KETAHUI MAKANAN YANG BOLEH MENYEBABKAN PERUT KEMBUNG BERANGIN

1. Sesetengah individu kerap mengalami masalah perut kembung dan berangin. Terutama mereka yang mempunyai masalah gastritis yang ringan dan irritable bowel syndrome (IBS).

2. Terdapat beberapa makanan yang perlu diberikan perhatian. Antara gejala masalah ini adalah:

a. ‘perut rasa beralun’ akibat pergerakan (peristalsis) usus yang kuat dan kerap.

b. perut rasa kembung

c. ada kalanya perut rasa memulas dan kejang

d. perut berbunyi walaupun tidak lapar.

e. mudah terasa mahu buang air besar tapi tiada apa yang keluar

f. kerap sendawa

3. Terdapat beberapa makanan dan minuman yang memburukkan masalah ini.

 

✅ 1. SUSU DAN PRODUK SUSU (TENUSU)

Bagi mereka yang tiada lactase iaitu enzim yang memecahkan gula laktosa  dalam susu, mungkin mengalami masalah ini. Laktosa yang tidak dicerna akan masuk ke usus besar di mana bakteria melakukan proses fermentasi dan menghasilkan gas dalam usus.

Bagi sesetengah orang, sebelum ini tiada masalah kekembungan tetapi apabila semakin berumur, semakin kurang tahap enzim lactase dalam usus, menyebab masalah ini berlaku ketika masuk umur 40an.

Sesetengah orang pula dengan mengambil yogurt, masalah ini dapat diatasi.

 

✅ 2. Kafein 

Kafein ada dalam kopi, teh dan minuman koko. Tahap kafein yang paling banyak ada dalam kopi, diikuti dengan teh dan yang paling sedikit ada dalam minuman koko.

Kafein bersifat asid dan menyebabkan perut berangin.

 

✅ 3. Minuman Berkarbonat

Minum ini mengandungi gas karbon dioksida yang dibebaskan apabila masuk ke dalam perut. Ini menyebabkan rasa tidak selesa.

 

✅ 4. Makanan Tinggi Fruktosa

Ada buah-buahan yang tinggi kandungan gula sukrosa (glukosa dan fruktosa). Fruktosa adalah gula buah yang menyebabkan kekembungan. Bagaimana nak tahu buah-buahan itu mengandungi fruktosa yang tinggi? Mudah. Apabila buah tersebut berasa terlalu manis. Elakkan buah yang manis seperti durian, rambutan, duku dan sebagainya.

 

✅ 5. Makanan Bergoreng

Makanan bergoreng mengandungi lemak transfat dan lemak tepu yang tinggi, boleh menyebabkan masalah kekembungan. Contohnya keropok dan kerepek.

 

✅ 6. Makanan Berproses

Makanan berproses mengandungi banyak garam,  gula dan lemak transfat, disamping pengawet, perasa dan pewarna.

Contohnya kek, biskut, kerepek kentang, makanan sejuk beku, daging yang diproses.

 

✅ 7. Gula-Gula Getah

Mengunyah gula-gula getah atau chewing gum mengakibatkan kita menelan udara tanpa sengaja. Selain itu, pemanis tiruan dalam gula-gula getah seperti sorbitol dan xylitol  menjadi punca perut berangin.

 

✅ 8. Kacang dan kekacang

Walaupun kacang bagus untuk kesihatan kerana mengandungi minyak sihat dan omega-3, namun ia tidak sesuai untuk individu yang ada alahan pada kacang dan kekacang.
Protein dalam kacang menghasilkan gas dalam perut dan usus.

Bagi kebanyakan orang pula, saya mencadangkan pengambilannya satu genggam sehari.

 

✅ 9. Sayur-sayuran Sejuk

Ada sayur-sayuran yang sensitif bagi mereka yang sensitif. Antaranya brokoli, kubis bunga, kubis brussel dan kubis biasa kerana sukar dicerna oleh tubuh kerana mengandungi karbohidrat raffinose. Ini menyebabkan sayur-sayuran ini tinggal lebih lama dalam usus besar dan mengalami proses fermentasi oleh kuman-kuman dalam usus. Ia menghasilkan gas dan menyebabkan perut tidak selesa.

Bagi mereka yang tiada alahan pada sayur-sayuran seperti ini, saya galakkan pengambilan kerana ia sangat bagus untuk kesihatan.

 

✅ 10.  Bawang dan Tomato

Bawang merah, bawang Holland, bawang putih dan tomato adalah agen perasa hebat dalam masakan. Ia sukar untuk dicerna usus dan boleh mengakibatkan perut berangin. Sama seperti sayur-sayuran yang saya sebutkan sebelum ini, ia menyebabkan sayuran ini tinggal lebih lama dalam usus dan menghasilkan gas dalam usus.

Jika tiada alahan, ambillah bawang dan tomato kerana ia adalah sumber prebiotik yang terbaik. Ia juga membantu kita rasa mudah kenyang ketika berdiet.

4. Dalam penjagaan makanan, kita mungkin boleh makan sebarang makanan  tanpa masalah, tetapi ia boleh mendatangkan kesan sebaliknya bagi individu lain.

5. Penting untuk kita untuk memahami tubuh dan mengetahui jenis makanan yang boleh  membuatkan kita mengalami kekembungan.

6. Buatlah buku catatan harian bagi mencatatkan makanan yang menyebabkan kita rasa berangin. Ini  membantu  kita mengetahui makanan yang harus dimakan dan dielakkan.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi

 

 

KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI

Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :

https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!