JANGKITAN SELAPUT OTAK (MENINGITIS)
Meningitis adalah satu penyakit melibatkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang. Penyakit ini adalah jangkitan yang disebabkan oleh kuman (bakteria, virus, tuberculous dan lain-lain)
Bakteria yang paling kerap menyebabkan meningitis di kalangan kanak-kanak ialah dari spesis Haemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitides. Lebih daripada 90% kes melibatkan kanak-kanak kurang daripada 5 tahun dan 50% adalah di kalangan bayi kurang daripada 6 bulan.
BAGAIMANA MENINGITIS BOLEH TERJADI?
Kebanyakan kes meningitis adalah disebabkan kuman penyakit tersebut telah membuat pengumpulan di satu-satu tempat dalam badan. Daripada tempat itulah yang dia akan merebak kebahagian otak. Tempat yang berpotensi untuk kuman tersebut membuat pengumpulan adalah pada kulit, bahagian hidung dan tekak, saluran pernafasan, saluran permakanan dan juga saluran air kencing.
Kuman tersebut akhirnya akan menembus masuk melalui dinding saluran tersebut dan merebak ke bahagian selaput otak. Ada 3 cara kuman ini memasuki kawasan selaput otak. Ianya boleh merebak melalui saluran darah, melalui saraf (contoh saraf adalah dibahagian hidung yang bersambung terus ke otak). Kadang kala meningitis juga boleh merebak terus daripada jangkitan kuman yang berlaku berdekatan dengan otak seperti jangkitan kuman di telinga (otitis media) dan mastoiditis.
Pencerobohan ke selaput otak melalui saluran darah adalah punca yang selalu berlaku pada pesakit meningitis.
TANDA-TANDA MENINGITIS
Tanda-tanda meningitis kanak-kanak adalah bergantung kepada umur pesakit, jenis bakteria, sama ada antibiotik telah dimulakan dan jangka masa seseorang kanak-kanak itu telah dijangkit.
Tanda-tanda awal :
1. Demam tinggi
2. Rasa kurang selesa, merengek
3. Kurang bermaya, kurang menyusu
4. Sakit kepala dan muntah-muntah
5. Ruam atau bintik-bintik merah yang merebak dengan cepat ke seluruh badan (jika dijangkiti bakteria Neisseria meningitides).
Tanda-tanda lewat :
1. Ubun-ubun berbonjol
2. Kekejangan leher
3. Sawan
4. Kurang tahap kesedaran diri dan kurang bertindak balas
5. Koma
Jangkitan meningitis hanya boleh dipastikan dengan sepenuhnya melalui pemeriksaan cecair tulang belakang. Pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan jenis kuman yang dijangkiti supaya pesakit boleh dirawat dengan antibiotik yang betul. Prosedur pengambilan air tulang belakang ini dinamakan sebagai ‘Lumbar puncture’ kerana air tulang belakang itu diambil daripada kawasan tulang belakang yang bernama tulang lumbar.
Air yang kita ambil ini pula dinamakan sebagai bendalir cerebrospinal (cerebrospinal fluid). Ia dinamakan sedemikian sebab bendalir itulah yang mengelilingi otak (cerebro/cerebrum) dan juga saraf tunjang (spinal). Penting untuk kita ambil air tulang belakang ini untuk mengesahkan bahawa seseorang itu mengalami jangkitan kuman pada kawasan selaput otak.
KOMPLIKASI MENINGITIS
Meningitis adalah penyakit yang amat serius. Ia boleh mendatangkan maut dalam 10% kes dan 30% lagi boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang. Rawatan awal dengan antibiotik yang tepat dan jangka waktu yang cukup adalah penting untuk mengelak atau mengurangkan komplikasinya. Komplikasi jangka panjang yang boleh berlaku termasuklah :
1. Nanah di dalam kepala atau otak
2. Hydrocephalus (pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan kepala membesar dengan mendadak)
Dalam dua keadaan di atas, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan pembedahan
3. Sawan
4. Lewat atau kemerosotan perkembangan
5. Kurang upaya pendengaran/pertuturan
6. Kurang upaya penglihatan
7. Lumpuh
RAWATAN
Jika seseorang itu disyaki mempunyai meningitis, pesakit tersebut perlulah dimasukkan ke dalam hospital untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Punca kepada jangkitan meninges itu perlu diketahui terlebih dahulu supaya ubat yang diberikan dapat bertindak dan membunuh kuman yang sepatutnya.
Sebab itulah pentingnya pengambilan air tulang belakang. Pengamal perubatan ingin tahu punca ataupun kuman yang menyebabkan jangkitan meninges itu berlaku. Dengan mengetahui jenis kuman tersebut, barulah pemilihan ubat dapat dibuat dengan betul. Lazimnya, antibiotik yang sesuai akan diberi selama satu hingga dua minggu bergantung kepada jenis bakteria yang dijangkiti dan tindak balas pesakit kepada rawatan yang diberi.