Banyak kajian telah mengesahkan bahawa vaksin yang biasa digunakan untuk meninggikan daya tahan kanak-kanak di Amerika Syarikat adalah selamat, malah berkesan dalam mencegah banyak penyakit yang boleh mengancam nyawa.
Tetapi oleh kerana telah banyak informasi yang mengelirukan mengenai risiko vaksin ini, dan sebenarnya bahaya sebenar apabila ibubapa enggan untuk menghantar anak mereka untuk diberikan suntikan vaksin, maka sekumpulan pengkaji telah mengambil keputusan untuk meneliti semula secara sistematik semua kajian yang telah dijalankan dan yang telah diterbitkan dalam journal-journal perubatan.
Mereka mendapati dan membuat kesimpulan bahawa pemberian suntikan vaksin adalah selamat malah berkesan.
Para penyelidik itu mengkaji sebanyak 20, 478 kajian saintifik yang telah diterbitkan, termasuk vaksin seperti DTaP (difteria, tetanus dan pertusis), hepatitis A, hepatitis B, influenza, meningitis, MMR (campak, beguk dan rubela), varicella dan vaksin selesema .
Kemudian mereka membuat saringan dan hanya mengambil sebanyak 166 kajian terkawal yang dapat membandingkan kesan-kesan individu yang disuntik dengan kesan individu yang tidak disuntik dengan vaksin.
Akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa tiada kaitan langsung antara vaksin dengan kanak-kanak yang mengalami gangguan spectrum Autism.
Pengkaji saintis juga mendapati bahawa semua vaksin yang biasa diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa di Amerika Syarikat semua selamat dan berkesan.
Dalam erti kata lain, kanak-kanak yang diberikan suntikan vaksin MMR tidak akan menyebabkan autisme. Dan kebarangkalian untuk seorang kanak-kanak yang disuntik dengan vaksin MMR itu mendapat autisme adalah sama dengan kebarangkalian seorang kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan vaksin MMR.
Walau bagaimana pun memang terdapat kesan sampingan sementara apabila diberikan suntikan vaksin seperti mendapat demam dan berasa sakit di tempat suntikan. Namun ia bukan kesan yang berbahaya.
Beberapa vaksin tertentu telah dikaitkan dengan kesan agak lebih serius, tetapi sangat jarang. Sebagai contoh vaksin MMR boleh menyebabkan tindak balas alahan kerana kanak-kanak tersebut alah dengan bahan yang terdapat dalam vaksin itu dan jarang-jarang menyebabkan sawan akibat demam yang tinggi.
Walau bagaimana pun tindak balas alahan ini dapat dikenal pasti terlebih dahulu dan diuruskan dengan baik semasa proses pemberian vaksin, dan kebarangkalian mendapat sawan yang tidak berbahaya lebih ringan jika dibandingkan mendapat jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.
Penelitian yang ketat seperti ini bukan kali pertama dilakukan oleh oleh penyelidik dan saintis bagi memastikan vaksin yang digunakan benar-benar selamat dan berkesan.
Jadi kenapa mereka masih melakukannya? Ini kerana isu yang dimainkan oleh aktivis anti-vaksin semakin meluas, dengan menggunakan hipotesis pseudosains dan maklumat yang diputarbelitkan untuk mengelirukan orang ramai kononnya pemberikan vaksin adalah bahaya.
Mereka tidak sedar bahawa kempen mereka anti-vaksin ini telah meletakkan kehidupan kanak-kanak yang berisiko ini berhadapan dengan penyakit batuk kokol, beguk dan campak yang boleh membawa maut.
Wallahu a’lam