Bolehkah Makan Buah Oren dan Jusnya Ketika Hamil?

Sekarang sedang musim persediaan untuk untuk menyambut Perayaan Tahun Baru Cina. Bagi tahun 2012, perayaan ini disambut pada bulan Januari.

Ramai rakan, pesakit dan rakan-rakan perniagaan menghadiahkan saya buah limau mandarin. Ada memberikan dua-tiga biji dan ada yang memberikan satu kotak. Kalau ia tidak ada kena mengena dengan urusan kerja saya dan pemberian limau itu tidak mempengaruhi saya membuat keputusan ketika bekerja, saya terima dan makan sebiji dua.

Kebanyakannya saya akan kongsikan dengan staf-staf di sini. Kalau saya mahu membawa balik limau mandarin ke rumah, saya akan singgah di pasaraya dan membeli sekotak besar untuk isteri dan anak-anak. Saya cuba menghindari unsur-unsur rasuah.

Mengikut pengalaman saya, limau mandarin ini bagus kerana mempunyai banyak Vitamin C. Masalahnya jika terlalu banyak dimakan, ia boleh menyebabkan batuk kerana asid pada limau boleh menyebabkan tekak mempunyai banyak lendir. Ramai juga yang datang berjumpa saya akibat batuk setelah memakan banyak buah limau.

Saya hanya menasihatkan agar menghentikan memakan buah limau, dan tidak lama kemudian batuk mereka sembuh.

Baru-baru ini ada rakan FB yang hamil bertanyakan hal yang sama.

 

salam Dr.
saya nak tanya betul ke orange ataupun jusnya kita tak boleh ambil sewaktu hamil. saya baru hamil 12w. terima kasih.

Saya berpendapat wanita yang hamil boleh makan buah limau atau orange atau minum jus buah-buahan asalkan dengan kadar yang sederhana.

Kebanyakan pakar pemakanan mencadangkan agar tidak minum jus buah-buahan melebihi 300 ml dalam sehari, kerana selain mengandungi vitamin, jus buah-buahan juga mengandungi kadar gula yang banyak.

Kandungan gula yang tinggi sangat memudharatkan gigi kerana wanita hamil mudah untuk mendapat kerosakan gigi. Oleh itu saya mencadangkan agar tidak mencampurkan gula dalam minuman jus limau.

Jus oren yang bagus diminum adalah dari jus yang diproses segar. Bukan dari pati orange yang telah disediakan  di kilang. Ini kerana cara ini kita dapat memanfaatkan serat yang ada pada buah orange.

Jus orange mempunyai manfaat yang sangat besar. Ia mengandungi folic acid, kalsium dan vitamin C yang banyak, yang membantu untuk meningkatkan daya tahan. (Rujuk jadual di bawah)

Folic acid sangat berguna untuk wanita hamil bagi membentuk sel-sel baru bagi pertumbuhan fizikal bayi dalam rahem dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Saya ada menulis dalam blog mengenai kepenting folic acid ketika hamil di https://drzubaidi.com/blog/?p=1902.

Kebanyakan wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah ’pedih hulu hati’ atau dalam bahasa mudah, ’gastrik’. (rujuk dalam penulisan saya di blog  https://drzubaidi.com/blog/?p=1887)

Sedangkan jus orange sangat berasid, antara pH 2.9 hingga 4.0. Wanita yang masih di awal kehamilan, selalunya mengalami loya dan muntah. Mengambil jus oren akan menyebabkan perut semakin tidak selesa terutama bagi mereka yang mempunyai masalah gastrik.

(rujuk: Walton B. Sinclair, E.T. Bartholomew, R. C. Raamsey (1945). “ANALYSIS OF THE ORGANIC ACIDS OF ORANGE JUICE”. Plant Physiol 20 (1): 3–18)

Khasiat buah orange dan jusnya saya pamerkan seperti di bawah:

Nilai nutrisi buah Orange Florida
Nilai nutrisi dalam 100 g
Tenaga 192 kJ (46 kcal)
Karbohidrate 11.54 g
– Gula 9.14 g
– Serat 2.4 g
Lemak 0.21 g
Protein 0.70 g
Thiamine (Vit B1) 0.100 mg (9%)
Riboflavin (Vit B2) 0.040 mg (3%)
Niacin (Vit B3) 0.400 mg (3%)
Pantothenic acid (B5) 0.250 mg (5%)
Vitamin B6 0.051 mg (4%)
Folate (vit. B9) 17 μg (4%)
Vitamin C 45 mg (54%)
Kalsium 43 mg (4%)
Iron 0.09 mg (1%)
Magnesium 10 mg (3%)
Phosphorus 12 mg (2%)
Potassium 169 mg (4%)
Zinc 0.08 mg (1%)

(Peratusan berbanding dengan makanan untuk orang dewasa)

Apa yang menarik dalam buah oren juga ialah ia mengandungi sumber antioksidan Hesperidin. Hesperidin dikatakan mampu mengurangkan kandungan kolestrole dalam darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

(rujuk: Monforte MT, Trovato A, Kirjavainen S, Forestieri AM, Galati EM, Lo Curto RB (September 1995). “Biological effects of hesperidin, a Citrus flavonoid. (note II): hypolipidemic activity on experimental hypercholesterolemia in rat”. Farmaco 50 (9): 595–9)

Hesperidin juga mempunyai keupayaan mengurangkan bengkak dalam tubuh.

(rujuk: Galati EM, Monforte MT, Kirjavainen S, Forestieri AM, Trovato A, Tripodo MM (November 1994). “Biological effects of hesperidin, a citrus flavonoid. (Note I): antiinflammatory and analgesic activity“. Farmaco 40 (11): 709–12.)

Vitamin C yang ada pada buah oren segar mampu mengurang risiko jangkitan selsema. Buah oren membekalkan sebahagian besar dari vitamin C yang diperlukan oleh tubuh.

Dose pengambilan vitamin C seperti yang dicadangkan oleh Food and Nutrition Board of the Institute of Medicine and the National Academy of Sciences, USA adalah sebanyak 85 mg setiap hari. Sebiji buah oren akan membekalkan 45mg vitamin C. Maksima yang dibenarkan untuk pengambilan vitamin C ialah 2,000 mg dalam sehari.

Sementara keperluan vitamin C untuk wanita yang menyusukan pula ialah 120mg sehari. Oleh itu ketika mendapat bekalan supplemen kehamilan, haruslah meneliti bacaan pada pelekat vitamin yang dibekalkan. Sebagai contoh tablet Obimin dan Prenavite yang selalu diberikan kepada wanita hamil mengandungi Vit C 100mg dalam setiap tablet.

Nasihat saya, bagi wanita hamil perlu berhati-hati. Vitamin C pada kebiasaannya tidak berkumpul di dalam badan, selalunya akan keluar melalui pembuangan air kencing. Namun jika terlalu banyak kuantitinya dikhuatiri akan menyebabkan batu karang pada ginjal.

Oleh itu berhati-hati apabila minum jus oren. Bagi wanita yang tiada masalah kesihatan, pada kebiasaannya minum jus oren dengan kadar yang sederhana, tidak mendatangkan kemudharatan.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (130112)

2 comments

  1. Salam, doktor.

    Saya ada terbaca hadis tentang larangan Nabi bagi wanita yang hendak hamil. Wanita tidak boleh makan cuka, epal hijau, susu dan ketumbar.

    Persoalannya, adakah susu tidak elok diminum. Dalam rancangan Tanyalah ustaz baru-baru ini, dinyatakan makan kurma dengan susu kambing untuk hamil.

    Saya jadi keliru. Boleh doktor perjelaskan?

    Terima kasih.

  2. salam doc..saya nak tanya..boleh tak saya makan buah limau setiap hari tapi hanya sebiji sehari? sewaktu mengandungkan anak pertama, saya makan buah limau sebiji setiap hari..tp saya ada dengar dari kawan saya, die kata ada doc tak suggest amik buah limau selalu sbb kandungannya tinggi dgn asid. doc tuh kata kulit anak nanti tak cantik..apa pendapat d0ctor?

Leave a Reply

error: Content is protected !!