Memahami Kekejangan Otot Kaki

Kekejangan otot kaki adalah masalah yang kerap dihadapi oleh ibu yang hamil dan atlet. Ia adalah suatu pengalaman yang mahu dielakkan bagi mereka yang pernah mengalaminya.

Namun harus diketahui bahawa kekejangan otot bukan setakat masalah yang tertumpu pada otot kaki sahaja, malah mungkin isunya lebih besar. Ini bermakna kekejangan hanya satu simptom, bukannya satu penyakit. Jika berulang dengan kerap, berjumpalah dengan doktor.

Kali ini saya cuba membincangkan kekejangan otot dalam tiga keadaan, iaitu kekejangan otot kaki di waktu malam, di kalangan atlet dan di kalangan ibu hamil. Punca dan sebabnya hampir sama.

Kekejangan otot kaki di waktu malam

Ia dikenali sebgai “noctunal leg cramps” iaitu pengecutan otot secara tidak terkawal berlaku di malam hari dan selalunya ketika tidur. Biasanya otot yang terlibat ialah otot betis.

Kesakitan akibat kekejangan ini mampu mengejutkan seseorang yang sedang lena tidur. Ia berlangsung beberapa saat hingga beberapa minit.

Terdapat beberapa punca kekejangan kaki di waktu malam. Antaranya disebabkan dehidrasi, kekurangan unsur mineral seperti magnesium, potassium, calcium dan sodium, dan kurangnya pengaliran darah ke kaki akibat posisi kaki semasa tidur yang tidak baik.

Cara terbaik untuk mengurangkan kesakitan itu ialah dengan cara berdiri dan berjalan untuk merenggang otot kaki yang terlibat.

Kekejangan otot kaki pada wanita hamil

Kekejangan otot kaki juga berlaku pada wanita hamil. Ia dirasai pada umur kehamilan pada trimester kedua apabila rahem semakin membesar. Kaki yang penat membawa lebihan berat akan mudah untuk mendapat kekejangan.

Tekanan rahem yang membesar pada saluran darah juga mengganggu perjalanan darah ke kaki di samping memberi tekanan pada saraf ke kaki.

Bagi wanita yang hamil dinasihatkan agar tidak berdiri atau duduk sambil menyilang kaki terlalu lama. Selalulah merenggangkan otot kaki pada waktu siang dan sebelum tidur. Gerakkan sendi pergelangan kaki dan sendi jari kaki ketika sedang duduk menonton TV, makan malam atau duduk berbual.

Cubalah berjalan pada jarak yang dekat kecuali dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian oleh doktor atau jururawat bidan. Jika kepenatan dan mahu berbaring, cuba berbaring ke sisi kanan untuk mengelakkan tekanan kuat rahem pada saluran darah dan saraf.

Pastikan cukup minum air. Jika kekejangan pernah berlaku dan bimbang ia berlaku semula, boleh mandi dengan air panas sebelum tidur. Atau sekurang-kurangnya meletakkan tuala panas pada kaki sebelum tidur. Ini membantu otot kaki untuk rehat.

Kekejangan otot kaki pada atlet

Kekejangan otot kaki di kalangan atlet selalunya disebabkan oleh regangan yang keterlaluan atau terseliuh. Apabila kita mengalami kecederaan akibat terseliuh atau regangan itu, otot kita akan cuba membaikidiri dengan mengecut. Kecutan yang tidak terkawal menyebabkan kekejangan.

Perimbangan mineral dalam badan amat penting. Untuk mereka yang mahu beriadah, janganlah terlalu banyak minum atau meminum air yang sedikit kerana kedua-duanya akan menyebabkan kekejangan.

Bila otot kita mengalami dehidrasi, otot kita akan mudah kekejangan akibat kepekatan mineral dalam badan yang tinggi. Sementara bila kita minum terlalu banyak air, kepekatan mineral dan badan pula mencair, dan menyebabkan hyponatremia. Keseimbangan mineral dalam tubuh amat penting bagi seorang atlet.

Pengumpulan lactic acid yang terlalu banyak dalam otot juga menyebabkan kekejangan. Apabila seseorang itu melakukan riadah yang berpanjangan tanpa rehat, pembakaran glucose tanpa oksigen menyebabkan tenaga dihasilkan bersama lactic acid. Otot akan berasa “terbakar” atau penat, seterusnya menyebabkan kekejangan otot.

Cara mengurangkan kekejangan otot

Cara terbaik untuk melegakan kekejangan otot betis di kalangan atlet ialah dengan merenggangkan otot yang terlibat. Ini dapat dilakukan dengan meluruskan kaki, dan bengkokkan jari kaki ke arah badan. Mulanya ia akan berasa sakit, namun ia akan memberi kelegaan kemudian.

Selepas itu boleh mengurut perlahan-lahan menggunakan tapak tangan dan menyapukan otot betis itu dengan minyak panas. Cuba berjalan-jalan dengan memijak hujung tapak kaki.

Jika kesakitan tidak berkurangan, dan bahagian betis itu bertambah bengkak dan sakit bila disentuh, segeralah berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan kekejangan otot yang biasa. Kemungkinan terjadi darah beku di dalam otot dan memerlukan rawatan yang agresif segera.

Antara cara untuk mengurangkan kekejangan ialah dengan minum air secukupnya, terutama apabila badan kita mengalami dehidrasi akibat beriadah. Bagi riadah yang kurang daripada satu jam, meminum air sudah cukup untuk mengelakkan kekejangan.

Minumlah beberapa teguk air. Bagi riadah yang lebih lama, minum minuman air yang mengandungi mineral dan glucose. Ini kerana riadah yan lama memerlukan bukan saja air tetapi mineral dan glucose.

Cara lain ialah pastikan anda bersenam secara istiqamah dan konsisten. Dengan cara ini badan akan membina daya tahan terhadap kekejangan. Apabila otot dipaksa untuk melakukan suatu latihan riadah yang keterlaluan dan belum biasa dilakukan, ia akan menyebabkan kekejangan.

Ambilkan lebih banyak potassium untuk mengurangkan kemungkinan mendapat kekejangan. Antaranya dengan memakan pisang. Namun jika anda mempunyai masalah dengan keseimbangan potassium dalam badan, haruslah bertanyakan dengan doktor untuk hal ini.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (290810)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog/

One comment

  1. saya selalu kejang betis belah kanan umur saya 16 tahun tpi sya bukan atlet.

Leave a Reply

error: Content is protected !!