Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) ditulis pada 3 Nov 2017
- Apakah khasiat pemakanan yang ada dalam sebiji kurma?
Kurma adalah antara makanan buah yang sangat kaya dengan pelbagai nutrient. Ia kaya dengan gula sebanyak 80% dan selebihnya adalah protein, fiber, dan mineral yang penting seperti kalsium, iron, magnesium, manganese, potassium, sodium, phosphorus, selenium, dan zinc.
Dalam 100g kurma mengandungi 282 kcal yang terdiri dari karbohidrat 75g, lemak baik 0.4g dan protein 2.45g.
Kurma mempunyai indeks glisemik yang sederhana, bergantung kepada jenis kurma. Sebagai contoh kurma khalas mempunyai indeks glisemik 35.5, barhi 49.7 dan bo ma’an 30.5. Jadi kurma mempunyai indeks glisemik yang rendah, walaupun ia manis tetapi ia mempunyai banyak serat yang melambatkan penyerapan gula dalam darah. Dianggarkan 8g serat terdapat dalam 100 g kurma.
Kurma juga mempunyai vitamin yang pelbagai. Antaranya vitamin A, vitamin B kompleks termasuk folate, vitamin C, vitamin E dan vitamin K.
Jadi secara amnya pengambilan kurma bermanfaat pada orang yang sihat, apatah lagi wanita yang hamil.
- Bagaimanakah ia dapat membantu wanita semasa proses bersalin?
Saya berpendapat bahawa pengambilan kurma yang betul (tidak berlebihan) memberikan manfaat pada wanita yang hamil sama ada di awal kehamilan, malah di minggu-mingu terakhir sebelum melahirkan anak.
Ramai pengkaji yang mendapati bahwa pengamalan kurma (terutama pada minggu akhir kehamilan) membantu proses kelahiran kerana ia meningkatkan tindakbalas rahim terhadap hormone oxytocin yang bertindak mengecutkan rahim bagi mengeluarkan rahim. Dengan itu ia dapat mengurangkan pendarahan yang banyak yang biasda berlaku selepas bayi dikeluarkan dari rahim.
Selain itu kurma juga banyak nutrisi yang sangat penting digunakan semasa proses melahirkan anak.
Kurma mengandungi lemak asid tepu dan tidak tepu seperti asid oleic, asid linoleic, dan asid linolenic, yang mampu membekalkan banyak ketika seorang wanita memerlukan banyak tenaga semasa melahirkan anak.
Asid-asid lemak ini juga sangat penting membina bahan prostaglandin (yang digunakan dalam proses pengecutan rahim). Selain itu tannin dan kalsium dalam kurma juga penting dalam aktiviti pengecutan otot-otot rahim.
Kurma juga mengandungi beberapa bahan nutrisi yang memberikan manfaat pada wanita hamil yang sedang sedang mengalami proses kelahirna.
- Gula ringkas glukosa dan fruktosa yang mudah dihadamkan untuk ditukarkan kepada tenaga yang banyak.
- Fiber yang membantu memudahkan buang air besar dan mengelakkan sembelit yang menjadi masalah utama bagi wanita yang hamil akibat saiz rahim yang semakin membesar. Pengambilan fiber yang banyak mengurangkan risiko mengalami masalah diabetis akibat kehamilan (gestational diabetes).
- Potassium yang mencukupi bagi mengekalkan kestabilan antara mineral dan air bagi mengawal takanan darah yang lebih baik.
- Magnesium yang penting bagi rahim mengelakkan rasa kejang pada rahim sebelum berlakuknya proses kelahiran (sepanjang kehamilan).
- Folate yang penting bagi pembentukan saraf tunjang pada bayi yang berada dalam rahem, bagi mengelakkan kecacatan neural tube defects.
- Vitamin K yang membantu pembekuan darah selepas melahirkan anak bagi mengelakkan kehilangan darah dengan banyak.
- Betulkah amalan memakan kurma membantu bukaan serviks yang lebih besar?
Ya, banyak kajian yang menunjukkan pengambilan kurma membantu bukaan pangkal rahim (servik) dengan lebih mudah dan besar.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2011 menunjukkan wanita yang mengambil 6 biji kurma sehari sekurang-kurangnya 4 minggu sebelum melahirkan anak mengalami proses kelahiran yang lebih mudah. Mereka yang mengamalkan kurma ini tidak mengalami ‘pecah selaput ketuban’ ketika dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak, mudah memulakan proses kelahiran tanpa memerlukan ubat Pitocin dan memendekkan fasa pertama dalam proses kelahiran.
Rujuk: The effect of late pregnancy consumption of date fruit on labour and delivery. J Obstet Gynaecol. 2011;31(1):29-31.
Ini kerana pengambilan kurma dapat melembutkan pangkal rahim (servikal), dengan ini memudahkan pangkal Rahim untuk membuka ‘jalan kelahiran’ bagi bayi dalam Rahim untuk keluar. Mereka yang lebih sukar untuk memulakan proses kelahiran juga didapati lebih mudah bertindakbalas dengan ubat Pitocin berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan kurma sepanjang kehamilan.
Dalam penulisan yang diterbitkan dalam satu journal (The Journal of Midwifery and Reproductive Health) , mereka yang mengamalkan kurma mempunyai “bishop scores” (satu penilaian terhadap kesediaan wanita yang mahu melahirkan anak dengan mudah), pembukaan “jalan kelahiran” yang lebih luas kerana pangkal rahim lebih lembut, dan mudah respon terhadap ubat Pitocin, jika ia diberikan pada wanita yang mengalami masalah memulakan proses kelahiran.
Rujuk: The Effect of Late Pregnancy Consumption of Date Fruit on Cervical Ripening in Nulliparous Women. The Journal of Midwifery and Reproductive Health. Article 1, Volume 2, Issue 3, July 2014, Page 150-156
Pengambilan kurma memberikan kesan yang sangat baik. Dalam satau kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2017, pengamalan kurma ketika hamil (terutamanya di peringkat akhir kehamilan), memberikan kesan positif pada proses kelahiran tanpa memudaratkan ibu dan bayi yang dilahirkan.
Rujuk: Date fruit consumption at term: Effect on length of gestation, labour and delivery. Obstet Gynaecol . 2017 Jul;37(5):595-600.
- Apakah cara betul amalan makan kurma yang boleh ibu hamil lakukan dalam berusaha memastikan proses kelahiran bayinya dapat berlangsung dengan lancar?
Dalam banyak kajian yang dibentangkan tadi, pengambilan kurma sangat bermanfaat untuk wanita yang hamil. Jadi boleh amalkan 4-6 biji kurma sehari.
Bagi wanita yang tiada masalah kesihatan, boleh ambil 6 -8 biji sehari. Jika berada di minggu akhir kehamilan (pada minggu 36 ke atas) oleh ambil 8-10 sehari bergantung kepada berat badan, ketinggian dan aktiviti seharian.
Bagi wanita yang ada masalah diabetis semasa hamil, perlu mendapatkan nasihat doctor. Saya mencadangkan agar meninggalkan karbohidrat ringkas seperti kuih muih dan kek dan menggantikannya dengan kurma (yang lebih natural dan merupakan karbohidrta yang kompleks).
Boleh ambil 4-6 biji kurma, ambil 2-3 biji waktu pagi dan 2-3 biji waktu malam. Boleh juga dimasukkan dalam minuman sebagai pemanis bagi menggantikan gula atau dalam makanan seperti mencampurkan kurma yang dipotong kecil dengan sayur-sayuran yang segar.
- Menjelang hari jangkaan bersalin, berapa banyak kurma yang patut dimakan dalam sehari. Jika berlebihan daripada yang sepatutnya, tidakkah ia akan menimbulkan kesan lain kepada ibu hamil. Contohnya, saiz anak dalam kandungan menjadi besar.
Ya pengambilan kurma pada wanita hamil yang mengalami diabetes harus mendapat konsultasi doctor. Tetapi bagi wanita yang sihat boleh ambil 8-10 biji sehari. Boleh bahagikan seperti 2-3 biji waktu pagi, 2-3 biji waktu petang dan 2-3 biji waktu malam.
Kurma memberikan rasa manis dan mempunyai kandungan gula yang tinggi. Tetapi ia mempunyai glisemik indek yang rendah kerana kandungan serat yang tinggi.
Apa yang penting ialah tinggalkan semua karbohidrat yang ringkas (refined carbo) yang lebih berbahaya. Ia mempunyai kandungan gula yang tinggi dan juga indeks yang glisemik yang tinggi. Ia lebih berbahaya jika dibandingkan dengan kurma yang mempunyai indeks glisemik yang rendah.
- Kurma adalah makanan yang manis. Bolehkah ibu hamil yang ada diabetes melakukan amalan ini?
Ramai yang keliru dengan masalah ini. Kurma dianggap sebagai buah yang manis, jadi ramai doctor yang melarang pesakit diabetes mengambilnya. Menurut American Diabetes Association, terdapat salah faham di mana pesakit diabetes dinasihatkan mengambil semua buah-buahan ini kerana rasanya manis.
Memang benar, kurma mempunyai rasa yang manis. Ia mengandungi banyak gula natural dan kandungan karbohidrat yang lebih tinggi berbanding dengan sayur-sayuran atau buah-buahan yang lain. Tetapi kurma juga mempunyai nutrisi seperti fiber, mineral dan vitamin yang diperlukan bagi memastikan kita kekal sihat.
Oleh itu pengambilan kurma bukanlah sesuatu yang memudaratkan. Apa yang penting adalah berapa banyak yang boleh kita ambil. Kita tidak semestinya mengambil sekilo kurma sehari, tetapi ambil beberapa biji mengikut keperluan kita bagi mendapat manfaat dari kurma ini.
Sebagai contoh satu cawan kurma yang telah dihiris halus mengandungi kira-kira 420 kalori, 95 g gula dan 110 g karbohidrat. Ia menyamai keperluan tenaga untuk satu hidangan makan tengahari atau makan malam. Namun kurma membekalkan separuh dari keperluan fiber dalam sehari. Ia juga membekalkan kira-kira 10 peratus keperluan sehari bagi mineral seperti magnesium, potassium, manganese, copper dan vitamin B-6.
Bagi wanita hamil yang mengalami diabetes, saya cadangkan agar mendapat nasihat doctor dahulu. Namun pengambil beberap biji kurma sehari lebih baik dari mengambil makanan dan minuman dari makanan yang bersumberkan karbohidat ringkas.
- Apakah kurma yang dimaksudkan oleh doktor hanya merujuk kepada kurma kering. Masih samakah khasiatnya jika ibu hamil mengamalkan kurma segar atau pati kurma dalam bentuk jus dan sebagainya.
Manusia telah mula makan kurma lebih 4,000 tahun yang lalu. Kurma berasa manis membekalkan sumber karbohidrat yang banyak. Ia adalah sumber tenaga segera yang natural dan selamat. Zaman dahulu kita hanya mengenal kurma kering dan kurma basah. Tetapi sekarang terdapat produk jus kurma pula di pasaran.
Buah kurma yang dijual di pasaran sebenarnya boleh dibahagikan kepada tiga. Pertama kurma yang segar dan basah, kedua kurma yang separuh basah dan segar dan ketiga kurma yang kering. Kurma kering adalah kurma yang mengandungi air yang kurang, berbanding dengan kurma yang segar dan lembut.
Jadi kurma yang kering mempunyai kandungan kalori dan gula yang lebih tinggi dari kurma basah. Ini bermakna dalam satu cawan, kurma kering mempunyai kandungan kalori dan karbohidrat yang lebih tinggi dari kurma yang segar dan basah. Cuma apabila ia basah, ia mudah dirosakkan oleh kuman.
Kurma segar dan basah tidak rosak dan selamat selamat apabila disimpan dalam bekas yang tidak dimasuki udara (airtight container) selama 8 bulan. Jika dibungkus dalam plastic dan dimasukkan dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama setahun. Jika disimpan dalam peti sejuk beku, ia boleh disimpan sehingga lima tahun. Lebih dari itu, mungkin rasa dan kandungan nutrisi dalam kurma itu terjejas.
Oleh itu kurma yang basah dan segar lebih baik diambil kerana bukan saja kandungan tenaganya yang rendah tetapi kandungan vitamin yang lebih banyak.
Sebagai perbandingan 100g kurma yang kering mengandungi 284 kalori berbandingan dengan kuyrma segar dan basah yang mengandungi 142 kalori. Jadi bagi yang ingin mengurangkan berat badan, lebih baik mengambil kurma segar dan basah.
Kandungan nutrisi kedua-dua jenis kurma ini juga berbeza. 100g kurma segar dan basah juga mengandungi 1.8 g protein, 1 g lemak, 37 g karbohidrat dan 3.5 g fiber. Berbanding dengan kurma kering yang mempunyai berat yang sama iaitu 2.8 g protein, 0.6 g lemak, 76 g karbohidrat dan 5 g fiber.
Kandungan mikronutrien (iaitu vitamin dan mineral) juga berbeza sedikit. Kurma kering memberikan kalsium dan iron yang lebih tinggi dari kurma yang basah dan segar. Tetapi kurma segar dan basah membekalkan vitamin c dan A yang lebih banyak.
Sebagai contoh 100g kurma segar dan basah mempunyai 34 mg kalsium, 6g zat besi (iron) dan 30 mg vitamin C, berbanding dengan 100g kurma kering yang mempunyai 81 mg kalcium, 8 mg zat besi dan tiada vitamin C. Vitamin C adalah nutrisi yang kurang stabil berbanding dengan kalsium atau zat besi, dan mudah dimusnahkan oleh haba dan penyimpana yang terlalu lama.
Jus kurma dalam bentuk cordial pula mengandungi kandungan gula yang tinggi, sementara kandungan fiber dan mikronutrien yang rendah (atau tiada langsung). Lebih baik mengisar kurma (sama ada kurma sega dan basah atau kurma kering) sebagai jus minuman. Ia lebih baik dari minum jus kurma kordial yang ada dipasaran.
Terima kasih.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
amalan yang bagus. sy pun amalkan