NAJIS ANAK ADA DARAH

“salam doktor.  Anak saya berumur kurang 2 bulan. Semasa pantang, najisnya mempunyai darah (seperti sehelai bulu mata), saya ingatkan ianya disebabkan pemakanan saya. Saya kurangkan pengambilan makanan pedas dan monitor najis anak saya. Namun selepas pantang, kejadian sama berulang lagi sebanyak 2kali. Kali terakhir, darah lebih banyak berbanding biasa. Adakah ini disebabkan masalah usus. Mohon pencerahan doktor dan apakah yang patut dilakukan. Terima kasih”

WA ALAIKUM MUS SALAM.

Langkah pertama yang puan lakukan ialah pastikan ia sememangnya darah pada najis, dengan melakukan ujian makmal. Adakalanya apa yang disangkakan ‘darah’ sebenarnya bukannya darah, tetapi warna najis bayi yang berubah.

Saya mencadangkan agar puan membawa najis tersebut ke klinik dan bertanyakan pada doktor jika dapat melakukan ujian untuk menentukan najis yang dialami mempunyai darah atau tidak.

Jika benar ia adalah darah dalam najis, pemeriksaan lanjut harus dilakukan kerana berkemungkinan ia menunjukkan tanda berbahaya.

Biasanya, jika terdapat sedikit darah dalam lampin bayi, ianya bukanlah suatu masalah besar. Kadang kala darah itu bukannya berasal dari dubur, tetapi dari faraj. Jika anak puan adalah seorang bayi perempuan, mungkin puan akan perasan ada sedikit darah pada lampinnya.

Ini disebabkan oleh semasa bayi dalam rahem, hormon pada ibu akan memasuki tubuh anak. Apabila ia dilahirkan, penurunan hormone dalam tubuh si anak kerana tidak lagi mendapat ‘bekalan’ hormon dari ibunya, menyebabkan terdapat pendarahan pada farajnya. Ini adalah suatu yang normal dan tidak berbahaya.

Selain itu bayi yang diberi susu formula, apabila mengalami sembelit, akan mengalami sedikit pendarahan apabila meneran. Pendarahan itu bersifat sementara, dan berasal dari lubang dubur. Ia akan sembuh selepas beberapa hari.

Bayi yang mengalami ruam lampin yang teruk, juga boleh meninggalkan kesan darah pada lampinnya. Begitu juga dengan bayi yang mempunyai masalah eczema juga, lebih mudah mengalami alahan protein susu lembu. Bayi seperti ini tidak dapat memproses dan menghadam susu dengan baik, menyebabkan ususnya luka dan darah akan keluar melalui najisnya.

Selain itu bayi yang mempunyai masalah jangkitan bakteria pada usus juga boleh menyebabkan masalah yang sama.

Saya menasihatkan puan agar membawa anak puan dan najis pada lampin ke klinik yang biasa puan pergi jika anak puan kerap mengalami masalah ini.

Leave a Reply

error: Content is protected !!