OMEGA 3 DAN MINYAK KELAPA DARA UNTUK ELAK NYANYUK
Pada tahun lalu, direkodkan bahawa Malaysia mempunyai sebanyak 2.8 juta warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas) daripada keseluruhan populasi seramai 31 juta orang. Diramalkan, menjelang tahun 2050, negara dijangka mempunyai 40.7 juta penduduk dengan 23.5 peratus daripada populasi itu terdiri daripada warga emas.
Pada masa sekarang, 1.4 daripada 10 orang dewasa di Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas mengalami masalah dementia atau nyanyuk. Insiden akibat gejala tersebut juga meningkat kepada 22.7 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 75 tahun dan ke atas.
Dementia adalah masalah yang berkaitan dengan simptom penyusutan memori atau kemahiran berfikir. Keadaan yang cukup serius ini menghadkan kemampuan seseorang melakukan aktiviti harian.
Kajian terbaharu daripada seorang pakar antipenuaan Jepun menunjukkan bahawa pengambilan Omega 3 dan Medium-chain triglycerides (MCT) ialah kunci kepada kesihatan otak yang berperanan melambatkan keseriusan penyakit akibat peningkatan usia seperti dementia.
Penyelidik Jabatan Ubat-Ubatan Kawalan Penuaan, Universiti Juntendo, Jepun, Prof. Takuji Shirasawa berkata, dalam kebanyakan nutrien yang dikaji oleh saintis sejak dua dekad lalu, Omega 3 dan MCT jelas paling menonjol dalam menghalang, melambatkan atau meringankan penyakit berkaitan usia, terutama dementia.
Beliau yang mengimplementasikan hasil kajian antipenuaan ke dalam diet rakyat Malaysia dalam Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Nutrisi Malaysia Kali Ke-31 menyatakan, nutrisi bukan sahaja menghalang atau mengurangkan penyakit tidak berjangkit, malah mampu menambah baik kualiti kehidupan warga emas dan menghadkan beban penyakit berkaitan usia.
Menurut Shirasawa, kajian yang dijalankan pihaknya mendedahkan bahawa strategi nutrisi melibatkan Omega 3 and MCT menunjukkan kemajuan yang ketara dalam meningkatkan kesihatan otak, yang membawa kepada kehidupan lebih gembira dan sihat untuk masa akan datang.
Omega 3 ialah sejenis lemak yang ditemui di dalam membran sel yang dihasilkan di dalam tubuh untuk tempoh yang sangat perlahan. Manusia biasanya mendapatkan Omega 3 daripada diet melalui pengambilan minyak ikan seperti tenggiri, tuna dan salmon yang memiliki kandungan Omega 3 yang tinggi.
Omega 3 terbukti dalam melindungi hati dan sistem kardiovaskular. Justeru, Omega 3 memainkan peranan penting dalam menghalang, memperlahan dan mengurangkan penyakit berkaitan usia. Shirasawa mencadangkan pengambilan 250 hingga 500 miligram (mg) Omega 3 DHA-EPA setiap hari untuk meningkatkan kesihatan otak. Sumber terbaik Omega 3 boleh didapati daripada lemak-lemak ikan seperti sardin, tuna dan salmon.
Selain Omega 3, satu amalan terbaik antipenuaan ialah penggunaan minyak dan lemak yang betul dalam diet populasi umum di Malaysia. Langkah pertama adalah dengan mengurangkan pengambilan Omega 6 (biasanya didapati dalam minyak masak dan makanan bergoreng) secara signifikan.
Langkah kedua pula adalah menggunakan minyak dan lemak yang mengandungi agen antipenuaan. Dalam pada itu, MCT merujuk kepada cara atom-atom karbon disusun dalam struktur kimianya. MCT merupakan satu sumber diet lemak semula jadi dan boleh didapati dengan banyak di dalam minyak kelapa.
Minyak kelapa mengandungi 55 peratus MCT manakala 45 peratus MCT boleh didapati di dalam lemak santan.
“Apabila otak kita tidak mampu menyimpan tenaga, ia memerlukan aliran glukosa darah yang berterusan. Dalam situasi ini, hati mampu menguraikan lemak badan yang disimpan untuk menghasilkan ketones. “Ketones boleh terus melangkaui halangan darah-otak untuk menawarkan tenaga segera kepada otak. MCT di dalam minyak kelapa berupaya meningkatkan tahap darah ketones,” kata Shirasawa.
Beliau menyarankan mencadangkan pengambilan 60 mililiter (ml) minyak kelapa atau santan setiap hari. Bagi penghidap Alzheimer dan dementia, pengambilan 120 ml mungkin boleh membantu menambah baik keadaan mereka.
“Sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah lebih proaktif untuk otak yang lebih sihat pada usia emas. Kita mungkin beranggapan kita masih muda pada usia 30-an dan 40-an, sebenarnya kita harus bertindak sekarang. Usia emas yang lebih sihat dan gembira boleh dicapai dengan mengamalkan perubahan diet dan kekal aktif,” katanya.
Dalam kajian terbaharu, Takuji Shirasawa menjelaskan bahawa untuk membina negara dengan populasi warga emas yang lebih sihat, masyarakat perlu melihat semula fungsi piramid makanan dan mula memberi perhatian terhadap pengambilan Omega 3 dan MCT.
Piramid makanan yang diperkenal pada tahun 80-an menggalakkan pengambilan karbohidrat dan karbohidrat bertapis dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, semua jenis lemak telah diabaikan sejak sekian lama dan memaksa industri makanan menggantikan lemak dengan gula. Piramid makanan telah mencipta satu budaya pengambilan karbohidrat yang tinggi, tidak menyihatkan dan ketagihan terhadap gula di seluruh dunia.
Pengenalan piramid makanan telah mengurangkan peratusan pengambilan lemak dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat (AS) daripada 43 peratus kepada 33 peratus. Ironinya, pada tahun 1960, hanya 1 daripada 100 orang Amerika mengalami diabetes tahap 2, tetapi kini meningkat kepada 1 dalam 10 orang.
Sementara itu, satu daripada tujuh rakyat AS mengalami obesiti pada tahun 60-an, dan kini menurun kepada satu daripada tiga orang. Angka ini jelas menunjukkan bahawa piramid makanan sedia ada tidak lagi relevan dan efisien pada 2009 penyelidik menyimpulkan bahawa diet lemak tinggi mengatasi diet rendah lemak apabila menyentuh tentang penurunan berat badan. Selain mengurangkan risiko serangan jantung, diabetes, keradangan dan tekanan darah tinggi.
Secara umumnya, populasi yang mengurangkan pengambilan karbohidrat dan gula, sebaliknya makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta meningkatkan nisbah pengambilan lemak dalam had keperluan kalori harian dilihat lebih sihat dan cenderung menguruskan berat badan dengan lebih baik,” katanya.
Omega 3 dan Medium-chain triglycerides (MCT) berperanan melambatkan keseriusan penyakit akibat peningkatan usia dan nyanyuk. Sumber tinggi Omega 3 – minyak ikan tenggiri, tuna dan salmon. 250 hingga 500mg Omega 3 DHA-EPA setiap hari meningkatkan kesihatan otak. Minyak kelapa mengandungi 55 % MCT. Disarankan pengambilan 60ml minyak kelapa atau santan setiap hari.
Sumber : http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/omega-3-minyak-kelapa-elak-nyanyuk-1.345261#sthash.OibILLCo.dpuf
[IKLAN]Dapatkan Fish Oil Needs Venue yang bersaiz lebih kecil dari dalam pasaran, sesuai untuk kanak-kanak hingga dewasa. Kanak-kanak 1 biji, dewasa 3 biji. Boleh klik link di bawah :
[FAMILY PACK] – 3 UNIT NV FISH OIL !! SAVE RM15 !! – Needs Venue