Assalamualaikum doktor, maaf mengganggu. Sekarang saya sedang hamil anak pertama 5 minggu. Saya didiagnosakan sebagai pseudoseizure dan diberikan ubat Epilim 200 pada usia 13 selepas kemalangan jalanraya. Apabila memasuki university saya tidak pernah mendapat serangan epilepsy dan doktor telah mula kurangkan dosnya. Sekarang saya tidak lagi menggunakan pil itu. Saya ingin bertanya jika saya masih berisiko untuk mengalami komplikasi ubat itu ketika hamil.
Wa alaikum mus salam. Saya berdoa agar ALLAH permudahkan usaha puan untuk hamil.
Untuk pengetahuan puan, ubat Epilium yang diberikan doktor mengandungi bahan aktif sodium valproate, yang digunakan untuk merawat epilepsy (sawan).
Dalam otak kita terdapat jutaan saraf-saraf yang berhubungan antara satu sama lain dengan memancarkan signal elektrik (impulse).
Apabila terdapat impulse yang dikeluarkan secara tidak normal dan berulang-ulang dalam otak, maka otak akan mendapat lebih rangsangan dan menyebabkan sawan.
Sodium valproate bertindak menstabilkan aktiviti impulse dalam otak dan secara tidak langsung akan mengelakkan terjadi sawan.
Jika seorang penghidap penyakit sawan ingin hamil, saya nasihatkan agar berbincang dengan pakar saraf (neurologist) supaya risiko mendapat kemudaratan dapat dikurangkan.
Ini kerana wanita yang mengambil ubat Epilim ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat bayi yang cacat anggota dan mempunyai masalah perkembangan minda apabila besar kelak.
Namun jika dia tidak mengambil ubat ini ketika hamil, dia pula berisiko untuk mendapat sawan. Apa yang dibimbangkan ketika sedang memasak atau memandu, dia diserang sawan ini akan merbahyakan nyawa beliau dan bayi dalam rahim.
Jika doktor telah meminta puan menghentikan ubat ini, bermakna bayi dalam rahim akan selamat, insya ALLAH, tetapi puan harus pastikan bahawa puan berhati-hati jika ada tanda-tanda serangan sawan.
Saya menasihatkan puan agar mengamalkan folic acid sebaik saja puan didiagnosakan sebagai hamil bagi mengelakkan risiko mendapat neural tube defects seperti spina bifida pada bayi puan.
Saya ada menulis mengenainya di https://drzubaidi.com/blog/?p=1038 dan di https://drzubaidi.com/blog/?p=1902.
Jika doktor meminta puan memakan ubat ini kerana keadaan sawan puan tidak terkawal, makan ubat ini harus diberikan pada dos yang lebih rendah untuk mengurangkan risiko pada bayi.
Wallahu a’lam.