MENGENAL TANDA MASALAH AUTISM

Saya pernah mendapat email dari seorang bapa yang keliru dengan keadaan anaknya. Anaknya memasuki  usia 2 tahun, namun belum dapat bertutur/bercakap  dengan baik seperti kanak-kanak seusianya. Jika berada dalam suasana orang ramai anak beliau tidak begitu mesra dan lebih suka bermain sendirian.

Beliau tidak pasti sama ada anak beliau mengalami masalah autism dan mahukan kepastian. Saya bersimpati dengan masalah yang beliau hadapi. Saya kagum dengan kesabaran beliau menghadapi ujian yang ALLAH berikan ini. Semua ujian yang diberikan adalah sebagai ujian keimanan kita, siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya.

Agak terlalu sukar untuk mendiagnosa kanak-kanak yang berumur tiga tahun ke bawah, sama ada kanak-kanak itu mengalami Autism atau tidak.

Diagnosa yang dibuat hanyalah bergantung kepada pemerhatian yang dibuat ke atas kanak-kanak itu sepanjang hari dan ini hanya dapat dilakukan oleh ibubapa atau penjaga kanak-kanak saja. Sudah tentu doktor tidak mampu memerhatikan kelakuan kanak-kanak itu dalam tempuh masa yang panjang.

Apatah lagi jika kanak-kanak itu tidak menunjukkan kelakuan yang terlalu pelik kerana masih berada dalam tahap yang permulaan atau sederhana, amat sukar untuk memberikan diagnosa yang sebaiknya.

(saya maksudkan pelik ialah tidak berkelakuan seperti kanak-kanak sebaya, bukan bermakna melakukan perbuatan di luar dugaan)

Bagi kanak-kanak yang nyata menunjukkan kelakuan pelik yang tertentu, mereka mudah didiagnosakan sebagai Autism, sementara ada kanak-kanak lain yang tidak menunjukkan kelakuan seperti itu, agak sukar untuk didiagnosa sebagai Autism.

Oleh itu masalah kanak-kanak yang berkelakuan tidak seperti kanak-kanak sebaya disebut sebagai Autism Spectrum (ASD) yang terdiri dari Autism yang mana kanak—kanak itu menunjukkan kelakuan pelik yang jelas. Kanak-kanak ini mudah didiagnosakan sebagai Autism.

Jika kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang jelas, dan hanya mengalami masalah perkembangan pemikiran (cognitive) dan bahasa yang agak lambat, mungkin didiagnosakan sebagai Asperger Syndrome.

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah kelakuan yang tidak termasuk dalam kategori Autism atau Asperger Syndrome, maka kanak-kanak ini didiagnosakan sebagai Pervasive Developmental Disorder, Not Otherwise Specified(PDD-NOS).

(rujuk: Johnson CP, Myers SM, Council on Children with Disabilities. Identification and evaluation of children with autism spectrum disordersPediatrics.)

Sebenarnya Autism bermula ketika proses pembentukan saraf, menyebabkan seseorang kanak-kanak itu didapati gagal berkomunikasi dan bergaul dengan baik bersama rakan-rakan-rakan sebaya dan melakukan kelakuan yang (pelik) berulang dan terbatas.

Kanak-kanak Autism mengalami gangguan proses penterjemahan maklumat di dalam otak apabila perhubungan antara sel-sel saraf dan struktur sel-sel saraf itu sendiri telah rosak.

Ini menyebabkan mereka gagal memahami arahan, melakukan kelakuan yang berulang dan tidak berminat untuk bergaul dengan rakan-rakan mereka. Walau bagaimana pun ahli saintis masih belum mendapat bukti yang nyata mengenai punca terjadinya hal ini.

(rujuk: Levy SE, Mandell DS, Schultz RT. Autism.Lancet. 2009;374(9701):1627–38.)

Menurut American Psychiatric Association, selalunya seseorang kanak-kanak itu didiagnosa mengalami Autism sebelum berumur 3 tahun kerana telah menunjukkan kelakuan-kelakuan tertentu.

(American Psychiatric Association. Diagnostic and statistical manual of mental disorders: DSM-IV. 4 ed. Washington, DC: American Psychiatric Association; 2000.ISBN 0-89042-025-4OCLC 768475353. Diagnostic criteria for 299.00 Autistic Disorder.)

Sayangnya setakat ini, tiada ujian makmal (ujian darah) atau ujian radiology (xray atau CT scan) yang mampu mendiagnosa penyakit autism secara tepat. Hanya doktor yang terlatih saja seperti Child Psychiatrist yang mampu mendiagnosa masalah ini berdasarkan kelakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu.

Kebanyakan ibubapa seperti puan dapat menyedari anak mereka mengalami masalah dan ada sesuatu yang tidak kena apabila menunjukkan kelakuan yang tidak normal berbanding dengan anak-anak lain yang sebaya, seperti tidak melakukan hubungan mata (eye contact), tidak perduli apabila nama mereka dipanggil atau bermain dengan alat permainan mereka dengan cara yang luar biasa dana berulang-ulang.

Saya sangat menggalakkan agar ibubapa mempercayai naluri mereka dan mencari doctor yang dapat mendengar dengan baik supaya anak mereka dapat dirujukkan kepada pakar yang berkaitan.

Malangnya kebanyakan doktor tidak begitu mahir dengan kes-kes autism sehingga mereka tidak memperdulikan cerita ibubapa kanak-kanak itu dan mengatakan segalanya normal. Ini akan mengakibatkan kanak-kanak itu tidak dikenalpasti dengan lebih awal dan mereka tidak diberikan rawatan seawal mungkin.

Autism selalunya dapat dikesan pada umur 18 bulan atau lebih awal lagi. Apabila telah sampai umur 2 tahun, diagnosis yang lebih tepat dapat dibuat oleh doktor yang pakar dan berpengalaman. Oleh itu diagnosa harus dilakukan sebelum kanak-kanak itu berumur 3 tahun.

Namun terdapat juga kanak-kanak yang tidak dapat dikesan lebih awal, dan hanya dapat dikesan apabila kanak-kanak itu semakin membesar dan menjadi remaja. Ini menyebabkan mereka tidak dapat dirawat dengan lebih awal dan akhirnya mengalami masalah apabila bercampur dengan masyarakat kelak.

Jadi bagaimana cara terbaik untuk menilai seorang kanak-kanak mungkin mengalami Autism?

Untuk mendiagnosa Autism doctor akan menilai perkembangan kanak-kanak itu dalam dua langkah:

1. Perkembangan fizikal dan mental

Ujian saringan ini sangat mudah dan selalunya dilakukan di Pusat Kesihatan Ibu dan Anak ketika anak-anak ini diberikan suntikan immunisasi. Doktor atau jururawat terlatih akan melakukan ujian ringkas dan bertanyakan kepada ibubapa kanak-kanak tersebut beberapa soalan untuk mengesan jika kanak-kanak tersebut mengalami masalah untuk belajar, bercakap, berkelakuan dan bergerak secara yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak sebaya dengan mereka.

Oleh itu kanak-kanak yang dibawa untuk suntikan immunisasi wajib diperiksa untuk memantau perkembangan fizikal dan mental setiap kali berjumpa doctor pada umur mereka:

  • 9 bulan
  • 18 bulan
  • 24 bulan

Pemeriksaan tambahan selalunya dilakukan kepada bayi yang berisiko tinggi seperti bayi yang dilahirkan secara pramatang, dan dilahirkan dengan berat badan yang tidak mencukupi.

Pemeriksaan yang lebih teliti dan perhatian lebih harus diberikan kepada kanak-kanak  yang mempunyai adik beradik yang telah disahkan mengalami Autism, atau kanak-kanak itu menunjukkan perubahan yang agak luar biasa.

Oleh itu sangat penting bagi doktor untuk melakukan pemeriksaan ini. Ibubapa boleh meminta doktor atau jururawat melakukan pemeriksaan ini jika mereka agak sibuk dan terlepas pandang untuk melakukan ujian yang penting ini.

Ini kerana jika terdapat sebarang masalah dalam ujian saringan perkembangan fizikal ini, rawatan awal dapat diberikan dan doktor akan merujukkan kanak-kanak tersebut kepada doktor pakar untuk melakukan ujian yang lebih komprehensif.

2. Penilaian komprensif diagnose

Langkah kedua ialah penilaian yang lebih lengkap, dan dilakukan oleh sepasukan doktor yang terdiri daripada Child Psychiatrist, Pediatrician, Audiologist dan Speech Therapist.

Dalam penilaian ini kanak-kanak itu akan dinilai kelakuan dan perkembangan fizikal mereka, dan akan bertanyakan beberapa soalan dengan ibubapa kanak-kanak tersebut bagi mengetahui keadaan dan perkembangan kanak-kanak itu di rumah. Penilaian ini termasuk ujian pendengaran, ujian penglihatan, ujian saraf dan mungkin ujian genetic jika difikirkan perlu.

Oleh itu setiap kanak-kanak harus dilakukan pemeriksaan saringan perkembangan fizikal mereka sebelum mereka berumur 36 bulan setiap kali datang ke klinik atau Pusat Kesihatan untuk mendapatkan suntikan immunisasi.

Di pihak doktor pula, perlulah mendengar aduan ibubapa yang risau dengan perkembangan fizikal dan mental anak-anak mereka dan segera dirujukkan ke doctor yang pakar agar pemeriksaan yang lebih teliti dilakukan dan rawatan yang awal dapat diberikan.

Jika ia didiagnosa agak lambat selalunya kanak-kanak ini apabila dewasa akan mengalami masalah pembelajaran di sekolah, bersosial dengan masyarakat dan mengalami masalah mengawal emosi dengan baik.

Saya pernah berjumpa dengan ibubapa yang selama-lama ini tertanya-tanya mengenai masalah yang dihadapi anak mereka terutama ketika bergaul dengan rakan sebaya dan mengalami kesukaran pembelajaran. Akhirnya dia merasa lega setelah didiagnosakan sebagai autism dan segera mendapatkan rawatan.

Oleh itu jika anak puan yang berusia 2 tahun ke bawah mengalami tanda-tanda seperti berikut, saya amat menggalakkan agar segera membawa anak puan ke hospital untuk dirujukkan ke pakar yang berkaitan:

1.Kanak-kanak itu tidak senyum sebenar-benarnya apabila diacah oleh orang dewasa apabila memasuki umur sembilan bulan atau lebih.

2. Kanak-kanak itu tidak cuba menyebut perkataan yang mudah seperti ‘mama’, ‘tata’ dan ‘papa’ (babbling) apabila memasuki umur 12 bulan.

3.Apabila berumur 16 bulan, langsung tidak dapat menyebut perkataan mudah.

4.Apabila berusia 24 bulan, masih tidak dapat menyebut 2 patah perkataan yang mudah walaupun diminta mengajukkan perkataan kita.

5.Tidak mampu bergaul dengan rakan-rakan sebaya apabila mencecah umur 8 bulan.

Wallahu a’lam.

 

4 comments

  1. assalamualaikum dr, selama ni saya hanya membaca blog dr tanpa sebarang komen tapi bila isu autism dibangkitkan saya agak berminat nak tau lebih lanjut..

    anak saya sekarang ni berumur 5 tahun 9 bulan, tak menghadapi masalah ketika awal perkembangannya (semua simptom yang disebutkan dr tu tak nampak), tetapi hanya mula bercakap pada umur 3 tahun 1 bulan, sangat mudah bergaul dan mudah mengikut arahan, cuma pada usianya 5 tahun 9 bulan ni dia masih ada masalah pertuturan (pelat) dan sukar untuk belajar mengenal huruf dan membaca tetapi sangat cekap dalam pengiraan (tambah dan tolak).. adakah anak saya tergolong dalam kategori autism?

    • assalamualaikum dr, selama ni saya hanya membaca blog dr tanpa sebarang komen tapi bila isu autism dibangkitkan saya agak berminat nak tau lebih lanjut.. anak saya sekarang ni berumur 5 tahun 9 bulan, tak menghadapi masalah ketika awal perkembangannya (semua simptom yang disebutkan dr tu tak nampak), tetapi hanya mula bercakap pada umur 3 tahun 1 bulan, sangat mudah bergaul dan mudah mengikut arahan, cuma pada usianya 5 tahun 9 bulan ni dia masih ada masalah pertuturan (pelat) dan sukar untuk belajar mengenal huruf dan membaca tetapi sangat cekap dalam pengiraan (tambah dan tolak).. adakah anak saya tergolong dalam kategori autism?

      Dr Zubaidi: Wa alaikum mus salam. Tidak mudah untuk mendiagnosa anak puan berdasarkan penerangan ringkas yang puan berikan. Saya mencadangkan puan membawa anak puan untuk pemeriksaan doktor.

  2. assalam doktor… adakah masalah ini boleh diwarisi?

  3. Assalamualaikum doktor,

    Anak saya kini berusia 2tahun 9bulan,dan masih tak boleh bercakap. dah boleh mengira 1-10 in english tapi bunyi macam sengau dan tak jelas. hanya boleh sebut daddy,bila mintak sebut mummy, akan jadi bunyi “manyik”.
    tetapi beliau hyper dan sihat macam anak lain.

    Pernah sekali dia macam marah diri sendiri sebab tak boleh bercakap lagi,sedih nya saya tengok. kesian dekat dia. saya laki bini pon kadang2 marah kalau tak faham apa dia nak. Adakah beliau tergolong dalam golongan autism?
    patut kah kami bawa ke Pakar kanak-kanak? Saya risau tapi husband saya selalu cakap anak saya takde masalah tersebut,cuma berat mulut saja. Bukan nak ambil mudah,tapi hanya fikir positif.

    Boleh tak doktor nasihatkan kami? ape yang patut kami buat?

Leave a Reply

error: Content is protected !!