KESAN PERMAINAN PASS OUT
MENGAPA PASS OUT INI DIJADIKAN PERMAINAN?
Pada saya permainan ini, kalau boleh dikatakan sebagai permainan tidak mendatangkan faedah dan mencabar maut. Dengan menekan dada seseorang individu lain, ia bertujuan untuk menyebabkan pengsan atau tidak sedarkan diri untuk sementara waktu. Namun apa yang terjdi apabila ia bukan hanya menyebabkan pengsan, tetapi kesan trauma pada dada, atau menyebabkan kegagalan untuk sedar semula (pengsan yang lebih lama).
Dari segi psychologynya, ia mungkin dilakukan oleh para remaja bersifat “suka-suka” dan bertujuan untuk menarik perhatian. Ia dilakukan bagi tujuan “menunjuk-nunjuk” melakukan sesuatu yang remaja lain tidak dapat melakukannya.
Oleh kerana ia tidak menyebabkan kesakitan, ia dianggap selamat oleh para remaja.
Mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini mendatangkan bahaya, sama ada untuk sementara waktu atau kesan yang kekal. Malah boleh menyebabkan kematian.
BAGAIMANA PASS OUT INI MENYEBABKAN PENGSAN?
Pass out ini sebenarnya bermakna pengsan atau tidak sedarkan diri. Ia berlaku apabila :
- Hypoxia atau kekurangan oksigen dalam darah. Apabila seseorang mengalami tekanan fizikal pada dada, individu tersebut tidak dapat bernafas dengan baik. Ini kerana apabila seseorang itu ingin menarik nafas, rangka dadanya akan mengembang bagi mengujudkan tekanan yang negative lalu menarik udara ke dalam paru-paru. Jika gagal mengembangkan rangka dada ini, udara tidak dapat masuk ke dalam paru-paru menyebabkan pengumpulan gas karbon dioksida dan penurunan gas oksigen dalam darah. Ini menyebabkan kekurangan kandungan oksigen dalam darah, seterusnya tidak dapat dibawa ke otak dan akhirnya menyebabkan seseorang itu akan mengalami pengsan. Ia mengambil masa beberapa minit sebelum seseorang itu mengalami pengsan, bergantung kepada individu. Ada yang cepat dan ada yang lebih lambat.
- Rangsangan saraf vagus yang berlebihan atau dikenali sebagai rangsangan vaso-vagal. Ia berlaku apabila ada rangsangan fizikal pada bahagian tertentu terutama pada lapisan diaghpram (yang memisahkan antara bahagian thorax (dada) dan abdomen) dan leher. Selain itu rangsangan vaso-vagal ini boleh berlaku secara emosi seperti melihat darah, terlalu marah atau terkejut atau berdiri terlalu lama. Banyak lagi factor yang menyebabkan rangsangan vaso-vagal ini.
Saraf vagus adalah saraf yang mengawal degupan jantung, pernafasan, dan tekanan darah.
Apabila ia dirangsangkan, degupan jantung akan menjadi perlahan, tekanan darah akan menurun dan rendah dan saluran darah (terutama di bahagian kaki) akan mengembang. Ini menyebabkan banyak darah yang berkumpul di bahagian bawah tubuh sehingga menyebabkan perdedaran darah ke otak terjejas.
Ini menyebabkan seseorang itu akan berasa lemah, loya (mahu muntah) dan akhirnya pengsan. Sebab itu ia disebut sebagai rangsangan vaso-vagal. Vaso bermakna saluran darah dan vagal adalah saraf vagus.
Selalunya individu yang mengalami pengsan akibat rangsangan vaso-vagal ini akan sedar semula dengan sendiri, apabila beliau darah telah kembali ke otak. Oleh setiap individu yang pengsan harus dibaringkan bagi memastikan darah dapat bergerak ke otak dengan baik. Bukan diletakkan dalam posisi duduk.
Ia berlaku dengan lebih cepat, berbanding dengan kesan hypoxia tadi.
APAKAH KESAN-KESAN LAIN YANG BAHAYA?
Selain ia menyebabkan pengsan dan individu tersebut dapat sedar semula dalam masa yang pendek, ia boleh juga menyebabkan kecacatan yang kekal. Ia serupa dengan keadaan serangan angin ahmar (stroke) apabila darah dan oksigen tidak sampai ke otak dalam jangka masa yang lebih lama, boleh menyebabkan kematian sel-sel otak. Sudah pasti akhirnya akan menyebabkan kelumpuhan.
Trauma fizikal pada dada juga berlaku apabila dada ditekan terlalu kuat, terutama dika dilakukan beramai-ramai. Ia boleh menyebabkan keretakan tulang atau menyebabkan patah tulang dada. Tulang yang patah ini sangat bahaya kerana ia tajam di hujungnya dan menyebabkan luka pada paru-paru atau jantung. Ia ibarat pisau yang menikam pada dada.
Kecederaan tisu lembut mungkin berlaku seperti pendarahan dalam paru-paru apabila alveoli (struktur yang paling kecil dalam paru-paru) mengalami tekanan dan pecah. Pendarahan yang banyak banyak menyebabkan kematian yang mengejut, tetapi pendarahan yang sedikit akan menyebabkan rasa sukar bernafas dan menganggu aktiviti seharian, sebelum individu tersebut akahir pengsan atau menemui ajal.
APAKAH LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL SEBELUM IA SUATU FENOMENA DI SEKOLAH.
- Langkah yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengisytiharkan perbuatan itu menyalahi undang-undang sekolah adalah suatu tindakan yang terbaik. Dengan ini para pelajar tahu ia tidak dilakukan di sekolah kerana ia berbahaya dan tindakan displin boleh diambil.
2.Meningkatkan kesedaran para remaja dan pelajar bahawa ia adalahsuatu yang bahaya. Ia bukanlah sesuatu permainan yang suka-suka kerana ia boleh menyebabkan kecacatan kekal atau kematian.
- Ibubapa juga harus diberikan kesedaran sebab ada kalanya ia dilakukan di rumah, bersama adik-beradik yang lain.
Semoga bermanfaat.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :