Penggunaan Prednisolone Ketika Hamil

Ramai yang merasa tidak selesa apabila mendengar perkataan “steroids”, kerana ia dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan untuk jangka panjang.

Saya pernah melihat seorang wanita berumur 50an yang mengalami patah tulang punggung, hanya kerana jatuh dari kerusi yang diduduki. Apabila xray dilakukan, dia diagnosa mengalami fracture of neck of femur akibat masalah osteophorosis yang dipercayai berpunca daripada pengambilan ubat herba bagi mengurangkan sakit lutut.

Ubat itu dipercayai dicampur dengan steroid bagi mendapat kelegaan cepat. Mengambil ubat tanpa kawalan dalam waktu yang lama menyebabkan beliau mengalami kereputan tulang.

Namun begitu ubat yang dianggap merbahaya ini amat diperlukan bagi menyelamatkan sesetengah pesakit. Sebagai contoh, pesakit yang diserang bronchospasm akibat alahan, dapat diselamatkan dengan memberikan suntikan steroids.

Begitu juga mangsa kemalangan jalanraya yang mengalami kecederaan urat saraf tunjang, jika tidak diberikan suntikan steroid, dia mungkin mengalami kelumpuhan seumur hidup.

Antara ubat steroid yang sering digunakan ialah ubat prednisolone yang dikategorikan dalam kumpulan ubat corticosteroid. Ia digunakan untuk merawat penyakit serangan asthma, merawat penyakit autoimmune seperti SLE, dan beberapa penyakit kulit bagi membantu pesakit mendapat kelegaan daripada radang (inflammation).

Ubat prednisolone yang diberikan oleh doktor mempunyai dos yang rendah dan terkawal. Oleh itu ubat steroids harus diberikan setelah mendapat nasihat doktor. Ia tidak boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi.

Bagaimana pula jika wanita yang hamil mengambil ubat prednisolone ketika diserang asthma yang kuat? Tidakkah ia merbahaya pada bayi yang berada dalam rahem?

Terdapat beberapa kajian santifik menunjukkan terdapat risiko yang kecil untuk bayi mendapat oral clefts apabila prednisolone diberikan ketika awal kehamilan.

Kecacatan oral cleft berlaku semenjak lahir apabila bibir atau lelangit (palate) tidak dapat bercantum sepenuhnya ketika perkembangan fizikal dalam rahem. Jika ia melibatkan hanya bibir, ia dinamakan cleft lips dan kalau ia melibatkan lelangit, dinamakan cleft palate. Jika melibatkan bibir dan lelangit dinamakan oral cleft.

Dalam keadaan biasa, seorang bayi boleh mendapat mendapat kecacatan oral cleft walaupun ibunya yang sihat dan tidak mempunyai hubungan baka keturunan yang mempunyai kecacatan ini. Ia boleh berlaku akibat masalah ketika perkembangan janin dalam rahem dan berlaku dalam seribu kelahiran.

Berbanding dengan wanita hamil yang mengambil pil tablet prednisolone (atau ubat corticosteroid yang sejenis dengannya), risiko mendapat kecacatan itu ialah antara tiga hingga enam bayi dalam seribu kelahiran.

(rujuk :Fitzsimons R, et al. 1986. “Outcome of pregnancy in women requiring corticosteroids for severe asthma”. J Allergy Clin Immunol 78(2):349-53).

Terdapat satu kajian lain yang diterbitkan dalam American Journal of Obstetrics & Gynecology, bagi melihat kesan penggunaan corticosteroid dan kecacatan oral clefts pada bayi yang dilahirkan.

Kajian ini dilakukan dengan menemuramah menggunakan telefon seramai 5912 wanita mempunyai anak oral cleft dan seramai 4143 wanita yang mempunyai anak yang normal.

Didapati sebanyak 33 orang bayi mengalami oral cleft (2.9%), 6 orang bayi mengalami cleft palate (1.0%), dan 72 orang bayi (1.7%) tidak mengalami kecacatan oral cleft ketika ibu mereka menggunakan ubat corticosteroid di awal kehamilan (kurang dari 12 minggu).

Sekali lagi menunjukkan pengambilan corticosteroid boleh meninggikan kebarangkalian untuk mendapat CLP jika diambil di awal kehamilan. Walaubagaimanapun kecacatan tidak semestinya terjadi.

(Rujuk: American Journal of Obstetrics & Gynecology, volume 197, Issue 6, pages 585.e1-585.e7, December 2007)

Walaubagaimanapun kajian itu agak longgar dan dipertikaikan kerana kajian ini hanya menggunakan cara panggilan telefon.

Dalam kajian lain, menunjukkan bahawa risiko kecacatan oral cleft tidak bertambah tinggi walaupun mengambil ubat corticosteroids di awal kehamilan.

Dalam Journal Allergy Clinical Immunology, 2004, menerbitkan satu kajian yang mengutip data dari 16 buah pusat perubatan dari December 1994 hingga Februari 2000 melibatkan seramai 2123 pesakit asthma.

Mereka mendapati penggunaan inhaler beta-agonists (ventolin), inhaler corticosteroids (budisonide) atau inhaler theophylline tiada kaitan dengan punca kecacatan oral cleft pada bayi yang dilahirkan.

Dalam masa yang sama, mereka mendapati hanya pesakit asthma yang menggunakan pil tablet corticosteroid (prednisolone) boleh menyebabkan peningkatan risiko kelahiran pramatang dan saiz bayi yang kecil, tetapi bukan kecacatan oral cleft.

(rujuk : “The relationship of asthma medication use to perinatal outcomes”. J Allergy Clin Immunol 2004 Jun;113(6):1040-5).

Walaubagaimanapun isu kesan sampingan bagi steroid tidak berakhir di situ. Ada beberapa kajian yang mengaitkan pengambilan steroid ketika diserang asthma yang kuat, dengan risiko untuk lahir secara pramatang (sebelum usia kehamilan 37 minggu) dan/atau melahirkan bayi yang bersaiz kecil.

(rujuk: “Outcome of pregnancy in women requiring corticosteroids for severe asthma”. J Allergy Clin immunol, 1986 Aug;78(2):349-53).

Jadi bagaimana untuk menghadapi masalah ini? Perlukah wanita hamil yang diserang asthma diberikan ubat prednisolone jika keadaan asthmanya terlalu teruk?

Saya berpendapat bagi wanita hamil yang diserang asthma teruk, yang boleh mengancam nyawanya, haruslah diusahakan agar penyakitnya sembuh walau pun terpaksa menggunakan ubat tablet prednisolone.

Ubat prednisolone atau ubat steroid lain bukanlah racun. Menggunakan ubat itu tidak bermakna kecacatan pada bayi pasti akan berlaku. Cuma ada kebarangkalian (tidak sampai 10%) untuk bayi menghadapi masalah kecacatan itu. Ini bermakna kecacatan berlaku tidak hanya disebabkan oleh ubat prednisolone yang digunakan. Banyak lagi faktor-faktor lain.

Dalam mana-mana kehamilan, risiko untuk seorang wanita mempunyai anak yang cacat (birth defect) sebanyak 3-5% walaupun ibunya sihat dan menjaga pemakanan.

Jika diserang asthma, bolehlah menggunakan ubat inhaler atau nebulizer ventoline atau steroid kerana kesan sampingan pada tubuh amat minimal. Jika asthmanya teruk dan doktor mendapati perlu diberikan ubat steroid sama ada dengan suntikan atau tablet, bolehlah menggunakan ubat itu. Kebiasaannya ubat tablet atau suntikan steroids membantu menyelamatkan nyawa ibu dan anak, kerana kesannya yang cepat (dengan izin Allah).

Jadi ramai pakar perubatan membuat kesimpulan bahawa pengambilan ubat prednisolone di awal kehamilan mempunyai risiko yang kecil. Oleh itu ia harus diambil dengan nasihat doktor setelah manfaatnya melebihi kemudharatan.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (081111)

Leave a Reply

error: Content is protected !!