Bahaya ’Badi’ Melawat Pesakit di Hospital bagi Anak Kecil

Saya agak keliru apabila segerombolan ahli keluarga pesakit memenuhi wad. Tidak kurang 8-10 orang mengerumuni katil kecil pesakit di hujung wad. Ada yang tua, muda dan tidak kurang anak-anak kecil. Semuanya seperti ”meraikan” pesakit.

Saya perhatikan yang tua menangis teresak-esak di tepi katil, meratapi pesakit yang terbaring separuh sedar. Yang muda pula ambil kesempatan bertanya khabar berbual-bual sesama sendiri. Kadang-kala dengar juga gelak ketawa mereka mungkin cuba menceriakan suasana. Anak-anak kecil pula lari berkejar-kejaran, sudah tidak diperduli oleh ibubapa. Antara mereka ada yang terjatuh di lantai dan menangis pula. Masing-masing dengan dunia mereka sendiri.

Adab melawat pesakit yang dilupakan

Apa yang saya ceritakan ini adalah suatu gambaran biasa yang kita lihat di hospital pada waktu lawatan pesakit. Saya percaya banyak perkara yang perlu diperbetulkan.

Saya faham pelawat mungkin datang dari jauh. Kesempatan ini tentu digunakan oleh pelawat untuk bertanya khabar tentang keadaan pesakit. Namun berada di sisi pesakit sepanjang waktu lawatan tentu saja memberikan impak psychology dan perubatan kepada pesakit dan waris yang menjaganya.

Pelawat seharusnya tidak menggunakan sepenuhnya masa lawatan itu (sepanjang 530pm-730pm sebagai contoh) untuk tinggal bersama pesakit, jika keadaan tidak sesuai.

Saya juga beranggapan bahawa tinggal lama bersama pesakit di hospital mendatangkan bahaya dari segi perubatan dan juga menyalahi adab dalam melawat pesakit.

Saya pernah membaca suatu riwayat dari Ibn Abbas, katanya:

Antara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi ialah memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising ketika melawat orang sakit.”

Ada satu riwayat dari sahabat iaitu daripada Jabir, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan orang sakit itu.

Dalam melawat pesakit, Rasulullah s.a.w menekankan kepentingan memberikan suasana tenang kepada pesakit. Sememangnya ia adalah suatu aspek yang kurang diberikan perhatian oleh para pelawat. Lawatan kepada pesakit yang seharusnya menjadi motivasi kepada pesakit agar dia cepat sembuh dengan memberikan pesakit harapan dan doa untuknya. Semua ini perlu dilakukan dalam ketenangan.

Jangkitan kuman di hospital atau badi?

Perlukah kita membawa anak-anak kecil melawat pesakit? Baru-baru ini seorang rakan membawa anaknya berjumpa saya. Sudah masuk kali ketiga beliau pergi ke klinik mendapatkan rawatan bagi luka di lutut anaknya.

Saya cuba bertanya bagaimana terjadinya luka. Seingat beliau, setelah balik dari melawat bapanya yang terlantar di hospital, anaknya ada mengadu ada luka lelasan (abrasion wound) pada lutut di kirinya akibat terjatuh di lantai wad. Dia telah menyapukan larutan ubat kuning (flavin) ke luka anaknya.

Setelah dua hari lukanya bertambah teruk dan mula mengeluarkan nanah. Dia segera mendapat rawatan doktor dari klinik berhampiran. Setelah tiga hari makan antibiotik yang diberikan, lukanya tetap tidak kurang.

Kemudian dia pergi semula ke klinik tersebut. Setelah dicuci lukanya, doktor memberikan antibiotik yang ‘lebih mahal’, seharusnya lebih baik namun anaknya mula mendapat demam.

Saya memeriksa luka pada lutut anak beliau. Bila saya buka balutan di lututnya, saya mendapati luka anak itu dalam keadaan yang amat teruk.

Lukanya membusuk. Ini menyebabkan saya mula berfikir tentang kuman yang amat kuat dan resistant pada antibiotik. Ianya bengkak, kemerah-merahan di sekitarnya, dan amat sakit apabila disentuh. Saya segera mengambil swab contoh nanah pada lukanya untuk dihantarkan ke makmal.

Tujuan penghantaran swab ini untuk dianalisa jenis kuman bakteria yang menjangkiti luka pada lutut anak kawan saya ini dan antibiotik apa yang sensitif untuk membunuhnya.

Dengan penuh kepayahan akibat si anak yang tidak bekerjasama dan menangis trauma ketakutan, saya mendapati luka itu amat dalam sehingga menampakkan lapisan otot dan tulang tibia dan patella.

Setelah membalut luka saya mencadangkan agar dibawakan segera ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Ini berdasarkan anaknya mula mendapat demam, keadaan lukanya amat teruk dan saya merasakan tanpa rawatan yang baik, luka anaknya akan melarat.

Saya faham rakan saya ini seorang yang amat sibuk dan isterinya juga berkerjaya. Tiga orang anak-anaknya masih lagi kecil. Mujurlah ada seorang pembantu rumah. Jika anaknya itu ditahan di hospital, tentu kehidupan mereka akan menjadi kelam kabut.

Namun setelah dipujuk , akhirnya beliau setuju. Itu pun setelah saya memberitahu risiko yang bakal menanti. Jika luka semakin teruk, maka ianya mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Tiga hari selepas itu, saya mendapat telefon dari microbiologist di makmal bahawa kebanyakan antibiotik tidak berkesan untuk membunuh kuman pada luka di lutut anak kawan saya.

Setelah dua hari, saya menerima satu fax dari makmal yang sama, bahawa kuman yang terdapat pada lukanya disahkan sebagai  methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA).

Saya amat terkejut membaca laporan itu kerana setahu saya kuman yang sangat aggresif ini jarang berada di persekitaran. Ia hanya terdapat di hospital. Apakah anak kawan saya mendapat kuman itu dari hospital ketika ibu bapanya melawat datuknya yang sedang sakit?

Saya cuba menyusun logika urutan peristiwa. Kanak-kanak itu mungkin berlari di sekitar wad dan terjatuh. Ia mengalami luka kecil dilutut. Rakan saya tidak menyedari hal ini. Apabila pulang ke rumah, kuman telah mula memasuki tisu yang lebih dalam.

Rakan saya hanya menyapukan ubat sapu flavin yang bertindak sebagai antiseptik. Malangnya ia tidak membantu membunuh kuman. Selepas itu dia membawa ke klinik dan itulah seterusnya yang berlaku.

Cross infection jangkitan kuman berlaku di hospital

Situasi sebegini sering dielakkan daripada berlaku ketika berada di hospital. Ia dinamakan cross infection. Bukan setakat pelawat, tetapi semua staf hospital yang bekerja, termasuk juga doktor dan jururawat adalah golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan kuman secara tidak sengaja ini.

Malah pesakit juga menghadapi risiko yang sama. Katakan dia dimasukkan ke hospital akibat masalah dalam perut dan perlukan pembedahan, tetapi setelah 10 hari di hospital, dia mengalami pneumonia pula akibat jangkitan kuman dari pesakit lain.

Cross infection adalah perpindahan kuman bacteria dari seseorang ke seorang yang lain, atau bahagian tubuh seseorang ke bahagian tubuh yang lain contohnya perpindahan kuman dari tangan ke mata.

Ia berlaku di mana-mana institusi kesihatan dan ianya melibatkan kuman-kuman bakteria yang merbahaya ialah  methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA), Pseudomonas aeruginosa dan Clostridium difficile.

Ia boleh berlaku pada sistem ventilasi, atau peralatan yang dianggap bersih seperti cadar tilam. Ini bermakna sistem ventilasi menyalurkan udara yang dijangkiti kuman, antara kuman yang ditakuti ialah  Legionella pneumophila yang menyerang paru-paru staf hospital, pesakit atau pelawat yang berada di kawasan itu. Ia adalah kuman yang sukar dibunuh dengan antibiotik.

Selain dari bakteria, cross infections juga boleh disebabkan oleh virus, fungus, atau parasit yang mungkin memang sedia ada pada anggota pesakit atau datang dari persekitaran hospital yang tidak bersih, kakitangan hospital, pelawat atau pesakit yang lain.

Tidak hairanlah jika seseorang yang menjalani pembedahan, mengalami jangkitan kuman di tempat pembedahannya akibat jangkitan kuman ini. Mulanya ia akan menunjukkan kawasan yang merah, hangat dan sakit. Tidak lama kemudian ia menghasilkan nanah.

Jika kuman memasuki saluran darah, ia menyebabkan jangkitan kuman ke seluruh badan. Ia menyebabkan tekanan darah rendah, demam yang kuat, dan kadang kala kekeliruan minda. Pemeriksaan darah akan menunjukkan pesakit mengalami leucocytosis, iaitu sel darah putih yang banyak dalam tubuh.

Selalunya jangkitan kuman di hospital mudah berlaku pada orang yang mengalami tekanan mental, kurang zat makanan dan mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau penyakit kanser. Kanak-kanak juga antara golongan yang mudah dijangkiti.

Nasihat saya bagi mereka yang ingin melawat pesakit di hospital, pastikan saudara sihat, tidak tinggal terlalu lama di sana atau membawa anak-anak yang belum mengerti apa-apa. Cukuplah menyatakan keprihatinan kita pada pesakit, memberikannya semangat dan motivasi dan mendoakannya agar cepat sembuh.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (111010)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog/

9 comments

  1. Assalamualaikum,

    Doktor, boleh saya tanya pendapat Doktor, apa pandangan Doktor mengenai istilah ‘kenan’? Adakah wujud kenan dan penerangannya dari segi perubatan? Kalau boleh, boleh tak Doktor berikan sedikit ulasan dalam bentuk artikel? Saya sedang hamil hampir 5 bulan dan dibelenggu dengan masalah pantang yang melibatkan kenan kepada bayi yang akan dilahirkan, yang pada pendapat saya boleh membawa kepada syirik di atas ketentuan yang ditetapkan Allah. Dalam artikel yang saya baca, Tiyarah atau Tatayyur contohnya seperti mempercayai perkara tidak elok dilakukan, dihukumkan syirik kerana mengaitkan musibah yg menimpa kepada selain Allah dan meyakini musibah berpunca dari makhluk yg tidak sedikitpun memiliki kuasa mendatangkan manfaat atau mudharat. Cth kenan yg saya maksudkan adalah seperti jgn pancing ikan nanti anak sumbing, jgn tengok kartun nanti anak muka mcm kartun, dan mcm2 lagi. Terima kasih di atas penerangan Doktor.

  2. zurita zulkifli

    slm doktor. saya ingin bertanya pendapat doktor tentang semburan mulut yg mengandungi alkohol. semburan penyegar mulut ini dikatakan dapat menghilangkan bau mulut. adakah penggunaan alkohol dalam semburan ini dibenarkan dalam islam?

  3. Assalamualaikum doktor,

    Saya sangat setuju dengan nasihat doktor tentang adab melawat pesakit. Saya pernah dimasukkan ke hospital swasta pada tahun lalu. Disebabkan tidak ada single bedded dan two bedded yang kosong, maka saya terpaksa ditempatkan di four bedded. Saya adalah patient pertama yang masuk dalam bilik tersebut. Kemudian ada 1 patient ni masuk kalau tak silap saya kerana denggi. Dia masuk dah malam.

    Disebabkan hospital swasta, maka masa melawat agak longgar berbanding hospital kerajaan. Dari awal masuk, pesakit tersebut ditemani oleh suami dan anak kecilnya. Suaminya sering keluar masuk dari bilik tersebut untuk membeli makanan dan sebagainya. Dari awal lagi, saya berasa tidak selesa kerana ianya mengganggu ketenteraman pesakit. Suaminya yang bercakap dengan suara yang kuat, anaknya yang berlari-lari, kemudiannya menangis. Kemudian pula saudara-mara datang melawat, sehingga penuh ruangan di dalam bilik tersebut.

    Walaupun hospital swasta lebih flexible waktu lawatannya, tetapi mereka yang melawat seperti tidak menghormati pesakit. Usahkan pesakit lain, tetapi mereka juga tak menghormati pada pesakit yang mereka lawati kerana datang melawat terlalu lama dan kemudiannya berbuat bising sehingga mengganggu pesakit.

  4. Salam, saya amat bersetuju dengan perkongsian Doktor tentang bahaya bawa anak kecil ke hospital. Cuma saya ingin berkongsi, begitulah yang diamalkan orang kita, jika kita singgah melawat sekejap takut pulak dikatakan tidak prihatin dan akan mengecilkan hati si pesakit. Saya memang tak selesa bawa anak bersama jika melawat pesakit. Apatah lagi kekadang ada orang samaada pesakit lain/pelawat lain yang berkenan pada anak kecil kita dan ingin mendokongnya walau sebentar. Tak diberi, nanti dikatakan sombong….padahal dalam hati kita risaukan tentang Cross-infection itu.

  5. saya bersetuju dgn pendapat doktor tentang bahaya membawa anak kecil kehospital,saya ada pengalaman untuk dikongsi bersama,pada tahun 2009 anak saya telah dimasukkan kehospital sebab telah mendapat sakit jantung iaitu PDA,pada mula dia masuk hanya mengalami batuk,setelah seminggu berada diwad anak saya telah mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya yang dikenali sebagai kuman MRSA,ini membuatkan dia tidak boleh menjalani pembedahan tersebut.jururawat di situ semua berkata,bahawa kuman MRSA ini hanya berada dihospital.setelah dibagi ubat antibiotik yang mahal barulah jangkitan itu beransur pulih, disini saya ingin bertanya betul ke kuman MRSA itu hanya terdapat di hospital?

  6. aswt doc..entry doc membuatkan saya tertanya2 tentang kejadian yg berlaku pada saya baru2 ini..
    saya baru melahirkan anak dan pada usia beliau 29 hari beliau mengalami demam panas..tanpa batuk dan selsema.setelah 4 hari mengambil rawatan, demam masih ada sekitar 37.5-38.4 cels. Lalu anak terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Oleh kerana bilik 1 tiada, saya ditempatkan sementara di bilik 4 yang 3 lagi penghuninya mengalamai batuk selsema berkahak dan diletakkan under nebulizer, bukan shj kanak2 tersebut tetapi ibu bapa mereka sbg penjaga juga tidak berada di tahap kesihatan optima, batuk dan sebagainya.

    3 hari berlalu dan wbc anak saya makin meningkat, dan red cell count nya juga makin menurun. Diagnos demi diagnos menunjukkan anak saya mengalami pneumonia pula!di mana sebelumnya langsung tiada tanda2 beliau mengidap penyakit ini..

    membuatkan saya terkilan yg amat melihatkan anak sekecil ini melalui pelbagai kesakitan akibat dr rawatan yg diberikan (ambil darah, antibiotic melalui IV, nebulizer, ubat secara oral secara intensif)

    kebarangkalian mendapat kuman tersebut sgt tinggi dari cross infection akibat sikap ignorance pesakit, saya berharap tiada ibu bapa lain akan mengalami keadaan sedemikian rupa..

  7. hi doctor.. betul tu… saya nurse. saya pernah menyuruh keluraga yang pergi melawat pesakit tibi dengan membawa anak kecil yang dalam lingkungan1-3 bulan keluar dari ward. yerle. budak umur camtu, dibawa melawat ke wad tibi. jahanam sungguh mak bapak budak tu. takkan le tak tau kesan2 penyakit tibi. bila saya suruh diorang keluar, muka macam mengejek. saya paksa juga dia keluar. sebab saya kesian kat budak tu.

    • Salam Nurse ogy, nurse sepatutnya explain baik2 kepada parents budak itu. Mungkin diorg akan faham. Ibubapa mana yang mahu anaknya sakit. Dari gaya bahasa nurse di sini pun membuatkan saya membayagkan bagaimana caranya nurse menegur parents budak itu. Harap kesopanan dan kesusilaan dijaga ketika menegur…..

    • slm. saya setuju dgn Dr. z.ramai org kurang pengetahuan tentang safety precautions di hospital.pengamal perubatan yg faham isu ini sepatutnya menjelaskan kepada mereka secara baik..insyaAllah mereka akn faham,lebih2 lagi ini melibatkan kesihatan anak mereka sendiri.jgn burukkan lagi persepsi masyarakat terhadap jururawat2 hospital.

Leave a Reply

error: Content is protected !!