Hari raya telah berlangsung selama hampir seminggu, dan saya masih lagi menikmati cuti raya. Namun pertanyaan-pertanyaan yang diajukan di dalam email dan inbox, sangat menguja saya untuk berada di hadapan komputer.
Seorang rakan FB, telah mengalami masalah pendengaran untuk beberapa tahun tetapi kehamilannya menyebabkan masalah pendengaran bertambah teruk sehingga beliau ditegur oleh rakan-rakannya akibat tidak mendengar dengan baik.
Saya tidak dapat memberikan diagnosis kepada masalahnya kerana saya tidak memeriksa beliau, tetapi saya boleh memberikan nasihat dan panduan bagi beliau. Beliau telah pun berjumpa dan diperiksa oleh doktor pakar ENT, tetapi masih tertanya-tanya apa yang berlaku pada dirinya.
Menurut satu artikel dalam sebuah jurnal yang pernah saya baca, masalah pendengaran di kalangan wanita hamil biasa berlaku, namun ia bersifat sementara.
Masalah ini berlaku pada pertengahan atau akhir usia kehamilan. Ia lebih kepada masalah saraf di dalam telinga (middle ear) yang gagal menghantar signal bunyi yang diterima di telinga untuk dihantar ke dalam otak. Keadaan ini disebut sebagai sensorineural deafness.
(rujuk : Kanadys WM, Oleszzuk J., “Sudden sensorineural hearing loss during pregnancy” Ginekol Pol. 2005 Mar;76(3):225-7).
Ia berlaku secara tiba-tiba, dalam masa 3 hari tanpa diketahui puncanya dan melibatkan sebelah telinga sahaja. Mereka tidak mampu mendengar bunyi atau suara pada gelombang frekuansi yang lebih rendah dari 30 decibel. Namun biasanya akan pulih sepenuhnya tanpa rawatan tetapi boleh berulang pada kehamilan seterusnya.
(rujuk: “Sudden (reversible) sensorineural hearing loss in pregnancy”.Kenny R, Patil N, Considine N. Ir J Med Sci. 2011 Mar;180(1):79-84.)
Banyak teori yang diberikan bagi menerangkan punca masalah pendengaran ini. Ramai saintis menganggap ia berlaku akibat perubahan fisiologi yang dialami oleh wanita hamil akibat peningkatan hormon dan pengumpulan air dalam tubuh.
Namun ia boleh berlaku atas pelbagai sebab lain yang lebih kompleks. Oleh itu lebih baik berjumpa doktor untuk memastikan ia bukan disebabkan oleh masalah pendengaran yang lebih serius.
Masalah pendengaran ini mungkin akan lebih dirasakan oleh wanita hamil yang mengalami tekanan emosi, rasa terlalu risau atau mengalami jangkitan virus pada rongga hidung dan tekak atau mengalami alahan (allergy).
Apabila mengalami alahan atau jangkitan virus, rongga-rongga dalam tubuh terutamanya rongga dalam hidung dan tekak mengalami banyak lendiran (secretion) sedangkan tekak dan telinga (middle ear) disambungkan oleh satu saluran Eustachian tube.
Apabila saluran ini tersumbat akibat banyak lendiran atau dijangkiti virus, bahagian telinga (middle ear) yang mengawal saraf pendengaran akan terjejas. Tidak hairanlah jika masalah pendengaran ini diikuti dengan masalah pening (giddiness) dan rasa berdengung dalam telinga (tinnitus).
Saya menasihatkan agar melakukan pemeriksaan telinga supaya dapat mengesan punca sebenar, sama ada ia fenomena biasa disebabkan kehamilan atau disebabkan oleh penyakit-penyakit lain yang lebih serius seperti otosclerosis, Meniere’s disease, preeclampsia-eclampsia dan hypertension.
Ramai juga wanita yang hamil tidak menyedari mereka mengalami masalah pendengaran yang tidak ketara secara beransur-ansur. Sebagai contoh masalah otosclerosis, iaitu masalah kerosakan pada tulang kepala (temporal bone) secara beransur-ansur boleh menyebabkan masalah pendengaran konduksi (conductive hearing loss) dan berkemungkinan juga menyebabkan kerosakan saraf (neurosensory hearing loss).
Morrison AW (1970) “Otosclerosis: a synopsis of natural history and management”. British Medical Journal 2(5705):345-348.
Ada wanita yang menghidap otosclerosis tanpa disedari. Apabila dia hamil, tanda-tanda penyakit itu semakin jelas dan kehamilan menambahkan lagi kemudaratannya. Dalam hal ini, pesakit harus berjumpa dengan doktor ENT kerana rawatan yang lebih spesifik diperlukan untuk mengembalikan pendengarannya.
Jika masalah pendengaran di kalangan wanita hamil disebabkan oleh masalah fisiologi, selalunya ia bersifat sementara dan tidak memerlukan sebarangan rawatan. Ia akan pulih dengan sendirinya.
Tetapi jika masalah pendengaran ini kekal dan bersifat sensorineural defaness, biasanya doktor akan mencadangkan penggunaan alat bantuan pendengaran (hearing aids) yang bertujuan untuk menguatkan gelombang yang tidak dapat dikesan oleh telinga. Selain itu pembedahan cochlear implant boleh dilakukan untuk merangsang saraf cochlear untuk mengesan gelombang itu.
Beberapa saintis mencadangkan pengambilan supplemen coenzyme Q10 dan dikombinasikan dengan vitamin E untuk merawat masalah pendengaran sensorineural peringkat awal. Namun jika ia bersifat kronik, tentulah supplemen ini hanyalah membantu dan bukan bersifat merawat.
(rujuk: Sergi, Bruno; Fetoni, Anna Rita; Paludetti, Gaetano (2006) “Protective properties of idebenone in noise-induced hearing loss in the guinea pig”. Neuroreport. 17. Lippincott Williams and Wilkins. pp. 857–861)
https://www.facebook.com/note.php?note_id=127953823905230
Wallahu a’lam.
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (080911)
IKLAN
Klik pada gambar di bawah ini untuk mendapatkan Nutriforte CoEnzyme Q10 yang baik untuk meningkatkan daya ketahanan tubuh, memberikan tenaga, meningkatkan kualiti sperma serta dapat menjaga dan mengoptimalkan fungsi jantung dan pembuluh darah.