‘Salam doktor, saya ada bayi berumur 3 bulan, Masalahnya dia mengalami mata sebelah kanan yang sentiasa berair. Saya sudah berjumpa dengan doktor tetapi dia memberikan ubat mata saja, tetapi sampai sekarang pun lagi mata dia masih berair. Ada cara lain untuk menguraangkan mata berair mata bayi saya? “
Dr Zubaidi Hj Ahmad
Wa alaikum mus salam.
Anak puan mengalami satu masalah salur air mata yang tersumbat, yang dikenali sebagai “blocked nasolacrimal duct”.
Terdapat salur-salur halus di bahagian tepi mata, yang menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung. Kadangkala, salur-salur ini tidak terbuka sepenuhnya, atau tersumbat, terutama di kalangan bayi baru lahir.
Ini menyebabkan air mata berkumpul di dalam mata, dan mata kelihatan berair. Apabila air mata tidak mengalir dengan biasa, air yang bertadah ini boleh dijangkiti kuman, dan menyebabkan terbentuknya tahi mata.
Kebanyakan salur air mata yang tersumbat akan membuka dengan sendirinya sebelum umur satu tahun. Ada beberapa cara kita boleh gunakan untuk mengatasi masalah ini dengan segera.
1. Bersihkan tahi mata. Tahi mata perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sehari, dengan menggunakan kain lembut yang basah.
Bersihkan lebih kerap jika perlu.
2. Urut salur air mata. Salur-salur air mata terdapat di bawah kulit di tepi mata, sebelah hidung. Gunakan jari yang bersih, dan urut
kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung. Lakukan sekurang-kurangnya
enam kali sehari. Kaedah ini seringkali dapat membuka salur-salur air mata yang tersumbat.
3. Jumpa doktor. Sekiranya kaedah-kaedah ini tidak membantu, bayi puan mungkin menghidapi jangkitan kuman pada selaput
mata (conjunctivitis). Jumpa doctor segera jika mata bayi menjadi merah, bengkak atau bayi demam.
4. Ada doktor yang mengesyorkan penggunaan susu ibu sebagai rawatan untuk mata berair. Ini adalah rawatan yang mudah dan
tidak berbahaya. Susu ibu mengandungi bahan protein yang membunuh kuman (lysozyme), antibodi dan sel darah putih yang
mampu melawan jangkitan. Beberapa titis susu ibu boleh diletakkan pada jari yang bersih dan dititiskan ke sudut mata
berhampiran hidung, pada mata yang berair.
Biasanya masalah ini akan sembuh sendirinya, apabila bayi membesar dan salur-salur air mata turut membesar. Sekiranya mata bayi terus berair selepas beberapa bulan, minta rujuklah untuk pemeriksaan doktor pakar mata.
Wallahu a’lam.