“Asalamualaikum doktor. Saya mohon penjelasan mengenai masalah jari saya. Sebelum ini jari tangan kanan suami bermasalah. Bila dibengkokkan ia tidak boleh ditegakkan semula. Kena tarik baru boleh. Selepas diberi suntikan steroid oleh doctor, baru jari tersebut telah pulih. Apa masalahnya, doctor?”
Wa alaikum mus salam. Suami puan mungkin mengalami masalah yang melibatkan tendon dan sendi jari beliau yang dinamakan “Trigger Finger”.
Secara mudahnya, ´trigger finger´ berlaku apabila jari tersangkut semasa dibengkokkan dan apabila diluruskan ia berbunyi.
Jika terlalu teruk, jari tersebut mungkin tidak dapat diluruskan dan perlu dihantar ke hospital.
Ia berpunca dari masalah pada tendon di jari kita, selalunya akibat perkejaan yang memerlukan pergerakan menggenggam yang berulang oleh jari yang terlibat.
Ia sering berlaku pada wanita berumur 40an ke atas terutama pada pesakit diabetes mellitus dan rheumatoid arthritis.
Di hospital doctor akan memeriksa jari yang terlibat dan rawatan yang diberikan bergantung kepada masalah yang dialami.
Pada peringkat awal, doctor akan mencadangkan rawatan fisioterapi, di mana latihan senaman jari dilakukan, aktiviti merendamkan jari di dalam air suam dan urutan pada jari.
Jika ia tidak berjaya, berkemungkinan doctor akan mencadangkan pembedahan kecil untuk membuka saluran tendon yang sempit itu supaya tendon dapat bergerak dengan mudah.
Selain itu suntikan steroid boleh diberkan pada jari yang terlibat bagi melegakan kesakitan dan meluruskan jari, sebagai langkah segera dan sementara.
Pesakit juga perlu direhatkan untuk beberapa minggu bagi mengelakkan menggunakan jari yang terlibat.
Wallahu a’lam.