MENGESAN SERANGAN SAKIT JANTUNG

 

“Assalamu alaikum doctor. Saya berusia 35 tahun dan mempunyai dua orang anak. Baru-baru ini saya mengalami sakit dada. Isteri saya telah membawa saya ke klinik. Doktor di klinik telah memeriksa saya dengan meletakkan stethoscopenya di dada. Dia beritahu saya agar bimbang dan memberikan saya ubat gastrik. Saya rasa tidak puas hati. Saya bimbang saya mengalami serangan sakit jantung. Mohon penjelasan”

 

Wa alaikum mus salam. Saya memahami perasaan marah dan kecewa yang saudara rasakan. Saya berpendapat bahawa doctor yang bertugas seharusnya memeriksa saudara dengan lebih teliti.

 

Saya tidak dapat memberikan komen lanjut tentang pemeriksaan, diagnosa dan rawatan yang diberikan oleh doktor berkenaan, kerana saya tidak mengetahui hal keadaan sebenar ketika itu.

 

Saya sendiri lebih berhati-hati apabila memeriksa pesakit lelaki yang berumur sekitar 40an yang mempunyai risiko untuk mendapat serangan jantung.

 

Lbih-lebih lagi jika pesakit itu mempunyai sejarah keluarga sakit jantung, penghisap rokok, mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, atau merupakan pesakit darah tinggi dan diabetes, atau pesakit yang obes dan mempunyai pekerjaan yang stress.

 

Bagi pesakit yang mempunyai risiko-risiko itu, serangan jantung boleh berlaku padanya seawal usia 30-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

 

Selalunya jika doctor mengesyaki seorang pesakit diserang sakit jantung, beliau akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) kepada pesakit itu.

 

Selain ECG, ujian darah juga boleh dilakukan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.

 

Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang menandakan serangan sakit jantung telah berlaku.

 

Jika keputusan ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, doktor akan melakukan ujian stress di mana pesakit perlu berlari di atas mesin treadmill.

Bagi mengesan saluran darah mana yang tersumbat, pesakit harus menjalani ujian koronari angiogram. Ujian ini akan mengesan bilangan saluran yang tersumbat dengan lebih tepat.

 

Sayangnya kebanyakan pemeriksaan dan ujian yang saya sebutkan itu tidak dapat dijalankan di klinik kerana tiada kemudahan yang lengkap.

 

Saya mencadangkan jika saudara masih keliru dan ingin membuat pengesahan, elok kalau saudara ke hospital kerana banyak kemudahan yang boleh didapati di sana.

 

Wallahu a’lam.

 

One comment

  1. Azhan Ariffin

    Saya pernah mengalami situasi sama semasa mendapat serangan jantung 8 tahun dahulu..Doktor klinik panel yg saya pergi hanya memberikan ubat gastrik…Saya menahan sakit dada yg amat sangat sehingga 13 jam…Akhirnya saya bawa kereta tengah malam sorang2 pergi ke KPJ Damansara.Nurse yg memeriksa saya terus melakukan ECG dan doktor sahkan saya mengalami serangan jantung…terus procedure angioplasti dilakukan untuk memasukkan 2 stent ke jantung…Pengalaman yg cukup mengerikan…Syukur saya masih hidup.

Leave a Reply

error: Content is protected !!