengatakan dia dirasuk oleh jin dan minta pengeras seekor kambing untuk dipersembahkan kepada jin itu. Mujur kawan saya enggan kerana ianya syirik. Dia kemudian dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami meningitis.

Saya kerap menerima email atau inbox message yang bertanyakan perkara yang sama. Kebanyakan mereka yang bertanya hanya risau keadaan penyakit mereka namun tidak melakukan pemeriksaan. Yang sedihnya mereka hanya mendengar kata-kata dari kawan-kawan atau terpengaruh dengan pembacaan dari majalah-majalah yang penuh dengan cerita tahyul.

Kali ini saya menulis berapa panduan yang boleh digunapakai untuk ibubapa apabila anak mereka mengalami masalah lebam. Sekurang-kurangnya ibubapa boleh faham, bilakah agaknya lebam itu dianggap merbahaya dan perlu dihantar untuk pemeriksaan lanjut.

Lebam sebenarnya berlaku apabila kulit di badan kita terdapat pengumpulan darah. Ini terjadi apabila saluran darah kecil (capillary) pecah di bawah kulit. Pengumpulan darah ini akan memberikan warna merah, biru kuning dan seterusnya akan hilang selepas dua minggu.

Ia juga dikenali sebagai  ecchymosis, di mana ia sering berlaku apabila ada kecederaan trauma akibat terlanggar benda yang keras. Sebagai contoh, anak kecil bermain dengan kawan-kawannya dan terhantuk sesama sendiri. Salur darah kecil yang terdapat di bawah kulit akan pecah dan darah berkumpul di situ. Ini menyebabkan kawasan itu bengkak dan berwarna merah.

 

 

Lebam tidak akan kekal

Ibubapa tidak perlu bimbang kerana lebam itu akan menyusut dan warnanya akan menjadi cerah. Penukaran warna ini berlaku secara semulajadi kerana darah yang berkumpul akan menjadi pecah (haemolysis) dan terserap ke dalam badan.

Pada peringkat awal, lebam ini berwarna kemerah-merahan. Selepas 1 atau 2 hari, hemoglobin akan keluar dari darah yang musnah. Ini menyebabkan lebam berubah menjadi biru gelap atau kehitaman. Selepas 5 hingga 10 hari, ianya akan bertukar menjadi kehijauan. Selepas 10-14 hari, lebam itu bertukar menjadi kekuningan. Selalunya apabila mencapai masa 2 minggu, kesan lebam semakin berkurangan. Namun ada juga lebam yang hilang lebih awal.

 

Wanita lebih mudah mendapat lebam

Semua orang akan mengalami lebam jika berlaku trauma pelanggaran. Namun ada sesetengah orang yang lebih mudah mendapat lebam berbanding orang lain walaupun traumanya sangat minimal. Ini kerana kekenyalan tisu kulit setiap orang adalah berbeza-beza. Misalnya jika seseorang itu berpenyakit seperti denggi berdarah atau leukemia, keberangkaliannya untuk mudah mendapat lebam adalah tinggi. Begitu juga jika seseorang pesakit itu mengambil beberapa ubat pencair darah atau mengamalkan beberapa jenis herba.

Secara umumnya, wanita dan kanak-kanak lebih mudah mendapat lebam kerana tisu kulit mereka sangat fragile. Selain itu, saluran darah juga menjadi mudah pecah bila umur semakin tua.

 

Pek Ais membantu mengurangkan lebam?

Lebam sebenarnya boleh dirawat di rumah. Ianya sebahagian daripada kecederaan yang memerlukan pertolongan kecemasan. Ia dapat dilakukan dengan teknik yang mudah dan harus dilakukan segera.

Caranya dengan menekapkan ais yang boleh didapati dari peti sejuk di dapur. Ais yang sejuk akan mengurangkan pendarahan dalam kulit kerana suhu sejuk akan mengecutkan salur darah. Dalam kata lain ia akan mengurangkan pengaliran darah ke kawasan di mana darah berkumpul. Ais juga akan mengurangkan bengkak dan menpercepatkan proses penyembuhan. Tekapkan ais pada tempat yang lebam selama setengah jam untuk beberapa hari.

Jika di rumah tiada cold pack khas, bolehlah ambil ketulan ais dan masukkan ke dalam beg plastik, dan balutkan plastik itu dengan tuala. Kemudian tekaplah ke tempat yang lebam.

Jangan lupa untuk meninggikan kedudukan anggota yang lebam. Sebagai contoh, jika lebam itu di betis, baringkan pesakit dan alaskan kaki yang lebam itu supaya ia lebih tinggi dari aras jantung. Ini akan mengurangkan pengaliran darah ke betis. Jangan biarkan pesakit itu berdiri, kerana ia akan menyebabkan lebam itu bertambah teruk di mana lebih banyak darah yang akan keluar ke kawasan berkenaan.

 

Perlukah rawatan di hospital ?

Ini adalah soalan yang paling banyak ditanya oleh ibubapa yang risau tentang keadaan anak-anak mereka. Saya amat memahaminya. Jika seorang bayi boleh meninggal dunia akibat tersedak susu yang diminumnya, inikan pula lebam akibat kecederaan.

Selain kanak-kanak, wargatua tua juga mudah mengalami lebam. Saya pernah mendapat satu kes dimana seorang wanita tua Cina 60an yang terhempap pintu pagar ketika hendak membukanya. Beliau mengalami lebam di sebelah kening kanannya. Ketika mula dimasukkan ke hospital lebamnya hanya sebesar syiling RM1, namun selepas beberapa lama menunggu pakar bedah, bengkaknya semakin membesar seperti sebiji buah limau orange pula.

Ketika wanita itu dihantar ke bilik bedah, hampir separuh mukanya di sebelah kanan membengkak. Pembedahan dilakukan untuk membuang semua darah beku di mukanya dan mengikat salurah darah pecah akibat hentakan pintu pagar itu. Kecederaan ini melibatkan saluran darah yang besar iaitu facial artery yang mudah pecah dan berdarah di muka.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa tips yang boleh digunakan untuk menilai kecederaan lebam. Jika lebam itu kecil, tidak perlulah pesakit dibawa berjumpa dengan doktor. Namun pesakit dinasihatkan berjumpa doktor jika

  1. Lebam itu tidak hilang selepas 2 minggu
  2. Kulit mudah lebam tanpa trauma atau berlanggar benda keras
  3. Kulit lebam tanpa sebab
  4. Lebam menjadi bertambah sakit
  5. Jika lebam itu membengkak (saiz bertambah besar)
  6. Lebam berdekatan sendi dan pesakit tidak boleh menggerakkan sendi
  7. Lebam berdekatan dengan mata atau organ sensitive seperti kemaluan.

Jadi usah risau dengan lebam yang kecil atau mengecil saiznya. Itu menandakan lebam itu mengalami proses pemulihan walaupun mungkin mengambil sedikit masa.

 

Wa allahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (191010)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog/

8 comments

  1. dr,
    i just want to ask what are usually the factors yang menyebabkan lebam terjadi pada kulit yang bukan disebabkan trauma. dulu pernah belakang paha ada large bruises yang saya hanya sedari keadaan nya hanya selepas 3 hari kerana fikir hanya lebam kecil.ia seperti lebam yang terjadiakibat terhentak atau ditendang dari belakang paha. tapi saya hanya biarkan sampai hilang.
    kemarin jua ada lebam kecil di betis warna purple kecil dan sekarang semakin besar di kaki yang sama. saya mempunyai masalah knee sprain beberapa kali semasa saya teenagers yang sakitnya kepalang tetapi saya bukanlah seorang yang active.dan lutut saya sekarang jika saya berjalan atau bergerak, terasa dan kedengaran tissue di kepala lutut seperti bunyi kertas koyak tetapi tidak terasa sakit.adakah semua ini relevant dengan bruise yang terjadi? apakah ini tanda saya akan menghadapi masalah sakit kaki yang serius nanti semakin meningkat usia. umur saya sekarang 29 tahun. terima kasih.tolong email kan reply doctor.

  2. saya selalu mengalami lebam..dan selalunya kena cubit sedikit pun selepas 3 minit atau 2 minit dia akan berubah menjadi lebam.Benda ni selalunya sering terjadi dan ramai kawan saya agak risua dengan keadaan tersebut sehinggalah saya baca penerangan yang ditulis…

  3. badan saya suka lebam lepas bgnun tidur malah kini saya makin hari makin lesu badan saya namu n bila ke hospital tiada apa pun? ini bagaiman pula doc? saya nk menghadapi spm peperiksaan besar. ia turut mengangu prestasi sya sekrang?

    • badan saya suka lebam lepas bgnun tidur malah kini saya makin hari makin lesu badan saya namu n bila ke hospital tiada apa pun? ini bagaiman pula doc? saya nk menghadapi spm peperiksaan besar. ia turut mengangu prestasi sya sekrang?

      drzubaidi: Apa maksud puan “bila ke hospital tiada apa pun” ? apa pemeriksaan yang telah dijalankan di hospital dan bagaimana dengan keputusannya?

  4. assalamualaikum wbt..
    Dr.. sy nak bertanya.. sy ni seorang yg mudah lebam.. cthny kalau ada kawan-kawan yang cubit atau pegang lengan saya dengan sedikit kuat.. atau menggenggam lengan saya, tak lama tu lebam akan kelihatan.. tak hairanlah kat kaki sy ni apatah lagi dibahagian lutut.. tersandung sikit pun lebamnya mcm dah jatuh teruk.. kawan² ckp sy ni sakit.. tapi Alhamdulillah sy seorang yg sihat.. cuma sy ada migrain dan tak tahan pada kesejukkan yang teramat sangat kerana mudah rasa sejuk menusuk ke tulang.. hal ini tidaklah mengganggu kesihatan sy.. cuma sy berasa bimbang dengan keadaan itu.. boleh dr jelaskan?

    • assalamualaikum wbt..
      Dr.. sy nak bertanya.. sy ni seorang yg mudah lebam.. cthny kalau ada kawan-kawan yang cubit atau pegang lengan saya dengan sedikit kuat.. atau menggenggam lengan saya, tak lama tu lebam akan kelihatan.. tak hairanlah kat kaki sy ni apatah lagi dibahagian lutut.. tersandung sikit pun lebamnya mcm dah jatuh teruk.. kawan² ckp sy ni sakit.. tapi Alhamdulillah sy seorang yg sihat.. cuma sy ada migrain dan tak tahan pada kesejukkan yang teramat sangat kerana mudah rasa sejuk menusuk ke tulang.. hal ini tidaklah mengganggu kesihatan sy.. cuma sy berasa bimbang dengan keadaan itu.. boleh dr jelaskan?

      drzubaidi: saya mencadangkan puan melakukan pemeriksaan darah.

      • sy pernah membuat pemeriksaan darah dan hasilnya, sy tidak mempunyai apa² sakit.. tiada tekanan darah rendah mahupun tinggi.. itu yg membuatkan sy merasa pelik.. sy berharap dpt penjelasan dari Dr. bahawa keadaan ini tidak begitu serius..

  5. saya sering timbul tanda lebam di paha (saiz lebih kurang duit 20cent). akhir-akhir ni, tanda lebam tu dah timbul di sekitar rusuk kanan dan kiri.. biasanya, selepas 2-3 minggu, dia akan hilang, tapi akan timbul lagi tanda lebam baru..boleh tak Dr. jelaskan?

Leave a Reply

error: Content is protected !!