ANAK DEMAM BERULANG

ANAK DEMAM BERULANG

 

“Assalamualaikum doktor, mohon pencerahan.

Semalam anak perempuan saya mula demam dan batuk. Saya telah membawanya ke klinik, dan selepas diberi ubat, suhu badannya menurun. Namun begitu, setiap kali kesan ubat habis (kira-kira selepas 6 jam), demamnya kembali semula. Demam ini baru bermula malam tadi.

Saya telah lakukan ujian saringan COVID-19 dan influenza di rumah, dan kedua-duanya negatif. Yang merisaukan saya, adakah ini mungkin demam denggi? Sebabnya, anak saya mengalami batuk dahulu sebelum demam bermula. Adakah itu tanda biasa jika ianya denggi?

Saya juga telah membawanya ke klinik malam tadi, namun masih rasa risau. Mohon pandangan doktor.”

 

Waalaikumussalam dan terima kasih atas pertanyaan.

Situasi anak puan mungkin masih dalam fasa awal jangkitan virus.

 

1. Demam Berulang Selepas Ubat. Ini adalah perkara biasa dalam jangkitan virus seperti selesema, influenza atau virus pernafasan lain. Ubat seperti paracetamol hanya membantu menurunkan suhu buat sementara waktu. Bila kesannya hilang, suhu boleh naik semula, terutama dalam 48–72 jam pertama jangkitan.

 

2. Batuk Sebelum Demam. Ini lebih menunjukkan kepada jangkitan saluran pernafasan bahagian atas, contohnya selesema virus biasa (viral upper respiratory tract infection) atau influenza ringan. Ia bukan corak tipikal untuk denggi.

 

3. Corak tipikal untuk denggi:

✅ Denggi biasanya bermula dengan demam panas mengejut, tanpa batuk.

✅ Disertai sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit sendi/otot.

✅ Muncul ruam, lebam atau pendarahan ringan (gusi, hidung).

✅ Anak biasanya kelihatan sangat lesu dan kurang aktif.

 

4. Influenza/Covid:
Walaupun ujian awal negatif, simptom seperti batuk dan demam berulang boleh disebabkan oleh virus-virus lain. Kadang-kadang keputusan negatif tidak menolak sepenuhnya jangkitan, bergantung kepada waktu ujian dilakukan dan jenis ujian.

 

Jadi cadangan saya :

✅ Teruskan beri ubat demam ikut dos dan waktu.

✅ Pastikan anak minum air secukupnya (boleh beri oral rehydration salts jika perlu).

✅ Pantau keadaan anak: jika dia mula kurang aktif, muntah berterusan, tidak mahu makan/minum, atau timbul ruam – segera bawa ke hospital.

✅ Jika demam berterusan lebih dari 3 hari, atau suhu terlalu tinggi dan tidak terkawal, elok buat pemeriksaan darah untuk pastikan tiada jangkitan serius seperti denggi atau bakteria.

 

Semoga anak puan cepat sembuh. Terus pantau dan beri perhatian pada perubahan tingkah laku atau tanda-tanda luar biasa.

 

#HealthDrZubaidi

 

Untuk anak yang mudah demam batuk selsema, saya mencadangkan IMMUNEEDZ.

https://www.needsvenue.com.my/products/immuneedz-60-s-vitamin-c-chewables-?srsltid=AfmBOor9gxJRHTMRHKy4e4MvsOeGHleIgrzdpL4fhI-3IOp7tjea365d

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!