Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Wanita » JANGKITAN KULAT AIR PADA KAKI

JANGKITAN KULAT AIR PADA KAKI

JANGKITAN KULAT AIR PADA KAKI

Kulat air atau kutu air adalah nama untuk satu penyakit yang sama. Untuk pengetahuan, sebenarnya penyakit kulat air atau dalam perubatan digelar tinae pedis adalah masalah kulit yang kebiasaanya terjadi pada bahagian kaki terutamanya bahagian celah kaki disebabkan oleh kulat. Jenis kulat yang menyebabkan perkara ini dikenali sebagai dermatophytes atau lebih tepat lagi trichophyton.

Keadaan ini tidak terhad hanya pada kawasan kaki namun ia juga boleh merebak ke bahagian lain seperti kuku, tapak kaki dan tangan. Walaupun jangkitan ini tidak menyebabkan masalah yang serius atau kecacatan kekal tetapi kulat air boleh mengganggu kualiti hidup dan menjejaskan penampilan. Kulat air boleh menjangkiti semua golongan tanpa mengira usia, jantina dan bangsa. Jangkitan kulat air boleh berulang sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak dipatuhi.

TANDA DAN GEJALA

Seperti yang dinyatakan, bahawa kulat air berpunca daripada jangkitan kulat atau fungus yang membiak pada lapisan kulit terutamanya di bahagian kaki. Kulat air dapat dikenal pasti melalui beberapa tanda dan gejala umum. Antaranya termasuklah:

1. Rasa gatal, menyengat dan terbakar di celah jari kaki atau di tapak kaki


2. Terdapat luka pada kaki anda yang menjadi gatal


3. Kulit di celah jari kaki dan tapak kaki mengelupas


4. Kulit tapak kaki kering


5. Kulit kaki melecet


6. Kuku kaki rapuh dan berubah warna


7. Kuku jari kaki mudah tertanggal



SIAPAKAH GOLONGAN BERISIKO MENDAPAT JANGKITAN KULAT INI?



Walaupun masalah ini dikenali sebagai penyakit kaki atlet, ia tidak hanya berlaku atau menjangkiti golongan atlet sahaja. Golongan yang kerap bersukan dikatakan lebih banyak dijangkiti masalah ini kerana mereka memakai kasut dan melakukan aktiviti sukan yang mengeluarkan peluh. Jadi kelembapan di dalam kasut memudahkan kulat membiak pada kulit kaki. Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit kulat air. Namun begitu, tabiat tertentu meningkatkan lagi risiko untuk dijangkiti, seperti:



1. Mengunjungi tempat awam tanpa memakai kasut atau selipar seperti di bilik persalinan, tempat mandi awam dan kolam renang.

2. Berkongsi peralatan peribadi seperti stoking, kasut atau tuala dengan orang yang dijangkiti kulat air

3. Pemakaian kasut yang ketat dan tiada pengudaraan yang baik

4. Membiarkan kaki dalam keadaan basah untuk tempoh masa yang panjang

5. Mempunyai masalah kaki berpeluh

6. Mengalami kecederaan pada kulit



PENYEBAB TERJADINYA KULAT AIR



Terdapat banyak sebab terjadinya kulat air. Antaranya adalah:

1. Jangkitan kulat pada bahagian kaki yang selalu berada dalam keadaan lembap atau terendam untuk beberapa tempoh yang lama. Bahagian paling digemari oleh bakteria ini ialah anggota yang sering terlindung dan sentiasa dalam keadaan lembap seperti celahan jari. Tambahan, sikap sesetengah individu yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan kaki juga boleh meningkatkan risiko jangkitan kulat ini.



2. Kulat air boleh berjangkit dan tersebar melalui sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti mahupun sentuhan pada permukaan yang tercemar seperti tuala, kasut dan lantai di tempat awam selain di kawasan berisiko seperti kolam renang, tandas dan bilik mandi.

3. Jangkitan kulat air menjadi aktif pada persekitaran panas dan lembap.

4. Pemakaian kasut yang ketat menyebabkan pengaliran udara yang tidak baik serta peningkatan perpeluhan juga menyebabkan berlakunya jangkitan ini.

5 .Jangkitan kulat ini juga boleh merebak sehingga ke bahagian anggota badan yang lain sekiranya pesakit menggaru bahagian yang dijangkiti kulat air dan menyentuh bahagian badan yang lain tanpa membasuh tangan.



RAWATAN



Kebanyakan kes, simptom penyakit kulat air tidak serius dan tidak memerlukan pesakit untuk berjumpa dengan doktor. Ubat-ubatan yang berkesan dalam menyembuhkan jangkitan kulat air boleh didapati di farmasi. Bagi kes yang teruk, kebiasaanya doktor akan mengesyorkan ubat antikulat yang lebih kuat.

Kebanyakan ubat-ubatan jenis topikal boleh didapati di farmasi dan ubat tersebut disapu secara langsung pada kulit. Berikut merupakan antara ubat topikal anti kulat yang boleh didapati di farmasi:

• Clotrimazole
• Econazole
• Ketoconazole
• Miconazole
• Terbinafine
• Sulconazole



Namun begitu, ubat antikulat perlu digunakan dengan betul kerana terdapat beberapa jenis ubat antikulat yang tidak boleh diberikan kepada pesakit orang tua, ibu hamil dan kanak-kanak kecil. Oleh itu disarankan untuk merujuk doktor dan membaca risalah yang disertakan bersama ubat dengan teliti sebelum menggunakannya. Anda juga boleh bertanya kepada ahli farmasi untuk ubat antikulat yang sesuai.



PENCEGAHAN

Aspek pencegahan jangkitan kulat air adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana jika hanya bergantung pada rawatan semata-mata, jangkitan kulat ini mungkin berulang. Kebersihan adalah kunci utama dalam pencegahan masalah kulat air. Berikut merupakan antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian:


1. Pastikan kaki sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering.

2. Elakkan daripada memakai kasut atau menyarungkan stokin semasa kaki masih lembap. Pakai kasut yang mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak terlalu ketat.

3. Elakkan berjalan tanpa memakai selipar atau kasut semasa berada di kawasan awam.

4. Pakai stokin yang diperbuat daripada kain kapas atau bahan yang mudah kering dan jika perlu, tukar stokin dengan kerap.

5. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti kasut, tuala, baju dan pengepit kuku dengan individu yang lain.

6. Sediakan beberapa pasang kasut untuk ditukar ganti bagi memastikan kasut kering sepenuhnya sebelum digunakan semula.


#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: